Telegram Web Link
Al-Quran dan Cahaya

Live facebook, jam 3 petang.
Hari ini. InsyaAllah.

Wallahua'lam
Bagi sesiapa yang mahu menonton live facebook saya tadi, berkenaan Al-Quran dan Cahaya, boleh lihat dalam pautan berikut.

https://www.facebook.com/syamil.esa/videos/2894157207331915/

Wallahua'lam bissawab.
Ilmu yang dicapai dari perspektif ilmu Tuhan, dan ilmu yang dicapai secara perspektif sendiri.

Pencarian hakikat dengan kerangka sendiri, memerlukan tempoh yang panjang. Ia melibatkan kajian lapangan, percubaan dan kegagalan, ujikaji berkali-kali hingga sampai kepada 'hakikat kebenaran'.

Pencarian hakikat dengan kerangka Tuhan, tidak memerlukan masa. Ia semudah soal dan jawab. Kita tanya kepada Tuhan, Dia memberi jawapan. Ini kerana Tuhan tidak terikat dengan masa, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu.

Itulah perbezaan seseorang yang mencari hakikat 'bagaimana Allah menghidupkan yang mati', antara seseorang yang lalu ke sebuah kampung, dan seorang Rasul Ulul Azmi, Ibrahim AS yang bertanya kepada Tuhannya.

Seorang menghabiskan tempoh 100 tahun, seorang lagi hanya beberapa ketika sahaja, hanya membawa kepada hakikat yang sama, 'memahami kuasa Allah SWT dalam menghidupkan yang mati'.

Beberapa kefahaman daripada isyarat ayat 259-260, Surah Al-Baqarah.

Sudah berapa banyak masa kita gunakan, hanya semata-mata kita tidak menemui kunci ilmu ini ?

"Apabila bertanya, tanyalah Allah" - Hadis Sahih

Wallahua'lam bissawaab.
Tempoh PKP adalah tempoh yang Allah susun untuk kita, untuk Dia.

"Engkau menghendaki agar engkau beruzlah (jauh dari manusia) sedangkan Allah sedang memposisikanmu dalam alam asbab (duduk dengan manusia), itu adalah tanda engkau ada syahwat yang tersembunyi.

Adapun jika engkau menghendaki agar engkau di posisi alam asbab, sedangkan Allah sedang memposisikanmu dalam uzlah, itu adalah penurunan dari cita-cita yang tinggi" - Ibnu Atha'illah As-Sakandari

Saya berkata :

Lihatlah kehendak-Nya pada setiap posisimu, agar engkau menjadi hamba yang mutlak, tidak terikat pada mana-mana posisi, dalam menunaikan hak-hak Ketuhanan.

Apabila kita mula melihat kepada kehendak kita, ia adalah pintu-pintu kepada nafsu dan syaitan, agar kita tidak membulatkan tauhid 'kemahuan', hanya kepada apa yang Dia tentukan.

"Dan Allah itu mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui" - Surah Al-Baqarah, ayat 216

Wallahua'lam bissawab.
'Manazil Al-Hayah fi Zilalil Quran'

Peringkat kehidupan di dalam bayangan Al-Quran.

Mula-mula ...

Hidup di dalam bayangan Al-Quran.

Lalu ...

Al-Quran di dalam bayangan kehidupan.

Akhirnya ..

Al-Quran adalah sebuah kehidupan.
Dan kehidupan adalah sebuah terjemahan Al-Quran.

Moga Allah jadikan Al-Quran sebagai taman bunga di hati-hati kita.

Ameen.
Keyakinan yang membuahkan keajaiban, menerobos sempadan kebiasaan.

Suatu hari dikatakan kepada Nabi Isa AS ;

Bagaimana engkau boleh berjalan di atas air ?

Lalu Nabi Isa AS menjawab : Dengan keyakinan.

Lalu beliau ditanya, bagaimana keyakinan itu ?

Nabi Isa AS bertanya kepadanya : Apakah pandanganmu, jika engkau melihat batu, tanah liat, dan emas, adakah berbeza di sisi kamu ?

Lalu dia menjawab : Ya, sudah pasti.

Nabi Isa AS membalas : Adapun ketiga-tiganya di sisiku sama sahaja.

- Kitab Az-Zuhd, Imam Ahmad bin Hanbal

Saya berkata :

Manusia biasa akan terikat dengan apa yang dirasakan, apa yang dilihat, dan apa-apa yang boleh dicerap melalui pancaindera mereka. Pada mereka segala perkara fizikal adalah berlandaskan sebab dan musabbab, berlandaskan undang-undang saintifik yang mereka pelajari dalam buku, sekolah, universiti, dan pengalaman hidup mereka sendiri.

Adapun manusia yang mengenal Tuhannya, mengetahui dengan jelas bahawa segala yang ada dalam alam ini semuanya tertakluk kepada kehendak dan kemahuan Allah SWT.

Mereka melihat dengan kerangka Tuhan bahawa tiada apa yang boleh terjadi melainkan dengan kehendak dan kemahuan Tuhan. Mereka melangkaui garis dimensi masa dan tempat hingga boleh memahami penerobosan kehendak Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu tanpa sebarang syarat dan sempadan.

Oleh kerana itu perumpamaan yang disebut oleh Nabi Isa AS hanyalah salah satu simptom kefahaman yang terhasil daripada sebuah keyakinan yang tinggi.

Ya, di sisi manusia yang terikat dengan dunia, batu dan tanah liat sudah pasti tidak sama nilainya dengan emas. Dengan emas boleh membeli segala macam perkara, jauh sekali harganya berbanding batu dan tanah liat.

Namun di sisi Allah SWT, segala yang ada itu tiada nilainya, jika tidak diberikan nilainya oleh Allah SWT.

Demikianlah hasilnya, apabila manusia terikat dengan sebab musabbab, mereka akan tenggelam. Adapun sesiapa yang terikat dengan Tuhan sebab dan musabbab, mereka akan dijaga oleh Tuhannya.

Itu hanyalah sedikit penerangan, daripada kefahaman hadis Qudsi : "Aku di sisi sangkaan hamba-Ku"

"Bukankah balasan kepada ihsan, adalah ihsan ?" - Surah Ar-Rahman, ayat 60

Wallahua'lam bissawaab.
"Dengarlah Al-Quran, sepertimana ia diturunkan"

Sempena menyambut Ramadhan lebih kurang dalam minggu depan, saya nak ajak sahabat dan kenalan saya untuk mendengar bacaan Al-Quran sepenuhnya oleh seorang syeikh daripada Mesir, Syeikh Ridha Abdul Muhsin, imam besar Masjid Al-Arqam di Makram Abeid, Madinat Nasr, Kaherah.

Saya pasti setiap daripada kita ada imam yang disukainya secara peribadi. Namun ini hanyalah penilaian peribadi kerana tilawah yang khusyuk oleh beliau ketika tahajjud lebih tinggi nilai 'ruhaniyat'nya berbanding ketika solat terawih.

Bacaan ini adalah rakaman bacaan ketika beliau mengimamkan solat tahajjud pada tahun 2018, di salah sebuah masjid di Tajammuk Khamis, di New Cairo.

Untuk makluman, beliau mengkhatamkan Al-Quran sebanyak dua kali untuk tahajjud pada setiap Ramadhan, yakni membaca 2 juzuk satu malam untuk tahajjud, dan mengkhatamkan sekali pada solat terawih yakni lebih kurang 1 juzuk satu malam. Secara purata, beliau membaca 3 juzuk (berseorangan) untuk satu malam sebagai imam kepada makmum yang lain.

Ini adalah link channel telegram untuk rakaman beliau.

https://www.tg-me.com/syeikhredhaabdulmuhsin

Moga Allah membuka pintu hati kita untuk menerima Al-Quran, dan memahami Al-Quran sepertimana ia diturunkan.

Ameen.
Menyelami setiap kisah Al-Quran akan membetulkan halatuju hidup kita

Apabila kita meneliti setiap kisah-kisah yang Al-Quran paparkan, ketahuilah ia hanyalah 'plot-plot' terpenting dalam kisah tersebut, bukan semua plot, atau semua cerita.

Pendek kata, Allah membiarkan kita untuk menemui dan menghidupkan plot-plot itu di dalam jiwa kita apabila kita meneroka setiap detik-detik itu dan cuba membayangkan diri kita berada pada setiap peristiwa yang ada.

Contoh kisah dakwah Nabi Nuh AS, perihal dakwah kepada kaumnya hanya diceritakan melalui beberapa ayat sahaja, berupa usaha dakwah secara sulit dan terang-terangan, beberapa seruan tertentu dalam dakwah tauhid, kemudian beberapa episod penentangan dan perdebatan, hinggalah beliau AS diwahyukan untuk membina kapal, lalu terjadi banjir besar yang menenggelamkan seluruh penduduk dunia. Dalam peristiwa banjir besar, Allah SWT rakamkan plot sedih antara Nabi Nuh AS bersama anaknya yang tidak ikut serta menaiki kapal yang dibina oleh ayahnya sendiri. Kemudian dialog Nabi Nuh AS kepada Allah SWT pada penghujungnya.

Kita boleh baca kisah itu dalam beberapa ketika, mungkin tak sampai satu jam kita dah habis semua yang Al-Quran cerita mengenai Nabi Nuh AS bersama kaumnya, dalam pelbagai surah.

Namun hakikatnya, kehidupan dakwah Nabi Nuh AS adalah 950 tahun. Adakah kita boleh bayangkan betapa panjangnya perjuangan beliau AS ? Bagaimana beliau mengurus hidup, keluarga, peranan dalam masyarakat, tanggungjawab terhadap pendidikan anak dan isteri, serta projek dakwah yang beliau rancang ?

Ya, ia tidak perlu Tuhan rakamnkan satu persatu. Ia hanya mampu difahami oleh orang yang membawa misi Nabi Nuh AS, agenda yang sama, perasaan yang sama, jiwa yang sama, ujian yang sama, cabaran dan tentangan yang sama ... serta kehidupan yang sama.

Setiap anbiya' mempunyai sisi-sisi 'sentimental' yang tersendiri, yang tidak dapat kita bayang betapa pilu dan sedihnya mereka menghadapi ujian dakwahnya, yang tidak dapat kita fahami betapa sayunya hati mereka apabila mereka tidak dapat menyelamatkan anak sendiri, isteri sendiri, ayah sendiri daripada kesesatan.

Ya, ia memerlukan kita untuk menggambarkan, membayangkan, dan meletakkan diri kita dalam posisi itu, dengan kehidupan itu, dan dengan keyakinan dan husnuzon yang tinggi kepada Tuhannya.

Apabila kita fahami bagaimana kita hidup dalam kisah-kisah Al-Quran, barulah baru kita boleh sedikit sebanyak memahami bahawa ... Al-Quran itu diturunkan untuk kita, ya, setiap seorang daripada kita, secara peribadi, sejak dari kita lahir, hingga kita bertemu Tuhan.

Tidakkah ketika di syurga, tingkatan syurga kita ditentukan oleh ingatan kita terhadap Al-Quran ? Kita akan berhenti pada tingkatan syurga, berkadaran dengan ayat terakhir yang kita baca pada hari itu.

Ya, rupanya Al-Quran adalah neraca dan nilai harga diri kita, di dunia, hingga ke syurga dan bertemu Pencipta.

"Sesungguhnya Al-Quran menunjuk kepada jalan yang paling tepat, dan memberikan khabar gembira kepada orang beriman yang beramal soleh bahawa mereka memperoleh ganjaran yang besar" - Surah Al-Israa', ayat 9

Wallahua'lam bissawaab.
Kelas Daurah dalam talian

InsyaAllah malam ini saya akan ke udara secara langsung di channel youtube : Universiti Tarbiyah

Tajuk : Menghayati Al-Quran dalam Bulan Al-Quran : Beberapa Ibrah Tadabbur dan Kaedah

Waktu : 9 malam - 10.30 malam

InsyaAllah

Link channel youtube : https://youtube.com/channel/UCA0-pxtmwB2WxfkMoHjKbFQ

Wallahua'lam bissawab.
Al-Quran memendekkan masa memahami kewujudan

Sepertimana Al-Quran meringkaskan kewujudan, lalu dengan neraca Al-Quran kita fahami kewujudan.

Demikian juga, hanya dengan bahasa Al-Quran baru kita fahami apa itu ilmu.

Tanpa bahasa Al Quran, kita akan melalui jalan yang panjang ..... dalam melalui satu perjalanan mengenali sedikit cebisan ilmu Allah SWT.

Sepertimana Al-Quran memendekkan masa, demikian juga bahasa Al-Quran mampu memendekkan masa.

Ini kerana hanya bahasa yang mukjizat, mampu mengungkap sebuah mukjizat.

Wallahua'lam bissawaab.
Penterjemahan Kutub Sittah : Satu sisi pandangan

Saya ada baca beberapa komentar oleh beberapa asatizah yang memberikan pandangan-pandangan mereka dalam isu Penterjemahan Kutub Sittah yang dijadikan projek oleh Menteri Agama Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri.

Berikut adalah pandangan saya :

1. Secara umumnya, hadis-hadis Rasulullah SAW yang dihimpunkan merupakan suatu khazanah ilmu yang cukup luas dan juga merupakan salah satu mukjizat yang tersendiri yang telah dibumikan oleh para ulamak silam terdahulu bermula daripada zaman para Sahabat RA dan Tabien RA hinggalah ke zaman kini.

2. Usaha-usaha yang dilakukan oleh mereka bagi menyampaikan segala yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya, selepasnya.

3. Saya kira ia sebagai mukjizat kerana ia telah merealisasikan kekalnya nas-nas hadis yang merupakan salah satu sumber utama Islam, yang menjadi faktor utama kekalnya Islam hingga akhir zaman.

Ia juga kerana tingginya nilai fungsi hadis kerana ia menjelaskan makna Al-Quran, dan menjadi sumber utama setelah Al-Quran dalam hukum.

Imam Syafie RHM menyatakan bahawa setiap yang Rasulullah SAW hukumkan adalah berdasarkan apa yang difahami oleh baginda terhadap Al-Quran. Jadi segala hadis-hadis Rasulullah SAW berperanan untuk memahamkan umat ini kepada isi kandungan Al-Quran itu sendiri.

4. Di dalam menanggapi isu hadis, kefahaman terhadap hadis perlu diteliti, agar ia tidak menjerumuskan orang awam dalam perihal mengeluarkan hukum.

Perkara yang sedemikian kerana mengeluarkan hukum daripada hadis memerlukan satu proses ilmiyah yang ada disiplinnya tersendiri.

Seseorang itu tidak boleh mengeluarkan sesuatu hukum daripada nas-nas Al-Quran dan hadis melainkan dengan syarat-syarat berikut :

i. Sahih sandarannya kepada Nabi SAW
ii. Jelas dalalahnya
iii. Tidak bertentangan dengan nas yang lebih kuat daripadanya
iv. Tidak dimansuhkan oleh nas yang lain
v. Tidak dikira dalam peristiwa khusus yang melibatkan peribadi tertentu atau keadaan tertentu (dalam usul fiqh disebut waq'iatu 'ain atau waqi'atu hal)

5. Apabila kita teliti syarat-syarat itu, kita akan fahami bahawa mengeluarkan hukum sangat tinggi nilai ilmunya, yang tidak akan mampu dikeluarkan melainkan mereka yang mampu melihat keseluruhan nas, dan memahami setiap nas itu dari sudut taraf kesahihannya, kejelasan dalalahnya, tahap kekuatannya, dan adakah ia masih boleh dipakai atau sudah dimansuhkan, serta adakah ia terkait dengan keadaan tertentu sahaja (hingga tidak boleh dikiaskan kepada keadaan lain) dan seumpamanya.

Kesimpulan yang boleh kita ambil, hanya orang yang bertahap mufti, atau mujtahid sahaja yang mampu 'bertaamul' dengan nas secara 'direct' dalam mengeluarkan hukum.

6. Perkara ini mampu kita fahami apabila kita melihat kebanyakan kitab-kitab fiqh terdahulu tidak menyebut nas-nas Al-Quran dan hadis, secara detail, kerana mereka tahu penulisan fiqh adalah untuk orang awam, bukan untuk para mujtahidin. Orang awam tidak perlu menghafal dalil kerana mereka bertaklid, dalil mereka adalah para mujtahidin dan ulamak.

Apabila mereka tidak meletakkan dalil dalam kitab fiqh, itu bukan bermakna tidak ada dalil, tetapi ia bagi memudahkan pembaca, dan mengelakkan pembaca untuk 'mengkaji semula' dalil yang digunapakai oleh para mujtahidin sebelum itu, sekaligus membazir masa, kalaulah bukan tersesat sendiri akibat tiada ilmu yang memandu mereka dalam kefahaman dalil.

7. Namun fenomena itu tidaklah pula menghalang orang awam daripada melihat dalil-dalil yang digunapakai oleh para ulamak, bagi mereka mempelajari bagaimana ulamak berfikir dan mengeluarkan pandangan.

8.Dengan demikianlah ilmu Usul Fiqh diwujudkan, bagi menjadi bukti bahawa setiap pandangan para ulamak sebenarnya berdiri di atas satu kerangka bersepadu, terhadap nas dan roh syarak, dalam mengeluarkan satu-satu hukum.

9. Bagi saya, secara peribadi tidak ada masalah untuk mengajak masyarakat awam untuk membaca dan menelaah kutub sittah, kerana ia termasuk dalam bab meningkatkan kefahaman umat Islam terhadap agama dan sumber rujukan Islam, bahkan ia termasuk amalan terpuji.
Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita memandu agar umat ini tidak tersalah langkah dalam mempelajari ilmu Islam, agar tidak bermudah-mudah dalam mengeluarkan hukum atas alasan itulah yang datang daripada Rasulullah SAW hingga mentohmah para ulamak sebelum ini, apatah lagi para imam-imam mazhab.

10. Saya dengan ini mencadangkan agar satu Mukaddimah dilakukan bagi projek penterjemahan Kutub Sittah ini, dalam menanggapi fenomena kesalahfahaman yang berlaku terhadap hadis-hadis Nabi SAW dan perkaitannya dengan hukum-hakam fiqh, agar masyarakat jelas di mana mereka berpijak, dan medan apa yang sepatutnya mereka ceburi.

Wallahua'lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Apakah amalan terbaik ketika Ramadhan ?

Apa-apa yang lebih mendekatkan dirimu kepada Allah, merapatkan dengan Al-Quran, kekhusyukan dalam ibadah, solat dan munajat, ketinggian nilai puasa, dan ketenangan jiwa, maka itulah yang terbaik.

Ia boleh jadi tadarus berkumpulan, bertaraweh berjemaah sekeluarga, membaca buku tertentu, melihat ceramah ilmu di live facebook atau media sosial, ia boleh jadi tadabbur bersendirian, berqiamullail sendirian, bersedekah dan menyediakan juadah untuk keluarga, dan seumpamanya.

Kuncinya adalah : tanyalah hatimu, dirimu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya.

Yang pasti, ia bukanlah melarutkan diri dalam perbualan kosong di media sosial yang tidak berpenghujung ... ketahuilah tiada penghujung untuk keseronokan dan kepuasan di dunia.

Hanya kerana yang berpenghujung itu hanyalah jalan yang destinasinya menuju Tuhan :

وأن إلى ربك المنتهى
"Dan sesungguhnya kepada Tuhanmu itulah tempat penghujungnya" - Surah An-Najm

Di situ ada kepuasan, kerana di situ kita bertemu sebab dan rahsia kewujudan.

Wallahua'lam.
Ramadhan ketika PKP, latihan menuju alam kubur.

Dalam suasana PKP yang penuh dengan ragam dan tabiatnya yang tersendiri, Allah hadirkan Ramadhan, sebagai satu bentuk teguran.

Teguran bagi menuju ke alam kubur.

Bagaimana ?

Ketika musim PKP, kita tidak dibenarkan untuk ke surau dan masjid untuk berterawih, tidak dibenarkan juga untuk ke mana-mana untuk menghadiri iktikaf dan qiamullail atau mengeratkan silaturrahim beriftar dan menziarah kenalan dan kerabat terdekat atau jauh.

Yang ada hanyalah ... keluarga kita, diri kita, dan amalan kita. Kita mungkin boleh berhubung dengan mereka secara maya atau media sosial, tapi kita tak boleh bertemu dengan mereka.

Biasakanlah diri untuk memahami, bahawa inilah nilai diri kita sebenarnya. Ketika talian hayat berupa surau dan masjid sudah terputus, pada ketika itu yang ada hanyalah diri kita.

Inilah mungkin perasaannya ketika kita berada di alam kubur. Ketika itu tiada apa yang boleh menghiburkan kita, melainkan apa yang kita bawa ke alam akhirat. Sesiapa yang meletakkan hiburan dan kebergantungannya kepada dunia luar, maka dia merupakan orang yang paling sunyi di alam kubur.

Sesiapa yang memahami hakikat kewujudan Tuhan yang melangkaui tempat dan masa, dia pula tidak pernah merasakan kesunyian walau dia keseorangan.

Alangkah indahnya PKP kali ini ... kerana ia sarat dengan peringatan yang mengingatkan kita tentang hakikat sebuah kehidupan, dan besarnya nilai kebersamaan dengan Tuhan.

"Ingatilah Aku, Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah pula engkau kufuri-Ku" - Surah Al-Baqarah, ayat 152

Wallahua'lam bissawaab.
Bagi 'Qisas' itu ada 'kehidupan'

Sekali pandang kita akan dapati ayat 179 surah Al-Baqarah ini berkenaan hukuman qisas iaitu bunuh dibalas bunuh, atau lebih umum lagi setiap jenayah ke atas anggota badan akan dibalas setimpal kepada penjenayah.

Allah SWT menguatkan gesaan untuk melakukan qisas kerana walau ia mungkin dilihat tidak berapa 'rahmah' pada pandangan kasar, hakikatnya itulah dia yang menjamin sebuah kehidupan yan sejahtera, atau itulah dia yang membentuk sebuah kehidupan.

Hakikatnya ayat-ayat Al-Quran banyak memberikan gambaran bahawa 'formula' yang Allah tetapkan itulah pemberat utama dalam menstabilkan ekosistem kehidupan.

Seharusnya ayat 178 dan 179 itu difahami dari ayat sebelumnya, iaitu ayat 177 yang menggambarkan hakikat 'al-birr' yakni kebajikan itu bukan pada bentuk-bentuk tertentu, tetapi pada 'intipati' sesuatu perkara yakni kepercayaan, berupa rukun iman, dan pembuktian kepada kepercayaan tersebut berupa berlaku ihsan kepada orang-orang yang memerlukan dan seumpamanya.

Pensyariatan qisas hanyalah salah satu aspek manifestasi terhadap sebuah kepercayaan, dalam bentuk sistem kehidupan. Ia adalah satu perkara yang bersepadu yang meletakkan nilai tertinggi terhadap syariat Allah SWT yang tidak meninggalkan manusia di dalam urusan pentadbiran dan kenegaraan mereka.

Sepertimana Allah SWT memandu kepercayaan, Dia juga memandu tindakan, dan memandu sistem sebuah kehidupan. Segalanya berjalan seiringan agar manusia mendapat maslahat dalam kadar yang paling optimum dalam menggalas tugas sebagai seorang khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Penekanan terhadap hasil yang positif berupa sebuah kehidupan apabila dilaksanakan hukum qisas itu hakikatnya hanyalah sebuah isyarat untuk menggambarkan bahawa kesemua hukum hakam dan gesaan Al-Quran adalah menyeru kepada sebuah 'kehidupan' yang sejahtera.

Ini kerana sepertimana tuntutan qisas membentuk sebuah norma kehidupan yang aman dan sejahtera, seperti itu juga tuntutan bersedekah, berbuat baik, mendirikan solat dan menunaikan zakat, hatta gesaan berjihad, itu semua adalah satu formula yang selari, yakni pemberat utama agar kehidupan yang sejahtera akan terhasil.

Kefahaman kehidupan yang sejahtera ini bukan semata-mata mengikut kacamata barat, bahkan ia adalah satu 'sibghah' (acuan) tersendiri yang unik, hingga menggabungkan segala nilai-nilai positif berupa kebertanggungjawaban, kemuliaan, kebenaran, keadilan, ihsan, rahmat, kesungguhan, kehormatan, taqwa, dan kemajuan dari segala sudut.

Atas sebab itu kita boleh fahami apabila Allah SWT menyebut dalam ayat 96 surah Al-A'raaf bahawa sekiranya penduduk kampung itu beriman dan bertaqwa nescaya Allah akan membuka pintu keberkatan di langit dan bumi hingga mereka kaya raya.

Ini kerana pada keimanan itu ada 'formula' yang membentuk sebuah acuan kehidupan, yang menyambungkan di antara manusia dengan Penciptanya.

Segala yang manusia fikirkan, impikan dan apa jua pencapaiannya yang mampu diusahakan, apabila terpisah daripada nilai keimanan, ia hanyalah ibarat habuk yang tidak berguna di sisi Allah SWT, seperti dalam ayat 18 surah Ibrahim.

Ini kerana ia tidak mendapat pengiktirafan yang paling penting iaitu mengiktiraf Allah SWT sebagai Tuhan yang selayaknya disembah dan diagungkan. Penelitian mereka terputus dengan 'sumber utama' pengetahuan iaitu Yang Maha Mengetahui. Hasilnya jadilah mereka umpama orang yang disebutkan oleh Allah SWT ; pekak, bisu, buta dalam surah Al-Baqarah ayat 18.

Sebenarnya penelitian dan pelaksanaan terhadap tuntutan dan gesaan yang wujud dalam wahyu inilah yang benar-benar menyelesaikan masalah kita pada hari ini. Manusia tidak akan mampu menyelesaikan masalah mereka sekiranya mereka tidak merujuk kepada 'manual kit' yang diturunkan oleh Pencipta mereka.

Bahkan mereka bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah, hakikatnya mereka hanyalah ibarat mayat, yang mencari-cari sinar di dalam kegelapan yang tidak berpenghujung.

"Wahai orang yang beriman, sahutlah seruan Allah dan rasul-Nya apabila dia menyerumu kepada apa yang boleh menghidupkanmu" - Surah Al-Anfal, ayat 24

W
allahua'lam bissawaab.
Harga sebuah keikhlasan

Alangkah beruntungnya manusia yang memahami, bahawa dosa maksiat secara sembunyi hanya mampu dihapuskan oleh ketaatan secara sembunyi.

Sembunyikan ketaatan kita, sepertimana kita sembunyikan keburukan kita.

Apabila kita mula menzahirkan, dikhuatiri ia bukan untuk Tuhan, bahkan dijadikan pula modal untuk kita capai kedudukan di sisi manusia.

Falsafah puasa tidak seharusnya terhenti pada ibadat puasa sahaja, ia perlu mengalir dalam tubuh badan kita dan segala amalan yang kita lakukan, bahawa segala amalan kita hanya untuk Tuhan, bukan mana-mana makhluk.

Marilah kita insafi, sebelum semuanya terlambat, apabila semua amalan kita hangus, hanya kerana kita tidak memahami ... harga sebuah keikhlasan.

Wallahua'lam
LIVE : Taubat ... seperti yang digambarkan Al-Quran

InsyaAllah saya akan cuba kupas isu Taubat dalam kerangka Al-Quran secara live fb esok, sekitar jam 2.30 ptg.

Siapa ada persoalan boleh ajukan. Jemput siapa yang berkelapangan untuk menonton.

Wallahua'lam bissawab
2024/09/30 09:24:52
Back to Top
HTML Embed Code: