Telegram Web Link
Kebersamaan di dunia adalah petunjuk kebersamaan di akhirat.

Suatu hari seorang arab Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai bilakah hari kiamat akan berlaku, lalu Baginda SAW bertanya kembali, apakah yang engkau persiapkan untuk hadapinya ?

Beliau menjawab : Aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Baginda SAW membalas : Engkau akan dihimpunkan bersama orang yang engkau cintai.

Riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik RA.

Di dalam kisah Nuh AS apabila baginda AS menyeru anaknya untuk menaiki kapal sekali dengan kata-katanya : Wahai anakku ! Marilah naik bersama kami, dan janganlah engkau BERSAMA dengan orang-orang kafir!

Lalu dibalas oleh anaknya : Aku akan berlindung dengan bukit yang tinggi yang boleh menyelamatkan aku daripada banjir besar ini.

Lalu mereka terpisah dengan ombak yang kuat, dan jadilah anaknya itu bersama dengan orang-orang yang tenggelam.

Selepas peristiwa itu Nabi Nuh AS berdoa kepada Allah SWT agar anaknya digolongkan bersama dengan orang-orang yang beriman, namun Allah SWT membalas bahawa anaknya itu tidak termasuk dalam golongan yang beriman kerana pelakuannya. Allah SWT juga melarang Nabi Nuh untuk meminta perkara yang di luar pengetahuannya.

Cerita ini diceritakan dengan jelas dalam surah Hud bermula ayat 25 hingga ke ayat 49.

Beberapa pengajaran daripada hadis & ayat Al-Quran :

1. Kehidupan di dunia adalah gambaran kehidupan di akhirat. Dalam sambungan hadis Anas tersebut, beliau berkata bahawa beliau sangat gembira mendengar kata-kata Rasulullah SAW kerana beliau mencintai Rasulullah, Abu Bakr dan Umar, dan beliau berharap bahawa beliau akan dihimpunkan bersama mereka di hari akhirat nanti.

2. Kecintaan kepada seseorang tidak tertakluk kepada cinta dalaman tanpa petunjuk luaran. Ini jelas dalam kisah anak Nabi Nuh AS yang mana isyarat yang diberikan oleh ayahnya sendiri bahawa 'jangan bersama' itu menunjukkan sesiapa yang bersama sesuatu kaum maka dia adalah di kalangan mereka, walaupun dia mungkin 'tidaklah sepenuh seperti mereka'. Nabi Nuh tidak mengatakan 'jangan jadi kafir', tetapi sebaliknya arahan tersebut 'jangan BERSAMA orang-orang kafir', yakni arahan yang lebih lembut, tetapi mempunyai implikasi yang sama, iaitu tergolong dengan mereka.

Dalam bab ini, mungkin boleh kita kategorikan, apakah yang dimaksudkan dengan bersama, dan apakah jenis kebersamaan (dengan orang kafir) yang dibenarkan dan apakah pula yang dilarang ?

Sebagai satu garis panduan, syarak telah menetapkan bahawa kesetiaan, kesatuan, pembelaan dan kasih sayang kepada orang Islam adalah wajib, ia wajib secara syarie, fitrah dan kepentingan sosial. Mana-mana kebersamaan dengan orang kafir yang menentang perkara tersebut adalah satu bentuk kebersamaan yang tercela.

Dalam erti kata lain, mana-mana kebersamaan dengan orang kafir dalam kerangka melanggar nas dan hukum syarak secara literal dan kontekstual adalah kebersamaan yang tercela dan memungkinkan seseorang tergolong dengan mereka, nauzubillah min zalik.

3. Kita tak tahu secara 'jazam' (pasti) apakah yang berlaku terhadap anak Nabi Nuh AS hingga sanggup melakukan keputusan yang besar sedemikian. Tetapi kita boleh mengagak bahawa seseorang itu tidak akan buat satu-satu perkara melainkan ada dorongan-dorongan lain yang menggalakkan dia untuk mengkhianati ayahnya sendiri.

Apabila kita soroti kisah Nabi Nuh AS dalam membina kapal, dicerca dan dihina, kita boleh mengagak bahawa kemungkinan besar anaknya tidak bersama-sama dalam perjuangan ayahnya secara jujur, ataupun mungkin tidak pun bersama-sama ayahnya sejak dari awal lagi.

Namun apabila tiba masanya, terzahirlah siapa sebenarnya anaknya yang selama ini mungkin Nabi Nuh AS sendiri tidak menyedari hakikat anaknya sendiri.

Atas dasar akidah bahawa Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-Nya, ditambah pula dengan isyarat amaran ayahnya iaitu : "Jangan BERSAMA orang kafir" boleh kita fahami bahawa ayahnya AS mengenali sedikit sebanyak kemungkinan anaknya ada kecenderungan dengan golongan kafir yang mendustakan risalah Nuh AS.

Boleh jadi anaknya mahu 'menjaga hati' orang kafir hingga tidak dilihat 'terlalu jumu
d' dengan pegangan tauhid, lalu cuba-cuba untuk dilihat 'tidak bias' atau 'atas pagar' di hadapan orang kafir, lalu dia memilih untuk tidak bersama dalam kapal 'tauhid' tersebut.

Mungkin niatnya baik tapi caranya yang salah. Atau mungkin juga anaknya sememangnya jahil, tetapi kalau jahil Allah tidak akan menghukum seseorang dengan kejahilannya.

Apabila Allah SWT telah menetapkan seseorang itu dalam kecelakaan, ia adalah hukuman yang adil, dan jelas. Al-Quran apabila menceritakan sesuatu, ia akan memberikan isyarat-isyarat tertentu untuk difahami segala selok-belok dan 'fiqh' yang besar, bagi mereka yang ingin mencari hakikat kebenaran.

4. Kehidupan akhirat adalah balasan terhadap apa yang kita perjuangkan di dunia ini. Setiap manusia akan dibalas sesuai dengan apa yang diusahakan. Sesiapa yang memisah-misahkan tuntutan agama dengan tanggungjawab kenegaraan, maka hakikatnya dia buta dan tidak memahami bahawa kehidupan dunia adalah jambatan ke akhirat. Kita akan bersama di akhirat, dengan orang-orang yang kita cintai dan bersama di dunia.

Sekiranya kita memilih pemimpin-pemimpin yang tidak soleh apatah lagi yang kafir terhadap Tuhan, dan menjadikannya sebagai 'imam' kita, segala kesalahannya kita takwil dan justifikasi agar segalanya nampak baik di hadapan mata manusia, (walhal kita tahu perkara hakikatnya, tetapi kita sembunyikannya kerana manfaat politik semata-mata) maka kita harus berhati-hati dan berhenti daripada perkara tersebut. Takut-takut di akhirat nanti kita dihimpunkan bersama mereka-mereka yang mencari kemurkaan Allah SWT.

5. Neraca akhirat akan sentiasa memandu mukmin untuk membuat pilihan yang terbaik di dunia ini. Apabila akhirat dijadikan panduan, kita akan tenteram dan tenang, kerana kita sedang memijak di atas asas yang betul. Apabila sebaliknya, jiwa kita akan kacau bilau, berbolak balik, dan akan sentiasa berpusing-pusing (istilah masakininya adalah u-turn) kerana dunia ini tabiatnya menipu, dan sentiasa menghiasi benda yang jahat dengan hiasan cantik yang palsu.

Atas sebab itu Rasulullah SAW menyebut ; "Orang yang bijak adalah orang yang menundukkan nafsunya dan beramal untuk selepas mati (hari akhirat), adapun orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya, lalu mnegharapkan agar Allah mengampuninya" - Riwayat Tarmizi daripada Abu Ya'la

Semoga Allah memandu kita, pada hari-hari mendatang yang penuh fitnah dan kekeliruan.

Wallahua'lam bissowaab.
Liberalisme hari ini tidak begitu tepat untuk dinisbahkan kepada muktazilah

Isu liberalisme hari ini jika dinisbahkan kepada muktazilah, maka ia boleh dikatakan satu nisbah yang masih boleh dihormati, kerana ulamak muktazilah seperti Az-Zamakhsyari dan Al-Qadhi Abdul Jabbar dan Abu al-Husayn Al-Basri masih dianggap sebagai imam dalam bidang keilmuan masing-masing.

Hatta di dalam pegangan ahli sunnah wal jamaah, pegangan muktazilah tidak dikira masuk dalam kekufuran, ia adalah bid’ah dalam furu’ akidah, yakni perbahasan-perbahasan akidah yang dibahas secara terperinci, bukan secara mujmal, seperti isu wajibnya perbuatan Allah di dalam perutusan rasul, kedudukan di antara syurga dan neraka, isu dosa besar dan seumpamanya.

Walaupun demikian, tiada seorang pun di kalangan para pelopor muktazilah itu menyatakan syariat Allah tidak relevan hingga digantikan dengan akal manusia semata-mata. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang menolak hukum yang jelas dalam Al-Quran. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang membenarkan murtad, dan seumpamanya.

Bagi saya usul liberalisme yang hampir boleh dikaitkan dengan fahaman muktazilah adalah tahsin dan taqbih aqliy, yakni baik dan buruk sesuatu perkara itu boleh difahami secara zatnya sendiri, walaupun syarak tidak menyebutnya. Itupun perbahasan tersebut tidak menyentuh pun hukum fiqh yang telah pun ‘ditetapkan’ oleh para ulamak fiqh, kerana ia adalah perbahasan furu’ (cabang) akidah bukan perbahasan hukum fiqh yang wajib dilaksanakan.

Sedangkan banyak usul lain liberalisme yang memang bukan daripada akar muktazilah pun. Ia bagi saya adalah berakar umbi daripada akar nifaq.

Nifaq dalam erti kata lain mendahulukan maslahat dunia, berbanding maslahat agama. Nifaq yang bererti pragmatis, oportunis, mencari peluang, menunggang agama untuk kepentingan dunia, dan menjadikan maslahat dunia sebagai paksi dan maqasid utama, dan maslahat agama hanyalah sebagai wasilah.

Itulah keterkaitan yang lebih tepat. Bagi golongan munafiq, segalanya halal selagimana ia memberi maslahat kepada mereka. Mereka menggunakan ‘maslahah’ sebagai asas perkiraan, sedangkan para ulamak apabila dikatakan melihat dengan ‘nazr maqasidi’ (pandangan maqasid) mereka melihat maslahah dan mafsadah. Sepertimana mereka (ulamak) meluaskan makna maslahah, mereka meletakkan disiplinnya, dan lebih penting lagi, mereka juga melihat mafsadahnya, seperti mana yang ditetapkan dalam dalil sadd az-zariah.

Namun bagi golongan nifaq ini, segala disiplin tidak penting. Yang penting maslahat terbesar (dalam dakwaan mereka) itu tercapai. Tiada disiplin, tiada pertimbangan, tiada neraca yang tetap, kerana semuanya berkisar kepentingan dunia, sama ada dari sudut harta, ataupun kuasa. Di mana ada maslahat, di situ mereka berpijak.

Apabila mereka menetapkan suatu pendirian, mereka lihat apa timbal balik yang mereka akan dapat, kemudian barulah dipanggil ulamak mereka untuk ‘halalkan’ tindakan mereka, atau promosikan agenda mereka, atau saluti slogan mereka dengan citra islamik dan nas-nas yang umum.

Apabila ditegur bahawa ia disalahguna, mereka mencari-cari pandangan ‘syaz’ yakni ganjil dan pelik, lalu dijadikan sebagai hujjah (yang baru jumpa) dan mendakwa bahawa mereka mempunyai fikiran yang sama dengan ulamak itu tadi.

Hakikatnya mereka lebih dekat dengan sifat zindiq berbanding seorang muslim. Zindiq akan mencari-cari jalan keluar bagi melunaskan keinginan nafsunya, walaupun dia terpaksa berhadapan dengan seribu satu halangan syarak, dia akan cari satu pintu yang membolehkannya untuk keluar. Apabila pintu itu tiada, dia akan mencipta pintu yang baharu, dan dia namakan pintu itu sebagai ijtihad yang baru, atau nama lainnya adalah ‘tajdid’, seolah-olah ulamak dahulu tidak pernah membahaskan perihal yang mereka telah lalui.

Bagaimana mahu selamat daripada gejala nifaq dan zindiq ini?

Untuk isu ini, ia memerlukan post yang lain. Cuma buat masa ini, cukuplah saya katakan, bahawa pada hari ini perpecahan politik umat Islam adalah satu kemungkaran yang nyata. Perpecahan ini subur dengan fenomena nifaq yang melanda umat Islam pada
hari ini. Meletakkan diri dalam tempurung kepartian dalam menentukan betul salahnya suatu perkara adalah satu bentuk nifaq yang nyata, dan akan menyuburkan lagi agenda kuffar dalam memecahbelahkan umat Islam.

Keluarlah daripada tempurung itu, dan lihatlah ummah yang sedang diserang ini (seperti yang disebut dalam hadis) sebagai satu ‘projek bersama’ yang dilandasi akidah dan syariah.

Bukankah Tuhan sendiri sudah tetapkan, bahawa kita adalah muslim yang bersaudara ?

Wallahua’lam.
Menolak kewujudan negara Islam = membina agama baru

Bermula dengan menolak idea kewujudan negara Islam secara istilah, hingga membawa kepada penolakan Islam itu sendiri.

Menegakkan negara Islam sebelum ini menjadi suatu visi yang disepakati oleh semua aktivis atau islamis yang mengaku memperjuangkan Islam. Tiada siapa-siapa yang berselisih dalam perkara ini.

Namun apabila zaman semakin berlalu, sudah mula ada suara-suara yang mengangkat agenda sekularisme dan beriktikad bahawa negara tanpa agama adalah negara terbaik (dakwaan mereka itu lebih islamik).

Hakikatnya ini hanyalah suatu syubhat yang ingin ditimbulkan oleh golongan-golongan separuh masak yang hanya memetik beberapa nas Al-Quran dan dijadikan sebagai satu-satunya sumber utama.

Asy-Syatibi menyebut antara ciri-ciri manusia yang sesat daripada jalan yang benar adalah mereka tidak melihat syariah sebagai 'suurah waahidah' yakni gambaran yang sempurna, lengkap melengkapi. (Al-I'tisom) Dalil-dalilnya saling melengkapi, hukum hakamnya saling melengkapi, perlu difahami setiap perkara dalam keselarian perkara yang lain.

Contohnya isu menegakkan keadilan di dalam surah An-Nahl, perlu difahami dalam konteks menegakkan hukum Allah dalam surah Al-Maidah (3 ayat berderet menceritakan kewajipan menegakkan hukum Allah). Contoh yang lain pula apabila menceritakan mengenai kesempurnaan iman, ia terkait dalam berhukum dengan hukum Tuhan tanpa sebarang rasa gundah gulana seperti dalam surah An-Nisaa'.

Kesilapan kita pada hari ini adalah apabila merujuk Al-Quran lalu tidak jumpa apa yang kita mahu, terus kita katakan ia tidak ada dalam wahyu. Lalu apabila tidak disebut 'daulah Islamiah' atau Dar Islam terus disabitkan tiada padanya negara Islam.

Itulah kesilapan para literalis 'cherry picking ayat Quran dan qaul ulamak' yang tidak memahami tabiat syariah. Al-Quran tidak perlu mengenengahkan perkara yang terlalu teknikal kerana sifatnya adalah kitab hidayah, bukan kitab teknikal. Namun Al-Quran meletakkan beberapa nilaian utama yang perlu diambil kira, sebagai neraca utama dalam melihat satu-satu perkara hingga disebut sebagai menepati syariah.

Benarkah tiada di dalam Al-Quran ?

Tidak disebut perkataan secara spesifik tidak bermaksud tiada. Ciri-cirinya jelas dan wujud, ia disabitkan oleh para ulamak selepas itu antaranya Abdullah Qadiri Al-Ahdal dalam kitab Al-Jihad fi Sabilillah (tesis PhD beliau) yang mana beliau melakukan istiqraa' terhadap kisah-kisah para anbiya' dan menyenaraikan ciri-ciri negara Islam yang diterangkan dalam Al-Quran.

Dr Fathi Ad-Duraini pula menyatakan bahawa menegakkan negara Islam adalah maqasid syariah yang paling utama, kerana dengan adanya negara Islam baharulah boleh laksanakan tuntutan-tuntutan Islam secara bernegara, seperti berjihad, melaksanakan hukum Allah dan seumpamanya. (Khasais Tasyrik Islami fi As-Siyasah wa Al-Hukm)

Bila kita merenung seruan menolak agama dalam kehidupan ini, kita dapati ia akan :

1. Membentuk agama Islam yang lari daripada keislamannya yang sempurna, iaitu agama Islam yang bersifat peribadi tanpa sebarang penguatkuasaan

2. Menghilangkan kehormatan masyarakat kepada institusi ulamak dan para mufti yang bertujuan menjadi tempat rujukan manusia dalam pandangan-pandangan fiqh dan agama

3. Menghilangkan roh amar makruf nahi mungkar di kalangan para islamis kerana membawa nilai kesamarataan agama (apabila agama Islam tidak diangkat sebagai agama yang 'berkuasa' ke atas agama-agama lain)

4. Menghilangkan nilai tuntutan-tuntutan Al-Quran yang menyeru ke arah penginstitusian agama, termasuklah padanya syarat pelantikan ketua, hubungan antara muslim dan kafir dan seumpamanya.

5. Keterikatan seorang muslim dengan manusia lain bukan berpaksikan akidah, tetapi berpaksikan hawa nafsu yang mana hanya dilihat kepada 'apa yang dia suka' berbanding apa yang Allah suka dan seumpamnya, kerana neraca akidah sudah tidak sempurna, tidak meliputi segenap kehidupannya, lalu akidah hanya dijadikan dalam ruang yang sangat kecil, dan hawa nafsunya menjadi tuhannya pada ruangan-ruangan lain, yang mungkin ditampal dengan nama-nama lain
seperti kemodenan, kemajuan dan seumpamanya.

Mudah cerita, inilah apa yang dikehendaki oleh para musuh Islam, agar orang Islam hilang neracanya, lalu mudah dijajah oleh mereka.

Melihat kepada mafsadah yang cukup besar ini, sangat mustahil bagi orang yang suka berbicara mengenai maqasid syariah melontarkan pandangan ini.

Sama ada dia benar-benar jahil, atau dia benar-benar dajjal.

Wallahua'lam
Bagaimana berinteraksi dengan Al-Quran ?

Kebanyakan orang apabila membaca buku atau novel, dia akan cuba hidup dalam naratif yang ingin dibawa oleh penulis. Dengan begitu dia akan merasai dan menghayati apa yang ingin disampaikan oleh penulis, dan hidup dalam dunia (idea) penulis itu sendiri.

Berbeza dengan kita baca surat khabar, kita hanya perlu membaca fakta-fakta dan mengetahui bahawa ia adalah ‘kejadian yang sudah berlaku’. Tidak pula kita hidup dalam kepala jurnalis atau editor untuk kita memahami apa yang dilaporkan, walaupun memang setiap suratkhabar ada halatuju dan mesejnya tersendiri.

Demikian perihalnya dengan interaksi dalam Al-Quran. Kebanyakan daripada kita mungkin membacanya sebagai satu bentuk amalan ‘ibadah dan ritual’ sebagai bacaan harian. Setiap hari satu mukasurat, atau satu juzuk, cukup sebulan boleh khatam.

Kita tak perasan bahawa Al-Quran ini adalah ‘manual kehidupan’ manusia yang datang daripada Pencipta manusia. Ia adalah intipati daripada semua 130 suhuf dan 3 kitab yang turun pada para Anbiya’ AS sebelumnya.

Kita tak pernah cuba hidup dalam kisah-kisah yang diabadikan dalam Al-Quran. Tak pernah rasa bagaimana Ibrahim AS berkorban, berhijrah meninggalkan keluarganya dan kaumnya, bagaimana emak Musa AS layarkan anak di sungai Nil, ketakutan yang dialami oleh Ashabul Kahfi ketika melarikan diri ke dalam gua, keperitan tentera Talut yang hanya dibenarkan minum secedok air (sedangkan itu sungai) ketika sebelum berperang melawan Jalut untuk masuk ke Palestin, betapa tabahnya Nuh AS berdakwah kepada kaumnya dan sabarnya dengan pengkhianatan isteri sendiri serta anaknya pula tak ikut serta atas kapal, dan seumpamanya.

Semua itu perlu dirasai dalam naratif hidup sebagai seorang manusia yang ada emosi, komitmen, cabaran kerja, masalah kewangan, masalah keluarga, kawan yang tikam belakang, dan seumpamanya, barulah mampu kita faham bagaimana Al-Quran ini sedang memberi taklimat dan panduan untuk mengubah hidup kita.

Ketahuilah, sekiranya kita masih sambil lewa dalam interaksi dengan Al-Quran, hakikatnya kita sedikit demi sedikit sedang menuju kepada contoh Bani Israel yang juga ditunjukkan dalam Al-Quran. Mereka tidak endahkan keberanan depan mata, mereka juga menyembunyikan kebenaran, kufur terhadap nikmat Tuhan, manipulasi hukum Tuhan, menyesuaikan hukum dengan kehendak mereka, hingga mereka dilaknat dan direkod sebagai bangsa terlaknat di dalam Al-Quran, setelah sebelum itu merupakan bangsa yang mulia kerana majoriti Rasul adalah daripada Bani Israel.

Jangan pernah rasa selesa, keselesaan kita adalah penipuan yang boleh (nauzubillah min zalik) menjerumuskan kita ke lembah api neraka.

Berilah masa, untuk memahami akhirnya hidup ini untuk apa ?

“Sesungguhnya Kami telah pun menghuraikan apa yang ada dalam Al-Quran ini dengan segala perumpamaan, tetapi kebanyakan manusia masih kufur” - Surah Al-Israa’

Wallahua’lam
Permulaan menentukan pengakhiran.

Pertengahan jalan hanyalah fasa yang perlu dilalui, ujian yang perlu diharungi dan cabaran yang perlu dihadapi, bagi membuktikan kebenaran 'permulaan' hingga ia masak dan ranum lalu boleh dipetik dan diterjemahkan pada sebuah bentuk 'pengakhiran'.

Di akhir nanti, kita akan temui juga apa yang kita cari.
Di akhir nanti, kita akan bersama dengan golongan yang kita cintai.

Yang penting, kita mencari benda yang betul.
Yang penting, kita mencintai orang/golongan yang betul.

"Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya adalah untuk dunia yang dikecapinya, atau wanita yang dinikahinya, maka hijrahnya akan menuju ke situ" - Hadis Nabi SAW

"Bukanlah kerana harta ghanimah ini aku berbaiah kepadamu (wahai Muhammad), tetapi aku berbaiah kepadamu agar aku dipanah di tengkukku ini (mati syahid)" - kata-kata seorang Arab Badwi kepada Rasulullah SAW selepas ditawarkan kepadanya harta rampasan perang. Setelah itu beliau didapati gugur syahid dalam keadaan yang beliau sendiri gambarkan.

"Engkau bersama dengan siapa yang engkau cintai (di akhirat nanti)" Hadis Nabi SAW

"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai" - Surah Al-Fajr

Jiwa yang membeli keredhaan Tuhannya di akhirat, dengan ketenangan (keredhaan) dirinya di bawah tadbir dan takdir Tuhannya di dunia.

Tenang di dunia, kerana ihsan dan muraqabahnya kepada Tuhan. Tenang di akhirat, sebagai pembalasan ihsan Tuhan kepada dirinya.

"Bukankah balasan bagi sebuah ihsan itu adalah ihsan ?" - Surah Ar-Rahman

Wallahua'lam.
Anak tangga tauhid

Memahami dan memformulasikan tauhid tidak sesukar mengaplikasinya.

Mengaplikasinya tidak sesukar hidup untuknya.

Hidup untuknya tidak sesukar untuk hidup di dalamnya.

Hidup di dalamnya tidak sesukar mati di atasnya demi ‘menghidupkannya’.

Setiap peringkat itu ada cabarannya, sepertimana ada jawapannya. Setiap peringkat itu ada pendokongnya dan rijalnya, sepertimana ada juga penghalang dan penyangaknya.

Mukmin yang bahagia adalah yang berpindah daripada peringkat ke peringkat, dengan penuh husnuzzon kepada Tuhan dan memecahkan tembok keakuan bagi membulatkan lagi tahap perhambaan.

Demikianlah jihad baginya, setiap detik yang dilalui, setiap nafas yang diberi, setiap titisan peluh dan tangisan air mata, setiap pengorbanan, adalah demi menunaikan tuntutan-tuntutan perhambaan.

Hidupnya, berpusing di atas paksi jihad, dan istisyhad.

“Dari kalangan mukmin itu ada rijal yang membenarkan apa yang telah diikat janji setia pada Allah ke atasnya, ada kalangan mereka yang telah pun bertemu ajalnya, dan sebahagian mereka masih menunggu, namun sekali-kali mereka tidak akan berpaling” - Surah al-Ahzab

Wallahua’lam
Meningkatkan kerohanian

Ramadhan adalah bulan yang dikhususkan untuk umat Islam ‘dipaksa’ agar melihat dan merasakan alam lain, yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera.

Padanya ada anugerah syurga, terlepas api neraka, pintu syurga terbuka, pintu neraka tertutup, ganjaran 70 kali ganda semua amalan, pahala puasa yang tidak terhad, malam yang lebih baik dari seribu bulan, dan seumpamanya.

Orang yang berjaya dalam bulan ini adalah orang yang berjaya ‘reset’ semula kehidupan mereka, dan mencorakkannya dengan corak Al-Quran, lalu ia menghidupkan rohaninya, dan memberikannya makna dan erti kebahagiaan hakiki.

Bilakah roh kita dikira hidup ?

Apabila interaksi dengan Al-Quran membangkitkan kita, apabila munajat kepada Tuhan menjadi temujanji kita, apabila zikrullah menjadi bahasa dan makanan kita, apabila amalan-amalan akhirat lebih kita cintai berbanding amalan-amalan yang tidak membawa kepadanya.

Semua itu adalah antara kayu ukur, kerohanian kita sedang menuju ke satu tahap yang lain.

Puasa adalah pintunya, menahan lapar, syahwat dan dahaga hanyalah tirainya, di sebalik semua itu ada cahaya kerohanian yang akan terpancar, apabila pintu itu terbuka, dan tirai hijab itu tersingkap.

Cahaya itu akan membawa kita menuju alam yang lain, memberi dan mengajar kita makna dan erti, kepada persaksian kita selama ini, sejak kita belum dilahirkan lagi.

“Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan selainku, maka sembahlah Aku, dan dirikanlah solat bagi mengingatiku” - Surah Taha

Seruan Tuhan kepada Musa AS ribuan tahun dahulu, di atas gunung Tursina, bagi menurunkan wahyu, adalah seruan dari alam yang lain, yang hanya layak dipikul, oleh manusia yang mempunyai kerohanian yang tinggi.

Demikian juga Nabi Muhammad SAW pernah bersabda ;

“Dengan aku menyebut ‘subhanallah, wal hamdulillah, wala ilaaha illallah, wallahu akbar’ itu lebih aku cintai daripada apa-apa yang disinari oleh matahari”

Benar, sebesar manakah nilainya cahaya matahari, jika nak dibandingkan dengan nilai sekelumit munajat, di hadapan cahaya Tuhan ?

“Barangsiapa yang tidak diberikan cahaya oleh Allah, nescaya tiadalah cahaya baginya” - Surah An-Nur

Wallahua’lam
Sepertimana engkau memurkakan Tuhanmu, seperti itulah sepatutnya (bahkan lebih lagi) engkau mencari keampunan-Nya.

Dosa siang hari dihapuskan dengan berpuasa.

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa yang telah lalu” - Hadis

Dosa malam hari dihapuskan dengan qiamullail.

“Barangsiapa yang mendirikan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosanya yang lalu” - Hadis

Sepertimana setiap amalan dibalas dengan setimpalnya (An-Najm, An-Naba’), dan pintu syurga bagi orang berpuasa adalah Ar-Rayyan bererti ‘kenyang air’ (kerana orang berpuasa lebih mahukan air berbanding makanan), demikianlah juga setiap dosa kita, ada taubat dan kaffarahnya yang tersendiri.

Dosa sembunyikan kebenaran dihapuskan dengan penerangan (Surah Al-Baqarah). Dosa nifaq dihapuskan dengan keikhlasan dan walak kepada orang Islam (Surah An-Nisa’). Dosa pencuri dibalas dengan potong tangan (Surah Al-Maidah).

Kita boleh qiaskan perkara ini kepada perkara harian kita ... lalu kita cuba fahamkan bahawa :

Dosa mata dihapuskan dengan genangan air mata. Dosa hati dihapuskan dengan khusyuk. Dosa kedekut dihapuskan dengan sedekah. Dosa ketagihan maksiat dihapuskan dengan paksaan kepada ketaatan. Dosa kelalaian dihapuskan dengan kesungguhan. Dosa ketagihan gajet dihapuskan dengan bacaan dan tadabbur Al-Quran. Dosa suka aib orang lain dan dihapuskan dengan muhasabah diri dan tafakkur.

Demikianlah, baru kita boleh fahami, besarnya anugerah Ramadhan yang Allah berikan untuk kita. Setiap amalan yang kita lakukan, akan menutup bintik-bintik hitam dalam hati kita.

Pengikat kepada semua perkara itu adalah melazimi diri bahawa kita semua akan bertemu dengan Pencipta, kerana itu akan menjadikan kita lebih bersedia.

“Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia beramal soleh dan tidak mensyirikkannya dengan apapun” - Surah Al-Kahfi

Ramadhan berbaki 13 malam. Maka tunjukkanlah kepada Tuhan, siapa diri kita yang benar-benar kita cita-citakan.

Wallahua’lam.
Wasiat guru dalam hal politik

“Jangan sesekali mempercayai orang lain dalam membawa agenda kita. Tiada siapa yang akan sanggup berkorban, berjuang, berpenat lelah, untuk menjayakan agenda kita melainkan kita sendiri.

Apabila kita meletakkan masa depan agenda kita kepada tangan orang lain, kita akan kalah, dan mengulangi kembali sejarah.”

Itulah pesanan ringkas dan padat dalam menanggapi isu politik semasa, dan masa depan.

Buat rakan-rakan, samada yang sebaya atau lebih tua atau lebih muda, janganlah meletakkan kepercayaan kepada mana-mana politikus yang terbukti tidak kompeten dan tidak memartabatkan agenda ummah, dan terus menerus mengharapkan agar mereka membawa negara ke arah yang lebih baik.

Meletakkan kepercayaan kepada mereka, ibarat seolah-olah seperti kita mempercayai patung berhala yang tidak memberi manfaat dan mudarat.

Daripada menunggu masa untuk sabitkan mereka memang tidak boleh diharap, lebih baik gunakan masa itu untuk membuktikan kita adalah harapan.

Binalah kekuatan, carilah peranan yang signifikan, lalu ambillah tanggungjawab dalam bersama menyelamatkan dan membina semula ummah ini.

Jadilah lelaki sejati, yang memikul beban ummah. Ya, bukan yang dipikul, apatah lagi yang memukul.

Wallahua’lam.
Siasah syariah bukan sekadar istilah pengurusan, ia adalah roh agama di dalam mengurus hal ehwal negara.

Atas sebab itu kadang-kadang ada sesetengah orang tersilap, apabila dia melihat siasah syariah, dia hanya melihat tatacara mengelola sebuah negara dari sudut pandang syarak (pandangan secara juz'ie), lalu diambil segala macam dalil dan kaedah bagi menjustifikasi pandangannya, walaupun ia bertentangan dengan tujuan agama itu sendiri (pandangan secara kulliy).

Bagi saya, yang lebih menepati siyasah syariah adalah penguasaan kepimpinan berbentuk menentukan halatuju dan acuan negara mesti didominasi oleh kelompok muslim.

Mana-mana usul yang menguatkan kaedah ini, maka ia adalah maslahah muktabarah (shariah compliant) dan menepati siasah syariah. Mana-mana yang tidak menepatinya, maka ia adalah mulghah (non-shariah compliant) dan ia bertentangan dengan siasah syariah.

Mana-mana yang tidak pasti kena atau tidak, maka dia adalah maslahah wahmiyah (maslahat yang hanya di atas jangkaan yang tidak berdiri atas dalil) yang tidak sepatutnya diambil kira.

Wallahua'lam.
Risalah Al-Quran, lebih berharga daripada harta dan kemewahan mereka.

Itulah pesanan ringkas, daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, dan para pengikut baginda dalam mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan tipudaya ini.

“Sesungguhnya telah Kami berikan kepadamu (wahai Muhammad) tujuh mathani (surah Al-Fatihah) dan Al-Quran yang agung. Janganlah sesekali engkau memanjangkan pandanganmu kepada nikmat yang telah Kami berikan kepada mereka, berupa isteri-isteri daripada kalangan mereka, dan janganlah pula engkau sedih ke atas mereka (atas sebab tidak menerima hidayah), serta rendahkanlah dirimu kepada orang mukminin” – Surah Al-Hijr

Kalau tenung pun tak boleh, apatah lagi kalau masuk dalam hati.

Benar.

Dalam risalah, wujudnya sebuah erti dan makna, yang tiada pada nilaian kemewahan mereka.

Dalam risalah, wujudnya sebuah kemerdekaan dan kebebasan, yang tiada pada harta dan kemewahan mereka.

Dalam risalah, wujudnya sebuah ketenangan dan ketenteraman, yang tiada pada harta dan kemewahan mereka.

Dalam risalah, wujudnya sebuah kebertanggungjawaban dan ketinggian jiwa manusia, yang tiada pada harta dan kemewahan mereka.

Dalam risalah, wujudnya barisan para anbiya' dan rasul AS, para sahabat RA dan tabien RHM, serta pewaris mereka, yang memikul sebaik-baik misi, melakukan sebaik-baik tugas, mengenali sebaik-baiknya hakikat kehidupan, berbanding senarai tokoh yang ada dalam harta dan kemewahan mereka.

Justeru, tetapkan pandanganmu, betulkan tawajjuhmu, dan imbangkan neracamu, agar kita benar-benar hidup dalam kehidupan yang bermakna.

Hanya kerana, timbangan yang benar, sepertimana kita mahu ia lebih berat di akhirat, ia harus berat dahulu, sebelum roh kita diangkat.

"Dan tiadalah bagi manusia itu, melainkan apa yang diusahakan. Dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan kepadanya. Kemudian dia akan dibalas dengan ganjaran yang setimpalnya" - Surah An-Najm

Wallahua'lam
Iman menambahkan keimanan, nifaq dan kufur hanya menambahkan kekufuran.

Bagi orang beriman, setiap petanda dan petunjuk yang muncul, timbul dan terzahir dalam kehidupan mereka, akan menambahkan lagi ketundukan dan keyakinannya kepada kebenaran hidayah Islam dan petunjuk-petunjuk Al-Quran.

“Dan apabila orang beriman melihat al-ahzab (kemenangan peperangan Ahzab) mereka berkata : Inilah apa yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya, dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Tiadalah apa yang bertambah dalam jiwa mereka melainkan keimanan dan berserah diri” - Surah Al-Ahzab

“Dan apabila diturunkan surah daripada Al-Quran, sebahagian mereka (para munafiqin) berkata : Siapa di kalangan kamu yang bertambah imannya dengan ayat ini? Adapun orang yang beriman, ayat itu menambahkan iman mereka, lalu mereka bergembira. Dan adapun orang yang berpenyakit hatinya, ayat itu hanya menambahkan kekotoran dalam kekotoran mereka (yang sedia), lalu mereka mati dalam keadaan kafir. Tidakkah mereka itu sedar bahawa mereka (hakikatnya) sedang diuji, pada setiap tahun sekali atau dua kali, tetapi mereka tidak pun bertaubat atau mengambil pengajaran” - Surah At-Taubah

Demikianlah sifat para munafiq yang telah digambarkan dalam Al-Quran, setiap petunjuk yang didatangkan oleh Allah hanya menambahkan kekeliruan mereka, pentakwilan mereka, begitu mereka berusaha memutarbelit kefahaman Al-Quran yang muhkam dan sorih hingga membawa kepada kefahaman yang syaz dan ganjil, semata-mata mahu menyelarikannya dengan kefahaman ganjil mereka.

Kita boleh saksikan hari ini, kejadian seumpama ini berlaku di depan mata kita. Setiap yang berlaku, akan membuktikan pendirian dan apa yang ada dalam hati kita.

Bagi mereka yang berpegang kepada taujihat dan hakikat yang dibawa Al-Quran, imannya akan bertambah dan keyakinannya akan semakin utuh, bahawa kebenaran Al-Quran akan sentiasa terzahir dan dibenarkan.

Manakala bagi orang-orang yang hatinga berpenyakit, mereka tidak rujuk Al-Quran dan perintah Rasul, sebaliknya menunggu apakah pendirian pimpinan mereka, agar apa yang dikeluarkan nanti itu boleh menjaga periuk nasi mereka, atau kedudukan politik mereka pada masa akan datang.

“Dan pada hari diheret muka mereka di api neraka mereka berkata : Alangkah ruginya kami ! (Kerana) tidak mentaati Allah dan Rasul. Dan mereka berkata : Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mentaati pemimpin-pemimpin kami dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka yang menyesatkan kami” - Surah Al-Ahzab

Gambaran yang menyeramkan itu, menggambarkan apa yang berlaku pada hari ini. Mereka menyebut politik tiada kaitan dengan akidah, terapi mereka adakah sedar atau tidak, dengan pendirian politik yang salah (yakni melangkaui pendirian Al-Quran dan saranan Rasul), ia boleh menjerumuskan seseorang ke dalam api neraka.

Saranan saya, keluarkan pemikiran kita daripada ikut si fulan dan si fulan, kita lihat secara jelas dan mudah, apa yang Al-Quran sebut, dalam hidup kita, serta pendirian politik kita.

“Sesungguhnya wali (teman rapat, pendokong, rakan seperjuangan) kamu adalah Allah dan Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat dan mereka itu orang yang ruku’ (mendirikan solat di sini boleh dimaksudkan mengamalkan ajaran Islam sebagai cara hidup). Dan barangsiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang beriman sebagai wali, (ketahuilah bahawa) sesungguhnya hizbullah (kumpulan pendokong agama Allah) itulah yang menang” - Surah Al-Maidah

Ia tidak serumit yang kita bayangkan, bacaan geopolitik yang terlalu tinggi atau kajian yang sangat mendalam tidak diperlukan bagi memahami maqasid yang ingin dibawa oleh Al-Quran, ini kerana Al-Quran membawa mesej yang jelas, kepada semua umat Islam dan manusia secara keseluruhannya, untuk memahami mesej utamanya tidak memerlukan ilmu-ilmu yang khusus, ia hanya memerlukan jiwa yang tunduk, dan iman yang utuh, bagi membenarkan wahyu dan kebenaran Al-Quran.

“Adakah mereka itu (para munafiq) itu tidak mentadabbur Al-Quran ? Ataupun mereka itu hatinya terkunci ?” - Surah Muhammad

Wallahua’lam
Rasisme tidak pernah dipelopori oleh orang Islam.

Prinsip keadilan yang tertanam sejak awal-awal perutusan Nabi SAW itu sudah menjadi perkara maklum dalam agama secara darurat, yakni tanpa perlu kajian dan penelitian.

Jadi buat apa sibuk-sibuk mempertahankan slogan asing itu ? Hakikatnya slogan itu di Malaysia hanyalah ‘camouflage’ atau ‘flagship’ atau pengalih pandangan, agar kita terpengaruh dengan isu-isu selektif yang dipilih oleh pertubuhan rasis yang semua orang tahu itu.

Di antara prinsip keadilan juga adalah memperakui hak tuan tanah, menghormati bahasa dan identitinya, serta mengakui budaya tempatannya. Ia adalah fitrah yang diperakui oleh Islam, bahkan dikuatkan lagi dengan syariat yang menentukan hak-hak sesama manusia secara detail dan lengkap.

Sebagaimana Islam itu adalah tanah air dan negara, ia juga adalah kaum dan bangsa. Yakni, ia memberikan nafas yang tulen dalam memahami erti perkauman, dalam erti bersatupadu membawa kemajuan, bekerjasama membina peradaban dan bersama-sama mempertahankan hak dan identitinya, yang jauh dari kefahaman nafsu yang dipenuhi kezaliman, kepentingan diri sendiri dan penindasan terhadap kaum dan bangsa lain.

Jadi, seruan dalam menghapus semangat perkauman yang sahih, hakikatnya adalah seruan kepada kezaliman, kerana ia menidakkan intimak dan identiti seseorang kepada keluarga besarnya, dan menghilangkan hak-hak yang sepatutnya diutamakan, serta mengeluarkan seseorang daripada sistem kekeluargaan yang utuh, kepada sistem yang terikat dengan norma-norma kebebasan mutlak, walau ia dihiasi dengan istilah ‘universal values’ iaitu nilai sejagat, kebebasan mutlak, persaudaraan insani dan seumpamanya.

Hakikatnya, seruan itu sedang menghancurkan jatidiri keislaman masyarakat, dengan cara menghancurkan ikatan dan identiti mereka, daripada ikatan akidah yang telah lama sejak zaman berzaman, berasimilasi dalam sebuah kaum, yang dinamakan Melayu.

‘Dan janganlah engkau bertentangan dengan sunnah kejadian, kerana sesungguhnya ia akan pasti menang. Tetapi alihkanlah haluannya, dan gunakanlah sebahagiannya bagi mengatasi sebahagian yang lain, lalu nantikanlah detik-detik kemenangan, sesungguhnya ia tidaklah jauh daripadamu” - Majmuat Rasail Imam Hasan Al-Banna

Wallahua’lam
Pemilihan pemimpin, antara janji syarak dan janji kontrak

1. Saya melihat isu pemilihan PRK Tanjung Piai ini adalah sejauhmana seseorang itu berpegang pada tasawwur kefahaman demokrasi, atau seseorang itu berpegang kepada tasawwur syar'ie yang telah wujud sebelum terwujudnya sistem demokrasi ini.

2. Saya tidak perlu mengupas kembali hujjah-hujjah yang dikemukakan pihak berkepentingan, kerana ia hanyalah hujjah yang dikitar semula sejak PRU 13 lagi ketika mereka bekerjasama dengan DAP. Hujjah itu jugalah yang telah dijawab oleh mereka sendiri menjelang PRU 14 ketika mereka melawan DAP.

3. Melihat kepada perkembangan mutakhir ini, suka untuk saya jelaskan bahawa dalam menanggapi sistem demokrasi kepartian, yang mana wujudnya persepakatan politik antara parti-parti politik tidak kira agama dan bangsa, selayaknya kita melihat apakah neraca syarak dalam mempercayai atau menyokong persepakatan tersebut.

4. Oleh kerana tujuan siyasah dalam Islam adalah menegakkan agama dan menjaga dunia dengannya, maka segala percaturan dan persepakatan mesti membawa kepada titik tersebut, bersama dengan mereka yang bersedia untuk tunduk dengan agenda tersebut, secara terus terang tanpa berselindung.

5. Bagi saya apa yang berlaku pada hari ini dalam pertimbangan kepartian atau pertimbangan permainan politik, apabila kita menanggapi bahawa sistem demokrasi adalah sebuah 'permainan' pertarungan bagi mendapat satu takhta pemerintahan yang lebih besar, bak kata mereka ; mengorbankan 'castle' tetapi mendapatkan 'king'.

Tasawwur saling perangkap dan memerangkap, terlalu politikal dan strategis, hingga membawa kepada mengutamakan janji kontrak hingga mengorbankan janji syarak, itulah dia yang menerkam minda rakyat pada hari ini.

6. Janji kontrak politik ini telah dibuktikan bahawa ia tidak benar-benar boleh dipercayai, lebih-lebih lagi apabila ia diberikan oleh orang yang terbukti dirinya tidak dipercayai.

Janji kontrak ini hanya melibatkan perkara-perkara yang cukup terhad, perkara yang hanya kita tahu atas kertas, kerana atas sebab itu kita bina sebuah persefahaman.

Namun janji syarak inilah sebenarnya yang menyelamatkan umat Islam daripada segala bencana yang menimpa, yang sebabnya adalah perkara-perkara luar kertas. Ia tidak diketahui secara tepat kerana ia melibatkan perkara-perkara mendatang, namun ia telah pun diberitahu kepada kita oleh syarak itu sendiri, demi kesejahteraan umat Islam di dunia dan akhirat.

7. Apabila kita melihat syarak hanyalah 'penghalal' bagi sesuatu motif politik, maka hakikatnya kita seolah-olah sedang mempermainkan hukum Allah SWT, bukanlah kita sebenar-benarnya mahu mengikut syarak.

Syarak telah menetapkan bahawa yang memimpin kita mesti adalah orang Islam. Namun sistem demokrasi sedikit sebanyak telah mencairkan pegangan ini, kita lebih percaya orang lain yang memberikan perjanjian, berbandingan syarak yang telah lama menetapkan syarat-syarat dan menjanjikan dengan kita ikut syarat itu kita akan capai kesejahteraan dan kegemilangan.

Walaupun mungkin boleh kita kata itu adalah keadaan dharurat yang mesti diambil kira kerana situasi hari ini, kaedah syarak menyebut ; al-maysur la yasqutu bil ma'sur, yakni perkara yang ringan (yang boleh dilakukan) tidak gugur kewajipannya sekiranya perkara yang sukar itu tidak dapat dilakukan. Serta kaedah ; apa yang tidak boleh dilakukan semuanya, jangan ditinggalkan pula seluruhnya.

8. Jadi dalam pertimbangan politik hari ini, apabila kita melihat calon-calon yang bertanding adalah orang Islam, maka keutamaan kepada orang Islam itu adalah penting.

Lihatlah dia dalam dua aspek, aspek peribadinya dan aspek kumpulannya.

Seseorang itu mungkin lulus dari aspek peribadinya, tetapi aspek kumpulannya itu jelas-jelas tidak lulus kerana sebab-sebab tertentu, seperti tidak mampu menjadi dominan dalam menegakkan hak-hak umat Islam, atau tidak mampu mempertahankan hak umat Islam itu sendiri dan seumpamanya.

9.
Boleh saya simpulkan, bagi mereka yang pemikiran kerangkanya adalah demokrasi secara dominan, maka dia akan melihat Tanjung Piai adalah satu permainan bagi mendapatkan kepercayaan pihak tertentu, atau menjatuhkan kepercayaan pihak tertentu bagi tujuan yang lebih besar iaitu mendapatkan tampuk pemerintahan peringkat Pusat.

Namun bagi sesiapa yang melihat dalam kerangka syarak, dia akan melihat demokrasi sebagai satu sistem buatan manusia, yang boleh dieksploitasi dan diragui kesetiaan sahabat-sahabat parti lain dalam persepakatan.

Jadi mereka melihat pilihanraya bagi setiap kawasan, memang mewakili keperluan rakyat dan tuntutan kawasannya. Wakil rakyat yang bertanding mesti benar-benar kompeten, dan dapat menyelesaikan masalah tempatan di samping menjulang tinggi agenda pembangunan umat Islam secara keseluruhannya.

Mentaliti 'letak kucing pun boleh menang' yang pernah dilaungkan oleh salah seorang ahli politik sebelum ini itulah mentaliti dangkal demokrasi yang merosakkan pemikiran rakyat pada hari ini.

Ia sangat bertentangan dengan kerangka syarak yang meletakkan syarat-syarat yang utama, kerana menganggap kepimpinan adalah sebuah tanggungjawab, bukan sebuah 'permainan mendapatkan kuasa' yang boleh menghilangkan kefarduan-kefarduan yang telah ditetapkan.

10. Kesimpulannya ; Sistem demokrasi kepartian pada hari ini secara jelas dan terus terang telah dan sedang membentuk neraca masyarakat kita, hingga sebahagiannya lebih percaya kepada perjanjian dan persepakatan yang diwujudkan, berbanding janji-janji yang telah Allah rakamkan dalam Al-Quran sejak dahulu lagi.

Kita sepatutnya sedar bahawa terperangkapnya kita dalam sistem ini boleh melenyapkan kita daripada radar pembangunan umat Islam dan kegemilangan tamadunnya satu waktu dahulu. Adaptasi syarak yang dilakukan mesti berteraskan kepada tujuan asasi siyasah syariah itu sendiri, dan kerangka syarak dalam menanggapi hakikat isu kepimpinan.

Sekiranya kita terus menerus dengan kerangka demokrasi kepartian ini, dan kita hanya menjadikan syarak sebagai ekor yang menghalalkan perbuatan kita, maka ketahuilah, kita akan mengulangi kesilapan-kesilapan yang sama, yang telah kita rasai hasilnya sebelum ini, berkali-kali.

"Dan sekiranya engkau (wahai Muhammad) mengikut kehendak nafsu mereka selepas datang kepadamu ilmu kefahaman, maka tiadalah bagimu pertolongan dan penjagaan daripada Allah SWT" - surah Al-Baqarah, ayat 120

Wallahua'lam

Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha Agung
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Melayu yang disulami roh Islam, Islam yang wujud di sosok tubuh bangsa Melayu.

1. Perjuangan bangsa secara umumnya adalah perjuangan fitrah. Manusia memang akan mempertahankan kaumnya daripada dizalimi, ditindas dan mengutamakan kaumnya dalam kebaikan kerana kaumnya adalah identitinya, tempat asalnya, serta ahli keluarga besarnya.

2. Perjuangan Islam tidak akan membunuh fitrah ini. Bahkan Islam menguatkan fitrah ini, dalam syariatnya. Hak-hak kekeluargaan yang wujud dalam syariat menjadi bukti bahawa Islam sangat mementingkan hubungan kekeluargaan. Bermula dengan mentaati ibubapa dan berbuat ihsan kepada mereka, kemudian harta perwarisan pusaka kepada sanak keluarga, disambung pula dengan tuntutan diyat yang diwajibkan kepada ahli keluarga lelaki jika ada ahli keluarganya yang melakukan kesalahan, dan seumpamanya. Semua perkara itu menunjukkan kepada peri pentingnya kekukuhan institusi kekeluargaan dalam syariat Islam, demikianlah juga bagaimana Islam itu menjaga fitrah manusia, serta mendidiknya agar selari dalam landasan syarak.

3. Walaupun demikian, Islam menggariskan sempadan dan had dalam mengukuhkan fitrah itu, agar ia sentiasa berada dalam landasan yang betul. Atas sebab itu juga, dalam syariat, adik beradik atau kaum keluarga tidak boleh menjadi saksi dalam kes-kes mahkamah, serta saranan yang menyuruh agar berlaku adil walaupun ke atas kaum keluarga sendiri dan seumpamanya. Definisi jahiliyah terhadap kata-kata "Tolonglah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi" yang menganggap walau dia betul atau salah, saudara sendiri tetap mesti dipertahankan, itu telah diolah oleh Islam yang mentafsirkan bahawa menolong saudara yang zalim itu dengan membetulkannya, bukan dengan mempertahankannya. Dengan demikian, fitrah manusia itu diangkat menjadi suci dan mulia, serta berada dalam landasan syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT.

4. Apabila Islam menyerap masuk ke dalam sesebuah kaum atau bangsa, lalu segala adat dan uruf yang diamalkan merupakan satu perkara yang selari dengan tuntutan agama, maka mempertahankan perkara itu juga sebahagian daripada mempertahankan agama. Identiti Melayu yang telah pun diangkat secara rasmi dan perlembagaan, yang merupakan sebuah perundangan bertulis, telah pun menyatakan bahawa Islam sebagai salah satu teras kebangsaannya. Masyarakat Melayu telah lama sebati dengan agama Islam sejak ratusan tahun yang lalu.

5. Usaha mempertahankan maruah dan masyarakat Melayu, menyatukan orang Melayu, serta memartabatkan bangsa Melayu, pada hakikatnya adalah satu kewajipan yang dituntut oleh syarak itu sendiri. Ini kerana pada batang tubuh orang Melayu itu berdirinya sosok tubuh umat Islam di Tanah Melayu ini.

6. Keseragaman yang wujud di antara citra bangsa Melayu dan agama Islam telah lama diimplimentasikan dalam kehidupan di bumi Melayu. Buktinya adalah adat yang wujud seperti implimentasi tulisan jawi, penggunaan nama-nama Arab yang dijadikan sebagai nama utama dalam penamaan anak-anak Melayu, budaya bersalaman dengan orang-orang tua, adab-adab dan tatasusila kemelayuan yang menjaga kehormatan dan ketinggian budi, budaya songkok yang diambil daripada topi fez atau turban turki, atas semangat berbai'ah kepada khilafah Turki Uthmaniyah serta kopiah dan serban yang menjadi satu simbol ‘mulia’ dan ‘terjaga’, serta perkara seumpamanya yang menjadikan sesebuah bangsa itu mekar dengan nilai-nilai Islamnya secara tersendiri.

7. Hakikatnya, setiap bangsa memiliki agama, idea dan pemikiran tersendiri, yang diserapkan dalam budaya dan adat mereka. Setiap agama akan diserap dalam budaya penganutnya, kerana hakikat agama adalah sebuah cara hidup yang diamalkan dalam masyarakat. Tanpa menafikan bahawa masih ada budaya Melayu yang masih lagi perlu ditapis dengan tapisan syarak seperti budaya kuda kepang, dan seumpamanya, kita sepatutnya tidak terlalu alergi dengan istilah perjuangan Melayu, selagimana kita jelas kerangka perbincangan ini.
8. Apa yang cuba dilakukan oleh musuh Islam pada hari ini, apabila mereka tidak dapat menghakis Islam secara terus terang daripada jiwa umat Islam, mereka menghakis budaya kebangsaan agar hilang sensitiviti kekeluargaan, hilang rasa keempunyaan, hilang rasa kebertanggungjawaban terhadap bangsa dan kaum sendiri. Jadilah akhirnya kita buang perkataan Melayu, me’rasis’kan perjuangan Melayu, hingga rasa malu mengaku menjadi Melayu. Inilah sebenarnya akar sekularisme, yang mengasingkan agama daripada fitrah kemanusiaan.

9. Apabila kita menyebut bahawa Islam itu adalah negara dan tanah air, kebudayaan dan keilmuan dan seumpamanya yang membawa maksud kesempurnaan Islam dalam setiap aspek kehidupan, sepatutnya kita juga perlu menyebut, bahawa Islam juga adalah ‘bangsa’ dan ‘kaum’, sepertimana ia adalah akidah yang benar, dan ibadah yang sahih. Ini kerana setiap inci perasaan sayangkan bangsa dan prihatin terhadap kaum sendiri adalah satu nilaian islamik yang perlu wujud dalam agenda setiap muslim.

10. Bahkan setiap kehilangan sensitviti itu akan merugikan sedikit demi sedikit agenda umat Islam, kerana ia akan menatijahkan perpecahan dan pergaduhan sesama umat Islam itu sendiri. Usaha menghakis perasaan dan senstiviti itu sedang berlaku dengan dahsyat, dari pelbagai sudut.

11. Ia adalah satu arus jahiliyah moden yang mahu menghakis fitrah kemanusiaan itu sendiri, kerana apabila manusia hilang tempat pergantungan, lupa sejarah asalnya, hilang rasa kebertanggungjawabannya kepada anak bangsanya, jadilah dia manusia yang tempang, tiada identiti, tiada tanggungjawab, dan tiada sejarah. Umat beginilah yang mudah diperkotak katikkan, mudah dibeli, dan mudah dijajah.

12. Kita harus sedar tentang perkara ini, sepertimana kita harus sedar pergaduhan dan pertelingkahan sejak berpuluhan tahun antara kelompok Islamis dan pejuang Melayu berpunca daripada salah faham yang jelas terhadap isu kritikal ini. Apabila kita jelas bahawa umat Islam perlu bersatupadu dalam menghadapi arus jahiliyah pada hari ini, dan kita jelas bahawa kesatuan orang-orang Melayu adalah tonggak kebangkitan umat Islam di tanah air ini, barulah kita akan dikira sedang melangkah menuju sebuah kegemilangan tamadun Islam di tanah air, dengan acuan kita yang tersendiri.

Wallahua’lam.

Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha Agung
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
2024/11/18 16:32:12
Back to Top
HTML Embed Code: