Telegram Web Link
Arak adalah ibu masalah, bukan hak peribadi

Tebanglah pokoknya, rantingnya akan tumbang.

Meminum arak hakikatnya bukanlah dikira hak manusia kerana semua anggota badan manusia adalah pinjaman daripada Allah dan dia wajib menggunakan segala pinjaman itu pada perkara yang diredhai-Nya.

Nak buat dosa pun hakikatnya kita tidak berhak, apatah lagi minum arak dan libatkan nyawa orang lain. Sama seperti orang kafir hakikatnya dia tidak berhak memilih menjadi kafir.

Ia adalah pilihan peribadi yang wujud padanya taklif, isu dosa pahala, dan tanggungjawab yang akan dipersoal kelak sesuai dengan ketinggian nilai manusia yang mampu memilih.

Adapun memilih perkara yang salah tidak pula dikira menunaikan hak peribadi, bahkan ia adalah satu bentuk kezaliman kerana membalas nikmat Tuhan dengan penderhakaan.

Namun Tuhan menjadikan dunia ini berjalan dengan demikian (wujudnya hak dan batil) sebagai ujian untuk hamba-Nya yang benar-benar beriman.

Saya tahu kekangan itu banyak. Paling kurang kita letakkan 'baseline' dan 'pandangan akhir' kita untuk berhadapan isu ini, kita harus tanamkan kefahaman 'Sifar Arak' agar suatu hari nanti ia menjadi norma dan adat kita semua, tak kira mana-mana bangsa dan agama.

Wallahua'lam bissawaab.

Moga Allah memandu dan merahmati kita semua.
Bila akan cukup ?

Ada soalan yang diajukan kepada saya mengenai rasa 'cukup'. Soalan ini timbul dengan latar belakang tertentu melihatkan situasi semasa yang menjadikan sebahagian besar daripada masyarakat kita rasa gusar dan gelisah dengan kemelesetan ekonomi yang sedang dan bakal berlaku dalam tempoh pasca PKP ini.

Saya katakan, rasa cukup itu bukan dengan memiliki kesemua keperluan dan kehendak. Bukan juga dengan mencapai segala misi dan tujuan dalam hidup. Hakikatnya semua itu tidak akan pernah ada penghujungnya melainkan apabila ajal menjemput kita.

لو كان لابن آدم واديان من مال لابتغى إليه ثالثا ولا يملأ جوف ابن آدم إلا التراب ويتوب الله على من تاب

"Kalaulah sekiranya bagi anak Adam itu ada dua lembah harta, sudah pasti dia akan mengharapkan yang ketiga. Dan tiadalah yang akan memenuhi perut anak Adam itu melainkan tanah, dan (moga-moga) Allah memberi taubat kepada siapa yang bertaubat" - Hadis Sahih

Hadis ini bermaksud, selagi sebelum mati, anak Adam akan sentiasa mengharapkan penambahan kekayaan. Demikianlah juga saranan daripada surah At-Takathur ;

ألهاكم التكاثر حتى زرتم المقابر

"Kamu telah dilalaikan dengan 'perlumbaan menambah-nambah' (harta). Hinggalah kamu menziarahi kubur (mati)".

Jadi perasaan cukup itu dari mana ?

Ia hasil dari sebuah kepercayaan bahawa Tuhan akan menjaga hamba-Nya. Tuhan akan mencukupkan hamba-Nya. Dia juga yang akan menjaga masa depan hamba-Nya.

أليس الله بكاف عبده

"Bukankah Allah yang mencukupkan hamba-Nya ?" - Surah Az-Zumar

Hasil kepercayaan dan sangkaan dia kepada Tuhan, maka Tuhan akan membalas kepercayaan itu dengan setimpalnya, sesuai dengan ayat :

هل جزاء الإحسان إلا الإحسان

"Apakah balasan yang terbaik bagi ihsan, melainkan ihsan itu sendiri ?"

Kepercayaan bahawa segala ketentuan Tuhan adalah adil dan penuh bijaksana, walau di luar kefahaman dan cerapan kita, kerana Dia tidak pernah zalim. Bahkan manusia yang meletakkan dirinya di dalam kancah kezaliman.

وما ظلمناهم ولكن كانوا هم الظالمين

"Dan tidaklah Kami menzalimi mereka, melainkan mereka itulah yang zalim" - Surah Az-Zukhruf

Sesiapa yang sentiasa merasakan kebersamaan dengan Tuhan, dia akan sentiasa rasa terlindung, selamat, tenang, dan bahagia.

Bukan kerana dia memiliki semua benda, tetapi dia bersama dengan Penghujung semua benda.

وأن إلى ربك المنتهى

"Dan sesungguhnya kepada Tuhanmu itulah penghujungnya" - Surah An-Najm

Wallahua'lam bissawab.
http://muis.org.my/2020/06/saranan-umum-untuk-pkpp/

Sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, suka untuk saya berikan beberapa poin untuk kita sentiasa meletakkan diri kita di bawah panduan syarak
7 Saranan Umum untuk PKPP

Sempena PKPP ini, suka untuk saya berikan beberapa poin untuk kita sentiasa meletakkan diri kita di bawah panduan syarak :

1. Amalkan segala SOP yang berkaitan demi menjaga keselamatan awam, sentiasa ingat bahawa kepatuhan kepada SOP adalah kepatuhan kepada agama.
ياءيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم
“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, serta pemimpin di kalangan kamu” – Surah An-Nisa’, ayat : 59

2. Tingkatkan kesedaran diri dan merasakan bahawa setiap perkara adalah di bawah aturan Tuhan. Hindari sebarang bentuk perbuatan yang boleh membawa kemurkaan Allah SWT. Muhasabah yang kita lalui sepanjang PKP dan bulan Ramadan itu sepatutnya berkekalan dan berterusan. Jangan putuskan rasa ‘khauf’ (takut) dan sentiasa pupuk rasa pengharapan kepada rahmat Allah SWT. Ketahuilah bahawa setiap kesukaran akan berakhir, dan menanti ‘hari yang cerah’ adalah sebahagian daripada ibadah yang mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

ما أصاب من مصيبة في الأرض ولا في أنفسكم إلا في كتاب من قبل أن نبرأها
“Tiada musibah yang menimpa kamu baik di bumi atau pada dirimu sendiri melainkan ia sudah pun tercatat di dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami ‘mencipta’nya” – Surah Al-Hadid ayat : 22

3. Norma baharu sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab dan berperanan perlu diteruskan. Sebagai ibu, sebagai ketua keluarga, sebagai jiran tetangga, sebagai ahli keluarga dan sebagai hamba Allah SWT.

Anggaplah kita telah melalui satu ‘sekolah’ yang mendidik kita untuk Kembali kepada tugasan asasi kita sebagai seorang manusia yang bertanggungjawab kepada keluarga, komuniti, masyarakat dan negara. Sahutlah seruan Allah SWT ini untuk kita terus menjadi hamba-Nya yang cemerlang dan bertanggungjawab.

ياءيها الذين آمنوا استجيبوا لله وللرسول إذا دعاكم لما يحييكم
“Wahai orang yang beriman sahutlah seruan Allah dan Rasul-Nya apabila dia menyerumu kepada apa yang menghidupkanmu” – Surah Al-Anfal, ayat : 24

4. Sentiasa fahami bahawa tabiat kehidupan manusia adalah bersosial dan berkomunikasi. Letakkan dalam diri bahawa kita harus berhubung dan bertemu, bagi menyempurnakan sisi kemanusiaan kita.

Di situlah terletaknya ketinggian nilai budi pekerti yang baik, dan di situ jugalah tempat kita menambah pahala dan menghapuskan dosa. Saranan hadis bahawa apabila dua muslim bertemu dan bersalaman maka akan gugurlah dosa-dosanya seperti daun-daun kering, itu sepatutnya dijadikan tema utama dalam setiap hari kita keluar dari rumah.

اتق الله حيثما كنت وأتبع السيئة الحسنة تمحها وخالق الناس بخلق حسن

“Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan ikutilah keburukan (yang telah kamu lakukan) dengan kebaikan nescaya ia akan memadamkannya (keburukan tersebut), dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik” – Hadis Hasan Riwayat Tarmizi

5. Jangan takut dan resah dengan masa depan yang tidak menentu. Ketahuilah bahawa Allah akan menjaga hamba-Nya dan menyediakan yang terbaik buat hamba-Nya. Letaklah pengharapan kepada Allah SWT yang memberi rezeki dan membuka pintu-pintunya. Jangan kerisauan dan kegelisahan kita menjauhkan kita daripada Tuhan, sedangkan semua rezeki adalah daripada-Nya jua.

الله لطيف بعباده يرزق من يشاء
“Allah itu Maha Lembut terhadap hamba-Nya, Dia jugalah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mahu”, Surah Asy-Syura, ayat : 19

6. Bersedialah untuk perkara-perkara di luar jangkaan. Setiap perkara ada permulaannya, dan setiap perkara yang besar pasti ada mukadimahnya. Keberadaan kita dalam tempoh PKP ini anggaplah ia sebagai tempoh persediaan bagi perkara yang lebih mencabar. Kita bukan mengharapkan kecelakaan, tetapi kita bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk keadaan dan situasi yang bakal berlaku.

أفأمنوا مكر الله فلا يأمن مكر الله إلا القوم الخاسرون
“Adakah mereka itu merasa aman daripada perencanaan Allah ? Maka tiadalah berasa aman daripada perencanaan Allah melainkan orang-orang yang rugi” – Surah Al-A’raaf, ayat : 99
7. Letakkan bahawa sebesar-besar nilaian manusia adalah pada agamanya. Agama ini yang akan menjaga seseorang manusia daripada kerosakan dunia, sepertimana ia juga yang menyelamatkannya daripada seksaan di akhirat.

Hayatilah setinggi mungkin nilai ini dan rasailah kemuliaan yang telah Allah berikan kepada manusia, apabila dia menghayati dan memahami agama Islam ini. Ini terbukti dengan kepatuhan kita terhadap saranan dan polisi awam, serta kefahaman kita terhadap agama yang memudahkan proses memerangi wabak ini. Ini juga hanyalah satu sisi daripada banyak sisi keunggulan yang ditunjukkan oleh Allah SWT dalam membuktikan kebenaran agama ini.

سنريهم آياتنا في الآفاق وفي أنفسهم حتى يتبين لهم أنه الحق

“Kami akan menunjukkan ayat-ayat Kami (petanda) di seluruh ufuk dan pada diri mereka itu sendiri, hinggalah jelas nyata kepada mereka bahawa ia (agama Islam) itu adalah benar” – Surah Fussilat, ayat : 53

Wallahua’lam bissawaab.
Mana Abi ?

Suatu hari Fatima bergurau dengan saya. Dia tanya mana Abi ?

Saya tunjukkan kepada diri saya, sinilah Abat. Kemudian dia jawab,

: Ini bukan Abi, ini badan Abi.

Saya tunjuk lagi di tangan, dan dia jawab : Ini tangan Abi.

Kemudian saya senyum sahaja kerana memang jawapannya tidak akan tepat kerana hakikat seorang 'Abi' adalah hakikat zihniyah yang wujud bagi keseluruhan makna yang disandarkan kepada Abi.

Demikianlah juga kita boleh kiaskan bahawa persoalan 'Di Mana Allah' tidak akan mampu terjawab secara tepat kerana seluruh makna yang disandarkan kepada Allah adalah di luar pengetahuan kita.

Oleh yang demikian segala lafaz yang menyatakan mengenai sifat Allah adalah lafaz taqribi yakni lafaz yang mendekatkan makna kepada kefahaman mengenai kewujudan Allah bagi menjadikan kita memahami pada kadar akal kita siapakah Tuhan kita.

Cukuplah kita bertanya diri kita sendiri, di manakah kita di sisi Allah ?

Hanya dengan demikian kita akan fahami di manakah Allah.

"Adakah sama martabatnya, orang yang berdiri di atas kejelasan daripada Tuhannya dengan seorang yang diperhiaskan padanya amalan buruknya dan mengikut hawa nafsu mereka?" - Surah Muhammad

Wallahua'lam bissawaab.
Tukar kerajaan bukan macam tukar kereta buruk

Isu pertukaran kerajaan baru-baru ini heboh sekali lagi atas desakan parti pembangkang yang mendakwa sudah mencukupi kerusi majoriti bagi membentuk sebuah kerajaan.

Apa yang berlaku telah pun berlaku, akhirnya mereka tidak berjaya mendapat kata sepakat mengenai calon Perdana Menteri ke-9, sekaligus melenyapkan harapan mereka untuk kembali ke tampuk kerajaan pada penggal ini, buat masa ini.

Sebelum ini, kita selalu mendengar laungan bahawa kerajaan tertentu sudah lama memerintah, beri peluang pula kepada kerajaan baru untuk naik memerintah negara, dan seumpamanya.

Seolah-olah seperti kita sudah memakai kereta buruk, dan mahu tukar kepada kereta baru.

Secara kacamata demokrasi, laungan ini tampak tidak bermasalah kerana sistem demokrasi membolehkan ia berlaku sekiranya undi berpihak kepada pihak tersebut.

Tetapi secara fiqh, pertukaran sesuatu kerajaan perlu dilihat kepada sudut yang lebih besar, ia perlu menjawab beberapa persoalan ini :

1. Apakah pertimbangan antara maslahat dan mafsadah yang dikira syarak itu telah dilakukan ?

2. Adakah maqasid syarak dalam politik itu akan tercapai ? Seperti menegakkan hukum Allah, mendirikan keadilan, menolak kezaliman, menjaga sempadan negara daripada dimasuki musuh, menaikkan kepimpinan muslim dan seumpamanya.

3. Apakah dominasi dan kepimpinan umat Islam terhadap negara itu akan terjaga dengan barisan kerajaan yang dicalonkan ?

4. Adakah yang berkuasa dan mempunyai 'autoriti' dalam melaksanakan polisi dan undang-undang nanti akan berlaku 'adil' mengikut neraca syarak ?

5. Adakah kestabilan negara boleh dicapai dengan pertukaran kuasa ini ?

Ini merupakan sebahagian daripada soalan-soalan yang lebih banyak yang perlu dijawab oleh seorang muslim, dalam melihat pertukaran kerajaan itu perlu berlaku atau tidak.

Mungkin sebahagiannya sudah pun kita tahu jawapannya berdasarkan prestasi kerajaan sebelum ini, kalau pun tidak kesemuanya.

Kaedah syarak menyebut : Apabila sesuatu perkara itu makin besar di sisi syarak, maka syaratnya makin ketat. (Al-Qarafi dalam Al-Furuq).

Maka pertukaran kereta lama kepada kereta baru sangat jauh bila dikiaskan dengan pertukaran kerajaan lama kepada kerajaan baharu.

Pendek kata, syarak lebih menilai dan meletakkan syarat yang ketat kepada 'kepribadian' dan kemampuan si pemimpin, bukan semata-mata melihat 'kepartian' atau 'retorika' yang dilaungkan oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi yang mempertuhankan demokrasi.

Syarak melihat sesuatu perkara dengan kacamata hakiki (teropong sebenar), adapun demokrasi hanya melihat dengan kacamata tempelan, yang hanya mencantikkan luaran dan menipu orang-orang yang mudah terpesona dengan solekan palsu.

Kita perlu membetulkan sudut pandangan kita terhadap syarak dengan meluaskan cakupannya dari sudut peribadi hingga ke perihal kenegaraan.

Bukan hanya semata-mata melihatnya dalam kerangka permasalahan peribadi dan kekeluargaan, seperti yang dikehendaki oleh para penjajah, dan para syaitan.

Wallahua'lam bissawab.
Sejauhmana kamu pergi, bergantung kepada sejauhmana kamu fahami jalan ini

1. Jalan yang panjang menuntut kejelasan pandangan dan tujuan. Kejelasan penghujung akan memberi erti dan makna kebahagiaan dalam setiap aspek-aspek kehidupan. Oleh kerana pengakhirannya bermakna, maka segala yang menuju ke situ adalah sebuah perjalanan yang bermakna.

Oleh kerana pengakhirannya adalah bahagia, maka jalan ke situ adalah jalan-jalan menuju kebahagiaan walau apapun cabarannya.

2. Sifir perjuangan hari ini perlu menyasarkan satu siling yang lebih tinggi daripada siling semata-mata melihat kepada perubahan kerajaan atau memegang tampuk pemerintahan.

Ketinggian siling akan memberi erti kepada satu lakaran dan gambaran sebuah perjuangan yang tinggi, setinggi siling itu. Siling itu ibarat mercu tanda bahawa misi yang dicapai itu mencapai kemuncaknya.

3. Kecelaruan halatuju yang melanda para pejuang-pejuang agama hari ini banyak berpunca kepada hilangnya siling tersebut, atau tiada sama sekali.

4. Kebergantungan kepada agenda politik kepartian yang melampau, akhirnya melenyapkan agenda dan projek Islam setempat kerana membiarkan nasib dakwah dan perjuangan diperjudikan oleh politikus yang tidak langsung beriman dengan agenda dan fikrah yang dipegang oleh badan-badan dakwah itu.

5. Saya faham bahawa ada sebahagian besar anak muda yang tercari-cari siapakah yang boleh diharapkan dalam memacu bahtera perjuangan dakwah di akhir zaman ini ?

Jawapannya tidaklah mudah semudah ABC, tetapi tidaklah pula sekompleks teori graviti.

6. Kita perlu memahami apakah asas dan siling perjuangan terdahulu, sebelum melihat siapakah yang sepatutnya kita ikuti.

7. Kebergantungan kepada sistem demokrasi telah berkali-kali meranapkan 'harapan palsu' yang menjanjikan kemenangan yang me'lagho'kan, maka tidakkah itu menjadi satu pengajaran buat para pejuang, untuk mereka kembali melihat apakah dia erti sebuah perjuangan ?

Ya, kefahaman mengenai siling tertinggi itu penting, sepertimana ia menentukan halatuju perjuangan, ia juga menentukan permulaan, pertengahan, dosa dan pahala serta pengakhirannya.

Bukankah sabda Rasulullah SAW :

"Sesungguhnya tiap-tiap amalan itu (diukur/dihukum) berdasarkan niat?"

Wallahua'lam bissawaab.
Faham dan lihat dulu, barulah fikir dan berijtihad

Selagi kita tak melihat kewujudan ini sebagai satu pakej yang melengkapi, teratur dan seimbang, selagi itu sudut pandangan kita tidak akan sempurna, lalu hanya menghasilkan ijtihad semasa yang bersifat tempelan, luaran dan merosakkan kerana percanggahan antara satu sama lain yang terhasil dari ketempangan itu.

Hukum ke atas sesuatu perkara adalah cabang kepada tasawwur (gambaran keseluruhan) perkara tersebut.

Kefahaman yang caca merba hanya melahirkan solusi yang demikian.

Manakala kefahaman yang sempurna akan menghasilkan sebuah kesempurnaan.

'Adakah orang yang berjalan dengan kepalanya (kepalanya dijadikan kaki) itu lebih diberi petunjuk, atau orang yang berjalan dengan normal di atas jalan yang lurus?' - Surah Al-Mulk

Wallahua'lam bissawaab
Dimensi masa yang relatif, menuntut sebuah amal yang relatif yang diukur dalam kanta sangkaan (dzon) kepada Tuhan

Masa, jika diukur sesama kita, akan sama, kerana kita mempunyai satu sistem waktu yang digunapakai oleh semua manusia. Tapi jika diukur secara peribadi, ia akan berbeza. Setiap manusia berbeza antara satu dengan yang lain. Setiap daripada kita mempunyai satu garisan masanya yang tersendiri, di hadapan Tuhan.

Setiap daripada kita dipertanggungjawabkan dengan garisan masanya yang tersendiri. Dan setiap daripada kita ditaklifkan dengan perihal dan keadaannya yang tersendiri.

Ini adalah satu pernyataan, dan kenyataan.

Ajal kita tersembunyi. Takdir kita juga tersembunyi. Ini bererti, kita tidak tahu bilakah kehidupan kita di dunia ini akan menemui penghujungnya.

"Dan manusia itu tidak tahu apa yang dia akan perolehi untuk hari esok, dan dia juga tidak tahu di bumi manakah dia akan mati" - Surah Luqman , ayat 34

Kejahilan kita terhadap penghujung masa kita di dunia ini adalah sebuah rahmat daripada Tuhan. Rahmat kerana Tuhan mahukan kita untuk terus menerus di atas landasan ketaatan dan tidak sekali-kali berani untuk masuk ke dalam garis kemurkaan.

Namun apabila umur seseorang telah tamat (di dunia ini), itu bermakna telah lengkaplah hujjah Allah SWT ke atasnya, kerana peluang untuknya sudah tertutup. Atas dasar Allah SWT Maha Adil, maka setiap detik kematian ke atas anak Adam itu merupakan satu waktu terbaik untuk ia dimatikan, di dalam ilmu Tuhan.

Seseorang yang hidup dengan berumur 30 tahun, lalu dimatikan pada umur tersebut, hakikatnya hujjah Allah ke atasnya sudah pun tertegak, sama seperti seseorang yang sudah pun berumur 80 tahun ketika dia dimatikan.

Allah SWT berfirman : "Tidakkah Kami telah pun memanjangkan umurmu dalam tempoh masa di mana ada orang yang telah mengambil peringatan, dan telah datang kepadamu pemberi peringatan ?" - Surah Fathir, ayat 37

Ayat itu umum, ia adalah satu herdikan kepada semua yang diseksa di api neraka, dan ia juga adalah kenyataan yang jarang kita renungi dan muhasabah untuk diri kita sendiri.

Hakikat bahawa orang yang mengingati mati itu orang yang bijak seperti yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW, boleh ifahami dari dua sudut.

Sudut pertama adalah dia melihat dunia dalam kerangka akhirat. Dalam erti kata yang lain, dia mengambil dunia sebagai ladang pelaburan untuk bekalan di akhirat. Ini sudut yang biasa kita dengar.

Sudut kedua pula yang bagi saya lebih mendalam, adalah dia sudah pun memahami bahawa hujjah Allah SWT telah pun tertegak ke atasnya, pada setiap hari-harinya dalam kehidupan. Jadi persediaannya kepada kematian bukan semata-mata dia bersedia menuju ke alam akhirat, tetapi dia dengan penuh kesedaran, memahami bagaimana hujjah-hujjah Allah SWT dalam hidupnya sudah pun tertegak, dan akan sentiasa tertegak, dalam setiap detik-detik kehidupannya walau dia hanya hidup beberapa ketika sahaja.

Orang yang melihat dalam sudut kedua ini, akan merasakan bahawa hari kiamat itu sudah dekat, Nabi Isa AS hampir turun, dan malaikat maut akan menjemputnya pada bila-bila masa sahaja.

Dia akan melihat segala yang berlaku dalam hidupnya adalah mesej-mesej keterangan dan hujjah yang jelas daripada Allah SWT untuknya.

Adakah itu bermaksud dia akan tinggalkan dunia dan beramal ibadah untuk hari akhirat serta menjauhkan diri daripada manusia dan menyimpan stok-stok makanan untuk menghadapi hari sukar bila Dajjal turun dan seumpamanya ?

Tidak. Itu bukan kefahaman yang diajar oleh Rasulullah SAW. Ketika Rasulullah SAW diutuskan, baginda menyebut bahawa tempoh waktu antara perutusannya dan hari Kiamat adalah ibarat jarak antara dua jari. Bahkan antara tanda-tanda kecil Kiamat pula adalah perutusan baginda itu sendiri.

Namun kita sedia maklum, apa yang dilakukan oleh baginda adalah meneruskan kerja-kerja nubuwwah dan menyampaikan risalah hingga ke penghujung hayatnya. Lalu perjuangan itu disambung oleh para sahabat dan tabien hinggalah ke hari ini.

Adakah dari kalangan mereka yang bersembunyi di dalam gua dan bertapa hingga menunggu ajalnya tiba ? Tidak.
Apa yang saya fikirkan hanyalah, mereka mempunyai satu sisi kefahaman yang mendalam terhadap susun atur tadbir Allah SWT terhadap setiap kejadian dan kehidupan. Satu sisi yang tinggi dalam melihat kewujudan sebagai satu kitaran yang lengkap, sempurna dan tersendiri.

Secara luaran kita boleh lihat jihad dan pengorbanan mereka, kita juga boleh lihat kehidupan mereka sebagai manusia biasa yakni mereka juga bekerja, berkeluarga, mengharungi cabaran dan dugaan dalam kehidupan serta pergaulan mereka dengan masyarakat.

Namun secara dalaman, setiap daripada mereka mempunyai satu perihal tersendiri di hadapan Allah SWT. Jiwa yang mendalam, melihat ketinggian ilmu Allah dan besarnya makna setiap kalimah Allah itu dalam hidup mereka.

Nabi Nuh AS ketika penghujung usianya, sempat berwasiat kepada anaknya dengan dua perkara, perkara pertama adalah peganglah kalimah La Ilaha Illallah (Tiada Tuhan selain Allah), ini kerana sekiranya 7 petala langit dan 7 petala bumi ini ditimbang dengan kalimah itu, sudah pasti kalimah La Ilaha Illallah itu lebih berat.

Perkara kedua pula adalah kalimah Subhanallah wa Bihamdihi. Ini kerana dengan kalimah itulah tersambungnya semua perkara, dengan itulah setiap makhluk diberikan rezeki.

Wasiat ini memberikan satu definisi yang jelas, bahawa sepanjang hidupnya yang mencecah seribu tahun, telah disimpulkan pada 2 kalimah itu.

Saya membayangkan bahawa setiap detik kehidupannya yang penuh dengan pancaroba, perjuangan, ujian dan kesukaran hakikatnya baginda lalui dengan penuh khusyuk, dalam memahami erti dan membesarkan makna, kalimah-kalimah itu.

Di luar kita lihat baginda sedang hidup sebagai seorang manusia, di dalam hakikatnya hatinya sedang khusyuk dalam munajat, dan berzikir mengingati Tuhannya.

Inilah yang diajar oleh Rasulullah SAW sendiri apabila kaum muslimin yang miskin mengadu perihal orang-orang kaya yang dilihat mendapat lebih ganjaran kerana sedekah mereka dengan harta-harta mereka, yang tidak dipunyai oleh orang-orang miskin.

Lalu Rasulullah SAW memberikan kefahaman yang besar, sekaligus mengubah mentaliti mereka, dan kefahaman kita terhadap keluasan rahmat Allah SWT kepada hamba-Nya.

"Sesungguhnya pada setiap tasbihmu adalah sedekah, pada setiap tahmidmu adalah sedekah, pada setiap takbirmu adalah sedekah, dan pada setiap tahlilmu adalah sedekah"

Mereka tidak memahami bahawa Allah tidak memandang kemampuan dan keadaan luaran seseorang, kerana itu hanyalah susunan tadbir Allah SWT ke atas dirinya sendiri bagi melengkapkan sebuah keseimbangan ekosistem kewujudan yang dicipta-Nya.

Lalu Rasulullah SAW menarik kefahaman mereka agar melihat bahawa ruang taklif mereka, atau dimensi taklif mereka berbeza dengan dimensi orang-orang kaya. Walaupun mereka tidak mampu bersedekah kerana tiada duit, tetapi mereka mampu bersedekah dengan cara yang lain.

Pendek kata, kedua-duanya boleh bersedekah dan mendapat pahala yang sama, kerana Allah tidak memandang luaran, tetapi Allah melihat 'dzon' dan 'prasangka' hamba-Nya ke atas-Nya.

Sepertimana Allah adalah Tuhan kepada orang kaya, lalu Dia beri peluang untuk orang kaya bersedekah dengan harta yang mereka ada, Dia juga adalah Tuhan kepada orang miskin, dengan segala kekurangan harta dan kemiskinannya.

Ya, Dia adalah Tuhan untuk setiap daripada kita, dengan segala kekangan dan kekurangan kita.

Walaupun kita mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, hakikatnya kita semua sedang diuji, siapakah yang paling baik amalannya.

Amalan yang terbaik, dalam dimensi yang tersendiri.

Dengan segala pembuktian, penghujjahan, keterangan, dan kurniaan yang diberi sepanjang umur kita hidup ini hinggalah yang akan datang, yang telah membuktikan bahawa Dialah Tuhan sekalian alam yang selayaknya disembah dan disyukuri, dan menjawab segala persoalan mengenai :

Siapakah Dia ?

Kini sampailah pula giliran kita. Dalam meniti garisan umur kita yang tersendiri, hakikatnya kita sedang menunjukkan, membuktikan, dan mempersembahkan jawapan kita kepada Tuhan, kepada satu soalan :

Siapakah kita ?
"Dialah yang menjadikan kematian dan kehidupan, bagi menguji kamu siapakah yang paling baik amalannya ? Dan Dialah yang Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun" - Surah Al-Mulk, ayat 2

Wallahua'lam bissawaab.
Biarlah orang politik terus bergaduh, umat perlu terus membina kekuatan sebenar

Perbahasan parlimen baru-baru ini telah mengundang beberapa persoalan yang berlegar di dalam benak pemikiran setengah kelompok, yang masih memberikan pergantungan kepada para politikus yang ada.

Antara yang mereka persoalkan adalah sejauhmana PN akan benar-benar membawa aspirasi umat Islam dan orang Melayu dalam memartabatkan kedudukannya di tanah air ini.

Ini logika yang muncul kerana pelantikan speaker yang secara jelas dengan rekod yang tidak mesra dengan agenda Islam dan persekongkolannya dengan anasir-anasir yang mempromosi idea Barat yang hakikatnya merosakkan jatidiri dan pemikiran anak bangsa pada masa kini.

Termasuk dalam persoalan kita juga adalah isu perjuangan bagi mengiktiraf UEC yang dijuarai oleh parti Cina hatta daripada kerajaan sendiri, isu kes Allahyarham Adib yang tidak memihak kepada keluarganya dan berbagai lagi pertikaian yang mungkin timbul dalam benak pemikiran segelintir daripada kita.

Kita perlu sedar bahawa itulah kerja orang politik. Mereka ada kepentingan yang perlu dijaga, kerusi yang perlu dipertahankan dan sokongan yang perlu diraih. Setiap langkah mereka adalah hasil congakan yang hasil akhirnya mereka mahukan adalah kestabilan kerusi mereka di tampuk pemerintahan.

Untuk tujuan itu mereka akan bergolok bergadai dengan segala cara yang ada. Pada satu masa mereka gunakan sentimen Melayu bagi meraih sokongan orang Melayu, masa yang lain pula mereka cuba dapatkan sokongan orang Cina dengan pengiktirafan UEC, pada masa yang lain pula mereka akan cuba jinakkan pihak-pihak liberal agar mendapat sokongannya dengan cara melantik 'wakil' mereka di tempat-tempat utama.

Itulah lumrah permainan politik yang ada pada hari ini.

Apakah kestabilan akan berlaku sekiranya parlimen dibubarkan dan PRU diadakan sekali lagi ?

Jawapannya masih sukar nak dijangka kerana keadaan hari ini yang menjerumuskan kita dalam kancah politiking yang tidak berkesudahan.

Saya mahu sarankan agar umat Islam kembali berpegang kepada saranan utama Al-Quran iaitu berpegang teguh dengan tali Allah dan kekuatan persaudaraan sesama kita. Itulah talian hayat paling ampuh yang akan membawa umat Islam keluar daripada kemelut yang tidak berkesudahan.

Kita perlu melihat politik hari ini di luar kerangka politik kepartian dan melihatnya dalam kerangka satu ummah yang sedang membina kekuatan dan kemajuannya.

Setiap congakan untung rugi perlu dilihat bukan dalam kerangka keuntungan parti tertentu, tetapi melihatnya dalam kerangka sebuah umat yang menjadikan asas kesatuan mereka sebagai asas kemajuan.

Mungkin ada di kalangan kita yang merasakan ia tidak praktikal pada hari ini di mana setiap pihak mempunyai komitmen kepartian yang tersendiri.

Saya jawab, apa yang berlaku hari ini juga merupakan satu perkara yang tidak praktikal pada suatu masa dahulu di mana pusat kuasa dipandu oleh sistem kesultanan yang stabil dan tidak wujud pula pakatan pembangkang rasmi yang siang malam bekerja untuk menjatuhkan kerajaan.

Sistem demokrasi pada hari ini tidak sepatutnya dilihat sebagai satu sistem daripada Tuhan yang suci dan mutlak. Ia hanyalah sebuah alat dalam mengatur sesebuah sistem pemerintahan. Sekiranya kita terperangkap dalam permainan ini maka sampai bila-bila kita tidak akan maju kerana kita sentiasa dipergunakan oleh pihak yang berada di luar sistem ini dan membolak-balikkan bidak-bidaknya bagi menjamin kepentingannya.

Sekiranya kita masih duduk dalam takuk yang lama, kita akan sentiasa dipolitikkan oleh para kapitalis, taikun-taikun yang kaya, bagi menjamin kedudukan mereka, yang hakikatnya mereka tidak pernah pun berangan nak jadi ahli politik.

Apabila kita sedar bahawa pergaduhan siang malam ini tidak bermakna, kita perlu keluar daripada kitaran itu dan membina semula kekuatan kita yang hakiki.
Saya rasa antara rahmat Allah SWT juga adalah Dia memperlihatkan kepada kita bahawa pertukaran kerajaan bersilih ganti tidaklah memberi signifikan yang besar terhadap kemajuan sebenar jatidiri umat Islam, sekiranya kita terikat dengan blok kepartian sempit yang hanya mengira keuntungan bloknya.

Ia bagi menunjukkan kepada kita bahawa kejayaan dan kemajuan bagi sesebuah umat itu terletak pada kesungguhan mereka dalam membina kekuatan yang sebenar, berupa kesatuan umat Islam merentas blok-blok kepartian, keberdayaan mereka dalam bidang-bidang utama, kualiti kepimpinan yang berpaksikan prinsip-prinsip yang jelas, dan kemampuan mereka dalam memberikan definisi tersendiri terhadap nilai kehidupan, kemajuan, dan ketinggian identiti yang mampu memaksa kehendak Ilahi ke atas polisi-polisi kenegaraan, sebagai satu pembuktian rahmat-Nya, ke atas sekalian alam.

Jika kita dapat capai perkara itu, datangkanlah sistem apapun, ia tetap tidak akan menggugat, satu konsep gagasan yang konkrit ini, atau nama lainnya seperti yang disebut dalam hadis, 'khilafah di atas manhaj nubuwwah'.

"Adakah sama orang yang berjalan dengan kepalanya tersembam, dengan orang yang berjalan tegak di atas jalan yang lurus?" - Surah Al-Mulk, ayat 22

Wallahua'lam bissawaab.
————
Ikuti catatan saya di : www.tg-me.com/ustazsyamilesa
@ustazsyamilesa
Fakirkan dirimu, untuk dilimpahi kurniaan Yang Maha Kaya

Ada beberapa hari lagi yang tinggal untuk kita menggarap sebanyak mungkin ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT dalam 10 hari Zulhijjah tahun ini.

Himpunkan segala kedukaan, kesulitan, dan kesusahan dalam kehidupan kita, susunlah ia dalam munajat, air mata dan doa, lalu bayarlah dengannya untuk menjemput rahmat, ganjaran dan ketinggian martabat yang Allah sediakan.

Setiap anugerah itu, datang berkadaran dengan tahap kepasrahan hati kita di hadapan Tuhan.

"Bukankah Dia mendapatimu dalam keadaan yatim lalu Dia melindungimu, dan Dia mendapatimu tersesat (hilang arah) lalu Dia memberimu hidayah, dan Dia mendapatimu miskin maka Dia yang mengkayakanmu" - Surah Ad-Dhuha, ayat 6-8

Wallahua'lam bissawaab.
Selagimana jiwa kita menghadap-Nya, selagi itu kita dalam munajat

Ada persoalan yang dilontarkan kepada saya baru-baru ini, iaitu bagaimana kita mahu mempastikan diri dalam keadaan bermunajat ?

Saya cuba jawap dengan izin Allah.

1. Hidup dalam munajat adalah hidup yang paling bermakna, dan kehidupan itu ditonjolkan dalam Al-Quran dalam siri-siri kisah para Anbiya' dan orang-orang soleh yang digambarkan dalam Al-Quran.

"Mereka itulah orang-orang yang diberikan hidayah oleh Allah, maka dengan panduan mereka ambillah contoh" - Surah Al-An'am, ayat 90

2. Saiz munajat perlu difahami dalam skala yang lebih besar.

Ambillah contoh kefahaman daripada Surah Al-Mukminun, ayat 1-9 yang dimulakan dengan ciri mereka adalah orang yang khusyuk dalam solat, dan diakhiri dengan mereka itu menjaga solat. Di antara kedua-dua permulaan dan penghujung itu ada ciri-ciri melaksanakan zakat, menjauhi perkara sia-sia, menjaga kehormatan, dan menjaga amanah dan janji.

Dalam Surah Al-Maarij, ayat 22-34 juga perihalnya sama. Dimulakan sifat-sifat orang yang solat itu dengan orang yang sentiasa solat (daimun). Diakhiri ciri-cirinya dengan orang yang menjaga solat. Di antara kedua-dua permulaan dan penghujung itu ada ciri-ciri bersedekah, menjaga kehormatan, amanah dan janji.

Demikianlah difahami bahawa di antara dua ciri-ciri itu adalah sebuah kehidupan, yang sedang menterjemahkan makna dan intipati solat.

Dalam Surah Al-Hajj, ayat 77-78 juga kita dapati ia satu 'pattern' yang sama. Dimulakan dengan arahan untuk rukuk, sujud dan melakukan kebaikan. Kemudian saranan untuk berjuang menegakkan agama Allah SWT, lalu diakhiri pula dengan mendirikan solat dan menunaikan zakat serta berpegang dengan Allah SWT.

Seolah-olah Allah SWT sedang mengajar hamba-Nya bahawa solat itu, sepertimana ia adalah ibadah yang khusus dan lengkap dengan syarat dan rukunnya, ia juga adalah sebuah gaya hidup yang diterjemahkan dalam ciri-ciri yang disebutkan tadi dalam surah Al-Mukminun dan Al-Maarij, dan melaksanakan tuntutan-tuntutan yang disebutkan dalam surah Al-Hajj.

3. Perjuangan para anbiya' adalah tasbih mereka.

Nabi Musa AS menterjemahkan kefahaman ini dalam kerangka yang luas dan besar. Dalam surah Taha, ayat 25-35 apabila Allah SWT memerintahkan Nabi Musa AS untuk pergi melawan Firaun, baginda AS berdoa dengan doa yang masyhur ;

"Wahai Tuhanku, lapangkan dadaku, mudahkan urusanku, hilangkan kepelatan dalam lidahku, agar mereka memahami kata-kataku. Jadikanlah bagiku penolong daripada kalangan keluargaku, iaitu Harun yang merupakan saudara kandungku. Kuatkanlah dengannya kedudukanku, dan libatkanlah ia dalam urusanku (risalah ini)"

Inilah permintaannya. Sekarang mari kita teliti apakah pula yang bermain dalam pemikirannya :

"Agar kami sentiasa bertasbih kepadamu, dan sentiasa berzikir mengingatimu, sesungguhnya Engkau sentiasa melihat keadaan kami" - Surah Taha,

4. Tasbih adalah nafas alam ini. Setiap pergerakan dan posisi seluruh alam ini hakikatnya sedang bertasbih dan bermunajat kepada Tuhan.

"Tidakkah engkau melihat bahawa sesungguhnya segala yang ada di langit dan bumi ini sedang bertasbih kepada Allah serta burung-burung, dalam keadaan berbaris-baris. Setiap daripada mereka itu telah pun mengetahui 'solatnya' dan tasbihnya yang tersendiri" - Surah An-Nur, ayat 41

"Dan tidaklah semua perkara itu melainkan sedang bertasbih memuji-Nya tetapi kamu tidak memahaminya" - Surah Al-Israa', ayat 44

Apabila manusia bertasbih memuji Tuhannya (secara sedar dan pilihan) maka itu akan melorongkan mereka untuk turut serta dengan aturan alam sejagat ini. Ia akan membawa kepada ketenangan, kejernihan pandangan, kebahagiaan, dan kesenangan hidup.

Namun tasbih manusia juga perlu difahami dalam kerangka yang betul. Sepertimana tasbih matahari dan bulan adalah pada putarannya, tasbih burung dan tumbuhan pada fungsinya, demikian juga tasbih makhluk yang bernama manusia.
Ia bukan sekadar kalimah Subhanallah, kerana itu hanyalah sebuah kalimah, tetapi ia adalah kejernihan hati, keluasan kefahaman, dan kesungguhan jiwa, dalam memahami makna sebenar tasbih dan munajat, lalu menterjemahkan maknanya dalam sebuah kehidupan.

Pada ketika itu, seluruh hidupnya, makan dan minumnya, gelak tawanya, bangun tidurnya, semuanya adalah satu bentuk tasbih, memuji Tuhan dan mensucikan-Nya, tidak sekali-kali mensyirikkan-Nya, walaupun tidak terdengar kalimah tasbih itu pada mulutnya.

Ini kerana tasbihnya sudah sebati, menjadi sebuah kehidupan, dan dia hakikatnya sedang bertasbih selari dengan seluruh kewujudan.

"Katakanlah bahawa solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan Sekalian Alam. Tiada sekutu baginya, dan dengan itulah aku disuruh, dan akulah orang pertama yang berserah diri" - Surah Al-An'aam, ayat 162

Wallahua'lam bissawaab.
Bagaimana mendalami dalil ?

Bila kita baca sesuatu ayat Al-Quran, atau hadis Nabi SAW, atau kata-kata sahabat RA, cubalah untuk tidak berpada pada satu lapisan sahaja, iaitu hanya berpada pada terjemahan atau makna teks tersebut.

Di sebalik nukilan itu :

1. Ada cara fikir tertentu yang membuahkan kata-kata yang tinggi nilainya
2. Ada peristiwa yang sedang berlaku
3. Ada watak-watak yang sedang beraksi
4. Ada pengalaman dan latar belakang daripada apa yang telah berlaku
5. Ada garis masa tertentu yang menentukan apa yang sedang berlaku itu tepat pada masanya

Dan banyak lagi sudut-sudut yang boleh kita teliti, dalam memahami dalil, nas dan hikmah-hikmah mereka.

Dengan itu baru kita boleh memahami kemukjizatan Al-Quran, ketinggian nilai hadis dan kedalaman kefahaman para sahabat.

Pendek kata, kita kena hidup bersama mereka di dunia ini, untuk kita hidup bersama mereka di akhirat nanti.

"Dan tidaklah bagi manusia itu melainkan apa yang diusahakan, serta segala usahanya itu akan diperlihatkan. Kemudian dia akan dibalas dengan balasan yang setimpalnya" - Surah An-Najmi, ayat 39-41

Wallahua'lam bissawaab.
2024/11/18 13:41:30
Back to Top
HTML Embed Code: