Telegram Web Link
Isu abu mayat Chin Peng adalah isu pengkhianatan kepada negara

Mudah cerita, bagi saya isu abu mayat Chin Peng yang dibawa balik adalah satu simptom dan petanda bahawa wujudnya konspirasi pihak-pihak tertentu dalam mengkhianati kedaulatan negara kita yang tercinta, Malaysia.

Dalam fiqh, ia boleh dikategorikan sebagai konspirasi melakukan 'al-baghy', iaitu suatu usaha dalam menggulingkan kepimpinan negara, tetapi dalam konteks ini, ia bukan sekadar itu, tetapi ia adalah usaha untuk menggulingkan 'konsep kenegaraan' Malaysia kepada satu bentuk yang lain.

Mana-mana yang bersekongkol dengan mereka, mempunyai salah satu daripada sifat 'bughah'.

Dalam fiqh, syarat bagi sesebuah kelompok layak digelar 'bughah' adalah :

1. Memiliki syaukah dan kekuatan (termasuk padanya persenjataan dan kelompok yang ramai)
2. Mempunyai satu pandangan (pemikiran) yang bertentangan dengan pemerintah (ta'wil yang dibenarkan)
3. Mempunyai pemimpin yang ditaati
4. Keluar daripada ketaatan pemimpin

Sekiranya ada syarat-syarat yang tidak lengkap, ia boleh dikategorikan dalam al-hirabah, yakni suatu jenayah yang dikategorikan sebagai pengkhianatan kepada negara dan mempunyai undang-undang khusus, tertakluk kepada pemerintah semasa untuk menentukannya.

Siapa-siapa yang terlibat dengannya, sama ada menyokong atau bersekongkol sekali untuk menaikkan mereka, maka dikhuatiri akan terpalit padanya jenayah al-hirabah dan al-baghy tersebut. Jika pun mungkin terlepas di dunia, namun di akhirat Allah janjikan azab yang pedih.

Bagi mereka-mereka yang terlibat, mungkin hukuman selayaknya pada hari ini paling kurang adalah dibuang negara dan kerakyatannya, kerana mereka tidak memberikan taat setia kepada identiti kebangsaan dan tidak menghormati jatidiri tanah air yang berpaksikan Islam dan Melayu sebagai tonggak kenegaraan.

Kalau mahu jadi komunis, pergilah ke negara komunis. Ini negara Malaysia.

Wallahua'lam.
Sudut pandangan yang menentukan tahapan manusia

Apabila kita mula melihat nilai dan pemikiran di sebalik segala kejadian, maka kita akan lihat sesuatu perkara dengan hakikatnya.

Kita selalu tertipu dengan perhiasan dan perkara-perkara zahir, yang hanya menjadikan kita terpesona lama-kelamaan menjadikan kita hanya akan menganggap perkara zahir itulah sebuah nilai dan hakikat yang sepatutnya dijadikan kayu ukur tinggi dan rendah sesuatu perkara.

Orang cerdik berbicara mengenai idea dan pemikiran, orang sederhana berbicara mengenai peristiwa, orang kurang cerdik berbicara mengenai manusia.

Guru saya tambah, adapun orang bodoh, dia hanya akan mencela dan memaki hamun.

Hakikatnya, media sosial hari ini banyak menyumbang kepada lahirnya golongan yang kurang cerdik dan bodoh, kerana tabiat 'nak cepat', 'tak sabar', 'tak nak selidik', 'nak komen semua benda', dan seumpamanya itu semua menyumbang kepada pengkategorian manusia kelas yang sedemikian.

Untuk orang yang cerdik, media sosial bukan sekolahnya, sekolahnya adalah pendidikan yang teratur, melalui satu proses tertentu yang mendidik sikap tenang dan tidak tergopoh gapah dalam menanggapi satu isu.

"Adapun buih itu akan pergi menghilang. Adapun yang memberi manfaat kepada manusia (iaitu air) akan kekal di atas muka bumi" - surah Ar-Ra'd : ayat 17

Ya, buih memerlukan masa untuk hilang. Yang tak sabar akan anggap buih itu hakikat yang bernilai, namun yang bijak akan membiarkan ia berlalu pergi dalam masa yang sama memahami hakikat nilai itu pada yang benar-benar bernilai.

Demikianlah perumpamaan yang sesuai, untuk kita menilai ketinggian intelektual masyarakat kita pada hari ini.

Semakin banyak kita cenderung untuk percayai perkara yang zahir dan luaran, semakin jauh diri kita daripada menyelami hakikat dan tabiat kebenaran.

"Tetapi manusia kebanyakannya tidak mengetahui, mereka hanya mengetahui perkara yang zahir daripada kehidupan dunia, adapun mengenai akhirat mereka tergolong dari kalangan orang yang lalai" - surah Ar-Rum : 6-7

Wallahua'lam
Jiwa manusia yang vakum, dan angan-angan yang tiada penghujung

Apabila berbicara mengenai permasalahan, termasuklah isu-isu individu, keluarga atau negara, perkara asasi yang perlu dilihat untuk mengukur skala permasalahan adalah 'kesibukan' dan 'agenda' yang wujud dalam hidup seseorang.

Menilai sebuah permasalahan sebagai satu masalah yang terpencil tanpa memahami bagaimana 'jiwa manusia berfungsi dan bekerja' hanya akan memindahkan satu masalah kepada masalah yang lain. Kita fikir kita menyelesaikan masalah, tetapi hakikatnya kita sedang mencipta satu masalah yang lain.

Tabiat jiwa manusia adalah ibarat ruang yang vakum. Ia akan menyerap, menyedut, atau mengisi ruangan itu dengan apa yang disibukkan atau diagendakan oleh empunya diri. Masalah yang berlaku dalam satu-satu perkara sebenarnya perlu dilihat kepada apakah yang sedang kita sibukkan, apa yang sedang kita bina, dan apa pula yang bermain dalam fikiran kita seharian.

Benar, kehidupan kita menuntut untuk kita seimbang antara tuntutan kehidupan dunia agar boleh membina kehidupan akhirat yang sejahtera, tidak bergantung kepada orang lain, mampu berfikiran merdeka dan membuat keputusan sendiri, namun ini bukanlah perbahasannya.

Perbahasan mengenai keseimbangan adalah perbahasan yang berlanjutan, kerana setiap manusia memahami dirinya, dan mengetahui titik kelemahannya yang tersendiri, yang pastinya membezakan saiz dan skala keseimbangan mengikut spesifikasi tertentu yang berbeza antara satu sama lain.

Namun satu perkara yang perlu kita sedar, bahawa jiwa kita ini sepertimana ia adalah ruang yang vakum, ia juga adalah satu ruang yang terhad, yakni siapa yang sudah penuhi ruangan jiwanya, maka tidak mungkin untuk jiwanya diisi dengan perkara lain.

"Tidak sekali-kali Allah menjadikan bagi seorang lelaki itu dua jantung di dalam badannya" - Surah Al-Ahzab

Angan-angan yang tidak berpenghujung, ibarat garisan lurus panjang yang dihalakan dari dalam hingga keluar petak empat segi, seperti yang disebut dalam satu hadis di mana Rasulullah SAW melukisnya bagi menunjukkan kepada para sahabat RA panjangnya angan-angan manusia, dan betapa terhadnya apa yang boleh diisi dalam hidup mereka.

Angan-angan yang panjang, umur dan kehidupan yang terhad, dicampur dengan ruangan jiwa yang terbatas. Jalannya hanyalah yang tinggal adalah memilih salah satu, iaitu 'humum' (kesibukan) untuk dunia, atau humum membina kehidupan akhirat.

Mungkin atas sebab keterhadan jiwa itu, maka Abu Bakar As-Siddiq RA telah pun memberikan formula 'ketinggian nilainya' berbanding sahabat-sahabat lain.

Saidina Ali RA mengatakan bahawa manusia paling afdhal dalam umat Muhammad SAW adalah Abu Bakar, kemudian Umar Al-Khattab.

Suatu hari saidina Ali RA bertanya kepada saidina Abu Bakar RA :

"Wahai khalifah Rasulullah, apa yang menjadikanmu mencapai darjat ini hingga engkau mendahului kami ?"

Abu Bakar RA menjawab : "Dengan 5 perkara :
Yang pertama : Aku mendapati manusia ada dua golongan, golongan yang menghendaki dunia dan golongan yang menghendaki akhirat. Maka aku memilih untuk menjadi golongan yang menghendaki Tuhan.

Yang kedua : Sejak aku masuk Islam, aku tidak pernah kenyang sekalipun daripada makanan dunia, kerana kelazatan makrifatullah (mengenal Allah) menyibukkan aku daripada kelazatan makanan dunia.

Yang ketiga : Sejak aku masuk Islam, aku tidak pernah 'kenyang air' daripada minuman dunia, kerana cinta Allah itu telah menyibukkan aku daripada minuman dunia.

Yang keempat : Apabila sampai kepadaku dua jenis amalan, amalan dunia dan amalan akhirat, aku memilih amalan akhirat.

Yang kelima : Aku telah menemani (bersuhbah) kepada Rasulullah SAW, dan aku benar-benar bersungguh-sungguh dalam suhbah tersebut." - dipetik daripada Tafsir Ruh Al-Bayan, jilid 2, hal. 111.
Demikianlah kefahaman Abu Bakar As-Siddiq RA & kesungguhan Ali RA dalam memahami jiwa manusia. Tiada perkara yang percuma, semuanya pasti ada nisbah dan kadarnya. Kekenyangan, kelazatan, dan kebahagiaan yang dipilih oleh mereka adalah suatu nilai abadi yang tiada tolok bandingnya. Mereka memahami kemustahilan terkumpulnya dua perkara yang berlawanan di dalam satu jiwa.

Atas kefahaman itu, mereka diangkat darjat tertinggi, kerana mereka telah membayar bayaran yang cukup tinggi.

Cakaplah apapun mengenai keseimbangan, keperluan dan kesibukan.

Hakikatnya, manusia itu lebih arif terhadap dirinya sendiri, walaupun diberikan pelbagai alasan.

Wallahua'lam bissawaab.
Sifat keakuan (keegoan) yang mencairkan 'tauhid'

Apa yang kita ada ?

Hakikat diri kita adalah tiada, sebelum kita diwujudkan oleh Allah SWT. Kita diwujudkan, lalu Allah SWT berikan kita pendengaran, penglihatan, akal dan jiwa untuk kita mengetahui. Lalu Allah SWT ajari kita apa-apa yang kita mampu fahami. Lalu Allah SWT berikan kita kemampuan untuk kita hidup, dan kita dengan keizinan-Nya terus menghirup udara setiap hari dalam meneruskan kehidupan.

Apa sebenarnya yang kita ada ?

Seorang hamba tiada punyai apa-apa. Semua yang diperolehi adalah Tuhan yang punya. Tiada sepatutnya rasa ujub, tinggi diri, rasa tahu macam-macam, rasa orang lain tak faham, rasa orang lain tak lalui apa yang dia lalui, dan seumpamanya, hanya kerana semuanya yang dilalui itu, Allah yang beri, Allah yang izinkan. Tiada daya dan upaya, bagi seorang makhluk untuk melawan keizinan Dia.

Tidak kecewa jika tidak menerima sesuatu, tidak pula berbangga jika diberikan sesuatu, tidak pula merungut jika ditimpa sesuatu, tidak pula bermegah-megah jika dianugerahkan sesuatu. Semua itu adalah Tuhan yang beri, Dialah yang memberi, dan Dia jugalah yang berkuasa mengambilnya pada bila-bila masa. Di mana kebanggaannya jika anugerah itu bukan milik kita ?

Memahami hakikat ini, akan mudahkan kita untuk meniti anak tangga tauhid.

التوحيد : إسقاط الياءات، لي وبي ومني وإلي

Dikatakan bahawa 'tauhid itu' adalah : Menghilangkan 'Yaa-aat' (huruf Ya idhofah kepada diri sendiri). Li, wa Bi, wa Minni, wa Ilayy. (Untukku, Denganku, Daripadaku, Kepadaku) - ِAr-Risalah Al-Qusyairiyah

Sekiranya perasaan keakuan dibiarkan meninggi dalam diri, kita hakikatnya sedang menuju ke lembah mempertuhankan diri sendiri.

Walaupun belajar ilmu setinggi mana sekali pun, bermusafir sejauh mana sekalipun, berguru dengan guru-guru terhebat sekalipun, mendapat sijil yang pelbagai sekalipun, mendapat harta yang banyak sekalipun, berkahwin dengan isteri yang tercantik sekalipun, mempunyai anak teramai sekalipun, menduduki rumah tercantik sekalipun, dan seumpamanya ...

Apa gunanya, jika semua itu tidak membawa kita kepada Tuhan ?

Apatah lagi, jika semua itu hanya untuk ...

Menipu diri kita sendiri.
Apa yang dibincang dengan Syeikh Prof Ahmad Ar-Raisuni ?

Alhamdulillah, pada minggu lepas saya (mewakili Majlis Ulama ISMA - MUIS) diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk bertemu Syeikh Ahmad Ar-Raisuni yang merupakan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, di Kuala Terengganu, pada akhir tahun lepas.

Terima kasih kepada Dr Wan Yusuf dari Unisza atas jasa beliau yang menyusun kesempatan itu.

Beberapa isu yang saya cuba dapatkan pandangan beliau khususnya mengenai Al-Wala' wa Al-Bara' dalam sistem demokrasi, sejauhmana Islam boleh ditegakkan melalui sistem demokrasi, dan berbagai isu-isu lain yang berkaitan dengan ilmu Usul Fiqh dan Maqasid.

Pandangannya boleh saya kira, adalah pandangan umum, yang memerlukan satu ijtihad tahqiq al-manat tersendiri oleh para ulama di Malaysia kerana bak kata pepatah Arab : 'ahli Mekkah lebih mengenali lorong-lorongnya'.

Namun ada beberapa perkara yang saya kira, kebanyakan orang luar khususnya ulama Arab yang singgah atau dijemput di Malaysia, mungkin tidak berapa memahami beberapa sudut penting dalam suasana di Malaysia.

Saya cuba senaraikan beberapa poin penting, agar mana-mana yang menjemput ulama luar boleh terangkan kepada mereka situasi utama di Malaysia ;

1. Malaysia, walaupun merupakan sebuah negara Islam, adalah merupakan satu negara yang pernah dijajah oleh Portugis, British, dan Jepun. Penjajahan yang berlaku bukan sekadar menjajah tanah air, tetapi juga pencairan dominasi budaya dan identiti Melayu melalui kedatangan kaum Cina dan India yang dibawa masuk oleh British sebagai pekerja dan buruh untuk tinggal di Tanah Melayu.

2. Orang non-Muslim di Malaysia yang secara umumnya diwakili oleh bangsa Cina dan bangsa India, bukanlah seperti non-Muslim di tanah Arab, yang merupakan anak jati dari tanah air mereka sendiri. Orang Cina dan India, mempunyai tabiat budaya dan identiti yang tersendiri. Pertembungan budaya dan agenda bangsa akan sentiasa berlaku, kerana mereka akan terus mengekalkan identiti dan kebudayaan mereka.

3. Ketua Negara adalah YDPA, dan ketua bagi setiap negeri adalah sultan-sultannya dengan beberapa pendetilan tugasan mereka yang tertentu. Namun YDPA dan sultan bukanlah sebagai pelaksana atau kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara.

4. Negara ini hakikatnya diperintah / diurus oleh kerajaan yang dipilih dalam pilihanraya, bukan melalui kuasa sultan. Segala polisi-polisi besar dalam perjalanan negara seperti polisi pendidikan, belanjawan, dan keselamatan serta seumpamanya semuanya diluluskan dalam dewan parlimen, bukan istana. Ini kerana tugas istana hanya menasihati, bukan melaksana.

5. Non-Muslim di Malaysia khususnya yang bersama dengan arus Evangelisme dan Kristianisasi, mempunyai agenda tertentu dalam mengacu negara dengan acuan tersendiri. Mereka tidak mahu diikat dengan budaya Melayu dan nilai Islam, kerana mereka mahu mengubah naratif negara ini ke arah apa yang mereka cita-citakan.

6. Negara Malaysia merupakan negara yang cukup unik, berbilang bangsa dan agama, serta nilai sejarah yang tersendiri, yang menjadikan ia mempunyai sifir tersendiri untuk dilihat dalam rangka syarak.

7. Tahqiq Manat (Bahasa mudahnya adalah 'menentukan hukum pada tempatnya') sepatutnya mengambil aspek-aspek kenegaraan yang unik ini, tidak sekadar melihat pandangan asas syarak dalam isu negara, tetapi melihat juga implikasi-implikasi pandangan itu terhadap kemajuan dan dominasi umat Islam yang merupakan tuan tanah di negara ini.

8. Perebutan politik yang berlaku dalam kerangka demokrasi telah merugikan umat Islam kerana umat Islam terpecah-pecah kepada beberapa blok hingga akhirnya parti yang dipelopori bukan Islam berjaya menjadi kuat dan mendominasi kerajaan pada hari ini. Oleh itu, segala pandangan syarak yang diberikan mesti membawa kepada keuntungan umat Islam secara keseluruhan, bukan semata-mata dilihat dalam pertembungan kepartian.
9. Malaysia adalah sebuah negara yang telah lama mengenali sistem demokrasi, dan selama itulah telah pun merasai kesengsaraan terhadap sistem ini. Oleh itu, pendemokrasian Islam bukanlah satu perkara yang baharu dibincangkan di Malaysia. Malaysia hari ini lebih memerlukan pencerahan dari sudut bagaimanakah umat Islam boleh memainkan peranan tersendiri dalam 'menyatukan umat' di luar kerangka demokrasi, agar kita tidak menjadikan demokrasi sebagai satu 'matlamat', atau suatu yang suci yang tidak boleh disentuh.

10. Kekeliruan dan kecelaruan pemikiran yang melanda umat Islam hari ini menuntut untuk kita lebih banyak menjelaskan perkara-perkara tsawabit dalam syarak, yang mana tiada siapa boleh mempertikaikannya, berbanding perkara-perkara lain. Antara tsawabit ummah yang paling penting adalah ; kepimpinan negara mesti di tangan umat Islam.

Wallahua'lam bissawaab.
Kefasikan adalah satu pakej yang tidak terpisah

Heboh baru-baru ini kes penangkapan beberapa pegawai kerajaan dan setiausaha politik kerajaan di sebuah kediaman pada pukul 4 pagi, ketika mengadakan 'private party' mereka. Hasil ujian air kencing menunjukkan kesemuanya positif dadah. Termasuk juga penemuan beberapa bungkusan dadah yang ada dalam premis tersebut.

Saya pasti, rata-ratanya semua orang jijik dengan perkara ini. Baik penyokong kerajaan atau bukan.

Yang pernah mengundi kerajaan sebelum ini pasti tidak pernah menyangka sebegitu buruk sekali perangai pegawai-pegawai lantikan dan bahkan yang diundi oleh rakyat pun terlibat sama.

Hakikatnya memang manusia itu banyak perkara yang tidak diketahuinya. Walau seluas mana pun pendedahan dibuat dan pembelajaran dilakukan, ia tidak akan mampu mencapai suatu 'hakikat' yang benar dan tepat, selagi ia tidak dipandu dengan cahaya wahyu yang datang dari Tuhan.

Atas sebab itu kita tidak boleh mengambil mudah saranan dan suruhan yang Allah suruh dan larangan yang Allah larang secara jelas dan terang-terangan, dalam Al-Quran.

Segala yang disebut itu adalah sebuah hakikat yang tepat dan benar. Ia tidak boleh ditakwil sesuka hati mengikut kehendak sendiri.

Apabila Allah melarang kita mengambil orang-orang kafir dan fasiq sebagai pemimpin, itu adalah suatu hakikat bahawa mereka memang tidak selayaknya jadi pemimpin bagi orang Islam, walaupun dipropagandakan dengan sejuta propaganda yang menunjukkan mereka 'kononnya' amanah, bersih, bebas rasuah dan seumpamanya.

Suruhan Allah itu menyatakan hakikat bahawa semua itu adalah tipu belaka. Ini kerana kefasikan yang wujud dalam susuk tubuh seseorang itu bukan berseorangan, ia wujud bersama satu pakej lengkap.

Susuk tubuh fasiq itu adalah satu pakej. Pada sudut kepimpinan, ada padanya pecah amanah, rasuah, utamakan kepentingan orang kafir, membiarkan umat Islam terkapai-kapai dan hanya mementingkan periuk nasi sendiri. Pada sudut masalah sosialnya, ada padanya perkara-perkara yang jijik itu tadi. Senarai ini berterusan hingga ia meliputi seluruh aspek hidupnya. Itu adalah hakikat perkara-perkara buruk. Ia akan membawa bersama adik-beradiknya.

Manusia yang sebegini hanya boleh dikelilingi oleh kelompok-kelompok yang satu 'bahasa' dengan mereka, yang boleh 'cover line' mereka, yang boleh 'kawtim' sama-sama dan seumpamanya.

Nabi SAW bersabda :
"Roh-roh itu adalah ibarat tentera yang direkrut, sesiapa yang dikenalinya akan bersama, sesiapa yang tidak dikenalinya akan berbeza (terpisah)"

Al-Quran mengajar kita neraca yang tepat dalam melihat satu-satu perkara. Seperti mana kita disuruh untuk khusyuk dalam solat, kita juga disuruh untuk memilih pemimpin yang betul. Tiada dualisme dalam arahan Allah SWT. Pengurusan sistem dunia tidak akan terpisah dengan konteks keagamaan.

Atas sebab itu, antara bid'ah yang besar dilakukan masa kini adalah kefahaman cetek yang bertemakan idea bahawa 'pemimpin politik bukan imam solat'.

Ia membawa naratif bahawa nak jadi pemimpin tak perlu pandai solat. Dalam erti kata lain, mereka memisahkan keterikatan antara dunia dan akhirat, antara urusan agama dengan urusan kehidupan.

Ini yang menjadikan ada sesetengah orang kita menganggap urusan agama adalah urusan peribadi dan menukar agama juga adalah perkara peribadi. Saya tidak terkejut sekiranya ada di kalangan mereka yang menyatakan bahawa penangkapan terhadap kes dadah itu juga adalah dosa peribadi dan tiada kaitan dengan pengurusan negara, kerana kerangka fikir ini telah membentuk mereka untuk benar-benar memisahkan nilai agama daripada nilai kehidupan.

Justeru, apa yang lebih penting adalah untuk kita kembalikan umat ini kepada neraca wahyu, dan menghormati apa yang disuruh dan dilarang oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Umat perlu diajar untuk mengutamakan nas-nas syarak, dalam menimbang baik buruk sesuatu perkara, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan isu-isu kepentingan awam seperti kepimpinan dan survival umat Islam.
Sekiranya kita masih lagi ingin duduk dalam kerangka yang bukan dikehendaki oleh Allah, dikhuatiri kita akan disajikan lagi dengan kes-kes yang menjijikkan dan menghairankan kita, hanya kerana ... kita sendiri yang salah dalam membuat pilihan.

"Acuan Allah, maka acuan manakah lebih baik daripada Allah acuannya ?" - Surah Al-Baqarah

Wallahua'lam bissawaab.
Ketinggian nilai Al-Quran dalam neraca hidup kita

Hari ini, sebahagian daripada kita lihat Al-Quran sebagai bacaan ritual yang dibaca ketika solat, ketika malam tertentu dan ketika situasi tertentu.

Jarang sekali kita melihat betapa tingginya nilaian Al-Quran yang difahami oleh Nabi SAW, para sahabat dan salafussoleh sebelum ini. Di sini saya kongsikan beberapa petikan daripada kitab Al-Iklil fi Istinbat At-Tanzil oleh Imam As-Suyuti berkenaan ketinggian nilaian Al-Quran ;

1. Ada suatu hadis Nabi SAW yang menceritakan kepada para sahabat mengenai kegentingan dan fitnah akhir zaman, lalu sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW ; Apakah jalan selamatnya wahai Rasulullah ?

Rasulullah SAW menjawab : Hendaklah kamu berpegang dengan Al-Quran, padanya ada cerita orang-orang sebelum kamu, dan ada berita mengenai orang yang akan datang selepas kamu, serta padanya ada 'penentu' terhadap perselisihan kamu.

2. Al-Hasan Al-Basri RHM menyebut : Allah SWT menurunkan 104 kitab, dan menyimpulkan keseluruhannya kepada 4 kitab iaitu Taurat, Zabur, Injil dan Furqan (Al-Quran), lalu menyimpulkan ketiga-tiga kitab itu di dalam Al-Furqan, lalu menyimpulkan kandungan Al-Furqan itu dalam surah Al-Fatihah. Barangsiapa yang mampu mentafsir surah Al-Fatihah, dia akan memahami keseluruhan kitab-kitab yang diturunkan.

3. Imam Syafie RHM menyebut : Segala apa yang disebut oleh umat ini adalah syarahan kepada Sunnah, dan segala apa yang disebut dalam syarahan Sunnah adalah syarahan kepada Al-Quran.

4. Imam Syafie RHM juga menyebut : Setiap apa yang diputuskan oleh Baginda SAW semuanya adalah berdasarkan kefahamannya terhadap Al-Quran.

5. Beliau menyebut lagi : Dan tidaklah apa-apa pun peristiwa atau kes yang menimpa seseorang ahli agama Allah itu melainkan adanya dalam kitab Allah itu dalil bagi menuju jalan petunjuk dalam masalah tersebut.

6. Ibnu Masud RA menyebut : Telah turun dalam Al-Quran segala ilmu, ia telah menerangkan kepada kita semua perkara, tetapi hanyalah ilmu kita yang cetek untuk memahaminya

7. Imam As-Suyuti RHM menyebut : Kitab Allah mengandungi segala perkara, hingga setiap jenis ilmu, tidak ada satu bab atau masalah yang utama, melainkan dalam Al-Quran pasti dalil yang menunjukkan perkara itu.

Ini hanyalah beberapa contoh kefahaman yang difahami oleh para sahabat dan salafussoleh mengenai intipati Al-Quran, dan betapa besarnya makna yang wujud dalam kitab Allah ini.

Barangsiapa yang memahami kitab Allah, sudah pasti dia akan memahami dunia dan seisinya sepertimana hakikatnya, dan sudah pasti dia akan membetulkan 'alignment' kehidupannya agar berpandukan landasan Al-Quran.

Sekiranya kita masih enggan merujuk dan membina diri kita untuk lebih memahami Al-Quran, dikhuatiri kita akan mengikuti langkah-langkah syaitan.

"Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Ar-Rahman, maka Kami akan berikan penguasaan syaitan kepadanya maka jadilah ia sebagai teman rapat. Dan sesungguhnya mereka (para syaitan itu) akan menghalang manusia itu daripada jalan yang benar, hingga mereka menyangka mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayah" - Surah Az-Zukhruf ayat 36-37

Wallahua'lam bissawab
Kerohanian membina keseimbangan, bukan semata-mata amalan ritual

1. Perkembangan seseorang itu bergantung kepada beberapa perkara ; antaranya apa yang dipelajari, apa yang dijadikan rutin dan apa yang sering berlaku dalam kehidupannya. Pembinaan jatidiri yang seimbang memerlukan seseorang itu memberikan hak kepada tubuh badannya, untuk dia sihat dan boleh bergerak, akal dan fikirannya untuk dia berfikir dengan waras dan cerdas, serta rohaninya agar jiwanya sentiasa tenang, tenteram dan terikat dengan Allah SWT.

2. Bagi seorang muslim, aktiviti kerohanian merupakan aktiviti yang membawa keseimbangan fizikal dan mental bagi seseorang pelajar. Aktiviti solat berjemaah, qiamullail berjemaah, berpuasa berjemaah, semua itu memupuk sikap kebersamaan dalam melakukan ketaatan, sekaligus membina satu sosok tubuh jatidiri seorang muslim yang ghairah terhadap agamanya. Ia juga menjadi salah satu kayu ukur perbezaan seseorang mukmin dengan yang bukan mukmin (atau ateis), iaitu apabila dia memahami kepentingan roh sebagai salah satu unsur penting yang wujud dalam jiwa manusia yang perlu dijaga dan dididik.

3. Pada hari ini, kita lihat pelbagai masalah yang berlaku dalam masyarakat bukanlah disebabkan kerana kurangnya kelebihan mental atau kekuatan fizikal, tetapi ia adalah kekurangan ‘kesedaran iman’ yang tersemat dalam hati yang boleh mendorong seseorang melakukan kebaikan dan mencegahnya daripada kemungkaran.

4. Sekiranya ada ibubapa yang melihat aktiviti kerohanian sebagai suatu masalah, ia berpunca daripada tanggapan negatif dan persepsi yang terbina dalam kehidupan peribadi mereka. Boleh jadi mereka mempunyai pengalaman pahit dalam menghadapi situasi-situasi sebegini. Namun begitu, satu masalah yang berlaku dalam situasi tertentu kepada pihak tertentu tidak boleh dijadikan lesen untuk memukul rata keseluruhan hakikat sesuatu perkara.

5. Permasalahan pengurusan yang teknikal seperti ketidakwajaran peraturan tertentu pada pandangan ibubapa dan seumpamanya, tidak sepatutnya menjadikan kita mengabaikan satu aspek yang lebih besar iaitu kepentingan aspek rohani yang kukuh dalam jiwa pelajar. Ia sepatutnya diurus pada isu khusus tersebut, bukan memukul rata keseluruhan perkara yang bersangkut paut dengan aktiviti-aktiviti itu.

6. Tidak ada siapa yang menafikan bahawa suasana ‘soleh’ yang juga dikenali sebagai ‘biah solehah’ tersebut hakikatnya yang mendidik jiwa anak-anak agar lebih taat, lebih berdisiplin, lebih mudah melakukan kebaikan, lebih berakhlak, dan lebih mudah untuk bergaul dengan orang lain. Ini kerana tabiat kesolehan adalah suatu tabiat fitrah, semulajadi dan tenang. Dalam masa yang sama iaakan mendidik jiwanya dengan acuan iman lalu menjadikan dirinya dicintai oleh Allah SWT, para malaikat dan orang-orang di atas muka bumi ini, seperti yang disebut dalam satu hadis Qudsi.

7. Ia juga menjadi sebab kenapa taubat seseorang yang telah membunuh 100 orang itu boleh diterima hanya selepas dia berhijrah ke satu kampung yang terdapat padanya orang-orang soleh seperti yang terdapat dalam suatu hadis sahih.

8. Begitulah juga sebaliknya. Suasana yang tidak terisi dengan aktiviti kesolehan dan acuan keimanan akan membawa kepada suatu kecelaruan, pergaduhan, permusuhan dan keserabutan yang akhirnya hanya merugikan perkembangan anak-anak itu sendiri. Kita mungkin dapati mereka boleh skor A atau seumpamanya, hakikatnya akhlak mereka di tahap yang rendah, kerohanian mereka di tahap yang rendah, lalu apa yang mereka dapat di sekolah hanyalah fitnah yang merosakkan diri mereka pada masa akan datang.

9. Zaman kini adalah zaman di mana pengajaran Islam dan pendedahan awal terhadap Al-Quran dan ilmu fardhu ain telah mendapat tempat dalam majoriti umat Islam di Malaysia. Sekiranya kita mahu mengangkat juga slogan-slogan berbaur secular dan memisahkan agama daripada kehidupan, hakikatnya kita sedang menuju ke belakang, dan merugikan anak bangsa dan agama kita sendiri.

Wallahua’lam.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Virus yang hakiki

Antara perkongsian daripada ulama Uyghur adalah pihak kerajaan China menganggap agama Islam adalah satu virus yang perlu dibasmi.

Justeru mereka berusaha bersungguh-sungguh mahu menghapuskan identiti kebangsaan Uyghur yang telah sebati dengan Islam dengan pelbagai cara termasuk membakar buku-buku agama, membunuh tokoh-tokoh agama dan cendekiawan mereka, menukar azan dan iqamah serta doa kepada bahasa Cina dan menyelitkan dalam doa untuk mendoakan presiden China, mengurung orang dewasa dan kanak-kanak untuk dichinakan, memindahkan orang-orang China ke Turkistan Timur hingga ingin mencapai 80 persen populasi penduduk di situ dan seumpamanya.

Namun, Allah mempunyai perancangan-Nya tersendiri.

Wallahua'lam
Nifaq dalam demokrasi yang menghancurkan wala' sesama umat Islam

Orang munafik bergembira dengan kesedihan umat Islam, dan bersedih dengan kegembiraan umat Islam.

Mereka memilih orang kafir (umat selain Islam) sebagai pendokong, penyokong serta sahabat rapat untuk hidup. Juga sebagai sumber kesedihan dan kegembiraan.

Bila umat Islam bersedih, mereka suka memaki hamun dan perli. Apabila umat Islam bergembira atas kekalahan dan kesedihan puak kafir dan seumpamanya, mereka pula bersedih.

Agama mereka secara luarannya adalah Islam, namun secara dalamannya hanya Allah yang tahu.

Hakikatnya mereka sedang memilih untuk tidak bersama-sama dengan umat Islam dalam kehidupan.

Keadaan yang celaru pada hari ini boleh menyebabkan kita mudah terpalit dengan sikap ini secara sedar atau tidak. Rangka demokrasi kepartian yang menebal merupakan salah satu jerangkap samar yang memerangkap kita daripada memberikan kesetiaan kita kepada umat Islam.

Kita perlu insaf dan kembali kepada kesatuan dan kesetiaan pada umat Islam, agar iman kita diterjemahkan dan dibuktikan dengan tepat dalam kehidupan.

Kawan kita di akhirat, adalah kawan kita di dunia.

Hati-hati dalam memilih jalan perjuangan, kerana hakikat perjuangan kita sedang menuju ke akhirat.

Wallahua'lam
Golongan keliru jantina perlu diasingkan bagi mengelakkan kekeliruan

Orang yang keliru jantinanya ketika dewasa seharusnya diasingkan dari orang awam hingga ditentukan jantinanya mengikut jantina asalnya.

Ini berdasarkan kaedah maslahat awam diutamakan berbanding maslahat peribadi.

Apabila sudah ditentukan jantinanya samada lelaki atau perempuan, barulah ia sesuai untuk hidup dalam masyarakat.

Ini kerana jantina merupakan satu perkara asasi dalam taklif dan hukum hakam fiqh.

Ia bukan sekadar dalam isu kesesuaian tandas wanita atau lelaki. Ia berkaitan dengan 'sejenis' kehidupan yang berbeza antara lelaki dan wanita, seterusnya menetapkan kategori tertentu dengan jantina tertentu. Bermula daripada bangun tidur hinggalah ke solat jenazah. Lelaki dan wanita wujud dunia yang berbeza dalam mengharungi jenis kehidupan tersebut.

Orang lelaki ada kewajipan dan tanggungjawabnya. Sepertimana wanita juga begitu. Ada yang memisahkan antara lelaki dan wanita iaitu penjagaan batas-batas aurat dan pergaulan. Jadi kecelaruan jantina akan menghancurkan tembok syarak yang jelas tersebut, lalu hidup dalam 'jenis' kehidupan yang rosak dan merosakkan.

Jika transgender itu adalah seseorang daripada asalnya lelaki menjadi wanita, itu tetap tidak mengubah status hukum syaraknya sebagai seorang lelaki. Dia wajib solat jumaat, layak menjadi saksi bagi pernikahan, hanya boleh berkahwin dengan wanita, dan haknya dalam harta pusaka juga adalah sebagai seorang lelaki.

Isu pondan dan transgender yang semakin menjadi-jadi hari ini memerlukan kita untuk sedar dan tegas dalam menangani gerakan 'mungkar' ini.

Sesiapa dari kalangan mereka yang mahu bergaul dengan masyarakat awam dia sepatutnya diasingkan dahulu hingga ia benar-benar 'menjadi' jantinanya tersendiri. Ini kerana kemudaratan masyarakat lebih besar, berbanding dirinya yang terasa hati kerana layanan masyarakat kepadanya. Sepatutnya dia kena fikir bagaimana tergurisnya perasaan umat Islam apabila wujud di kalangan mereka orang-orang yang dilaknat oleh Allah SWT dan mencelarukan suasana masyarakat.

Berleluasanya gerakan ini memberi kesan yang sangat besar dalam pendidikan generasi akan datang, termasuklah pengaruhnya kepada tumbesaran anak-anak kita.

Tanggungjawab mengekang dan membanterasnya adalah tanggungjawab kita semua.

Wallahua'lam
Sembang-sembang sekitar isu syariat, hakikat dan makrifat

1. Dalam Islam, peningkatan darjat rohani dan spiritual seseorang hakikatnya meningkatkan darjat kekuatan luaran, bukan yang sepatutnya berlaku sebaliknya seperti tidak bersambungnya hubungan spiritual dan material.

2. Elemen keseragaman dan kombinasi antara darjat-darjat yang ada adalah satu elemen yang tidak dapat dipisahkan. Sesiapa yang mendakwa telah mencapai satu darjat hingga tidak perlu untuk tertakluk dengan hukum darjat sebelumnya, maka dia boleh dikatakan sesat.

Kata Imam Malik bin Anas RA : "Sesiapa yang bertasawwuf tetapi tidak belajar fiqh maka dia sesat (zindiq), sesiapa yang belajar fiqh tetapi tidak bertasawwuf maka dia (cenderung kepada) fasiq, dan barangsiapa yang belajar fiqh dan bertasawwuf maka dia telah mencapai hakikat yang sebenarnya"

3. Syariat, hakikat, tariqat dan makrifat hanyalah istilah yang digunakan oleh para ahli sufi dalam menyatakan martabat dan darjat perjalanan kerohanian seseorang. Diambil daripada kefahaman hadis Jibril di mana beliau bertanya kepada baginda SAW mengenai Islam, Iman dan Ihsan.

Maka dikatakan bahawa Islam itu adalah syariat, yakni pengamalan secara zahir, Iman itu adalah hakikat, yakni sebuah keyakinan dan iktikad dalaman serta memahami rahsia-rahsia di sebalik syariat. Manakala makrifat pula adalah menyaksikan kewujudan dan mengenali Allah SWT serta apa yang terkait dengan-Nya dari sudut sifat dan perbuatan-Nya.

Adapun tarikat pula adalah jalan-jalan kerohanian bagi mencapai martabat tersebut, dengan penyucian hati dan diri daripada hawa nafsu dan keterikatan dengan dunia. Bermula daripada Islam, membawa kepada Iman dan mencapai martabat Ihsan yang merupakan martabat tertinggi.

4. Islam mengiktiraf wujudnya darjat dan tingkatan bagi orang yang beriman, selaras dengan hadis Nabi SAW yang mengatakan manusia yang paling banyak menerima ujian adalah para Anbiya' kemudian sesiapa yang paling kuat imannya setelah itu, yang memberi makna bahawa tingkatan iman paling tinggi adalah para anbiya' kemudian orang-orang selepas mereka, berkadaran dengan kadar kekuatan imannya.

5. Walaupun wujudnya tingkatan darjat kerohanian dan keimanan seseorang, ia tidak mengubah hukum taklif bagi setiap manusia. Ini kerana taklif itu asasnya adalah akal yang wujud bagi setiap manusia, ia tidak berubah apabila mereka meningkat ke satu tahap (contohnya) ke tahap yang lain.

6. Bahkan setiap peningkatan kadar rohani seseorang menuntut suatu taklif dan amalan zahir yang lebih berat kerana mereka memahami sesuatu perkara dengan lebih jelas dan terperinci.

Oleh kerana itu Rasulullah SAW bersabda ; Aku adalah orang yang paling mengenal Allah, dan aku lah yang paling takut kepada-Nya. Di sisi baginda Qiyamullail adalah wajib, sedangkan tidak wajib kepada umatnya, baginda SAW juga diriwayatkan sering beribadah waktu malam hingga bengkak-bengkak kakinya, hanya kerana mahu dikira menjadi hamba yang bersyukur.

Rasulullah SAW telah mencapai darjat makrifat (di sisi istilah ulama sufi) yang tertinggi, namun ia tidak menjadikan baginda SAW terlepas dari ikatan syariat dan amalan-amalan zahir.

7. Demikianlah ajaran Islam, ia tidak memisahkan elemen kerohanian yang bersifat batin dan elemen luaran yang zahir.

"Kalaulah ia (Al-Quran) bukan daripada Allah sudah pasti akan banyaknya wujud percanggahan" - Surah An-Nisa', ayat 82

8. Kefahaman yang terpisah-pisah ini hanya akan menjerumuskan seseorang ke lembah zindiq (kesesatan) yang nyata, yang pada hakikatnya ia adalah langkah-langkah syaitan dalam menyesatkan manusia.

"Wahai orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam sepenuhnya, dan janganlah mengikuti langkah-langkah syaitan" - Surah Al-Baqarah, ayat 208

Wallahua'lam.
Kerajaan pintu depan atau belakang, mana yang lebih menepati syariah ?

1. Hukum akad pemerintahan banyak tertakluk kepada uruf semasa. Ini kerana 'struktur dan cara' pemerintahan termasuk dalam bidang ijtihadi yakni ia bergantung kepada maslahat-maslahat muktabar yang tertentu, bukan berdasarkan dalil syarak yang spesifik yang menetapkan bagaimana 'cara pemerintahan' itu dilakukan.

2. Uruf pemerintahan zaman khilafah terdahulu bergantung kepada umur khalifah, atau pengusirannya (dengan beliau dijatuhkan) atau seumpamanya. Uruf demokrasi di Malaysia pada hari ini menetapkan pada setiap 5 tahun penggal pemerintahan akan berlaku pilihanraya umum untuk menukar kerajaan. Itu adalah keadaan yang 'normal' dan 'biasa'.

3. Sekiranya keadaan yang tidak normal sedang berlaku, maka suatu tindakan 'darurat' perlu dilaksanakan bagi menyelamatkan apa-apa yang perlu diselamatkan, dan mengembalikan keadaan kepada situasi 'normal' itu tadi.

4. Dominasi bukan Islam dalam pemerintahan adalah suatu keadaan yang tidak normal di dalam pemerintahan negara Islam. Ia adalah suatu kezaliman dan kemungkaran. Sekiranya kita mengikat diri kita dengan sebuah 'uruf' yang biasa digunapakai, namun dalam masa yang sama terpaksa mengorbankan banyak kepentingan-kepentingan umat Islam, hingga berlakunya dominasi bukan Islam dalam menentukan halatuju negara, maka itu merupakan satu kepincangan dalam menilai suatu keadaan secara syarak.

5. Kita biasanya masuk rumah ikut pintu depan, sebab itulah pintu masuknya secara tabie. Tapi kalau rumah tengah terbakar, nak selamatkan orang di dalam rumah, dalam masa yang sama pintu depan tengah terbakar, atau terkunci dengan mangga, atau seumpamanya, maka wajib pada ketika itu mencari apa saja alternatif untuk selamatkan orang dalam rumah, sama ada ikut pintu belakang, ikut tingkap hatta panjat beranda pun boleh.

6. Jika kita beralasan tidak boleh menggunakan pintu belakang kerana 'wajib' mengikut pintu depan, lalu kita biarkan ahli rumah yang terbakar itu kematian, maka kita akan dikategorikan sebagai orang-orang yang tidak waras.

7. Syarak menilai isu-isu semasa dengan melihat kepada unjuran dan implikasi yang akan berlaku. Ia bukan semata-mata melihat kepada sistem teknikaliti yang mengekang, kerana syarak adalah umpama roh yang hidup dalam segenap kehidupan manusia. Setiap implikasi akan dinilai syar'ie apabila ia menuruti ciri-ciri maslahat syarak yang diperakui oleh para ulamak, dan ia adalah satu maslahat yang rajih berbanding mafsadah yang akan berlaku.

8. Sebab itu di dalam Usul Fiqh, ada ungkapan yang menyebut ; "Apabila qiyas itu jelik, maka cantiklah pula istihsan". Yakni, apabila penggunaan dalil Qiyas (secara kaedah asal) itu tidak mencapai maslahat, maka gunalah istihsan (yang juga disebut sebagai qiyas khafiy yakni melihat kepada maslahat di sebalik hukum) kerana dengan itu barulah dapat mencapai maslahat.

9. Demikianlah juga kisahnya dalam bab pemerintahan ini. Walaupun kita tidak menafikan kemungkinan bahawa akan berlaku beberapa kekacauan dan ketidakstabilan tertentu, tetapi bagi mengelakkan 'abnormaliti' itu berterusan, suatu tindakan perlu dilakukan.

10. Bentuk tindakan berbeza-beza mengikut dapatan dan pandangan masing-masing. Satu perkara yang perlu kita satukan terdahulu adalah ; kita perlu sepakat bahawa orang Islam mesti mendominasi pemerintahan. Kemudian baru kita pergi ke langkah seterusnya, sama ada nak ikut pintu atau tingkap yang mana satu.

Wallahua'lam.
Kesempurnaan tawakkal seperti burung

Suatu hari Imam Malik RA berkata ; Rezeki Allah SWT datang tanpa sebab. Ia berdasarkan kepada hadis : “Kalaulah engkau benar-benar bertawakkal kepada Allah, sudah pasti Dia akan memberikanmu rezeki sepertimana Dia memberi makan kepada burung. Burung-burung itu berpagi-pagian dalam keadaan berlapar, dan pulang dalam keadaan kenyang”.

Lalu Imam Syafie RA membalas : Kalaulah bukan kerana mereka keluar mencari makan sudah pasti mereka tidak akan mendapat rezeki.
Maka Imam Syafie RA mahu membuktikan keyakinannya kepada gurunya, dan beliau mendapati ada seorang pakcik tua sedang membawa seplastik kurma yang berat.

Lalu Imam Syafie pun menolongnya dengan mengangkat kurma itu hingga sampai ke destinasi yang dikehendaki. Apabila tiba, pakcik itu memberinya sedikit daripada kurma yang ada sebagai tanda berterima kasih.

Pada ketika itu Imam Syafie RHM pun merasa gembira kerana dapat membuktikan bahawa keyakinannya adalah tepat, bahawa rezeki itu mesti datang dengan usaha. Yakni kalaulah dia tidak menolong pakcik tua itu tadi, sudah pasti dia tidak akan dapat kurma itu.

Lalu beliau bersegera menuju ke arah gurunya lalu meletakkan kurma itu tadi di hadapan gurunya dan menceritakan peristiwa itu. Imam Malik pula hanya tersenyum lantas memakan kurma di hadapannya. Imam Malik berkata : “Dan engkaulah pula yang membawakan kepadaku rezekiku ini, tanpa sebarang usaha daripadaku”.

Kedua-dua imam mempunyai sudut pandangan yang berbeza dalam satu isu yang sama. Hakikatnya ia tidak pun bertentangan, ia hanyalah berbeza dari sudut pandangan.

Ia boleh difahami dalam dua sudut keterangan :

Pertama : Imam Malik tidak menafikan bahawa wujudnya rezeki yang datang dengan sebab, tetapi beliau hanya mahu mensabitkan bahawa di sana ada jenis-jenis rezeki yang juga diberikan kepada makhluk tanpa sebarang sebab dari mereka, ia adalah semata-mata kurniaan daripada Allah SWT. Adapun Imam Syafie melihat satu jenis rezeki iaitu rezeki yang datang dengan usaha. Jadi penilaian mereka berbeza.

Kedua : Imam Malik melihat rezeki dari Allah SWT yang melaksanakan sesuatu dengan ‘kemahuan’-Nya dan tidak terikat dengan sebab dan musabbab. Adapun Imam Syafie melihat bahawa rezeki itu dengan usaha kerana melihat ia sebagai salah satu daripada sunnah kauniyah (ketetapan alam) bahawa setiap perkara ada sebab dan musabbabnya.

Dalam bahasa tasawwuf, boleh dikatakan Imam Malik melihat perkara itu secara ‘tahaqquq’ yakni secara hakikat sesuatu perkara, bahawa ketetapan dan kemahuan Allah SWT tidak tertakluk kepada perkara-perkara lain. Adapun Imam Syafie melihat perkara itu secara ‘tasabbub’ yakni beliau mengambil kira sebab dan musabbab dalam peraturan alam.

Sudah pasti setiap sudut pandangan ada kekuatannya yang tersendiri. Ia tidak pula menafikan satu sama lain, bukan juga seruan untuk kita berpeluk tubuh dan menanti apa sahaja yang datang. Bahkan ia hanyalah suatu cara bagaimana seorang guru mengajar anak muridnya, dalam memahami hakikat-hakikat ketuhanan.

Wallahua’lam.
Pemandu mabuk yang menyebabkan kematian sepatutnya boleh dihukum mati

1. Hukuman bagi peminum arak dalam syariah adalah 40 kali sebatan. Itu adalah pengamalan Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA ketika pemerintahannya. Apabila tiba zaman Umar Al-Khattab RA, beliau menambahkan hukuman kepada 80 kali sebatan. Saidina Ali RA mengikut sunnah yang dilakukan oleh Umar Al-Khattab dalam pemerintahannya.

2. Para ulamak sepakat bahawa hukuman hudud tidak boleh ditambah kerana ia sudah tetap dan tidak boleh diubah. Adapun apa yang dilakukan oleh Umar RA adalah penambahan lagi 40 sebatan, ia sebagai bentuk hukuman takzir yang diberikan autoriti dalam penentuannya kepada pemerintah.

Saidina Ali berkata : "Apabila seseorang itu mabuk, ia akan merapu, apabila ia merapu ia akan berdusta (ke atas maruah seseorang - yakni menuduhnya berzina) dan hukuman bagi orang yang menuduh seseorang berzina adalah 80 sebatan".

3. Tindakan Umar Al-Khattab RA sangat jelas dalam mencapai maslahat syarak iaitu menutup pintu-pintu kerosakan yang ada. Beliau memang dikenali sebagai antara yang mula memperkasakan konsep 'maslahah mursalah' (yakni maslahah yang tidak spesifik disebut dalam Al-Quran & Sunnah) dalam pemerintahannya seperti gaji para pegawai, penjara dan pengumpulan Al-Quran.

4. Situasi di negara pada hari ini sepatutnya mengambil kira apa yang telah dilakukan pada zaman Umar RA, dari sudut penggandaan hukuman bagi peminum arak. Walaupun hukuman yang diperuntukkan sedia ada mungkin dikira berat bagi sesetengah pihak, tapi pada hakikatnya ia menzalimi pihak yang dianiaya seperti keluarga si mati yang terbunuh akibat dilanggar pemandu mabuk.

5. Kita patut melihat ia sebagai fenomena yang buruk yang patut disekat. Kes langgar disebabkan mabuk semakin menjadi-jadi. Peruntukan yang ada hakikatnya tidak dapat benar-benar membendung gejala yang ada. Sepatutnya kerajaan boleh menetapkan suatu hukuman yang lebih berat seperti hukuman mati, seperti yang dikenakan kepada pengedar dadah, dan sebelum ini pernah dicadangkan hukuman mati kepada orang yang membuang bayi atas sebab sengaja menyebabkan kematian.

6. Pemabuk yang meminum arak lalu melanggar hingga menyebabkan kematian tidak boleh dikira tidak sengaja seratus peratus. Ia hakikatnya sengaja kerana dia dengan pilihannya meminum arak dan dengan pilihannya sendiri juga ingin mabuk dengan arak tersebut. Tiada siapa yang mahu minum arak untuk hilangkan kehausan. Dia sepatutnya bertanggungjawab terhadap nyawa yang hilang akibat perbuatannya, dan sewajarnya dibalas sesuai dengan perbuatannya dalam mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa orang lain.

7. Walaupun pelaksanaan undang-undang yang ketat mungkin boleh mengawal sedikit sebanyak gejala yang tidak sihat ini. Hakikatnya selagi kita masih boleh bertoleransi dengan 'budaya arak' ini dalam negara, kita tetap tidak akan selamat.

Namun kita harus bermula dari sini, agar para pembuat dasar negara sedar bagaimana ia patut bertindak.

Wallahua'lam.
Kepercayaan kepada orang kafir sebagai pemimpin, salah satu titik kemunafikan

Selagi kita bersangka baik kepada orang-orang kafir yang gila kuasa, selagi itu kita akan diperalatkan dan dikelabukan.

Mereka boleh manipulasi isu-isu tertentu, agar segala kejahatan mereka dilihat baik dan diberi justifikasi yang baik. Mereka kuasai media dan segala saluran rasmi bagi menjayakan agenda mereka.

Tanpa kita sedari, kita akan jadi bangsa yang merempat di tanah air sendiri.

Jangan percaya apa yang mereka beritahu, percayalah apa yang Allah beritahu.

"Dan sekali-kali Yahudi dan Nasrani itu tidak akan meredhaimu sehinggalah engkau mengikut 'millah' (ajaran) mereka" - Surah Al-Baqarah

"Siapakah yang lebih benar perkataannya berbanding Allah ?" - Surah An-Nisaa'

Wallahua'lam.
2024/11/18 13:30:32
Back to Top
HTML Embed Code: