Telegram Web Link
Berpuasalah seperti orang yang mahu diampunkan segala kesalahan.

Sebanyak mana dosa yang kau lakukan, setinggi itulah keimanan dan pengharapan yang diperlukan bagi menghapuskannya.

Setiap yang wujud dalam kejadian alam ini punyai sifir timbangan dan perkadaran yang tepat dan seimbang. Ia adalah salah satu sunnah kewujudan.

Begitulah juga dalam segala tuntutan syarak dan wahyu. Setiap yang wujud mempunyai satu neraca timbangan dan mizan yang bersesuaian, agar kesemuanya berjalan dengan penuh kelancaran dan keindahan.

Sepertimana ketetapan alam perlu berjalan dengan stabil, seimbang dan tidak terpecah-pecah, begitulah juga ketetapan syariah, ia juga perlu difahami dalam kerangka keseimbangan, kestabilan, dan tidak terpecah-pecah.

Jadi, jika kita gunakan kaedah ini di dalam kefahaman hadis : "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan secara penuh keimanan dan pengharapan pahala, maka dihapuskanlah segala dosanya yang telah lalu."

Ia bukan satu kefahaman magikal yang mana kita tidak mampu mencerna erti keimanan dan pengharapan pahala itu. Kegagalan kita mencerna hadis itu dengan kerangka 'mizan' tadi akan menjadikan kita menganggap ibadah berpuasa ini hanyalah seperti ibadah yang lain, hanya perlu cukup syarat berpuasa, dan ikhlaskan niat serta banyak berdoa.

Bagi saya ia bukan begitu. Sesungguhnya setiap kalimah yang dituturkan syarak pasti ada sebab yang boleh dicerna untuk dibina padanya satu kerangka kefahaman yang sejahtera, seimbang dan penuh taakul.

Kefahaman hadis itu perlu dilihat dalam rangka bahawa : Penghapusan dosa menuntut puasa dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala.

Yakni, ia adalah nisbah yang sama, timbangan yang sama, agar dosa itu mampu dihapuskan.

Pencernaan makna itu akan membawa kita kepada satu kesimpulan yang berbeza dengan kefahaman yang 'ringkas' dan 'mudah' yang difahami secara terpecah-pecah pada awalnya.

Ia membawa kepada satu jenis dan bentuk ibadah puasa yang dilakukan oleh orang-orang yang berdosa, yang benar-benar mengharapkan agar dosa-dosanya yang telah lalu dihapuskan.

Kita boleh ibaratkan sebagai seorang penjenayah yang sedang menebus jenayahnya. Setiap jenayah dia perlu melalui satu 'ujian' atau 'penebusan' agar dia berjaya untuk keluar daripada 'penjara'. Bayangkan sebagai seorang penjenayah yang telah lakukan satu jenayah yang besar, lalu dia diberikan 'peluang' untuk lakukan satu 'misi' bagi menebus kesalahannya, lalu dia boleh keluar bertemu dengan keluarganya dan orang yang tersayang.

Apa yang penjenayah itu akan lakukan ?

Ya, dia akan buat bersungguh-sungguh, dengan gaya dan keseriusan yang bersungguh-sungguh, kerana dia tahu, itulah harga bagi sebuah kebebasan.

Sekarang, mari kita letakkan diri kita dalam kandang penjenayah itu.

Apa yang akan kita lakukan ?

Sudahkah kita menyedari, betapa besarnya harga sebuah penghapusan dosa itu ?

Ataupun kita masih lagi ... bersahaja dan berpada dengan semata-mata 'Sahaja aku berpuasa' ?

"Katakanlah (Wahai Muhammad) adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui ? Sesungguhnya yang mengambil peringatan hanyalah orang-orang yang berakal" - Surah Az-Zumar, ayat 9

Wallahua'lam.
Apabila bahasa tidak lagi mampu menggambarkan sebuah rasa ...

Yang wujud hanyalah zikir dan tasbih kepada Yang Maha Esa.

Itulah hakikat sebuah putaran kewujudan, yang berenang dalam lautan ilmu Tuhan.

Tiada ungkapan yang selayaknya untuk mentakbir ...

Yang hanya layak terungkap hanyalah kalimah seringkas zikir.

Tasbih dan zikir yang meringkaskan erti kewujudan.

Yang mewakili sebuah keyakinan dan kesedaran, dalam mengungkap makna dan keagungan.

Mungkin ketika itulah ... tasbih itu benar-benar memberatkan mizan.

Kerana di sebalik kalimah yang kecil, terkandung begitu besar sebuah makna dan intipati kewujudan.

"Bertasbih kepada-Nya seluruh tujuh petala langit, dan bumi, serta apa-apa yang berada di dalamnya, dan tiadalah suatu pun melainkan sedang bertasbih memuji-Nya, hanya cuma kamu tidak memahami tasbih mereka" - Surah Al-Israa', ayat 44

Subhanallah wa bihamdihi, Subhanallahil Azim.

Wallahua'lam.
Antara kunci kefahaman dalam kehidupan.

Fahamilah Al-Quran dalam kerangka Al-Fatihah, kerana Al-Fatihah adalah kesimpulan Al-Quran.

Fahamilah kewujudan dalam kerangka Al-Quran, kerana Al-Quran adalah kesimpulan kewujudan.

Jadi, fahamilah kewujudan dalam kerangka Al-Fatihah.

Agar hidup kita sentiasa dibayangi kerangka Al-Quran, dan sentiasa dinaungi hakikat 'Solat'.

Suatu hari Abu Musa Al-Asy'ari RA mengetuk pintu Saidina Umar Al-Khattab RA selepas waktu Isyak. Perihal para sahabat RA persis dengan saranan hadis iaitu tiada 'perbualan' dan 'perkara-perkara biasa / harus' selepas Isyak kerana waktu itu adalah waktu tidur (agar boleh bangun pada waktu sepertiga malam).

Saidina Umar RA berkata : Apa yang menjadikan kau datang pada waktu malam ini ?

Abu Musa Al-Asy'ari RA menjawab : Ini adalah urusan 'fiqh'.

Lalu Umar RA pun membuka pintu dan mereka berbincang hingga nak masuk waktu Subuh.

Abu Musa RA memberitahu Umar RA untuk mengambil sedikit masa untuk menunaikan solat (berqiamulail) sebelum masuk waktu Subuh.

Umar RA menjawab : Wahai Abu Musa, bukankah kita (hakikatnya) sedang di dalam Solat ?

Perhatikan bagaimana Umar RA membesarkan makna hakikat Solat, dan bagaimana Umar RA sendiri merasakan bahawa dirinya di dalam solat, walaupun beliau sedang berbincang perihal fiqh dengan sahabatnya.

Demikianlah kefahaman yang seharusnya kita pegang dalam urusan seharian, bahawa kita sedang berada di dalam kehidupan yang sedang menjelaskan makna-makna Al-Quran, dan menterjemahkan hakikat-hakikat Solat.

"Dan langit itu Kami bina ia dengan tangan-tangan (kekuasaan Kami), dan Kami jugalah yang meluaskannya" - Surah Adz-Dzariyat, ayat 48

Sepertimana Dia meluaskan langit ... hakikatnya Dialah juga yang meluaskan makna-makna dalam Al-Quran.

"Sesungguhnya Kami telah mudahkan Al-Quran untuk dijadikan peringatan, maka tiadakah lagi orang yang mahu mengambil peringatan ?" - Surah Al-Qamar, ayat 22

Wallahua'lam bissawab.
InsyaAllah, saya akan ke udara di TV Pertiwi hari ini, jam 6.30 ptg.
Al-Quran mengajar manusia berfikir secara bersepadu, dan bertindak secara bersepadu

Al-Quran adalah kalamullah yang mengajar manusia untuk berfikir secara bersepadu. Sama ada kesepaduan luaran antara hubungan manusia, alam dan Tuhan, atau kesepaduan dalaman manusia antara roh, akal dan jasad, atau kesepaduan dimensi iaitu dimensi dunia dan akhirat.

Setiap yang tercatat dalam Al-Quran merupakan sebuah rantaian kesepaduan yang nyata pada setiap elemen yang ada bagi menstabilkan ekosistem kewujudan.

Ambil contoh kisah-kisah para anbiya' yang diceritakan. Di sana ada elemen kerohanian, juga elemen perjuangan, juga elemen sentimental kejiwaan, dan elemen ketinggian ilmu serta keluhuran budi. Cuba telusuri semua kisah-kisah para anbiya', kita akan dapati ianya cukup seimbang dan bersepadu.

Contoh lain adalah kisah penciptaan langit dan bumi. Al-Quran akan menceritakan gambaran kehebatan penciptaan langit dan bumi, tetapi bukan itu sahaja, ia juga membawa gambaran taklif dan tanggungjawab yang kebiasaannya akan terpancar sejurus selepas penceritaan langit dan bumi, lalu kadang-kadang dibawa kepada gambaran hari akhirat, dan kadang-kadang dibawa pula perumpamaan hakikat dunia untuk dibandingkan dengan akhirat.

Contoh lain pula adalah penciptaan manusia. Gambaran penciptaan manusia sebagai penciptaan terbaik, yang melalui 7 tingkatan penciptaan, untuk ditundukkan baginya segala yang ada di 7 petala langit dan 7 petala bumi, disepadukan dengan gambaran tanggungjawab sebagai seorang 'wakil Allah' di atas muka bumi ini, dan digambarkan pula musuhnya yang nyata iaitu Iblis dan kuncunya bagi menjelaskan bahawa tiada perkara yang percuma, setiap anugerah pasti ada tanggungjawab dan tugasannya.

Demikianlah roh Al-Quran yang terpancar pada segenap sudut dalam isi dan intipatinya. Mungkin dengan itu baharu kita boleh fahami dengan jelas ... bahawa ia adalah kitab yang diturunkan daripada Tuhan sekalian alam, untuk manusia .. yang bertanggungjawab .. juga terhadap sekalian alam.

"Sesungguhnya Kami menawarkan amanah (tanggungjawab) kepada langit, bumi dan gunung ganang, lalu mereka (langit, bumi dan gunung ganang) itu enggan untuk memikul amanah, dan amanah itu dipikul oleh manusia, sesungguhnya manusia itu zalim lagi jahil" - Surah Al-Ahzab, ayat 72

Wallahua'lam bissawaab
https://www.facebook.com/syamil.esa/videos/2971448786269423/

Graviti Rohani dalam Al-Quran, dan perkaitannya dengan kefahaman Lailatul Qadr
Oleh : Ustaz Syamil Esa
Al-Quran yang menuntun cerminan insan

Anggaplah ia sebagai surat cinta daripada kekasih, maka ia akan menjadi kekasihmu.

Anggaplah ia sebagai preskripsi daripada doktor, maka ia akan mengubatimu.

Anggaplah ia sebagai guru, maka ia akan mengajarmu.

Anggaplah ia sebagai teman, maka ia akan menemanimu.

Anggaplah ia sebagai ketua, maka ia akan memandumu.

Anggaplah ia sebagai penghibur, maka ia akan menghiburkanmu.

Anggaplah ia sebagai apa sahaja ... ia akan jadi perkara itu.

Benar, oleh kerana ia adalah kalam Tuhan, maka ia akan memantulkan sangkaan kita pada diri kita, bersesuaian dengan tahapan kita dan diri kita.

Bukankah Tuhan menyebut : "Aku adalah pada sangkaan hamba-Ku terhadapku"

Wallahua'lam bissawaab.
Bicara Syariah hari ini

"Manhaj Al-Quran dalam Pensyariatan Hukum"

Oleh : Ustaz Syamil Esa

Jam 2 petang di LIVE Facebook Majlis Ulama ISMA

Jemput tonton seisi keluarga !
Pandangan mengenai doa qunut yang panjang.

Secara asasnya doa qunut dalam witr adalah warid dalam hadis-hadis yang sahih.

Secara asasnya juga, setiap perbuatan dalam solat adalah tempohnya hampir berdekatan, ibarat satu irama yang sama. Ertinya jika panjang berdirinya, maka akan panjanglah rukuk dan sujudnya. Ini adalah yang warid daripada sunnah Rasulullah SAW daripada hadis Huzaifah Al-Yamani RA yang menyifatkan qiamullail Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa panjang rukuknya menghampiri berdirinya dan sujudnya juga begitu.

Saya juga mengakui ada banyak ulamak yang memakruhkan pembacaan qunut yang panjang, dan apabila diteliti pandangan-pandangan itu, antara sebabnya adalah ia membebankan makmum yang mengikutinya.

Guru saya juga ada berpendapat bahawa doa Qunut sepatutnya sepanjang surah Al-Fatihah sahaja, agar 'maqasid' solat itu tidak bertukar, daripada qiam kepada doa qunut. Maka dia menyifatkan memanjangkan doa qunut itu sebagai satu bentuk bid'ah.

Apabila meneliti pandangan-pandangan dan asas di atas, berikut adalah pandangan saya :

Saya berpandangan bahawa doa qunut yang panjang boleh dilakukan sekiranya :

1. Bacaan dalam solat juga panjang, setara dengan panjangnya doa qunut. Ia agar menyelarikan tempoh gerakan kita dalam solat, bersesuaian dengan sifat qiamullail Rasulullah SAW.

2. Seeloknya ia dibaca dalam solat berseorangan, jika berjemaah maka ia hendaklah tidak membebankan makmum. Jika berjemaah, maka makmum perlu diberitahu mengenai qunut yang akan dibaca adalah panjang, agar mereka benar-benar bersedia, dan tidak perlu duduk kerana penat semata-mata menahan kaki untuk berdoa bersama imam. Ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang melarang Muadz bin Jabal yang membaca surah Al-Baqarah dalam solat zohor kerana membebankan manusia.

3. Tidak menjadikan ia sebagai tabiat kebiasaan yang menjadikan ia dilihat sebagai 'sebahagian' daripada ibadah solat witr, hingga boleh dilihat sebagai bid'ah dalam solat. Ini bagi mengelakkan bertukarnya tujuan utama solat, daripada bermunajat kepada Allah dalam bentuk solat yang utama iaitu berdiri, rukuk dan sujud, kepada bentuk 'doa qunut' sahaja.

Wallahua'lam.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Kebersamaan Al-Quran adalah pintu syurga di dunia

Kemanisan bulan Ramadan mengajar kita bahawa antara tujuan utama menghafal Al-Quran adalah untuk boleh membaca keseluruhan Al-Quran di dalam munajat kepada Yang Menurunkan Al-Quran.

Bila Al-Quran sudah di dalam dada, ke mana sahaja perginya dia boleh bermunajat kepada Tuhan, pada bila-bila masa dan ketika.

Mungkin inilah syurga yang disebut oleh Ibnu Taimiyah RHM ; "Sesungguhnya di dunia ini ada sebuah syurga, siapa yang tidak memasukinya, tidak akan memasukinya di akhirat".

Beliau juga menyebut : "Apa yang musuhku boleh lakukan kepadaku ? Syurgaku dan tamanku di dalam hatiku. Jika mereka memenjarakanku, maka ia adalah khulwah (menyendiri dengan Allah), jika mereka mengusirku maka ia adalah siyahah (berjalan-jalan), jika mereka membunuhku maka ia adalah syahadah (mati syahid)".

Moga Ramadan dilalui, dengan diampunkan segala dosa, dan tumbuhnya sebuah taman yang mekar dalam hati-hati kita.

Wallahua'lam bissawab.
Carilah Lailatul Qadr dalam dirimu, ia akan datang mencarimu pada malam itu.

Benar, setiap ganjaran ada ahlinya dan ada pra syaratnya.

Ganjaran sebesar Lailatul Qadr hanya diperoleh oleh orang yang benar-benar layak.

Sepertimana Allah tidak akan memberi dugaan kepada manusia melainkan sesuai dengan kemampuannya, demikian juga Allah hanya memberi ganjaran kepada manusia sesuai dengan kelayakannya dan ihsan-Nya.

Sebelum kita mencari Lailatul Qadr pada malam-malam akhir Ramadan, sudahkah kita bertanya diri kita,

Adakah kita ini sudah menjadi 'Ahli Lailatul Qadr'?

"Sesungguhnya tiadalah bagi manusia melainkan apa yang dia usahakan. Dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan. Kemudian dia akan dibalas dengan balasan yang setimpalnya" - Surah An-Najm, ayat 39-41

Wallahua'lam bissawab
LIVE saya sebentar tadi di facebook.

(bermula daripada minit ke-5)

Tajuk : Bagaimana mendapat pelepasan dari Api Neraka ?

https://www.facebook.com/watch/live/?v=241953483745716&ref=watch_permalink
[Forwarded from PEMIKIR (Channel)]
[ Photo ]
[E-BUKU PERCUMA SEMPENA AIDILFITRI]

"TADABBUR 30 AYAT AL-QURAN MEMBANGUN PERADABAN ISLAM"

Buku ini merupakan cetusan idea daripada kami untuk kembali mengangkat Al-Quran sebagai teras di dalam wacana peradaban. Hakikatnya Al-Quran adalah kitab peradaban dan Islam pula adalah risalah peradaban.

Layari link Post FB ini untuk anda dapatkan langkah muat turun:

https://web.facebook.com/photo?fbid=131259868562350&set=a.112005180487819

Selamat Membaca!
Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Moga Allah menerima amalan kita di bulan Ramadan, dan menemukan kita di bulan Ramadan pada tahun-tahun mendatang.
Maaf Zahir dan Batin

Daripada :

Ustaz Syamil Esa sekeluarga
Rahmat Ar-Rahman dalam Setiap Kewujudan

Allah SWT memulakan surah Ar-Rahman dengan nama-Nya yang tidak boleh dinisbahkan kepada mana-mana makhluk yang lain, iaitu Ar-Rahman.

Ar-Rahman memberi erti Yang Maha Mengasihi, dengan kasih tanpa syarat. Berbeza dengan Ar-Rahim, yang bererti Yang Maha Menyayangi, yakni sebuah kasih sayang kepada hamba-Nya yang beriman dengan-Nya.

Pendek kata, rahmat dalam nama Ar-Rahman memberi erti rahmat yang melimpahi semua makhluk-Nya. Rahmat dalam nama Ar-Rahim memberi erti rahmat yang khusus untuk hamba-Nya yang beriman.

Atas sebab itu ada sebahagian mufassirin mengatakan Ar-Rahman itu untuk semua, Ar-Rahim itu khas untuk orang beriman. Ini kerana Ar-Rahman bererti Yang Bersifat dengan Penuh Kerahmatan, Ar-Rahim pula bererti Yang Menyayangi.
Memang benar, rahmat Allah meliputi semua hatta orang kafir sekalipun, tetapi Allah hanya mengasihi dan menyayangi orang beriman.

Memahami nama-nama Allah SWT yang teliti dan spesifik mampu memberitahu kita sedikit sebanyak mengenai sifat-sifat Allah sepertimana yang disebutkan oleh-Nya.

Setiap nama-nama itu walaupun secara mata kasar seolah membawa maksud yang hampir, tetapi ia berbeza pada hakikatnya. Seperti nama Ar-Rahman dan Ar-Rahim, kedua-duanya membawa maksud umum bahawa Dia Maha Mengasihi dan Mengasihani, tetapi pada sudut bahasa Arab ia berbeza.

Kembali kepada surah Ar-Rahman, yang dimulakan dengan nama-Nya, iaitu Ar-Rahman.

Secara pandangan umum, kita boleh lihat bahawa surah ini banyak menceritakan mengenai kejadian alam, diselangi dengan ayat 'Maka yang mana satukah nikmat Tuhanmu yang kamu berdua (jin dan manusia) boleh dustakan ?' sebanyak 31 kali.

Ia bermula dengan kenyataan bahawa Dia mengajarkan Al-Quran, seterusnya menciptakan insan dan mengajarkannya 'al-bayan' yakni keterangan (ada pandangan mengatakan ia adalah percakapan dan cara penerangan).

Lalu ia masuk kepada penciptaan langit dan bumi, terbit dan terbenamnya matahari, apa yang ada di dalam laut, serta di atas langit dan seumpamanya.

Setelah itu ia masuk ke penceritaan alam akhirat, ahli neraka yang diseret ubun-ubunnya, dan ahli syurga dan nikmat-nikmatnya yang cukup detail, hinggalah ke akhir surah, diakhiri dengan 'Maha Suci nama Tuhanmu Yang Mempunyai Ketinggian dan Pemuliaan'.

Ia adalah satu kesimpulan, dan beberapa penerangan.

Kesimpulan kepada kewujudan dari beberapa sudut.

Dari sudut zat kewujudan, dalam erti kata lain, ia bermula dengan Tuhan, dan berakhir dengan Tuhan.

Dari sudut taklifi yakni kebertanggungjawaban di hadapan Tuhan :

Ia adalah 'tawajjuh (menghadapkan diri) kepada Allah SWT yang memberikan rahmat-Nya tidak putus-putus sejak alam dunia hingga ke akhirat'. Ini dijelaskan dalam pengulangan ayat tadi sebanyak 31 kali (Nikmat Tuhanmu yang manakah engkau dustakan).

Bahkan setiap ayat itu walaupun diulang 31 kali, bukanlah pengulangan serupa dan saranan yang serupa. Bagi saya ia adalah satu saranan baharu, bagi sebuah nikmat yang baharu. Ia ibarat satu bentuk lingkaran kesyukuran yang perlu diluaskan, selaras dengan luasnya nikmat yang dilimpahkan.

Dari sudut nilai kewujudan :

Ia bermula dengan ketinggian kedudukan Al-Quran, dan penciptaan manusia. Yang datang selepas itu adalah huraiannya, berupa penciptaan langit dan bumi, bulan dan matahari, dan seumpamanya.

Dari sudut dimensi kewujudan :

Ia bermula dengan dimensi penciptaan, dimensi dunia, dan diakhiri dengan dimensi akhirat. Cukup jelas bahawa dimensi dunia hanya diperlihatkan dalam kira-kira 1/3 surah, manakala dimensi akhirat pula melebihi 1/3 surah yakni melebihi kadar penceritaan dimensi dunia.

Saya yakini bahawa setiap bilangan ayat dan jumlah tertentu itu mewakili 'portion' tertentu dalam aspek kepentingan dan keutamaan.

Dari sudut ketamadunan :
Aspek ketamadunan ini jelas dalam gambaran kesempurnaan penciptaan. Yakni Dia mencipta makhluk-Nya, dan memberikan panduan untuk hidup (Al-Quran dan Al-Bayan). Memberikan sokongan untuk hidup iaitu diciptakan untuk manusia itu segala penciptaan langit dan bumi. Lalu diajarkan pula bahawa di sana ada kehidupan dunia dan kehidupan akhirat, sambil diselang-selikan dengan konsep kesyukuran yang memberi erti 'kewajipan yang setimpal' dengan nilaian rahmat-Nya dalam segenap aspek dalam pemberian-Nya.

Dalam mencipta ketamadunan, dibayangkan pula nikmat syurga dan seisinya, seolah-olah memberi isyarat bahawa inilah nikmat teragung yang akan dicapai di akhirat, yang memberi erti inilah sepatutnya cerminan ketinggian tamadun di dunia.

Manusia dengan neraca kesyukuran ini akan mampu membina sebuah bentuk kehidupan yang agung, kerana landasan 'syukur' itu akan sentiasa menjadikannya selamat kerana ia mengekalkannya dalam posisi 'perhambaan' dan tidak akan memindahkannya kepada posisi 'mengaku jadi Tuhan'.

Dari sudut psikologi manusia pula :

Saya suka untuk mencerap dan menganggap bahawa surah ini sedang membawa kita untuk melihat kewujudan ini dalam kerangka 'Ar-Rahman'.

Setiap kejadian alam ia bukanlah semata-mata satu kejadian yang cantik dan sempurna, ia adalah sebuah manifestasi rahmat-Nya yang terpancar dalam segala keindahan, kesempurnaan, kecantikan, dan kasih sayang.

Kebanyakan perbahasan aspek Tuhan yang dibahaskan oleh selain Al-Quran, tidak menceritakan aspek Tuhan yang mencipta alam ini mempunyai sifat-sifat kasih sayang yang cukup tinggi.

Hasil daripada perspektif itulah manusia akan hanya melihat Tuhannya sebagai sebuah objek yang mempunyai kuasa terhebat, tetapi tiada kasih sayang, lemah lembut, memberi peluang, memahami, dan seumpamanya.

Lalu jadilah ia manusia yang memusuhi Tuhannya, atas kejahilan dirinya sendiri terhadap Dia.

Kefahaman kita terhadap kewujudan perlu dilandasi sifat rahmah-Nya, lalu kita akan menghargai setiap yang kita lalui dalam hidup ini, bahawa kita sentiasa dilimpahi kasih sayang dan penjagaan-Nya.

(Namun ini tidak pula menjadikan kita tempang dengan kefahaman terhadap keadilan-Nya hingga kita selesa dan rasa boleh buat apa saja. Namun di sini bukanlah ruangan perbahasannya.)

Hamba yang hidup dalam dakapan dan kasih sayang Tuhan, cukup berbeza dengan hamba yang membayangkan bahawa Tuhan (atau objek itu dalam bayangannya) sedang berdendam dan menanti-nanti bilakah masa untuk menghukumnya.

Mereka mungkin melalui satu kehidupan yang sama, hakikatnya mereka itu melihat sebuah kewujudan dalam rangka yang berbeza.

Yang pertama hidup bersama Tuhan, yang kedua hidup tidak bertuhan.

Jika kita rasa kita sudah hilang arah, lihatlah surah ini, moga-moga kita sedari, bahawa kita sedang menikmati kasih-sayang-Nya.

Sepertimana Dia menciptakanmu dengan segala kesempurnaan nikmat-Nya, seperti itulah selayaknya engkau syukuri nikmat-Nya.

Atau,

Seperti itulah selayaknya, engkau memandang-Nya.

Agar engkau mengetahui bahawa :

"Dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu" - Surah Al-A'raaf

Wallahua'lam bissawaab.
2024/11/18 15:38:30
Back to Top
HTML Embed Code: