Telegram Web Link
Mat Kilau, Munafik dan Idealisme

Mat Kilau akhirnya telah pun mengalahkan Munafik 2, mengikut jumlah kutipan tertinggi, dalam medan teater dan hiburan.

Demikianlah juga kita mungkin boleh kiaskan secara tafaa'ul (optimisme), bahawa idea kepahlawanan akan menjatuhkan para idea kemunafikan, suatu masa nanti.

Munafik itu tiada identiti, tiada jatidiri, tiada kesetiaan kepada bangsa dan negara, kerana prinsip mereka hanya mana-mana yang untung di dunia. Kemanusiaan mereka hanya diterjemah di dalam keuntungan dunia dan kepuasannya yang sementara, jadilah mereka manusia yang tempang, cacat dan hina.

Sedangkan pahlawan sejati, hidupnya untuk dunia dan akhirat, lalu perjuangan dan idealisme mereka akan menawan segala jiwa manusia yang mencari, dan mendambakan erti sebenar kemanusiaan.

"Maka adapun yang buih-buih itu akan hilang dengan sia-sia, manakala yang memberi manfaat kepada manusia akan kekal di atas muka bumi ini, demikianlah Allah memberikan perumpamaan" - Surah Ar-Ra'd
Menghafaz Al-Quran tetapi dilaknat oleh Al-Quran

Antara ciri-ciri orang munafiq adalah mereka tidak mempunyai batasan di dalam gurau senda dan bahan permainan.

"Dan sekiranya engkau bertanya mereka (para munafiq itu mengenai perbuatan mereka mengolok-olokkan ayat-ayat Allah), pasti mereka menjawab : Sesungguhnya kami hanyalah bersembang-sembang dan bermain-main. Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah dengan Allah dan ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu jadikan bahan jenaka dan permainan?" - Surah At-Taubah, ayat 65

Al-Quran akan menambahkan apa yang ada pada hati manusia. Jika hati itu subur dengan iman, maka ia akan menambahkan keimanan ke atas iman yang ada.

"Adapun orang yang beriman, ayat (Al-Quran itu) akan menambahkan mereka keimanan dan mereka pun bergembira" - Surah At-Taubah, ayat 124

Jika ia adalah kekufuran, kezaliman dan kemunafikan, ia hanyalah menambahnya lagi dan lagi kebencian, kekufuran, dan kerugian.

"Dan adapun orang yang berpenyakit hatinya, maka ia hanyalah menambahkan lagi kekotoran ke atas kekotoran yang ada pada mereka, lalu mereka mati dalam keadaan fasiq" - Surah At-Taubah, ayat 125

Moga Allah pimpin tangan kita semua untuk dibimbing dan dipandu dengan Al-Quran
Bimbingan untuk peringkat Sarjana di Al-Azhar

Ada ke siapa yang berminat untuk dapatkan bimbingan pengajian Master di Universiti Al-Azhar ?

Saya berbesar hati untuk buka sesi pengenalan dan bimbingan secara serius, bagi siapa yang serius.

Syarat hanya satu : Jangan letak syarat untuk belajar.

Contoh syarat : Mesti kena habis dalam tempoh sekian-sekian, mesti cukup makan minum, mesti seronok, mesti sekian dan sekian.

Ilmu tidak begitu. Jika masih banyak syarat, maka lupakan hasrat itu, dan carilah di tempat lain.
Isu Hina Agama: Kerajaan digesa bertindak tegas, umat Islam tidak akan berdiam diri

Baru-baru ini tular beberapa kes penghinaan agama yang mendapat perhatian rakyat. Walaupun ada sebahagian telah diambil tindakan, namun ada pula pihak yang membela suspek yang terlibat.

Kerajaan tidak boleh berkompromi terhadap mana-mana tindakan yang mencabar identiti kedaulatan negara yang berpaksikan agama Islam dan bangsa Melayu serta sistem Raja berperlembagaan.

Mana-mana tindakan yang mencabar identiti kenegaraan ini wajar dikenakan tindakan tegas hingga wajar dilucut kerakyatan kerana ia melanggar rukun negara.

Umat Islam pula tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana tindakan yang mempermainkan dan mempersenda agama kerana ia adalah satu bentuk 'pemberontakan secara halus' yang sewajarnya dibanteras bagi menjamin keutuhan negara dan keharmonian masyarakat.

Tindakan sebegini hakikatnya sedang menjentik sensitiviti umat Islam dalam mempertahankan agama mereka, dan seolah-olah satu kerja yang dirancang bagi melihat sejauhmana umat Islam masih berasa 'ghairah' terhadap maruah agama mereka, yang dipermainkan di tanah air mereka sendiri.

Wallahua'lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
InsyaAllah esok sekali lagi saya akan bersiaran di TV Al-Hijrah bagi sesi ulangkaji MyQuranTime.

Dijemput untuk ikuti pada jam 12 tengahari, Sabtu 20 Ogos.

Moga Allah jadikan kita Al-Quran yang berjalan.
Inspirasi dari kisah Nabi Ibrahim AS

Berhubung secara terus dengan-Nya, boleh menjimatkan masa hingga ratusan tahun, jika dibandingkan dengan bergantung pada usaha sendiri.
Menghidupkan pancaindera menerobos sempadan

Roh akan lebih bebas meneroka alam malakut, jika segala deria dan pancaindera tertutup, atau terbuka tetapi sentiasa memandang alam di sebalik alam al-mulk iaitu kerajaan yang zahir.

Bagi semua manusia, rohnya boleh terbang bermimpi ketika tidur. Namun bagi sesetengahnya, rohnya tetap boleh terbang walau ketika sedar.

Beza mereka hanyalah, sebuah perspektif dan prasangka, samada merasakan mereka berada di setiap dimensi kewujudan yang berbeza, tidak bersangkut paut atau terkait sama sekali, atau pun memahami bahawa setiap dimensi mewakili dan mencerminkan suatu hakikat yang sama.

Selama ini jiwa meronta mencari jawapan terhadap persoalan-persoalan kewujudan, rupa-rupanya jawapannya tersemat di dalam sebuah perjalanan roh dalam memahami hakikat insan dan ketuhanan, hingga membawa kepada kesimpulan sebuah makna 'kesatuan', dan 'penyatuan'.

Kelazatan roh pada penyerahan dan pencarian, bukanlah pada pengetahuan hakiki, kerana apapun jenis pengetahuan yang diketahui, tetap hanyalah sebuah simbolik kepada hakikat sebuah kejahilan, yang sentiasa menuntutnya untuk mencari, pasrah dan berserah diri.

Kitaran yang tiada penghujung, hingga bertemu Dia di penghujungnya.

Ketika itu, Dia pula akan mengajarnya, secara terus dan langsung, tanpa simbol atau kiasan dan perumpamaan, apakah yang perlu dicari lagi, setelah semua ini berlalu.

Tuhan,
Ajarkan aku, mengenali-Mu.

وأن إلى ربك المنتهى

-----
Nota Kuarantin 2.0
Pesan guruku yang sentiasa tersemat di hati

"Jangan berbicara hingga Tuhan yang membicarakanmu (menjadikanmu berbicara)"

Ia mungkin perlukan huraian yang panjang, mungkin juga bagi sesetengah orang ia dilihat pasif atau negatif.

Namun, ia untuk memahaminya, memerlukan suatu refleksi yang mendalam terhadap diri sendiri, kesedaran terhadap persekitaran dan prasangka yang jelas terhadap Tuhan.

Moga Allah pandu kita semua.
Kebenaran berada pada titik pertengahan antara dua titik keterpesongan

Perjuangan ulama ummah mengembalikan kesedaran dan kefahaman umat pada titik pertengahan itu dengan bijaksana dan saksama, meneliti baik buruk sesuatu keadaan, masa dan perihal individu atau masyarakat semasa.

Kadangkala ulama mengeluarkan pandangan yang sedikit lembut dan halus, mungkin dilihat terlalu lembut, bagi menarik kesedaran dan kefahaman umat yang terlalu keras dan rigid, bagi membawanya kepada titik pertengahan.

Begitu jugalah sebaliknya, jika keadaan umat terlalu lembut dan lebih kepada sikap pasif dan bermalas-malasan, maka gesaan ulama pada ketika itu harus dilihat lebih keras dan tegas, bagi membawanya kepada titik pertengahan.

Proses 'tarik tali' ini antara dua titik atau dua kutub yang bertentangan ini berlaku pada setiap bidang ilmu syariah, sepertimana ia juga berlaku pada peringkat tasawwuf dan akidah.

Akidah yang terlalu menurut logika akal hingga menghilangkan kekudusan wahyu akan menarik seseorang ke garis kelompok muktazilah dan qadariyah.

Demikian pula seseorang yang menghilangkan peranan akal akan menatijahkan cara fikir jahmiyah dan jabariyah.

Demikian juga dalam berinteraksi dalam ayat sifat, terlalu isbat hingga memberikan ruang akal dalam takyif akan membawa kepada tajsim, tasybih dan tamsil. Terlalu menafikan hingga menafikan apa yang Allah SWT sebut mengenai diri-Nya akan membawa kepada ta'thil.

Begitulah juga dalam perkara-perkara lain. Seruan untuk bersederhana adalah seruan untuk ummah kembali kepada jalan yang benar, tidak terpesong ke kanan atau ke kiri.

Namun yang lebih besar daripada itu, adakah para ulama bersedia untuk berbincang, dan bersepakat bahawa sudah di manakah beradanya titik ummah pada hari ini, hingga boleh ditarik samada ke kanan atau ke kiri, bagi melorongkannya kembali ke jalan kebenaran?

Itulah kerja yang lebih besar, iaitu menentukan letak duduk permasalahan hari ini, agar tidak mengulangi kitaran yang sama, dengan modal dan hujjah yang sama, mewarisi pergaduhan yang sama, hingga menenggelamkan kita daripada suatu projek yang sepatutnya kita usahakan bersama, memartabatkan kembali ummah ini di mata dunia?

Wallahua'lam bissawaab.

Sekadar renungan di malam hari.
Pandang ke depan, anakku.

Buat masa ini mungkin ayahmu masih boleh mengawal kuda ini, dan memastikan agar engkau tidak tersungkur.

Suatu masa nanti, engkau akan sedar, semuanya terletak pada kehendak dan keyakinanmu, samada mahu maju berlari, atau jatuh tersungkur.

Ketika itu, ayahmu hanya boleh memerhatikan dari jauh, doaku dari alam yang lain, agar dirimu dipelihara, dan benar-benar mempunyai hidup yang bermakna.

Pandang ke depan, anakku, tunjukkan kepahlawananmu.
Bagaimana ayah menjadi pelindung kepada anak-anak?

Sesi forum semalam saya sempat berkongsi mengenai satu perspektif Qurani dalam melindungi anak-anaknya, khususnya wanita.

1. Kesolehan ayah adalah salah satu faktor yang besar perlindungan Allah kepada anak-anaknya.

Ini kerana hakikat penjagaan adalah penjagaan Tuhan ke atas anak-anak kita. Segala yang datang secara alam lahiriah yang kita cerap ini hanyalah suatu gambaran keizinan dan kehendak Tuhan. Oleh itu, daripada hanya melihat aspek yang teknikal dan zahir, seorang ayah perlu melihat kerangka alam ini secara zahir dan batin.

Seorang ayah perlu melihat apa yang dia lakukan dalam kehidupannya mempunyai 'chain-reaction' ke atas kehidupan keluarganya, termasuklah anak-anaknya. Jadi permasalahan 'peribadi' si ayah, apabila sudah menjadi ketua keluarga, ia adalah permasalahan keluarga, bukan lagi permasalahan peribadi.

Jadi segala usaha secara teknikal dalam melindungi anaknya tidak boleh lari daripada usaha memperbaiki peribadi seorang ketua keluarga yang mana keputusannya, pandangannya, perangainya memberi kesan secara langsung kepada apa yang berlaku kepada keluarganya.

Ini adalah inspirasi daripada kisah dua anak yatim yang dijaga hartanya oleh Allah SWT, dek kerana kesolehan bapanya ketika beliau hidup, seperti di dalam Surah Al-Kahfi.

2. Semaikan benih tauhid dan keimanan pada anak-anak.

Ini adalah langkah pertama bagi anak-anak memulakan kehidupan, agar mereka melihat kerangka kewujudan ini dalam kerangka ketuhanan.

Agar mereka memahami tidak ada daya dan upaya dari kalangan makhluk untuk memberi manfaat atau mudarat, melainkan hanya dengan keizinan dan kehendak Allah semata-mata.

Benih tauhid yang subur akan membentuk muraqabah dan ihsan, merasakan mereka diawasi, dilindungi, dijaga, oleh Tuhan yang Maha Kuasa.

Dengan dzon yang begitu kepada Tuhan, perlindungan Tuhan padanya menjadi suatu perkara yang 'tabie' dan 'semulajadi', dari aspek kerohanian dan diterjemahkan ke aspek-aspek lain.

Ini diinspirasi daripada kisah Maryam AS apabila didatangi Jibril AS sebagai seorang lelaki untuk mengkhabarkan perihal kehamilannya terhadap Nabi Isa AS, beliau menjawab : "Sesungguhnya aku berlindung pada Ar-Rahman daripadamu, jika sekiranya engkau orang yang bertaqwa".

Ia juga kefahaman hadis Ibnu Abbas RA ketika kecil di mana beliau diajar oleh Rasulullah SAW : "Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu".

3. Ajari anak untuk berpegang pada syariat.

Perlindungan secara teknikal yang pertama perlu kita ajari anak kita adalah pematuhan kepada syariat agama. Ini kerana sekiranya akidah mempertahankan kita daripada kesyirikan dan kerosakan rohani dan akal, syariah akan mempertahankan kesejahteraan tubuh badan secara zahir (dan batin), serta memberi petunjuk kepada kehidupan yang sempurna.

Ini kerana syariat adalah ibarat akal yang berfikir di alam realiti, yang menentukan baik buruk perkara luaran yang kita tidak tahu. Bak kata Al-Imam Al-Ghazali RHM : "Syarak adalah akal di luar, sepertimana akal adalah syarak di dalam".

Ini diinspirasikan juga oleh kisah-kisah para anbiya' yang mengaitkan ketaqwaan kepada Allah SWT dan ketaatan kepada Rasul sebagai suatu bentuk perlindungan daripada azab dan bencana. Demikian juga sebagaimana istighfar dan kembali kepada-Nya akan menjemput rahmat-Nya secara zahir dan batin.

Dalam isu berpegang kepada syariat, ditekankan isu perhubungan berlainan jantina, isu pengasingan bilik, isu aurat, isu kehormatan dan seumpamanya. Semua ini ibarat kulit yang menjaga isi buah, dan ibarat baju besi yang melindungi jasad manusia.

Demikianlah sedikit sebanyak perkongsian mengenai perspektif Al-Quran dalam menanggapi bagaimana si ayah boleh menjadi pelindung kepada anak-anaknya.

Adapun aspek-aspek lain, seperti aspek psikologi, teknikal dan pemantauan, saya serahkan kepada mereka yang berkepakaran dan berkeahlian dalam bidangnya.

Wallahua'lam bissawaab.
Sekilas pandang terhadap konsert 'halal'

1. Melihat hukum Tuhan secara halal dan haram terhadap sesuatu, adalah suatu pandangan yang cukup mikro, berbanding melihat suatu 'trend', sistem atau budaya yang menghasilkan atau menatijahkan suatu perkara, itu lebih besar skop dan pandangannya.

2. Daripada sekadar 'menghalalkan' suatu perkara, yang mungkin boleh jadi sebagai salah satu jalan keluar daripada kemelut sedia ada, ada usaha jangka panjang yang lebih patut difikirkan dan dirancang bagi membentuk satu aliran, budaya dan 'trend' tertentu yang bukan sahaja menepati hukum-hakam syariah, tetapi juga menepati 'roh' dan tujuan syariah diturunkan.

3. Jika kita menganggap perkara ini sebagai penyelesaian sementara dan jalan keluar bagi situasi semasa, tidak mengapa. Tetapi menganggapnya sebagai penyelesaian akhir, ia suatu yang merugikan.

4. Kita memerlukan suatu perubahan, terhadap definisi-definisi yang kita sudah sedia terima hari ini. Definisi terhadap kehidupan, hiburan, pembelajaran, pendidikan, keluarga, kerjaya, politik dan hatta dalam kefahaman dalam beragama, kita memerlukan beberapa muhasabah terhadap apa yang kita lalui hari ini.

5. Sejauhmana ia benar-benar memberi keuntungan kepada apa yang syarak mahukan, atau pun kita hanya berada pada putaran yang sama, cuma ditukar nama kepada 'patuh syariah' semata-mata.

6. Syarak mahu kita menjadi manusia atas takrifan sebenar. Sebagai hamba, ia patuh dan tunduk kepada Allah SWT, dan sebagai khalifah ia memimpin dan membentuk urus tadbir yang benar-benar 'menggantikan peranan Tuhan' atas muka bumi ini.

7. Sudut pertama mudah dicerap atas konsep 'patuh syariah' dan hukum halal haram. Namun sudut kedua lebih memerlukan fokus dan penelitian, sejauhmana kita benar-benar menanggapi bahawa syariah itu hakikatnya mahu 'meng-insan-kan' manusia, menaikkan mereka menjadi suatu makhluk yang benar-benar mulia ?

"Acuan Allah, dan siapakah lagi yang lebih baik acuannya berbanding Allah ?" - Surah Al-Baqarah, ayat 138

Wallahua'lam bissawaab.
----
Ikuti catatan di www.tg-me.com/ustazsyamilesa
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi RHM mursyid kepada umat kurun ke-20

Bumi dunia berduka dengan pemergian sosok tubuh seorang mujtahid ummah, yang dengan ilmu dan panduannya, para duat, mujahidin, murabitin, ulama, serta keseluruhan umat Islam mendapat panduan dan inspirasi dalam menempuh kehidupan beragama dalam hidup penuh kompleks pada akhir zaman ini.

Cukup banyak karya penulisannya merungkai permasalahan fiqh dan tadayyun agar disesuaikan dengan permasalahan semasa dengan roh syariah dijadikan sebagai kiblat dalam setiap ijtihad dan fatwa yang beliau keluarkan.

Sumbangannya dalam dunia Islam tidak dapat disangkal, beliau tidak pernah mendiamkan isu Al-Aqsa, contoh isu boikot yang difatwakan beliau pada awal 2000, bahkan antara ulama yang sentiasa menjuarai isu ini, sejurus meletakkan beliau antara barisan hadapan dalam saf mujahidin dalam mempertahankan Al-Aqsa.

Penggabungan antara ilmu dan jihad wajar dijadikan inspirasi semua penuntut ilmu agama hari ini, agar perjalanan ilmu mereka, benar-benar selari dengan usaha pembinaan ummah fadhilah yang perlu dibangunkan.

Moga Allah merahmatimu, dan menggolongkanmu dalam kalangan para anbiya', syuhada' dan solihin.
Hiasan dunia dilihat cantik bagi orang kafir, dilihat hina di mata mukmin

Antara isi tadabbur yang saya sampaikan dalam sesi Kuliah Maghrib malam tadi selepas tahsin Al-Quran secara berjemaah, adalah ayat 212, surah Al-Baqarah.

"Telah dipercantikkan bagi orang kafir kehidupan dunia, dan mereka mengejek-ejek orang beriman (kerana tidak memperoleh apa yang mereka perolehi dalam kenikmatan dunia). Adapun orang yang bertaqwa itu berada di kedudukan atas mereka di hari kiamat kelak. Dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki tanpa sebarang hisab (perkiraan)"

Ayat itu - secara susunan Tuhan - menepati apa yang sedang dilalui umat Islam pada hari ini, iaitu perginya sosok tubuh mujtahid ummah pada hari Isnin lalu.

Syeikh Qardhawi RHM memilih untuk hidup dalam jihad dan hijrah, berbanding hidup dalam kemewahan dan kesenangan. Beliau memilih untuk bersama sahabatnya di penjara, berbanding kebebasan di luar jeriji besi itu. Beliau meletakkan naratif jihad dan pengorbanan sebagai tema kehidupan.

Sungguh, neraca Al-Quran hanya dapat ditegakkan di jiwa masyarakat apabila wujudnya manusia-manusia yang menghidupkannya, atau mewakafkan hidupnya untuk tujuan itu.

Selagimana jiwa dan hidup kita tidak dijadikan bahan utama dalam proses 'menegakkan agama' ini, selagi itu perjuangan ini akan hanya berlegar di ruang ceramah dan kata-kata retorik sahaja, tanpa pembinaan jiwa masyarakat yang hakiki.

Masyarakat perlukan qudwah dan contoh, bagi mereka melihat bahawa neraca Al-Quran itu adalah suatu yang praktikal, relevan, dan unggul dalam kacamata yang zahir.

Ia bukan sekadar penerangan dan propaganda, ia adalah sebuah definisi kehidupan yang berbeza, yang menjadi beza antara neraca kekufuran dan ketaqwaan.

Wallahua'lam bissawaab.
2024/11/17 07:56:57
Back to Top
HTML Embed Code: