Telegram Web Link
aksi takdir Yang Maha Kuasa.

Setelah itu tema yang ketiga muncul apabila seseorang yang berjiwa kental, kuat berusaha, mula menyedari kehadiran Tuhan dalam setiap sudut dalam kehidupannya, tidak akan redha jika Tuhan itu tidak dipertuhankan oleh manusia sekelilingnya. Dia lalu menjadi 'salah satu daripada takdir Tuhan' yang menjalankan amanah dan menunaikan risalah. Agar Tuhan itu disembah, agar Dia ditinggikan, agar kemahuan Dia di muka bumi dan alam manusia diutamakan. Lantas dia bangkit sebagai seorang pejuang, menterjemahkan akidahnya, dan menjalankan tugasannya, agar dia benar-benar mengotakan apa yang telah dia ikat janji sebelumnya.

Semuanya itu dilakukan dalam kerangka keredhaan, walau dicaci maki manusia seperti para Anbiya', walau dihalau dan dibunuh, namun kita mampu fahami intipati perjuangan ini dalam perenggan doa Nabi Muhammad SAW ketika dihalau daripada Thaif ;

"Selagimana Engkau tidak marah padaku, aku tidak peduli"

Doa yang telah terpancar dari wajah yang mulia, sejak hampir 1400 tahun yang lalu, mungkin baru kita fahaminya pada hari ini.

Wallahua'lam bissawaab.
Apakah kebahagiaan kita ?

Menuju hari yang semakin mencabar, pendefinisian makna-makna dalam kehidupan akan lebih teruji.

Benar, arus yang melanda akan meranapkan sesiapa yang tidak faham apa yang sedang berlaku.

Arus itu bukan sahaja menikam suasana masyarakat, ia juga menyerang susuk tubuh jatidiri muslim, hingga ke neraca pemikiran mereka dalam mentafsir kewujudan, agar neracanya selari dengan arus yang deras itu.

Ia bermula dengan paparan kebendaan, disaluti dengan syahwat yang tiada hadnya, hingga kehancuran nilai secara satu per satu tanpa sedar.

Memahami realiti sebegini, seperti yang disebut dalam hadis bahawa umat Islam akhir zaman ibarat sedulang makanan yang sedang dikerumuni manusia, muhasabah adalah jalan terbaik bagi memulakan apa-apa langkah.

Muhasabah kembali ; siapakah kita, ke manakah kita akan pergi, dan kenapa kita berada di sini ?

Persoalan itulah sebenarnya, jika dijawab dengan benar, akan mendefinisikan ; apakah itu erti kebahagiaan dalam hidup kita ?

Saya pernah diberi pinjam oleh seorang sahabat senaskhah buku kecil yang ditulis oleh SMN Al-Attas yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, yang menghurai makna kebahagiaan dan pengalamannya dalam Islam.

Secara ringkasnya buku itu tinggi nilai perbahasannya, kerana terdapat sorotan sejarah dan kritikan ilmiah dalam pengalaman Barat terhadap nilai kebahagiaan, serta huraian yang panjang dan mendalam terhadap makna kebahagiaan secara satu per satu bermula dari kefahaman keimanan dan tasawwur yang benar, hingga ke tahap kebahagiaan tertinggi iaitu menatap wajah Tuhan di syurga nanti.

Namun apa yang saya ingin ketengahkan isu ini dengan lebih santai agar ia dicerna dengan mudah walaupun ia dalam kerangka yang sama iaitu 'menuju kebahagiaan hakiki'.

Bagi saya, kebahagiaan kita diukur dengan kehidupan harian kita.

Apa yang selalu kita buat, itulah hakikatnya yang kita anggap ia membantu hidup kita. Dalam erti kata yang lain, itulah keamanan dan ketenangan dalam hidup kita. Walaupun pada ketika itu kita rasakan ianya sangat menggeramkan, perasaan marah dan serabut, kita yakini satu masa nanti ia menuju kebahagiaan.

Seorang yang bekerja keras, ketika kerja mungkin dia penat, dimarahi bos, ditengking sana sini kerana tak siap kerja, dipantau ketat hingga mengganggu privasi dan sebagainya, dia hakikatnya sedang membeli kebahagiaan yang didambakan, suatu hari nanti. Boleh jadi ia berupa limpahan gaji yang dikumpul hingga boleh melabur dan boleh bebas daripada kekangan kewangan, boleh jadi juga legasi harta yang boleh memberi makan hingga ke cicit, atau pun yang sewaktu dengannya.

Samalah juga dengan seorang guru yang berdedikasi, walaupun gajinya mungkin tak setimpal usahanya, disuruh buat kerja yang selain dari bidang tugasnya, namun hakikatnya dia sedang membeli kebahagiaannya pada satu hari nanti, boleh jadi ia berupa pembentukan generasi yang terdidik, boleh jadi ia berupa legasi kepimpinan negara akan datang.

Hakikatnya, kita yang menentukan, apakah jenis kebahagiaan yang sedang kita bayar pada hari ini.

Mari kita cuba untuk menjadikan Al-Quran sebagai panduan untuk mendefinisikan 'bahagia' dan 'cara bayarannya' agar kita tidak tersalah maksud, lalu tersingkir dalam jalan-jalan menuju kebahagiaan hakiki.

Al-Quran menggariskan kebahagiaan adalah golongan yang masuk ke dalam syurga (Surah Hud), melihat Tuhannya (Surah Al-Qiyamah), orang yang beramal soleh (Surah An-Nahl), dan bermacam bentuk diceritakan kebahagiaan bagi orang-orang yang beriman.

Mengenai 'cara bayaran' kebahagiaan itu, boleh kita fahami dengan kisah-kisah yang ditunjukkan oleh Al-Quran dalam kisah para Anbiya', dan juga seerah Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan cara yang jelas bagaimana menuju kebahagiaan.

Kerangka bahagia kebiasaannya dilihat pada skala individu secara khusus.

Namun Al-Quran kerapkali mengetuk pintu hati dan akal kita bahawa 'ia bukan semata-mata diri kita'. Isu 'ananiyah' atau 'selfishness' atau 'keakuan' yang ditanam dengan rancak oleh arus deras jahiliyah pada hari ini, boleh difahami dalam kerangka al-Quran bahawa ia adalah satu kerangka te
rcela seperti kisah Qarun dan Firaun.

Qarun walaupun tidak sampai mengaku Tuhan, tapi keakuannya yang melampau akhirnya menenggelamkan dirinya di dalam tanah. Firaun dengan keakuannya yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan, akhirnya tenggelam dalam laut dengan tenteranya sekali. Kisah kaum-kaum yang dihapuskan, diterbalikkan, hakikatnya di sebalik itu ada kisah 'kebahagiaan yang dicari' hingga menatijahkan perkara yang tidak diingini.

Bukalah Al-Quran, kita akan dapati segala konflik antara para Anbiya' dengan pendustaan kaumnya adalah kerana 'kebahagiaan' yang bertentangan dengan kehendak 'kebahagiaan' mereka. Kaum Aad, Tsamud, Madyan, Lut dan sebagainya, semuanya ada jalan tersendiri menuju kepuasan hidup mereka.

Mereka sendiri faham bahawa seruan akidah tauhid dan menjauhkan syirik yang dibawa para Anbiya' bukan semata-mata seruan ritual dan bersifat metafizik sahaja, bahkan ia adalah seruan penukaran definisi kehidupan, hingga menggugah definisi kebahagiaan di sisi mereka.

Dengan itu mereka menolaknya seboleh mungkin, walau mukjizat sehebat macamana sekali pun, mereka tidak mahu sekali-kali definisi kebahagiaan itu ditukar.

Al-Quran telah menjelaskan dengan mudah perkara ini (Surah Al-Qamar) agar kita ambil peringatan.

Kebahagiaan di sisi Anbiya' adalah jihad, pengorbanan, misi risalah, dan kebersamaan orang-orang soleh. Semuanya itu adalah kebahagiaan yang membawa kepada kebahagiaan hakiki. Itulah cara bayarannya.

Perhatikan setiap doa-doa yang dirakamkan dalam Al-Quran, kita akan dapati semua doa itu adalah harapan dan cita-cita mereka. Apabila ia dirakam dalam al-Quran, itu bermakna ia benar-benar punyai maksud dan isyarat yang cukup keramat kerana ia dibaca berulang kali hingga akhir zaman.

Arus deras hari ini hanya boleh ditangani dengan kembali kepada neraca Al-Quran. Menghidupkan masyarakat dengan nilai Al-Quran. Mengalirkan Al-Quran dalam segenap kehidupan kita. Menghidupkan Al-Quran dalam jiwa-jiwa kita. Memandang kehidupan sepertimana yang digambarkan Al-Quran, dan hidup sepertimana yang dikehendaki Al-Quran, hingga menjadi Al-Quran yang hidup di tengah masyarakat.

Lalu ... dalam muhasabah ini, bangunlah di tengah malam, buanglah egomu , ambillah Al-Quran yang dahulunya engkau selalu letakkannya dalam poket baju kini sudah diletakkan di rak buku, dengan alasan 'Al-Quran sudah dalam telefonku', renungi satu persatu ayat-ayat itu, imbaslah kembali kesungguhanmu ketika di awal-awal engkau cuba memahami makna-makna kalam Tuhanmu, tanyakan pada dirimu,

Di mana semangatmu yang dulu ? Adakah semakin lama engkau semakin dungu ? Atau semakin lama hatimu sudah pun menjadi batu ?Adakah kefahamanmu terhadap Al-Quran semakin bertambah ? Adakah hidupmu semakin menggambarkan Al-Quran itu ? Adakah jiwamu sudah pun menterjemahkan Al-Quran ? Adalah kau dapati dirimu dalam kalangan mereka yang berjaya ? Atau kau dapati dirimu punyai ciri-ciri manusia yang diseksa di neraka ?

Kasihanilah dirimu, saban tahun dengan Al-Quran, namun tidak pernah dicintainya.

Selepas itu ... hanyutkanlah dirimu, bersama deraian air mata yang sudah lama tidak mengagungkan Penciptanya.

Pada ketika itu, kita akan sedari :

Adakah kebahagiaan selain dari ini ?
Kisah ahli zuhud dan pengisar gandum

Suatu hari, ada seorang ahli zuhud yang sudah pun berkeluarga, tidak mendapati apa pun yang ingin dimakannya di rumahnya.

Sang suami dengan penuh yakin menyatakan kepada isterinya ; Infaqkanlah (sedekahkanlah) kesemua apa yang ada di rumah ini. Kemudian sang suami pun keluar rumah.

Lalu sang isteri mengumpul semua yang ada, hinggalah apabila dilihatnya pengisar gandum, beliau merasakan bahawa mungkin-mungkin satu masa nanti mereka akan memerlukannya. Jadi isterinya menginfaqkan keseluruhan barang yang ada di rumah itu, kecuali pengisar gandum.

Tiba-tiba setelah itu, ada orang mengetuk pintu. Dikatakan bahawa sejumlah gandum telah diberikan kepada sang suami tadi (seorang syeikh), gandum itu memenuhi ruang rumahnya.

Apabila sang suami balik, beliau bertanya kepada isterinya ;
"Apa yang telah engkau lakukan dengan permintaanku sebelum ini ?"

Isterinya berkata : "Aku telah sedekahkan kesemuanya kecuali pengisar gandum ini, kerana aku risaukan satu masa nanti kita akan perlukannya"

Lantas sang suami menjawab : "Ketahuilah bahawa sekiranya engkau sedekahkan sekali pengisar gandum ini, nescaya rumah ini akan dipenuhi dengan tepung, tetapi engkau menyimpannya (pengisar gandum), lalu kita diuji pula dengan kepenatan menggunakan pengisar gandum ini (untuk menghasilkan tepung)."

- At-Tanwir fi Isqat At-Tadbiir, Ibnu Atha'illah As-Sakandari

Berapa ramai daripada kita yang memerlukan nasihat ini ?

Pada zaman manusia mengejar harta, mengumpul legasi, dan membesarkan poket sendiri, hanya kerana takutkan 'masa depan yang tak menentu', 'harga rumah makin naik', 'kalau tak beli sekarang nanti makin mahal', akhirnya dikhuatiri kita lupa bahawa Tuhan yang menjaga kita sejak sebelum lahir, Dia jugalah yang akan menjaga kita hingga kita meninggalkan dunia ?

Hingga lupa bahawa Dialah yang memberi dan mengambil, pada-Nyalah kunci segala rahsia, kunci segala rezeki, kunci segala ketinggian.

"Dan suruhlah keluargamu dengan solat, dan bersabarlah ke atasnya (tugasan itu). Kami sedikitpun tidak meminta kamu memberi Kami rezeki, kerana Kamilah (hakikatnya) yang memberimu rezeki, dan penghujung yang baik adalah bagi (orang-orang) yang bertaqwa" - Surah Taha

Akhirnya dikhuatiri kita lupa, bahawa kita hidup di dunia ini dengan tugasan tertentu, memikul amanah tertentu, bukan semata-mata menjadi 'hamba' kepada harta, hingga lupa kepada Dia.

"Bukankah Allah itu akan mencukupkan hamba-Nya ?" - Surah Az-Zumar

Wallahua'lam.
[KELAS THAQOFAH]

🆔 Jemputan ke kelas pengajian Kitab Ad-Daa' wa Ad-Dawaa' karangan Ibnu Qayyim (751H) yang di sampaikan oleh al-Fadhil Ust Syamil Esa kepada semua Mahasiswa yang berada di Mesir,

🔰 Berikut maklumat kelas:

❇️Kelas Ad-da' Wa Dawa' 📣📣📣
❇️Penyampai : al-Fadhil Ust Syamil Esa
❇️ Jam : 5.30 am
❇️ Tempat : Pejabat ISMA-Mesir
❇️ Hari : Khamis
*IKHWAH sahaja
Jangan mencarik wala' sesama muslim

Suasana pilihanraya yang hangat pada kali ini, yang bagi sesetengah pihak adalah perjuangan hidup dan mati sesebuah organisasi dan parti politik tertentu, mengundang pelbagai perkara yang boleh dipandang dari pelbagai sudut.

Pertembungan antara parti dan calon membawa kepada perdebatan dan perbalahan antara pihak penyokong masing-masing hinggakan ada yang melihat bahawa ia adalah jihad antara hak dan batil hingga boleh ditakwil seolah mengeluarkan lawannya daripada agama, ada pula yang melihat bahawa ia adalah persoalan politik yang mempunyai sudut pandang berbeza, namun walaupun demikian ia juga mengatakan bahawa lawannya adalah bersekongkol dengan pencuri, sedangkan kedua-duanya adalah kesalahan yang nyata dalama membuat pertimbangan.

Medan pilihanraya adalah medan pemilihan pemimpin negara dalam kapasiti rakyat di dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Umum mengetahui bahawa negara demokrasi ini diwarisi daripada British yang mensyaratkan agar sistem ini digunapakai bagi memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Sistem demokrasi ini bukanlah daripada asal usul agama dan warisan orang Melayu. Ia adalah sistem manusia yang dicipta untuk tujuan tertentu dan melihat kerangka pemerintahan dalam kerangka tertentu. Yang mengasaskan demokrasi pun cuba mengubahsuai sedikit sebanyak konsepnya agar sesuai dengan tuntutan dan agenda mereka.

Namun kesatuan umat Islam, neraca akidah yang dibawa oleh Al-Quran dan Sunnah serta tabiat perhubungan sesama muslim dan non muslim sudah jelas dan tidak boleh dirungkai oleh mana-mana sistem yang baru digubah oleh manusia.

Saya ingin mengajak kepada semua yang ingin berpencak di medan politik dan berbahas bagi menyatakan pandangan peribadi atau jemaahnya, jagalah kesatuan umat Islam, janganlah mencarik wala' sesama umat Islam, lihatlah medan politik dalam kerangka ibadah yang mencari keredhaan Tuhan, bukan keredhan orang yang hidup tak bertuhan, kembalilah kepada asal kefahaman kita sebagai sebuah umat yang bersatupadu, menjaga hubungan yang tua, menghormati alim ulama, serta menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan utama.

Medan politik hari ini bercampur baur, suasana pada hari ini juga bercelaru, dengan kefahaman masyarakat khususnya umat Islam juga bercelaru. Kita mula melihat politik sebagai sebuah rangka pengurusan dan sistem, tanpa melihat ia sebagai sebuah tugas, tanggungjawab, persaksian di hadapan Allah, ibadah dalam realisasikan kehendak syarak dalam memikul tugas khalifah Allah di muka bumi.

Penilaian syarak yang dibuat juga cukup kompleks dan tidak semudah halal dan haram. Ia hanya dapat dilihat dalam kerangka taghlib dan taqrib yang punyai syarat dan disiplin yang ketat.

Kembalilah kepada asal usul kita, orang Islam dan bangsa Melayu.

Jangan seronok sangat bergaduh, hingga memberi bola tanggung kepada musuh.

Wallahua'lam bissowaab
Kalau dua-dua dikatakan tak betul, apa yang betul ?

Itu mungkin komentar atau luahan sesiapa yang melihat golongan non partisan yang dilihat tidak menyebelahi mana-mana blok politik secara total, secara iktikad dan keyakinan, atau secara pragmatik dan politikal.

Berikut adalah huraian saya dalam merungkai persoalan ini :

1. Suka untuk saya ajak kita bersama melihat dunia ini dalam beberapa kerangka yang berbeza, bukan sahaja kerangka politik kepartian yang berkaitan pilihanraya, manifesto, calon tertentu, dan kempen tertentu.

Lihatlah dalam kerangka bahawa setiap daripada umat Islam hanya memiliki beberapa juzuk daripada kebenaran, dia tidak mempunyai kebenaran yang solid, melainkan apabila mereka bersatu. Ini dijamin sendiri oleh Allah SWT apabila memberikan pengiktirafan bahawa maksumnya umat ini apabila dia bersatu sebagai satu umat.

Lihatlah bahawa diri kita disatukan dengan nilai tertinggi iaitu nilai akidah, yang ada padanya sebuah risalah, yang berbeza neracanya, ciri-cirinya, cara dan misi hidupnya dengan orang lain.

Hargailah nilai ini lebih tinggi daripada mana-mana nilai sekalipun, dalam apa warna sekalipun.

2. Mana-mana seruan dalam "berpolitik kepartian" adalah mengambil hukum darurat yang perlu diambil sekadarnya, bukan diambil kesemuanya seolah-olah ia adalah sebuah agama.

Maksud darurat di sini adalah berdasarkan keperluan dan maslahat muktabar sahaja, bukanlah sebagai seruan untuk orang memahami agama dan satu-satunya jalan ke syurga.

Ini kerana tabiat politik kepartian adalah memecah belahkan, menimbulkan persengketaan, mencarik wala' dan kesatuan umat Islam, serta mengundang permainan politiking ala-barat dalam jatuh menjatuhkan antara kem dan pengaruh, konspirasi belakang tabir, mesyuarat dalam mesyuarat, keputusan luar mesyuarat, yang langsung berbeza dengan tatacara dan adab Islam.

Masuknya kita dalam sistem begini kerana kita 'dipaksa' untuk menerima sistem begini. Saya tidak katakan ia adalah sistem yang kufur, tapi saya berani menyatakan bahawa jika dibiarkan berlanjutan tanpa pedoman ia akan menguntungkan agenda orang kafir berbanding agenda Islam.

3. Dalam bertaamul dengan keadaan-keadaan tidak ideal ini atau keterpaksaan ini, langkah paling strategik adalah langkah membina kekuatan agar berpindah keadaan ideal iaitu di luar keterpaksaan (kemerdekaan dalam menentukan halatuju, nasib dan masa depan sendiri). Bukanlah menyusun langkah sepenuhnya dan pertaruh sepenuhnya tenaga, wang ringgit, masa dan segala aset yang ada hanya kerana ingin memenangi pertempuran demi pertempuran tetapi dalam masa yang sama ia hanyalah membesarkan lagi bulatan keterpaksaan.

Kita harus menerima hakikat bahawa pilihanraya dan peti undi bukanlah segala-galanya dalam menentukan nasib dan masa depan umat Islam. Tanpa menafikan kepentingan mengundi dan keterlibatan dalam politik, di sana ada perkiraan lain yang lebih bermakna dalam menentukan nasib dan masa depan kita.

4. Umat yang sedang sakit bukan memerlukan "masyarakat" yang hanya mencari-cari siapa pemimpin yang terbaik, adakah mereka boleh memilih dengan telus, adakah manifesto parti itu membawa kepada kesejahteraan sejagat, bersihkah calon itu hingga layak diundi hinggalah persoalan-persoalan lain mengenai orang lain (yang penting bukan dirinya).

Umat yang tenat memerlukan ubat. Ubat itu adalah seruan kebangkitan, berakar umbi dari fitrah keimanan, fitrah yang tidak redha dengan penjinakan dan ketundukan kepada polisi-polisi taghut hingga memaksanya untuk hidup di tepi-tepian syariat, sambil mencarik-carik kesatuan umat, yang akhirnya menjadikannya malu dengan keislamannya sendiri.

Apabila umat sudah bangkit, pemimpin akan zahir secara semulajadi, tanpa kempen dan manifesto, ia akan diangkat oleh masyarakat yang bertanggungjawab, yang bersama-sama bersedia untuk memikul tugas membina negara, walau apa masalah sekalipun yang menimpa.

Dalam kisah Talut dan Jalut banyak pengajarannya.

5. Kekuatan kita adalah bermula pada kefahaman kita bahawa kita adalah satu umat yang miliki mandat dan autoriti kebenaran, sekiranya kita bersatu.

Ia hakikatnya adala
h satu manifestasi tauhid, di mana apabila kita mengucapkan kalimah syahadah, akan terbit secara semulajadi ikatan wala' sesama pengucap kalimah syahadah, akan terbit secara semulajadi, rungkaian (baraa') kepada sesiapa yang menentang kalimah itu, secara jelas atau sembunyi.

Kesatuan kita adalah kebenaran, apabila kita mula berpecah dan berlaga, kebenaran akan terpecah dan membawa sekali serpihan kebatilan.

6. Dalam isu kekuatan dan kesatuan, perkara paling utama adalah kelayakan dalam memandu kekuatan dan kemampuan untuk mencipta kesatuan.

Permasalahan ini boleh dirungkai dengan melihat amal dalam kerangka yang betul, mendidik umat dalam neraca dan cara yang betul, serta memandu umat agar berpegang dengan seruan-seruan hakiki yang jelas, tetap, dan tidak berubah-ubah.

Adapun sekiranya kita hanya menyibukkan umat dengan gosip politik, berita sensasi dan viral, perdebatan antara ahli-ahli politik yang takkan berkesudahan hingga turunnya Dajjal, kita hakikatnya sedang membina dan menguatkan bulatan kelemahan, atas paksi keterpaksaan, bahkan mengetatkan lagi tali-tali perhambaan kepada kuasa-kuasa besar.

7. Celik politik bukanlah maknanya celik berpolitik dalam kerangka kepartian dan demokrasi dalam cara pandangan kita.

Celik politik adalah memahami dan menyedari apa yang berlaku dengan neraca yang betul dan melakukan tindakan yang betul mengikut neraca dan pertimbangan yang betul.

Tidak semestinya celik politik itu mesti pandai bercakap, Nabi Musa AS pun tidak fasih bercakap namun dia berjaya dalam misinya menyelamatkan Bani Israel dari perhambaan firaun.

Umar Al-Khattab menyebut : "Aku bukanlah seorang penipu tetapi penipu tidak boleh menipu aku"

8. Orang yang menang dan mulia adalah siapa yang memenangkan Allah, Rasul-Nya dan orang mukminin.

Ini adalah hakikat daripada hakikat-hakikat kebenaran.

Kemungkinan pada lensa politik kepartian, ia berbeza kerana maslahat parti dan rakan-rakan parti lain akhirnya menjadikan perkara ini ditutup sebelah mata.

Kerangka politik demokrasi khususnya menjadikan kita seolah-olah mengabaikan kefahaman ini. Kita katakan dalam kerangka demokrasi, kefahamannya perlu berbeza, lalu kita dengan iktikad dan senang hati tanpa sedikit pun rasa segan silu dan serba salah, memberi ruang pentadbiran penting dalam umat Islam diberi kepada orang kafir, semata-mata mahu menaikkan bakal 'Al-Mahdi' kita yang akan mengubah segala-galanya.

Kita anggap bayangan masa depan yang kita khayalkan itu lebih baik daripada arahan dan saranan Tuhan yang jelas, tetap dan muhkam ?

Adakah kita lebih tahu berbanding Tuhan ?

9. Atas sebab itu dalam meneliti perkara tidak menentu untung rugi, kita perlu pilih dahulu perkara yang pasti tidak akan rugi.

Namun kebiasaannya kita memandang untung rugi itu hanya dalam skala dan kerangka politik kepartian, jauh sekali dilihat dalam ruang lingkup perhambaan.

Mungkin sebab itu kita sentiasa dipolitikkan, bukan dibawa bersama-sama menuju Tuhan.

Sepertimana kita buat, demikianlah kita diperlakukan.

10. Seruan agar keluar daripada kerangka politik kepartian bukanlah seruan agar menolak realiti. Tetapi ia adalah seruan untuk melihat realiti.

Sudah berapa lama kita berpencak berlawan sesama kita namun ia hanyalah menghasilkan perkara yang sama, kes dan kejadian yang sama, tragedi yang sama, serta pengulangan drama politik dengan plot-plot yang sama.

Pernahkah kita tanya, kita ini sedang pergi ke mana ?

Itulah sedikit sebanyak huraian saya kepada persoalan utama di atas, ia hanyalah apa yang Allah buka pada saya buat masa ini.

Wallahua'lam
Yang pasti dan yang tidak pasti

Dalam kaedah syarak, sekiranya keyakinan (Al-Yaqin) bertembung dengan kemungkinan (Adz-Zon atau As-Syakk yang lebih rendah martabatnya), keyakinan akan diberatkan atau diutamakan berbanding kemungkinan yang ada.

Melainkan kemungkinan itu punyai qarinah kharijiah (dalil penguat dari luar) yang lain hingga menjadikan dzonniy binafsihi (kemungkinan secara zat) itu jadi yaqiin li ghairihi (keyakinan dengan sokongan lain).

Begitulah dalam apa-apa pilihan dalam kehidupan ini, termasuklah pilihanraya.
Membuat pilihan terbaik juga adalah termasuk dalam kategori menilai kemungkinan dan keyakinan.

Hasil keputusan adalah umpama kemungkinan, dan ia tidak akan jadi keyakinan kerana ia adalah ibarat menilik masa depan dan menilai musabbab dan akibat. Tiadalah yang layak menilainya (itupun secara dzonniy sahaja) melainkan para mujtahid yang pakar dalam perihal tersebut, ia sudah pasti bukan bidang orang awam.

Namun untuk orang awam, kita ada bidang yang boleh kita mainkan. Iaitu bidang yang pasti.

Apakah bidang itu ? Ia adalah melantik orang yang betul dalam memimpin negara.
Bukan orang yang ‘boleh jadi’ betul, kejap betul kejap tak betul, kejap sana kejap sini, lompat sana lompat sini, disiasat sana sini, hingga ke beribu persoalan yang meletakkan ‘tanda soal’ yang cukup besar pada dirinya sendiri, adakah statusnya yang tidak stabil dan penuh tanda tanya itu dan penuh dengan kemungkinan berupa taubat dan insaf, menghapuskan dosa lalu dengan cara tersendiri (bukan cara syarie), tiba-tiba mematikatakkan para syuhada’ (saya yakin tiada seorang pun pimpinan PH yang menjangka perkataan ini boleh keluar daripada mulut beliau, hakikatnya ia hanyalah satu daripada bermacam-macam lagi grey area yang pimpinan PH tak faham atau sengaja tak nak faham) lalu melayakkan kita untuk meletakkan dirinya sebagai calon yang kita yakini dia boleh memacu negara dengan agenda yang dituntut agama ?
PAS jadi pemecah undi, itu hanya jangkaan dan bacaan. PAS juga boleh kata benda yang sama kepada PH hatta BN sekalipun.

PAS hanya memenangkan BN, itu juga jangkaan dan bacaan. PAS pun boleh kata benda yang sama kepada PH hatta kepada BN sekalipun.
PAS kalau jadi hung parliment akan taawun dengan BN, itu juga bacaan dan jangkaan. Kenapa rasa looser dan inferior sangat ? Semua yang berlaku talakan kesalahan kepada PAS ?

PAS dah perjelas sejelasnya siapa yang terima syaratnya boleh bekerjasama. Itulah politik namanya. Tiada kawan sejati sepertimana tiada musuh sejati.

Pendek kata, jangan balah sangat isu keputusan, nanti kita leka dengan kerja asasi kita, iaitu melantik/mengundi orang yang sepatutnya.

Kerja kita adalah buat benda yang pasti, mengambil asbab sekuat mungkin, dan serahkanlah natijah kepada Allah SWT.

Natijah boleh dijadikan pertimbangan sekiranya ia hanya menguatkan/menekunkan lagi kita dalam mengambil asbab atas asas syarak, bukan dengan ukuran kepada natijah tertentu kita lari daripada landasan syarak lalu dengan tanpa segan silunya kita angkat pemimpin yang menentang agama, mengangkat agenda kesamarataan antara agama, menyebarkan kristianisasi, memberikan kelonggaran kepada golongan LGBT dan sebagainya, demi sebuah ‘kemungkinan’ mereka akan menang dan jatuhkan BN dan ‘kemungkinan’ mereka akan berubah, bertaubat, dan ‘kemungkinan’ mereka akan bawa negara ke tempat yang lebih baik.

Ketahuilah kemungkinan-kemungkinan yang baik itu tadi tidak akan terbit daripada keyakinan-keyakinan yang tidak baik. Ia ibarat mengharapkan unta masuk ke dalam lubang jarum.

Justeru saya menyeru, pada hari-hari hujung nak mengundi ni, meh pakat-pakat pilih calon terbaik. Tak payah fikir sangat benda di luar kawalan kita, sebab kita tak ditanya mengenai benda itu.

Jika kita undi calon parti A yang kita yakini kewibawaannya dan kewarakannya, lalu dia kalah, kita ada alasan kukuh di sisi Allah SWT untuk jawab, kerana hakikatnya kita sudah menang dalam mengundi. Kalau menang alhamdulillah, kita berjaya meletakkan seorang calon muslim berwibawa dalam parlimen yang bakal mengurangkan suasana macam pasar malam di sana dalam persidangan
nanti.

Namun jika kita undi calon parti B yang kita nampak jelas kerosakannya, penentangan agamanya, tidak hormat institusi islamnya, lalu dia menang dan teruskan dengan agenda peribadi dan kerosakannya, apa kita nak jawab di hadapan Allah SWT nanti ? Ada hujjah ke nak jawab bila Allah tanya kenapa naikkan orang yang lawan agama-Nya ? Takkan nak cakap sebab semata-mata nak jatuhkan Najib kot ?

Demikianlah sedikit sebanyak lontaran di pagi Ahad ini, agar kita berfikir dalam kerangka syarak, mendahulukan apa yang kita kena buat dan apa yang kita yakini, berbanding apa yang di luar kerja kita, dan kemungkinan-kemungkinan yang tidak menentu hala.

Nasihat saya, undilah calon muslim berwibawa.

Wallahua’lam bissawab.
Ramadhan dan Al-Quran

Apabila bulan Ramadhan hadir dalam kehidupan kita, ia hadir dalam kerangka muhasabah dan peringatan kepada kita, dalam menilai hubungan kita dengan Allah SWT, yang diukur dengan neraca jauh dekatnya kita dengan neraca Al-Quran.

Ramadhan adalah bulan turunnya Al-Quran, ia adalah sebaik-baik bulan kerana padanya diturunkan Al-Quran pada malam Al-Qadr. Sepertimana ia adalah demikian, seperti itu juga ia harus dilihat ia adalah sebaik-baik masa untuk kita melihat diri kita dalam neraca Al-Quran.

Apa yang dimaksudkan dengan neraca Al-Quran ?

Ia adalah melihat Al-Quran sebagai pembaris dan kayu ukur, terhadap kebenaran dan perspektif yang kita lihat terhadap diri kita, kehidupan dan kewujudan kita.

Pada malam pertama semalam, mungkin sebahagian daripada kita ada mentadabbur awal-awal surah Al-Baqarah. Ia memperlihatkan ciri-ciri munafiq yang seperti lalang, hanya melihat sisi yang pragmatis bersalut nafsu, di samping mendakwa bahawa ia adalah ‘maslahah’ bagi manusia.

Hakikatnya mereka menjual akhirat untuk habuan dunia, suatu perniagaan yang tidak pun untung sebenarnya, walau di kaca mata mereka itu adalah maslahah dan keuntungan. Allah SWT juga mengibaratkan mereka seperti orang yang menyalakan api tetapi terus terpadam serta merta dan mereka ditinggalkan dalam kegelapan tanpa cahaya untuk melihat. Mereka itu adalah buta, pekak, bisu, yang tidak akan menjumpai jalan pulang.

Di tengah-tengah juzuk pertama kita melalui episod perjuangan Nabi Musa AS bersama umatnya Bani Israel. Kerenah mereka yang terlalu rumit, dari sudut tidak bersyukur, pertikai arahan Tuhan, memanipulasi hukum hakam, hinggakan ada yang meminta untuk melihat Allah SWT baru mahu beriman. Ini adalah sifat-sifat yang dikeji yang sesuai untuk kita lihat diri kita dalam kerangka ini, mana tahu diri kita juga ada sifat-sifat sebegini dalam hubungan kita kepada Tuhan.

Kemudian kita menyusuri lagi sifat-sifat Bani Israel dan Al-Quran secara terus terang menceritakan bahawa Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha dengan umat Islam hinggalah umat ini mengikut kehendak dan cara hidup mereka.

Ini adalah sifir perjuangan yang tidak akan berubah dari dahulu hingga sekarang. Pertembungan hak dan batil yang tiada padanya tolak ansur dan tawar menawar.

Kemudian diceritakan kisah wasiat Nabi Yaakub AS kepada anak-anaknya. Baginda bertanya siapakah yang akan disembah selepas kematiannya ? Mereka menjawab : Kami akan menyembah Tuhanmu, yang merupakan Tuhan ayah-ayahmu Ibrahim, Ismail, dan Ishak, satu-satunya Tuhan yang Esa yang mana kepada-Nyalah kami berserah diri.

Ia adalah jawapan bersendikan kefahaman bahawa perjuangan turun temurun itu atas asas akidah yang sama, suatu rantaian yang tidak pernah putus dari sebelumnya, suatu kafilah dakwah yang berjalan dengan mesej yang sama, risalah dan misi yang sama, membentuk pelapis dan pengganti dengan kefahaman yang sama dan tarbiyah yang sama, hingga akhirnya perjuangan itu kekal zaman berzaman, dengan roh dan jiwa yang sama hingga ke akhir zaman.

Pada akhir juzuk satu kita melihat bahawa kefahaman dan generasi para anbiya’ itu akhirnya bukanlah membawa identiti diri mereka yang dicipta dengan kreativiti sendiri dan celupan-celupan lain, bahkan ia adalah celupan Tuhan, tarbiyah daripada Tuhan, identiti yang dibentuk Tuhan, dan kerangka perjuangan yang ditentukan Tuhan. Ia melambangkan suatu bentuk riayah (penjagaan) ilahiyah pada tahap tertinggi, yang akhirnya menuntut kita untuk bekerja bersungguh-sungguh dalam kerangka perjuangan ini, di bawah kehendak-kehendak rabbani.

Lalu kita akhiri juzuk satu itu dengan satu kesimpulan ; bahawa demikianlah umat terdahulu yang telah lepas, bagi mereka apa yang mereka kerjakan, bagi kamu apa yang kamu kerjakan, dan kamu tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang telah mereka lakukan.

Ya, ia adalah seruan untuk beramal, seruan untuk menyingsing lengan, bukan seruan untuk bernostalgia dan membaca sejarah umat terdahulu, bahkan ia adalah seruan Qurani yang sangat tepat menusuk ke dalam lubum hati manusia, agar mereka berada dalam landasa
n yang sepatutnya.

Demikianlah sedikit sebanyak, bagaimana Al-Quran mahu membentuk generasi yang praktikal dan pro-aktif, sekiranya kita benar-benar memahami.

Ambillah sedikit masa dalam hari-hari bulan Ramadhan ini, untuk kita merenungi dan mencermin diri, dalam cerminan Al-Quran.

Moga dengan demikian, kita mampu menjadi golongan yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan ganjaran.

“Apakah mereka itu tidak mentadabbur Al-Quran ? Ataupun hati mereka telah terkunci ?” - Surah Muhammad

Wallahua’lam.
Kisah para anbiya' bukan kisah nostalgia

Itulah yang terlintas apabila mendengar bacaan imam pada malam-malam Ramadhan mengenai silsilah perjuangan para anbiya'.

Silsilah yang berkesinambungan, mempunyai plot-plot yang berbeza, watak yang berbeza, namun temanya tetap sama. Tema risalah, perjuangan menegakkan tauhid, bukan semata-mata permasalahan sosial dan ekonomi semasa, sebaliknya mengembalikan manusia kepada Tuhannya, agar beroleh kebahagian di dunia dan akhirat.

Al-Quran tidak akan menceritakan kita satu perkara yang hanya menjadi halwa telinga dan berlalu begitu sahaja. Ia adalah panduan, petunjuk, pedoman, dari awal-awal ia turun hingga akhir zaman.

Sepertimana ia dijadikan sebagai 'penghibur' (tasliyah) dan pengubat buat Nabi SAW dan para sahabat RA, ia juga sebagai satu manual utama bagi mereka dalam mengharungi kehidupan sehari-harian dalam perjalanan menegakkan risalah yang panjang ini.

Kisah-kisah para anbiya' yang dihimpunkan dalam Al-Quran adalah sebaik-baik kisah. Ia diterjemahkan dan dikisahkan kepada manusia dalam bentuk yang pelbagai.

Ada yang berbentuk kisah detail sejak nabi AS kecil hingga ke besar (seperti kisah Musa AS bermula daripada ketika baginda AS bayi, bagaimana beliau berkahwin, mendapat wahyu di bukit Tursina, hinggalah tenggelamnya Firaun, dan hinggalah kisah menyayat hati bagaimana Musa AS ditolak mentah-mentah oleh kaumnya sendiri untuk memasuki Baitul Maqdis kerana sifat mereka yang malas & pengecut (surah Al-Maidah). Diriwayatkan bahawa Nabi Musa AS wafat ketika Bani Israel sesat di padang pasir kerana tidak dapat memasuki bumi Palestin (sesat).

Ada yang berbentuk kisah bagaimana nabi AS mula-mula mendapat wahyu, seperti kisah Nabi Ibrahim AS, yang bermula dengan dialog baginda dengan ayahnya (ada riwayat mengatakan itu pakciknya), kemudian kisah baginda melihat bintang, bulan dan matahari untuk membuktikan kewujudan Tuhan, diteruskan pula dengan kisah baginda AS berhujjah dengan kaumnya hingga dibakar, dan diusir daripada kaumnya sendiri. Di tengah-tengah surah pula tiba-tiba dibawa pula kisah malaikat yang memberi khabar gembira bahawa Nabi Ibrahim akan mendapat anak daripada isterinya yang mandul dan telah tua (anaknya itu adalah Nabi Ishak daripada isterinya Siti Sarah).

Ada pula kisah yang agak sentimental bagaimana para anbiya' yang diuji oleh Allah SWT dengan ujian-ujian hidup, bagaimana mereka berinteraksi dengan masalah kehidupan, dan menyandarkan segala daya dan upaya kepada Tuhan, lalu Tuhan menjawab dengan cara-Nya tersendiri, seperti kisah Nabi Zakariya, dan Nabi Ayyub.

Ada juga kisah yang detail yang menggambarkan ruhaniyat seorang nabi yang cukup tinggi tawakkalnya dan kewarakannya, dalam menghadapi fitnah wanita dan segala ujian yang berlaku dalam hidupnya, seperti kisah Nabi Yusuf AS hingga dikhususkan satu surah untuk menceritakan secara detailnya kisah tersebut.

Tetapi kebanyakannya adalah kisah umum para anbiya', dimulakan dengan wahyu, kemudian seruan berdakwah dengan hujjah yang jelas, lalu penentangan kaumnya, dibawakan pula mukjizat sebagai bukti kebenaran risalah, lalu ditentang dan akhirnya kaumnya itu dibinasakan. Ini adalah yang terjadi pada kebanyakan kisah para anbiya' di dalam Al-Quran, seperti kisah Nabi Hud, Nabi Saleh, Nabi Syuaib, Nabi Lut, Nabi Ilyas, dan selain mereka.

Apa yang saya cuba bawakan adalah, para anbiya' AS adalah manusia seperti kita. Mereka adalah manusia yang berkahwin, beranak pinak, ditimpa masalah-masalah kehidupan, dan juga mempunyai perasaan seperti manusia biasa.

Mereka dipilih oleh Allah SWT agar menjadi contoh dan panduan kepada manusia, bagaimana sepatutnya mereka hidup, bagaimana sepatutnya mereka berinteraksi, dan bagaimana sepatutnya mereka perjuangkan, walau apa jua yang berlaku.

Walau apa jua yang berlaku, mereka tidak berpaling daripada melakukan kewajipan menjunjung risalah, dan melengkapkan kitaran kehidupan ini dengan sandaran tauhid dan perjuangan. Setiap yang kita lalui dalam hidup ini, semuanya pernah dilalui oleh para anbiya' sebelum ini. Kisah-kisah mereka disimpan kekal sebagai panduan (D
an Kami tinggalkan/kekalkan kisahnya itu hinggalah ke golongan yang terakhir - surah As-Saaffaat)

Itulah cermin yang sepatutnya kita guna, dalam melakukan muhasabah dan refleksi kita pada hari-hari Ramadhan yang semakin hari semakin cepat ia berlalu.

Ya, kita mungkin tidak dapat jadi seperti mereka kerana mereka adalah sebaik-baik manusia. Paling kurang kita cuba renungi diri kita, dan cuba latari kehidupan kita dengan rangka kehidupan mereka. Kelak mana tahu, mudah-mudahan kita dihimpunkan bersama para anbiya' di akhirat sana.

"Sesungguhnya seseorang itu akan dihimpunkan bersama dengan orang yang dicintainya" - Hadis Nabi SAW

Masih belum terlambat, untuk kita mengisi kriteria sebaik-baik umat.

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan secara penuh keimanan dan pengharapan ganjaran, akan diampunkan dosanya yang telah lalu" - Hadis Nabi SAW

Wallahua'lam.
Di manakah garis merah umat kita ?

Saat kita terlalu asyik berpolitik, berstrategi, merancang, bergaduh sesama kita, bolehkah kita umat Islam ini, bersama senaraikan, apakah dia garis merah yang kita persetujui bersama ia tidak boleh dilangkaui sesiapa pun ? Tanpa sebarang takwil dan pusing.

Baik daripada kalangan para pemimpin negara, ataupun para aktivis yang berkempen melobi agenda-agenda mereka ?

Setinggi mana pun sokongan kita kepada pihak kerajaan, kita perlu letakkan had, sejauhmana kita perlu sokong. Begitu juga pembangkang.

Kerajaan dan pembangkang hanyalah susunan dalam pemeritahan negara. Hakikatnya kita adalah satu tubuh yang sama, satu umat yang sama, hanya menjalankan fungsi yang berbeza secara zahirnya, agar masing-masing berperanan mengisi kelompongan fardhu kifayah yang ada.

Mentaliti politikal yang binari (medan tempur satu betul satu salah sahaja/satu lawan satu) ini memang banyak memecahbelahkan dan merosakkan kesatuan umat Islam pada hari ini, kerana tidak mampu melihat, berfikir dan bertindak dalam kerangka yang lebih besar iaitu kerangka sebuah umat yang menjalankan peranan masing-masing.

Perkara ini penting bagi mengikis sifat taasub pemimpin tertentu, kepartian tertentu, perkumpulan tertentu, dan hatta jenama tertentu, supaya kita melihat permasalahan umat yang berlaku pada hari ini dalam skala sebuah umat, bukan skala kerajaan yang mahu kekalkan kuasa dan dilihay relevan, atau skala pembangkang yang mencari-cari peluang untuk mendapatkan kuasa dengan apa jua cara.

Apabila kita meletakkan kotak pemikiran kita bukan berasaskan apa yang Islam gariskan, maka kita akan bergerak dalam kotak-kotak asobiyah tercela yang kita sendiri terperangkap di dalamnya, lalu hilanglah garis-garis merah yang asasi itu, kerana garis itu sudah dikaburi dengan kepentingan kotak-kotak yang mana kita duduk di dalamnya.

Marilah kita bermuhasabah, sempena bulan Al-Quran ini. Sejauhmana diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, dan negara kita, semakin dekat dengan garis panduan Al-Quran ?

Jawapannya jelas, tepuk dada dan tanya diri sendiri. Jangan politikkan pula jawapan itu kerana ia adalah hujjah ke atas kita sendiri, bukan propaganda atau nak pusing orang lain.

Apabila kita sedar, buanglah jauh-jauh kotak-kotak itu, dan mulakanlah langkah untuk hidup di bawah neraca Al-Quran.

Selamat menghidupkan 10 malam terakhir.

Semoga Allah pilih jiwa kita untuk menterjemahkan Al-Quran ke dalam kehidupan.

Wassalam wbt
Asas sesebuah kebaikan, dan keburukan.

Tabiat iman bersifat lurus, tetap, jelas, tulus, jujur, dan berkembang. Terbit padanya kasih sayang dan kelapangan hati kepada sesama muslim, dan jelas berprinsip apabila berlaku konflik dan masalah.

Tabiat nifaq adalah bengkang bengkok, berubah-ubah, tersembunyi, dusta dan akan malap. Akan terbit padanya sikap dendam, membenci sesama muslim, sangka buruk, serta apabila dilanda konflik dia akan menjadi begitu pragmatis, prinsipnya adalah maslahat peribadinya sendiri, di mana dirinya sejahtera di situ dia akan berada.

Kita boleh perhatikan perkembangan sifat-sifat ini dalam diri kita sendiri.

Sekiranya masa semakin berlalu namun apa yang berkembang dalam diri kita tidak selari dengan tabiat iman, maka ia merupakan papan tanda untuk kita berhenti dan memuhasabah perjalanan hidup kita dari hari ke hari.

Iman itu jelas dan terang, kerana ia membawa kebenaran, dan padanya terdapat cahaya yang membawa kepada Tuhan. Ia umpama pohon yang subur yang memberikan buahnya pada bila-bila masa yang Allah kehendaki. (Surah Al-A’raaf : 58, Surah Ibrahim : 25)

Namun nifaq itu gelap dan tersembunyi, kerana ia adalah hasil pemberontakan terhadap kebenaran, menolak cahaya, serta sentiasa mencari-cari alasan untuk tidak mahu mengikut petunjuk kebenaran. (Surah Al-Baqarah : 17 & 18).

“Kegelapan demi kegelapan, sebahagiannya berada di atas sebahagian yang lain (di dalam laut dalam), apabila sang penyelam itu mengeluarkan tangannya hampir-hampir dia tidak dapat melihatnya. Demikianlah barangsiapa yang tidak diberikan cahaya oleh Allah, dia sekali-kali tidak punyai cahaya” - Surah An-Nur : 40

“Demikianlah Allah memberikan perumpamaan kebenaran dan kebatilan, adapun yang buih-buihan itu akan hilang dengan sia-sia, manakala (air sungai) yang memberi manfaat kepada manusia akan terus kekal di atas muka bumi ini. Demikianlah bagaimana Allah membuat perumpamaan-perumpamaan” - Surah Ar-Ra’d : 17

Masa untuk kita muhasabah, diri kita, hidup kita, keluarga kita, umat kita, cukup seminggu selepas bulan Ramadhan.

Wallahua’lam.
Apa yang DAP tak boleh buat ?

Sedang memerhatikan, sejauhmana para penyokong DAP (khususnya melayu muslim dan islamis) akan menyokong mereka.

Setakat ini, bagi saya sudah cukup jauh. Sudah terlalu banyak garis merah yang sudah dilangkaui. Sokongan tanpa syarat yang diberikan menjadikan mereka berani dan terang-terang menunjukkan siapa mereka dan apa yang mereka bawa.

Walaupun ada manifesto yang sepatutnya dijadikan sebagai ‘akad yang ada padanya terma dan syarat sokongan’, namun banyak penyokongnya dah tak kisah pun sebab yang penting BN jatuh.

Ketahuilah bahawa para penyokong DAP yang dahulunya menyokong hanya kerana bencikan BN (sambil tutup sebelah mata isu pemikiran dan agenda kenegaraan yang dibawa DAP), kini sokongan yang asalnya bermotifkan politik akan beransur-ansur berubah menjadi sokongan yang berbentuk ‘keyakinan’ dan ‘akidah’.

Keyakinan bahawa mereka membawa kebajikan, segala kesalahan mereka boleh ditakwil dan diberikan justifikasi syarak dan perlembagaan, segala kenyataan mereka dibaca dengan nada sangka baik dan berlapang dada. Jika memang jelas kesalahan secara terang-terangan, mereka akan diam sekejap untuk tengok sejauhmana untung ruginya mereka dalam kedudukan politik, kemudian baru bersuara untuk menunjukkan bahawa mereka masih punyai pandangan.

Ketahuilah bahawa itulah wala’ yang dilarang oleh Allah SWT.

“Telah dilaknat orang kafir daripada kalangan Bani Israel di atas lisan Daud dan Isa bin Maryam, itu adalah kerana mereka mengingkari dan melakukan pelampauan. Mereka tidak pula menegah kemungkaran yang mereka lakukan (oleh sebahagian yang lain), itulah seburuk-buruk yang mereka lakukan. Kamu akan mendapati kebanyakan mereka akan memberi wala’ (melantik, menyokong, menjadikannya sebagai teman rapat) kepada orang-orang kafir, itulah seburuk-buruk yang mereka lakukan untuk mendapat kemurkaan Allah ke atas mereka, dan mereka akan kekal berada dalam azab. Kalaulah mereka beriman kepada Allah dan nabi-Nya, sudah pasti mereka tidak akan menjadikan mereka (orang kafir itu) sebagai wali (tempat diberikan sokongan dan kepercayaan), tetapi (malangnya) kebanyakan daripada mereka itu fasiq” - Surah Al-Maidah : 78-81

Saya tinggalkan anda semua dengan ayat-ayat ini untuk ditadabbur berulang kali.

Wallahua’lam.
Pendirian (pegangan) membentuk politik, politik membentuk pendirian.

Itulah kesimpulan mudah untuk saya sebutkan dalam permasalahan pendirian yang kita pilih dalam bicara politik.

Sesebuah pegangan akan membentuk kerangka politik tertentu bagi menjelmakannya dalam alam realiti. Lanskap politik yang terbina itu adalah terjemahan kepada satu pendirian yang berakar umbi dan membawa kepada tujuan yang dikehendaki oleh pegangan/akidah tersebut. Jadi ia bertugas sebagai pelengkap, pelindung, dan pelaksana kepada agenda-agenda pegangan itu, sama ada ia jelas atau tersembunyi.

Demikian juga, lanskap politik yang terhasil, akan membawa manusia secara tabienya kepada sebuah keyakinan dan pegangan. Tiada pemisahan antara keduanya, pada hakikatnya keduanya saling menguatkan.

Jika dilihat sejarah Islam, terbentuknya pegangan Khawarij dan Syiah, ia bermula daripada perbezaan pandangan secara politik, namun ia dikembangkan (tanpa menafikan campur tangan pihak luar) hingga menjadi sebuah “mazhab akidah” yang membezakan pegangan secara dasarnya. Para penyokong Ali RA dan Muawiyah RA pada ketika itu pasti tidak menyangka peristiwa “tahkim” itu yang pada asalnya adalah perbezaan politik, boleh membawa kepada sebuah perbezaan yang mendasar dalam aspek pegangan dan kepercayaan.

Atas sebab itu saya suka untuk sebutkan, berhati-hatilah dalam berpolitik, atau memilih pandangan dalam politik. Jangan terlalu ghairah memilih pihak tertentu, dengan lanskap politik tertentu, hingga tanpa kita sedar kita sedang menuju kepada satu keyakinan dan pegangan yang bercanggahan dengan apa yang Allah SWT dan Rasul SAW tunjukkan.

Lanskap politik Islam sudah dibahaskan dengan jelas, ayat-ayat Al-Quran yang nas dan muhkam yang tidak boleh ditakwil cukup banyak, hadis-hadis Nabi SAW serta istiqraa’ (sintesis) terhadap syariat sudah pun jelas menerangkan kepada kita bagaimana cara kita dalam memilih untuk berpolitik, siapa kawan dan siapa lawan, serta apakah syarat-syarat melantik pemimpin dan petugas, dan sewaktu dengannya.

Itu pun kalau kita masih nak rujuk perkara itulah, kalau rujukan kita adalah para ahli politik yang kita sokong sahaja, saya ucapkan ; “Kita adalah milik Allah, dan kepada-Nyalah kita akan kembali”

Wallahua’lam bissowaab.
Dosa politik apakah kaffarahnya ?

Satu persatu nilai kenegaraan ini disekularkan. Jawatan Ketua Hakim Negara akan diberikan kepada orang kafir, Richard Malanjum, yang bakal mentafsirkan perlembagaan mengikut citra yang semestinya bukan citra kenegaraan Islam.

Pejuang-pejuang keharmonian nampak senyap seribu bahasa dengan apa yang teman rapat mereka desak dan lakukan. Pemilihan speaker Perak dah jelas menunjukkan bahawa orang Islam dalam kerajaan PH pun memang tak bersatu hati, dan lemah untuk membuat satu-satu keputusan, apatah lagi nak buat polisi-polisi yang memenangkan hati dan hasrat orang Melayu dan bumiputera, selaku penduduk asal tanah Melayu ini.

Mereka mungkin pada awalnya tak sangka rupanya teman kafir mereka sangat gelojoh dan tak fikir perasaan dan sensitiviti orang Melayu & Islam pun. Mungkin kerana terbutakan dengan dana yang diberi, lawatan rahmah dan harmoni, sokongan dari sudut moral dan ekonomi, semuanya jadi halal.

Bak kata orang Mesir pada hari ini ; “Ad-Dolarat tubiihul mahzuuraat” (Wang Dollar membolehkan perkara yang haram).

Tapi yang jadi masalah hari ini, bukan setakat yang disuap pun jadi buta, yang duduk tepi mengundi pun macam tak kisah dengan apa yang berlaku. Mereka tak nampak ke negara sedang menuju kepada perubahan konsep kenegaraan yang akan menghilangkan nilai-nilai keislaman sesebuah negara.

Mudah cerita, negara menuju perubahan dari sudut akar umbi, yang akan digarap segelojoh mungkin oleh para pejuang sekular, dan penyokong-penyokongnya, secara sedar ataupun tidak.

Lalu mari kita bertanya, orang yang berdosa pada Tuhan, kaffarahnya adalah bertaubat. Namun jika kita berdosa pada negara, apakah pula kaffarahnya ?

Kita sambung perbincangannya nanti, dengan izin Tuhan.
Agenda DAP vs agenda Melayu Islam

1. DAP dominan kerana mereka bersatu, undian kepada PH adalah majoriti besarnya dari kalangan orang Cina, dan yang lebih malang ia juga dibantu sekelompok muslim apologetik yang menghalalkan / menyokong tuntutan mereka. Dengan itu sebarang tuntutan mereka kepada kerajaan adalah ibarat tuntutan 98% rakyat Cina yang telah mengundi mereka.

2. Manakala agenda Melayu Islam pula, mereka terpecah-pecah, terbawa-bawa lagi perseteruan dalaman, masih ada yang tak puas hati dengan tempias Syiah yang kena pada Mat Sabu, tempias sejarah Mahafiraun yang memecat DSAI, perseteruan Tun M vs DSAI yang masih belum selesai, tempias kem Azmin vs kem Rafizi, dan sebagainya. Kita mungkin tak tahu bahawa mereka sendiri bersedia untuk back-stab sesama mereka, bila tiba masanya. Yang benar-benar ikhlas untuk bangunkan negara akan terpinggir dengan arus deras permainan politik yang ganas ini.

3. Masing-masing tak punyai agenda bersama yang kuat, dalam masa yang sama golongan muslim yang menyokong mereka ibarat 30% (seperti yang dinyatakan dalam laporan mereka sendiri). Buktinya, mereka pula bila dah menang dan jadi kerajaan, mereka minta pula orang Melayu masuk parti mereka dan sokong mereka untuk imbangi agenda kaum lain. Dengan erti kata lain, mereka memang akui bahawa Cina dan agendanya sangat kuat dalam PH. Tidakkah mereka mengerti daripada awal lagi bahawa mereka sendiri hakikatnya diperkudakan dalam agenda Cina & juak-juaknya ???

4. Melihat kepada perkara itu, jadi tekanan untuk kerajaan memenangi agenda pro Melayu-Islam itu lemah, berbanding tuntutan DAP yang solid didokong keseluruhan ahli partinya, disokong secara tanpa segan silu oleh penyokong Islamisnya, lalu dapatlah agenda mereka diangkat, tanpa perlu restu geng-geng pro Melayu Islam, kerana mereka ada sijil HALAL yang diberikan oleh orang Islam sendiri.

5. Saya rasa ramai tak nampak, bahawa hakikat agenda politik dimenangi dengan kekuatan, bukan dengan 'bincang-sembang kedai kopi-diplomatik'. Mereka tak perlu berbincang, buat kajian menyeluruh, jaga hati dan ambil restu orang lain kerana mereka ada 'bargaining power' yang melangkaui pihak lain, hatta PM kita sendiri.

6. Bagi yang membaca situasi politik hari ini secara telus, pasti boleh memahami telahan-telahan umum ini. Sekiranya mereka benar dan jujur, mereka tidak akan mengulang-ulang isu UG, 1MDB dan korupsi UMNO lagi. UG sudah dibuktikan mereka sendiri di Kedah & Perak, 1MDB sudah mula disiasat dan DSN sudah mula dibicarakan, UMNO juga sudah jatuh tersungkur.

7. Kini di hadapan mereka adalah umat Islam, yang terus menerus melihat dan menilai, adakah pemimpin yang mewakili mereka itu mampu memimpin agenda agama dan bangsa, atau pun paling kurang menjaga dan mempertahankan hak bangsa dan agama mereka ?

Atau, mereka ini hanyalah, kaum yang selalu mempergunakan isu-isu semasa, hanya semata-mata berebut mahukan kuasa ?

Marilah bersama-sama kita merenung dan bermuhasabah.

Wallahua'lam.
2024/11/18 16:23:21
Back to Top
HTML Embed Code: