Telegram Web Link
Perebutan kuasa bukan semata-mata isu pentadbiran, ia adalah isu agenda.

Mungkin ada setengah pihak yang menilai bahawa perebutan kuasa politik hanya bagi mentadbir negara dengan penuh cekap dan sifar ketirisan.

Hakikatnya mana-mana parti politik pun tidak akan terlepas daripada kesilapan dan kecuaian. Jika itu yang dicari pasti akan jumpa dan boleh dihebohkan di media-media sosial.

Dulu masa nak jatuhkan BN, media PR dan PH akan cari sebanyak mungkin isu untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu walaupun sebahagiannya dengan menggunakan isu-isu yang direka-reka seperti cincin 24 juta dan seumpamanya.

Demikian juga untuk menjatuhkan PH, ada juga pihak yang memainkan isu pentadbiran yang tidak cekap yang banyak seperti isu kes Adib yang tidak terbela sampai ke sudah, YB yang terkait dengan LTTE yang dilepaskan kesemuanya, dan seumpamanya.

Namun kita jarang melihat perkara yang lebih penting dan lebih mendasar, iaitu apakah agenda yang dibawa oleh setiap gabungan yang membentuk kerajaan.

Ke mana negara ini akan pergi ? Bagaimana masa depan umat Islam jika keadaan ini berterusan ?

Apabila kita hanya memikirkan soal teknikal dan kerja-kerja KPI tertentu, (walaupun ia boleh juga dijadikan kayu ukur kelayakan seseorang untuk memimpin negara), dan kita melupakan isu agenda yang lebih besar tadi, hakikatnya kita hanya bermain di isu-isu permukaan.

Orang kafir dengan segala daya dan upaya mereka boleh melakukan 'make-up' dalam pengurusan dan pentadbiran hingga lihat 'adil' dan 'saksama', tetapi diri mereka tidak akan meredhai agenda Islam itu tertegak dan umat Islam itu memimpin.

Siapa yang melihat sesuatu pemerintahan itu secara luaran, mereka akan mudah tertipu. Tertipu dengan pembentangan, media, dan kenyataan-kenyataan rasmi seolah-olah menunjukkan bahawa mereka ini benar-benar jujur dalam mentadbir Malaysia tanpa sebarang 'bias' kepada bangsa dan agama mereka.

Tetapi sesiapa yang memahami isu kuasa adalah isu agenda, maka dia akan faham kenapa kena pilih pemimpin orang Islam, dan kenapa orang Islam mesti dominan dalam kerajaan.

Ini kerana hanya orang Islam sahaja yang memikirkan nasib umat Islam. Dan hanya Islam sahaja yang tidak menindas mana-mana agama dan bangsa lain, apabila Islam dan umatnya mendapatkan dominasi, mandat dan kuasa dalam sesebuah negara.

Demikianlah bagaimana kita memahami perkaitan di antara politik dan agama, yang mungkin tidak difahami oleh mereka yang memisahkan antara imam solat dan pemerintah negara.

Wallahua'lam bissawab.

Ustaz Syamil Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Punca meroyan kelompok demokrat

Di antara punca sesetengah kelompok meroyan dengan kerajaan baru ini dan pembentukan kabinet baru-baru ini adalah kerana mereka berpaut pada agenda politik kepartian, dan tidak berpaut pada agenda politik yang merentas parti, iaitu politik kepentingan umat Islam.

Kita harus insaf, dan kembali kepada identiti kita sebagai seorang daripada umat Islam, yang terikat dengan ikatan akidah dan persaudaraan sesama muslim, sepatutnya melihat situasi semasa sebagai satu perkara yang memangkinkan kemajuan umat Islam.

Apabila umat Islam bersatupadu, memimpin, memacu arus kemajuan dan perubahan, semua orang lain akan rasai manfaatnya, selaras kefahaman rahmatan lil alamin yang sebenar.

Jika kita masih menjadi parti politik sebagai 'tapak kita berpijak' maka sampai bila-bila kita tidak akan benar-benar menyelesaikan masalah umat Islam, kerana kita akan sentiasa dipolitikkan.

Pilihlah umat Islam sebagai 'tapak' untuk kita membuat pendirian, nescaya kita akan mula keluar daripada tabiat meroyan.

Wallahua'lam bissawaab.
Ketidaktentuan politik adalah peluang buat anak-anak harakah Islam menilai semula tapak perjuangan

1. Apa yang berlaku pada pertukaran politik kali ini dengan segala macam lompatan yang disaksikan umum, boleh jadi sebab kukuh untuk para anak-anak harakah Islam di Malaysia menilai sejauhmana kukuhnya prinsip dan agenda perjuangan yang selama ini mereka pertahankan.

2. Mereka harus mengambil satu 'waqfah' (pit stop) dan berundur sebentar ke belakang untuk melihat gagasan yang selama ini mereka berjuang dan bergelumang di dalamnya, ke mana halatujunya dan apakah teras agendanya.

3. Sekiranya masih berputar sekitar pemerkasaan demokrasi dan 'universal values' yang diangkat oleh Barat sebagai teras kemajuan mereka, maka ketahuilah perjuangan anda hanya akan berputar pada tempat yang sama. Lompatan demi lompatan akan berlaku, dan ia hanya menjadikan para ahli semakin hairan dan keliru, apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh 'jemaah' ini. Ia hanya akan berputar pada titik yang sama, sepertimana ia pernah melalui titik yang sama pada lebih 20 tahun yang lepas.

4. Kita harus sentiasa muhasabah, sejauhmana perjalanan kita selari dengan agenda Al-Quran. Ambillah Al-Quran, dan ukurlah ia dengan agenda kita. Perhatikan satu-persatu ayat-ayat Allah SWT dan cuba serasikan ia dengan apa yang kita perjuangkan.

Padanya ada misi dakwah, agenda kesatuan umat, jalan pemerkasaan umat, jalan jihad, prinsip kepimpinan Islam, dan agenda membina sebuah peradaban yang berteraskan Al-Quran.

5. Jika kita masih jauh daripada terma-terma Al-Quran ini, dan lebih gemar untuk mengikuti terma-terma Barat yang mengelirukan dan tidak konsisten itu, maka ketahuilah bahawa, kita bukanlah lagi generasi Al-Quran, tetapi kita hanyalah generasi yang tertipu dengan langkah-langkah syaitan.

"Barangsiapa yang berpaling daripada zikr Ar-Rahman (Al-Quran) maka sudah pasti kami akan menjadikan syaitan sebagai ketuanya, dan dia akan menjadi teman setia baginya. Dan sesungguhnya para syaitan itu akan menghalang mereka daripada jalan kebenaran, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka itu diberi hidayah (pada jalan yang betul)" - Surah Az-Zukhruf : Ayat 36 - 37

Wallahua'lam bissawaab.
Menghadapi Covid-19 dengan mengharapkan husnul khatimah

Dalam waktu-waktu yang agak genting ini, suka untuk saya seru kepada semua warga agar kita mengharungi wabak ini dengan penuh ihtisab (mengharap ganjaran) kepada Allah SWT.

Ada orang yang terkena Covid-19 dengan menghadiri perhimpunan dengan mengharapkan redha Allah, ada juga yang terkena kerana sedang melakukan satu perkara yang memurkakan Allah.

Walau hasil kedua-duanya adalah terjangkit virus Covid-19, tapi cukup berbeza keduanya di sisi Allah SWT. Seorang sedang menempah tiket ke syurga, dan seorang lagi sebaliknya.

Kita tidak tahu sama ada kita akan terjangkit atau tidak, walaupun kita mungkin boleh mengurangkan risiko daripada terjangkit. Tapi kita tahu bahawa apa yang kita lakukan sehari-harian adakah ia menuju ke syurga atau ke tempat lain.

Tuhan akan hisab kita dengan apa yang kita niatkan, dan apa yang kita lakukan. Terjangkit atau tidak, itu adalah kerja Dia.

Kerja kita adalah, memastikan landasan hidup kita menuju husnul khatimah.

Bagi saya, itulah sebaik-baik persediaan.

Wallahua'lam bissawab.
Alam adalah makhluk, yang mengikuti arahan Tuhan.

Seluruh alam ini adalah makhluk Allah, ia berjalan seiringan dengan arahan-Nya.

Barangsiapa yang mahu agar alam ini mesra dengannya, dia seharusnya mesra dengan arahan-Nya.

Keterikatan antara penciptaan (al-khalq) dan tuntutan (al-amr) adalah ibarat keterikatan simbiosis antara makhluk dengan makhluk yang lain.

Mengabaikan satu pihak, akan mengakibatkan kerosakan di pihak yang lain, seterusnya memusnahkan sebuah rantaian ekosistem kewujudan.

Apabila rantaian kewujudan tidak seimbang, suatu campur tangan ilahi (divine intervention) akan berlaku bagi membawa alam ini menuju keseimbangan semula.

Manusia tanpa iman tidak akan faham perkara ini, kerana mereka hanya melihat satu perkara di sudut kecil daripada alam realiti, tidak memahami bahawa alam ini sedang mengikuti arahan di luar dimensi realiti.

Dalam meneliti masalah ini, manusia harus melihat bahawa apa yang berlaku bukan semuanya hanya seperti yang dilihat dan diujikaji secara saintifik. Kita harus faham, ada peraturan (sunnatullah) di luar sana yang sedang mengawal dan mengurus kita, yang lebih mengetahui apa-apa yang kita lalui, dan hadapi, diatur dengan ilmu Tuhan, sejak azali lagi.

"Ketahuilah, bagi-Nya segala penciptaan dan segala arahan" - Surah Al-A'raaf

Wallahua'lam bissawab.
Kefahaman umum takdir dan kaitannya dengan akidah muslim

Takdir boleh dilihat dalam dua sisi :

1. Sisi ilmu Allah SWT yang mendahului segala perkara
2. Sisi undang-undang dan peraturan yang Allah tetapkan di atas muka bumi ini dan alam semesta ini.

Manusia disuruh untuk memahami yang kedua, ditaklifkan untuk berusaha dan beramal dengan kefahaman tersebut serta akan dihisab pada sudut itu.

Manusia pula disuruh untuk tidak mempersoal yang pertama, apatah lagi mendalami kerana persoalan sisi pertama hanya sia-sia yang akan merosakkan fungsi akal itu sendiri, selain ianya adalah kawasan larangan seolah-olah tajassus terhadap ilmu Allah itu sendiri.

Dalam mengharungi kehidupan, kita diajar pada sudut kedua berbagai formula, kaedah asbab dan musabbab, serta apa-apa yang boleh dirasai oleh pancaindera sebagai satu perkara yang boleh membawa kepada kebaikan dan keburukan.

Pada sudut itu, manusia akan dihisab dan diberikan ganjaran atau balasan.

Namun apa kaitannya pula pada sisi pertama ?

Sisi pertama bertujuan untuk memberitahu manusia, bahawa di sebalik undang-undang dan asbab musabbab, ada padanya kemahuan Allah yang mutlak, ilmu Allah yang azali, yang meliputi apa yang kita tahu dan apa yang kita tak tahu.

Ia berfungsi menyuntik deria fitrah kehambaan untuk sentiasa tunduk dan akur, bahawa di sana ada Tuhan yang mencipta, mengatur dan mengawal, seluruh kejadian alam ini, tanpa sebarang kecacatan dan ketidakseimbangan.

Atas sebab itu kebanyakan mukjizat para anbiya' datang dari sudut luar kebiasaan, agar manusia akur, setinggi mana pun ilmu mereka, mereka tidak akan capai tahap mencipta mukjizat, yang hanya mampu didatangkan oleh Zat yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Hakikatnya kedua-dua sisi adalah satu rantaian bersepadu, bahawa sisi kedua adalah subset kepada sisi pertama, cuma sisi kedua adalah ruang yang Tuhan berikan sedikit kefahaman dan kemampuan untuk ikhtiar, agar manusia boleh berfikir dan boleh diuji, siapakah yang paling baik amalannya.

Salah faham yang timbul ?

Salah faham yang timbul bermula apabila kita masuk ke sisi pertama, tanpa melihat sisi kedua. Lalu kita mendakwa bahawa kitalah yang paling beriman dengan qadha' qadar, sedangkan kita yang paling jahil.

Atau pun salah faham juga boleh timbul apabila kita terlalu yakin bahawa kita yang menguasai takdir kerana kita memahami undang-undang alam, sedangkan kita lupa bahawa itu semua tertakluk di bawah ketentuan dan kehendak Allah SWT yang mutlak, bukan kehendak kita.

Kefahaman yang harmoni boleh terbentuk apabila kita melihat setiap sudut pada tempatnya, dan mengikat kefahaman kita dengan kefahaman dan pengamalan para anbiya' AS dan sahabat RA, mereka sentiasa melihat sisi takdir pada kedua-dua sisi, dan mereka menempuhi kehidupan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Wallahua'lam bissawaab.
InsyaAllah hari ini saya akan buat live fb jam 3.30 petang.

Tajuk : Syukur, kefahaman hikmah daripada neraca Luqman Al-Hakim

Wallahua'lam

Ikuti facebook saya : Syamil Esa
Apa patut buat apabila tidak keluar rumah ?

Ada orang tanya saya soalan, apa yang patut kita buat jika tak boleh keluar rumah ?

Saya jawab, diri kita sekiranya kita pandang dari sudut material, memang kita sentiasa terkurung. Hatta kalau kita keluar rumah pun kita akan terkurung. Terkurung dengan pancaindera kita sendiri.

Allah SWT bagi peluang untuk kita terokai diri kita, dengan Dia kurung kita, untuk kita fahami bahawa dalam diri ini ada suatu alam yang lebih luas daripada apa yang kita boleh lihat dan nampak.

Kebanyakan ulamak menyiapkan penulisannya yang hebat apabila mereka bersendirian dan 'terkurung' daripada dunia luar. Imam As-Sarakhsi menulis kitab Al-Mabsut ketika terjatuh dalam perigi. Imam Ibn Qayyim menulis kitab Zadul Maad ketika dalam perjalanan dari Syam ke Mekkah untuk menunaikan haji. Imam Khalil (penulis Mukhtasar Khalil dalam Mazhab Maliki) menulis kitabnya Mukhtasar Khalil dalam Masjid Al-Azhar dan tidak keluar hatta ke Sungai Nil pun selama 20 tahun. Penulis Zilal menulisnya dalam penjara, dan begitulah seumpamanya.

Diri kita mempunyai alam yang tersendiri. Kita adalah kesimpulan alam ini. Jika kita masih menanti-nanti untuk melihat dunia luar bagi memuaskan hati dan jiwa, hakikatnya kita masih jauh dalam perjalanan 'mengenali diri', dan masih jauh, dalam mengenali Ilahi.

Wallahua'lam bissawaab.

P/s : InsyaAllah esok saya akan buat perkongsian mengenai 'keluar daripada dimensi masa dan tempat.
#projekkita | 💪🏻TABUNG PERWIRA COVID-19💪🏻
.
🔥Alhamdulillah usaha membantu pada ketika ini disambut baik oleh Aman Palestin. Melihat situasi yang berlaku, Aman Palestin berusaha membantu barisan hadapan yang bertungkus lumus merawat dan membasmi penularan wabak COVID-19 dengan melancarkan TABUNG PERWIRA COVID-19!
.
⚡️Tabung ini merupakan satu usaha dari Aman Palestin dalam membantu mereka yang bertungkus lumus merawat dan membasmi penularan wabak COVID-19
.
⚡️Antara Bantuan yang akan disalurkan adalah seperti KEPERLUAN ASAS KESIHATAN.
Antaranya:

1️⃣ Penutup muka/ 'face mask'
2️⃣ 'Hand Sanitizer'
3️⃣ Cecair pembasmi kuman
4️⃣ 'Portable SPO2 monitor'
5️⃣ 'Portable aircond'
6️⃣ Kipas
7️⃣ 'Infrared thermometer (forehead)'
8️⃣ 'BP set'
9️⃣ Stetoskop
🔟 Apron/ 'Personal Protective Equipment (PPE)'
.
⚡️Aman Palestin menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat untuk kita bersama-sama menghulurkan Bantuan yang terbaik untuk mereka!
.
⚡️Jadikan sumbangan Kita ini sumbangan paling bermakna!
.
————————————————

.
⚡️Ayuh kita bantu sebaik mungkin BARISAN HADAPAN ini dengan klik pautan di bawah:
https://www.billplz.com/apn9
https://www.billplz.com/apn9
https://www.billplz.com/apn9
.
⚡️Salurkan bantuan ke akaun Aman Palestin Berhad:
Bank Islam: 12029010047880
Maybank: 562263010787
CIMB: 8600460353

📩 Hantar resit transaksi anda ke whatsapp:
https://bantualamislami.wasap.my/

.
#AmanPalestin
#JomMenyumbang
#10forsmiles
#TabungAlamIslami
#TabungPerwiraCovid19
Forwarded from Ismail Juffri
Sempena Israk Mikraj, insyaAllah saya akan kupas berkenaan ibrah dari sudut hakikat solat dalam kehidupan mukmin, khusyuk dan erti solat 'daimun' yang disalahfahami.

Jam 3.30 petang, live facebook.

Moga Allah beri keizinan dan kemudahan.
Para 'frontliners' adalah murabitun ; layak mendapat pahala jihad fi sabilillah

Ini berdasarkan kepada takrif ribat secara istilah iaitu mempertahankan perbatasan umat dan negara daripada dimasuki musuh.

Ribat tidak tertakluk kepada tempat semata-mata, termasuk padanya adalah sempadan pemikiran (peranan para ulamak dan cendekiawan), dan sempadan keselamatan (peranan para tentera, anggota keselamatan dan anggota perubatan).

Pandangan ini selari dengan tafsiran Syeikh Sya'rawi terhadap ayat 60 daripada surah Al-Anfal : "Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka (kuffar) apa sahaja yang kamu mampu, dari sudut kekuatan dan daripada ikatan tali kuda, agar kamu menakutkan musuh Allah dan musuh kamu".

Beliau menyebut : "Ribat bukan semata-mata kekuatan ketenteraan sahaja, bahkan dengan kekuatan ilmu. Bahkan tidak boleh tidak kita mesti mempertahankan pemikiran dan manhaj (cara hidup) umat Islam daripada serangan musuh dari sudut pemikiran dan kerohanian".

Oleh itu saya ingin nyatakan, saiz ribat perlu dilihat dari sudut makna yang lebih besar, iaitu apa-apa sahaja yang menjadi puncak maslahat bagi umat Islam, sesiapa sahaja yang menjaga perbatasan dan sempadan itu, maka dia dikira orang yang sedang melakukan 'ribat', dan boleh mendapat pahala jihad jika diniatkan untuk menjaga maslahat awam.

Sekiranya salah seorang daripada 'frontliners' itu terkorban, maka beliau layak mendapat ganjaran 'syahid'. Mereka sedang mempertahankan umat ini daripada serangan dan penularan wabak, selayaknya mereka juga mendapat ganjaran setimpal dan pahala yang besar, bersesuaian dengan pahala orang-orang yang menjual dirinya kepada Allah SWT.

Moga Allah memberi ketabahan, kesabaran, kemudahan, keselamatan dan ketenangan kepada para frontliners, dan ahli keluarga mereka, serta mengurniakan mereka sebesar-besar ganjaran di sisi-Nya.

Wallahua'lam bissawaab.
Sudah tiba masanya untuk kita hijrah kepada kehidupan Al-Quran

Ya, saya anggap fasa kini sedang bertemu pengakhirannya. Kita memerlukan satu bentuk dan jenis kehidupan yang baru.

Kehidupan yang terdiri daripada kayu ukur, neraca, cara fikir, perspektif, nilai dan cara hidup yang tersendiri.

Kita tidak ditinggalkan berseorangan dengan alam yang penuh dengan persoalan ini. Allah SWT sudah pun merakamkan penyelesaian kepada masalah kita pada hari ini :

"Wahai orang yang beriman, sahutlah seruan Allah dan Rasul-Nya ketika dia menyerumu kepada apa yang menghidupkanmu" - Surah Al-Anfal, ayat 24

Sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa yang menghidupkan itu adalah Islam, sebahagian pula menyatakan ia adalah Jihad, yang lain pula menyatakan ia adalah Al-Quran.

Saya katakan, ia adalah ketiga-tiganya. Ia adalah Islam dari sudut cara hidup dan sistem kehidupan, ia adalah Jihad dari sudut perjuangan, dan ia adalah Al-Quran dari sudut sumber rujukan.

Benar, kita memerlukan satu kehidupan yang benar-benar memberi makna hakiki terhadap hidup ini. Tiadalah yang tepat dan benar melainkan apa yang diturunkan di dalam Al-Quran dan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Masanya sudah tiba, untuk kita berhijrah ke fasa kehidupan baru.

Sekiranya kita masih angkuh, dikhuatiri kita akan digantikan dengan sekelompok manusia yang lain, yang bersedia mengharungi kehidupan yang bermakna itu.

"Sekiranya kamu berpaling Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan jadi seperti kamu" - Surah Muhammad, ayat 38

Wallahua'lam bissawaab.
Buntu terputus dengan dunia luar?

Mari bersama saya menyelami lautan Al-Quran.

Live facebook di akaun fb saya Syamil Esa, jam 2.30 petang.

Moga Allah mudahkan.
B40, M40, T20 dan seumpamanya hanyalah pengkategorian material, bukan pengkategorian hakiki.

Kita tidak ditanya dengan keadaan kita dan apa yang kita dapat. Kita hanya akan ditanya mengenai apa yang kita lakukan.

"Dia (Allah SWT) tidak ditanya mengenai perbuatan-Nya, tetapi merekalah (manusia) yang ditanya (terhadap apa yang mereka lakukan)" - Surah Al-Anbiya'

Kefakiran dan kekayaan, hanyalah pemberian dan pembahagian rezeki Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Walaupun mungkin kita boleh kata orang itu berusaha hingga dia kaya, dan orang itu tidak sekuat usaha dia hingga dia tidak sekaya mereka dan seumpamanya.

Hakikat kehidupan ini adalah susunan dan aturan Allah SWT, bagi menyeimbangkan ekosistem kewujudan. Setiap kelas manusia memerlukan kelas yang lain. Tiada siapa yang 'lebih memiliki' berbanding yang lain. Kesemuanya adalah setaraf jika dilihat dari sudut keseimbangan ekosistem masyarakat, dan kewujudan. Semuanya mempunyai peranan tertentu dalam menjaga keseimbangan itu.

Yang berbeza kategori di sisi Allah SWT adalah manusia dengan tingkatan ketaqwaannya di sisi Allah SWT.

Pada zaman Nabi SAW pangkat tertinggi adalah 10 orang yang dijamin Syurga, kemudian As-Sabiqun Al-Awwalun, kemudian Ahli Badar, dan demikianlah seterusnya. Mereka terdiri daripada orang kaya, orang miskin, bujang dan berkahwin dan seumpamanya.

Status sosial tidak mempunyai nilai dalam status taqwa. Ia mungkin boleh menjadi beberapa 'qarinah' (bukti) tertentu, tetapi ia tidak menjadi kayu ukur utama dalam meletakkan status di sisi Allah SWT.

Kita harus kembai kepada neraca ini, iaitu neraca ketaqwaan yang menjadi nilaian ketinggian manusia yang sebenar.

Apabila kita berjaya menggabungkan nilai ketaqwaan dengan neraca sosial yang kita guna sehari-harian, barulah kita mampu mencapai sinergi kemajuan, yang menyambungkan antara dunia dan akhirat.

Pada saat itu, kemajuan kita secara material adalah lambang kemajuan secara spiritual. Ketinggian status sosial adalah lambang ketinggian status ketaqwaan di sisi Tuhan. Dan segala perjalanan kehidupan dan kebahagiaan di dunia akan mencerminkan gambaran kehidupan dan kebahagiaan abadi di akhirat.

Pada ketika itu, manusia akan mempertuhankan Tuhan pada segenap wujud kehidupan, bukan semata-mata pada rukun Islam dan tikar sejadah serta hukum hakam perkahwinan.

Pada masa itu, baharulah manusia akan masuk ke syurga duniawi, sebelum menjejaki syurga ukhrawi.

"Sesungguhnya di dunia ini ada syurga, yang mana sesiapa yang tidak masuk ke dalamnya, tidak akan masuk syurga pada hari akhirat nanti" - Ibnu Taimiyah RHM

Wallahua'lam bissawaab.
Paksi hidup kita menentukan nasib kita, dan kehidupan kita.

1. Perihal salafussoleh apabila 6 bulan sebelum Ramadhan mereka berdoa agar disampaikan padanya bulan Ramadhan. Apabila berlalunya Ramadhan mereka berdoa selama 6 bulan agar amalan mereka diterima di bulan Ramadhan.

Seolah-olah setiap masa mereka adalah Ramadhan.

2. Hakikat keberkatan Ramadhan wujud pada Al-Quran. Ia dimuliakan kerana Al-Quran diturunkan pada bulan itu. Maka kehidupan salaf hakikatnya berpaksikan Al-Quran.

3. Keberkatan Al-Quran akan menjadikan sesuatu perkara itu paling mulia di sisi Allah SWT. Ia turun kepada Nabi Muhammad SAW maka baginda SAW adalah sebaik-baik Rasul. Ia turun pada bulan Ramadhan maka Ramadhan adalah sebaik-baik bulan. Ia turun pada malam Lailatul Qadr maka jadilah ia sebaik-baik malam. ia diwahyukan melalui Jibril AS maka jadilah ia sebaik-baik malaikat.

4. Mari kita cuba kiaskan ia pada perkara-perkara lain. Mana-mana yang Al-Quran terkait dengannya, akan diberkati dan ditinggikan kedudukannya di sisi Allah SWT, dan di sisi manusia.

5. Seluruh kehidupan Rasulullah SAW adalah gambaran Al-Quran. Dalam hadis Aisyah RA apabila ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab : Akhlak baginda adalah Al-Quran, baginda adalah Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi.

Jadi boleh difahami bahawa apa-apa sahaja yang timbul daripada Rasulullah SAW adalah terbit daripada kefahaman baginda terhadap Al-Quran, seperti yang disebut oleh Imam Syafie RHM sendiri bahawa segala hukum yang dikeluarkan oleh Rasulullah SAW adalah berdasarkan kefahaman baginda terhadap Al-Quran.

6. Hakikat perjalanan menyelami Al-Quran adalah melihat bahawa Al-Quran itu berfungsi melakar sebuah bentuk kehidupan. Kehidupan yang penuh dengan keselarian, keterangan, keteraturan, dan kebahagiaan. Ia memberikan roh kepada mana-mana yang menjadikannya sebagai paksi dalam dirinya.

"Dan demikianlah Kami mewahyukan kepada kamu 'roh' daripada urusan Kami. Tidaklah engkau tahu apa itu kitab dan apa itu iman, tetapi Kami menjadikannya (Al-Quran) sebagai cahaya agar Kami memberi hidayah kepada siapa sahaja yang Kami mahu daripada kalangan hamba-hamba Kami. Maka sesungguhnya engkau menunjuk kepada jalan yang lurus" - Surah As-Syura, ayat 52

7. Al-Quran sepertimana ia menghidupkan jiwa-jiwa yang mati, hakikatnya ia berperanan memberikan satu makna yang baharu kepada erti kehidupan bagi jiwa-jiwa tersebut. Ia mengajarnya cara berfikir, cara berperasaan, cara melihat, dan cara berinteraksi dengan kehidupan. Perkara yang paling besar diajar oleh Al-Quran adalah cara bertuhan.

8. Tauhid yang diajar oleh Al-Quran menjadikan manusia akan sentiasa merasai kewujudan Allah secara hakiki, bukan hanya perspektif tertentu atau sudut tertentu. Tuhan wujud secara zat-Nya, dengan cara-Nya yang tersendiri. Tauhid yang terhasil daripada satu sinergi pancaindera manusia dengan fitrah penciptaannya, serta keteraturan alam semesta yang menjadi bukti bahawa di sebalik itu adalah satu tadbir kuasa Yang Maha Agung dan tidak terjangkaui dek mana-mana akal dan pancaindera.

9. Al-Quran memberikan manusia satu maklumat yang tepat dan pasti terhadap hakikat kejadian alam, masa, kehidupan dan tujuan, agar manusia sentiasa hidup dalam kesedaran, kepatuhan ketekunan, kesungguhan, dalam keadaan penuh kehambaan dan pasrah terhadap Tuhan, Allah SWT.

10. Akhirnya dengan demikian, Al-Quran menjadi sebuah jasad yang bergerak, dan diterjemahkan oleh satu susuk tubuh, sepertimana ia telah disebut-sebut 1400 tahun dahulu ; Dia adalah Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi ini.

11. Mana-mana sahaja yang Al-Quran menjadi paksi kehidupannya, dia sedang membina pahala walaupun dia sedang tidur. Ini kerana, dia memahami bahawa apabila Al-Quran itu adalah panduan hidupnya, dan ringkasan sebuah kewujudan, maka setiap detik kehidupannya adalah terjemahan Al-Quran, dan setiap yang wujud adalah penafsiran terhadap Al-Quran.

Apabila demikian, maka bukankah kita boleh katakan, bahawa mereka itu adalah Al-Quran, dan Al-Quran itu adalah diri mereka ?

Wallahua'lam bissawab.
Setiap 100 tahun, dunia menuntut keseimbangan.

Selain yang kita ketahui bahawa Covid-19 merupakan virus pandemik yang melanda kita, 100 tahun selepas Spanish Flu dan seumpamanya, apakah kehadiran virus ini bersendirian dalam putaran 100 tahun kali ini ?

Satu kunci ; apabila wujudnya bencana, akan datangnya penyelamat.

Dalam hadis sahih Rasulullah SAW mengatakan Allah SWT akan mengutuskan bagi umat Islam ini, pada setiap awal 100 tahun, seseorang yang akan men'tajdid' untuk mereka urusan agama mereka (yakni mengembalikannya kepada keasliannya).

Sekarang kita mungkin mula fahami, bahawa pengutusan 'penyelamat' itu tidak bersendirian. Ia datang dengan satu keadaan yang Allah persiapkan dengan cara-Nya tersendiri.

Sepertimana bencana itu menimpa dunia, seperti itu jugalah saiz penyelamat itu dalam memberi kesan, dan seterusnya mengubah lanskap dunia.

Persoalannya ; di manakah posisi kita ?

Wallahua'lam.
Ayat 33 surah 33 mengenai Covid-19 ?

Saya cuba jelaskan dengan izin Allah SWT :

1. Setiap ayat Al-Quran ada konteks dan penafsirannya yang tersendiri, ia mesti dilihat dalam konteks tersebut untuk memahami makna sebenar bagi setiap ayat. Sekiranya kita memandai-mandai mentafsirkan sesuatu perkara di luar konteksnya dan mengatakan ia 'secara pasti' itulah yang dimaksudkan oleh Allah SWT, kita sudah pun memandai-mandai dalam memperkatakan sesuatu terhadap ayat-ayat Allah SWT.

2. Orang beriman melihat Al-Quran sebagai panduan yang menyelesaikan masalah hidup mereka. Setiap apa yang ada dalam Al-Quran sekiranya betul cara dan disiplinnya boleh didapati sebagai sebuah ubat dan penawar bagi orang yang beriman. Jadi, menafikan Al-Quran itu tiada kaitan dengan perihal hidup kita juga adalah perkara yang tidak benar.

3. Dalam mengenengahkan ayat-ayat tertentu daripada Al-Quran lalu dikaitkan dengan peristiwa tertentu, saya berpendapat untuk lebih selamat kita tidak menyatakan sesuatu perkaitan itu secara 'pasti', tetapi lebih mengambil ia sebagai isyarat daripada Allah SWT untuk menyatakan sesuatu, bagi sesiapa yang melihat kitab Allah SWT sebagai petunjuk.

4. Dalam menggarap ayat-ayat Al-Quran, kefahaman manusia berbeza-beza sesuai dengan latar belakang mereka, dan sesuai dengan kesediaan jiwa mereka serta taufiq Allah SWT kepada mereka, dalam menerima cahaya Al-Quran dan menggarapnya. Imam Syafie boleh mengeluarkan hukum fiqh daripada ayat Al-Quran (secara tafsir isyari), yang mana ayat itu langsung tidak difahami begitu oleh ulamak yang lain.

5. Sesiapa yang hatinya sentiasa bersama dengan Allah SWT akan melihat setiap yang dilaluinya itu adalah satu bentuk isyarat daripada Allah SWT untuk dirinya melalui satu bentuk kehidupan yang diredhai oleh-Nya. Al-Quran merupakan salah satu pintu untuk memahami tuntutan dan kehendak Allah SWT terhadap hidup kita. Orang yang begini tidak memerlukan angka-angka luaran seperti angka harian Covid-19 bagi melihat kehendak Allah kepada dirinya, kerana dirinya sendiri sudah pun membuka Al-Quran sejak sebelum wujudnya angka-angka luaran tersebut.

6. Kesimpulan yang saya nak bawa adalah ; kita tidak perlu menolak bahawa angka 3333 itu 'mungkin' boleh membawa isyarat tertentu daripada ayat Allah dalam saranan tersebut, dalam masa yang sama kita juga tidak bermudah-mudah dalam menetapkan apa yang Allah kehendaki daripada ilmu kita yang cetek ini.

Apa yang lebih penting bagi saya, daripada isu 3333 ini, adalah sebenarnya Allah sedang menegur kita, alangkah jauhnya kita daripada Al-Quran.

"Dan Kami turunkan Al-Quran itu sebagai penawar dan rahmat kepada orang-orang yang beriman, dan ia tidaklah menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian" - Surah Al-Israa', ayat 82

Wallahua'lam bissawaab.
Cahaya dan Al-Quran

Segala tafsiran terhadap Al-Quran tidak mewakili Al-Quran. Ia ibarat satu spektrum warna yang terhasil daripada satu cahaya, menghasilkan kepelbagaian warna.

Sesiapa yang memerhati tafsir-tafsir yang ada, akan mendapati setiap mufassir punyai metodologi tersendiri. Kesemuanya ibarat salah satu daripada pembiasan cahaya daripada sebuah cahaya, iaitu cahaya Al-Quran.

Hakikatnya kesemua tafsir itu tidaklah bercanggah (sekiranya menepati disiplin ilmu yang tertentu), ia adalah suatu pemfokusan terhadap satu sudut tertentu, bagi memahami hakikat cahaya Al-Quran.

ولو كان من عند غير الله لوجدوا فيه اختلافا كثيرا

Wallahua'lam bissawaab.

P/s : Nantikan live facebook mengenai cahaya dari perspektif Al-Quran, dalam masa terdekat. InsyaAllah
Penganjuran Tik Tok Challenge oleh KPT bertentangan dengan saranan agama

Saya melihat penganjuran itu sebagai satu perkara yang bercanggah dengan agama kerana beberapa perkara berikut :

1. Dalil syarak yang jelas melarang agar wanita tidak mempamerkan tubuh badan dengan keadaan yang menimbulkan fitnah.

2. Promosi budaya Tik Tok adalah termasuk budaya jahiliyah kerana ia menormalisasikan perkara tari menari yang mencemarkan uruf masyarakat setempat yang terbina atas dasar kesopanan dan ketimuran. Peningkatan peratusan kunjungan ke laman web lucah sudah pun menjadi petunjuk bahawa umat kita sedang lesu jiwanya, penganjuran pertandingan ini hanya merancakkan lagi norma negatif itu.

3. Penganjurannya bertentangan dengan keperluan semasa. Di waktu kita dilanda bencana wabak, sepatutnya kita diminta untuk memuhasabah perjalanan hidup, mendekatkan diri kepada Allah dan melakukan perkara positif bagi meningkatkan keupayaan diri. Adapun penganjuran ini sangat bertentangan dengan perkara tersebut kerana ia bukan sekadar sia-sia, bahkan menjemput bala dan pula tidak bersimpati dengan golongan frontliner yang bersusah payah berperang di medan.

4. Mencemari iffah yakni kehormatan kepada para wanita, dan menghilangkan haibah kejantanan para lelaki. Penganjuran pertandingan ini hakikatnya bertentangan dengan maqasid syariah menjaga kehormatan kerana ia mencemarkan kehormatan para wanita dengan rakaman tarian yang tersebar di laman internet dan seumpamanya. Ia juga mencemarkan identiti kelelakian seorang lelaki kerana tarian demikian hanya akan menjatuhkan maruah mereka yang tidak sepatutnya dilihat demikian.

Demikianlah beberapa sebab utama kenapa saya menentang penganjuran ini.

Moga pihak berwajib lebih berwaspada dalam menganjurkan satu-satu perkara, agar ia menepati syariah, keadaan semasa dan norma serta identiti masyarakat yang berteraskan Islam dan melayu.

Wallahua'lam

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
2024/11/18 11:27:46
Back to Top
HTML Embed Code: