Telegram Web Link
Tarbiyah jiwa, sebagai salah satu jalan ilmu

Membina jiwa untuk kembali kepada fitrah yang suci, adalah salah satu jalan menanggapi ilmu, menyingkap kebenaran, dan membina satu pancaindera baharu dalam melihat kewujudan.

Ia diumpamakan dalam ayat Surah An-Nur, ayat 35, mengenai cahaya Allah SWT yang meliputi langit dan bumi. Ibnu Qayyim menyebut bahawa jiwa yang suci atas fitrah juga bercahaya, sebelum datang kepadanya syariat agama.

يكاد زيتها يضيء ولو لم تمسسه نار
"Hampir-hampir minyak pelita itu bersinar cahaya, walaupun ia tidak disentuh api"

Apabila jiwa bersih, ia mampu memberi sinar hakiki. Pada ketika itu, cahaya wahyu yang datang ibarat hanya melengkapkan cahaya fitrah, menjadi gabungan cahaya yang sempurna.

نور على نور
"Cahaya di atas cahaya"

Orientasi tarbiyah perlu dilihat lebih besar daripada semata-mata pembinaan peribadi yang baik dan menjaga tuntutan syariat, bahkan ia perlu dilihat dalam menghasilkan peribadi yang berilmu, menanggapi kebenaran dengan deria fitrah yang suci, hingga mampu mencerap panduan ilahi, walaupun tidak disebut dalam wahyu dan kitab suci.

يهدي الله لنوره من يشاء
"Allah memberi hidayah / petunjuk untuk cahaya-Nya, kepada sesiapa yang Dia kehendaki"

Demikianlah akhirnya, kehendak Tuhan menentukan siapa yang Dia mahu dalam jalan hidayah, dan kehendak Tuhan juga menentukan, salah satu jalan ilmu adalah dengan mengembalikan jiwa kepada asal fitrah.

ومن لم يجعل الله له نورا فما له من نور
"Barangsiapa yang tidak diberikan cahaya oleh Allah, maka tiadalah baginya sebarang bentuk cahaya" - Surah An-Nur

Wallahua'lam bissawaab
Memahami hakikat pemberian

Bila ada orang memberi, itu tidak bermakna dia ada lebihan. Itu bermakna dia mahu memberi.

Berapa ramai orang yang banyak lebihan tetapi tidak pun memberi, berapa ramai orang yang hidupnya serba tak cukup tetapi pemberiannya cukup banyak.

Isu memberi bukan isu teknikal. Ia adalah isu hati dan kemahuan.

Jalan untuk membanyakkan pemberian bukan dengan membanyakkan lebihan, tetapi lebih kepada mendidik kemahuan dan menjernihkan hati, mendidiknya agar sentiasa mengutamakan apa yang ada di sisi Allah berbanding apa yang ada di sisi manusia.

Nabi SAW adalah sepemurah manusia, walaupun baginda SAW bukanlah orang yang kaya. Baginda juga mengajarkan ahli suffah (golongan yang hidup di perkarangan masjid Nabi SAW), agar menjadikan zikir tasbih tahlil sebagai ganti sedekah harta.

Isunya di sini Nabi SAW sentiasa meluaskan makna memberi, dan tidak menghadkan pemberian itu hanya berbentuk material.

Baginda SAW mengajar sahabat untuk sentiasa melihat kepada hakikat, bukan semata-mata pandangan bersifat lahiriah, yang bukan perkara yang sebenar.

Demikian Nabi SAW mentarbiah hati para sahabat, menyamakan mereka pada titik kemahuan, seterusnya melalukan mereka pada kitarannya yang tersendiri.

Cabaran tarbiah hari ini adalah cabaran menghalakan pandangan masyarakat agar melihat neraca hakikat, kerana zaman kini yang diterajui arus kebendaan, teknologi, kosmetik yang melampau, arus yang meraikan kecenderungan nafsu berbanding neraca akal, semuanya itu adalah arus yang menghakis keislaman jatidiri generasi pada hari ini.

Terlepas pandang isu ini, akan menjadikan kita hanyut dalam arus gelap yang penuh perangkap dan penipuan.

Wallahua'lam
Vaksin adalah harus secara hukum asal, tapi boleh jadi wajib dari pelbagai sudut lain

1. Secara asasnya pengambilan vaksin adalah harus secara asal sama seperti hukum berubat. Ulama tidak mewajibkan seseorang berubat (pada pandangan Syafieyah) kerana ia merupakan salah satu ikhtiar dalam menanggapi takdir Allah SWT.

2. Namun pada pelbagai sudut lain, pengambilannya boleh membawa kepada hukum wajib apabila ia terkait dengan perkara lain, seperti arahan pemerintah (kerana pemerintah berhak menetapkan polisi demi maslahat umum), atau tidak ambilnya vaksin akan membawa kepada mudarat awam seperti menyusahkan pihak lain seperti KKM dan pihak keluarga, menjadi pembawa virus kepada pihak lain dan seumpamanya serta membantutkan usaha kerajaan dalam membentuk imuniti kelompok.

3. Bagi menerangkan kaedah ini, kita sebutkan bahawa : "Pandangan pemimpin itu terpakai dalam perkara yang tiada nas terhadapnya, atau nas itu wujud dengan pelbagai penafsiran, atau dalam perkara maslahah mursalah (maslahah yang tidak disebut secara nas), adalah terpakai (yakni diamalkan dan dipatuhi), selagimana ia tidak bertentangan dengan kaedah syarak".

4. Dalam keadaan no. 2, pemerintah berhak mengambil tindakan kepada siapa yang enggan mengambilnya, berkadaran kepada mudarat yang dibawanya kepada peringkat awam.

5. Jika dia tidak mahu mengambilnya atas kecenderungan peribadi, maka wajarlah dia terikat dengan apa-apa SOP yang terkait dengannya, seperti tidak boleh pergi ke premis tertentu, dine-in, sesetengah majikan pula mewajibkan pekerjanya untuk mengambil dos vaksin lalu orang yang tidak ambil akan terikat dengan polisi tersebut, dan seumpamanya.

6. Tindakannya melawan polisi tersebut samada secara helah dan tipu boleh membawanya kepada dosa menipu dan mengakibatkan kerosakan kepada orang lain. Dia sewajarnya menjamin segala kerosakan atau mudarat yang timbul kerana apa yang dilakukan.

7. Adapun jika dia mempromosi keengganannya terhadap polisi kerajaan dan SOP secara terang-terangan, serta mengajak orang lain untuk tidak mengambil vaksin atas sebab-sebab yang tertentu, ia boleh dianggap melanggar polisi kerajaan secara umum, dikhuatiri ia boleh dianggap melakukan jenayah 'pemberontakan' kerana ia menimbulkan kekacauan awam dan huru-hara dalam masyarakat.

8. Untuk golongan yang mempromosi pendapatnya itu, wajarlah tindakan yang keras dikenakan, berkadaran dengan kerosakan yang dilakukan terhadap peringkat masyarakat awam.

9. Ini kerana apabila sesuatu perkara itu makin besar, makin besarlah juga ketentuan syarak terhadapnya, dan makin besarlah pertanggungjawaban terpikul ke atasnya.

10. Pengambilan vaksin adalah harus dari sudut ikhtiar asal, tetapi ia boleh jadi wajib sebagai seorang warganegara yang duduk dalam satu sistem masyarakat yang mempunyai pelbagai lapisan autoriti, dan pelbagai lapisan masyarakat.

Wallahua'lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Hakikat ilmumu adalah keyakinanmu.

Hakikat hidupmu adalah amalanmu.

كل من عليها فان .. ويبقى وجه ربك ذو الجلال والإكرام
Memahami zikir dalam kerangka yang sempurna

"Barangsiapa berkata : Tiada Tuhan selain Allah akan memasuki syurga" - Hadis Sahih

Perkataan yang lengkap dan sempurna adalah perkataan yang ditampilkan secara zahir dan batin, iaitu keyakinan dalam hati, perkataan di lisan, serta diterjemahkan oleh perbuatan dengan anggota luaran.

Semakin sempurna kalimah itu dituturkan, pada semua segi, semakin tinggi kemungkinan seseorang itu termasuk dalam makna hadis tadi.

Perlu diingat, bukan sekadar berkata kerana orang munafiq juga mengucap syahadah. Tetapi ia adalah pakej yang lengkap, barulah mencapai dan mencukupi syaratnya.

Demikia lah kita memahami semua hadis-hadis lain mengenai zikir tertentu, yang mana fadhilatnya besar seperti menghapus segala dosa dan seumpamanya.

Perihal zikir tidak sepatutnya hanya diletakkan dalam konteks amalan zikir, tetapi perlu diletakkan dalam perkiraan yang lebih besar, bahawa ia adalah manifestasi tauhid dan munajat, dalam segenap lapisan kehidupan.

Dengan demikian kita boleh fahami hadis Nabi SAW apabila ditanya mengenai apakah yang patut dilakukan ketikamana sungguh banyak tugasan dan tuntutan agama perlu dilakukan?

Baginda SAW menjawab : "Hendaklah lidahmu basah dengan mengingati Allah"

Wallahua'lam bissawaab.
Perjalanan menuju Al-Quran

Perjalanan menuju Al-Quran bermula dengan membaca dengan meraikan segala makhraj dan tajwid dengan baik, kemudian cuba menghafaz ayat-ayat lazim yang biasa dibaca dalam solat dan kehidupan seharian.

Setelah itu menelaah tafsir-tafsir muktabar untuk mengetahui makna ayat Al-Quran yang dibaca.

Setelah itu cuba merenung, refleksi diri dan mentadabbur ayat Al-Quran yang dibaca, mengambilnya sebagai pedoman hidup dan panduan dalam kehidupan seharian.

Ini peringkat permulaan.

Peringkat seterusnya setelah melalui peringkat pertama dengan baik dan mampu mentadabbur dengan deria yang mendalam, adalah membiasakan diri dengan khawatir yang timbul daripada ayat Al-Quran yang dibaca.

Khawatir ini secara umumnya adalah lintasan hati, ia adalah hasil daripada tadabbur yang panjang dan renungan yang mendalam terhadap ayat Al-Quran, lalu cara fikirnya, gejolak hatinya, sensitivitinya, dan derianya mula berasimilasi dengan perspektif Al-Quran.

Jiwanya dan derianya mula menghasilkan ilham yang selari dengan pandangan wahyu, walau mungkin ia tidak menemui lagi hadis yang khusus terhadap perihal itu.

Pada ketika ini, sekiranya himpunan khawatirnya itu dihimpunkan, dan apabila dikaji dan diteliti, kesemuanya itu menepati makna dan tafsiran Al-Quran, serta tidak bertentangan dengan kaedah ilmu dalam tafsir, ia boleh menaiki martabat seterusnya, iaitu ia boleh dikira sebagai salah satu tafsir Al-Quran.

Dengan demikian ia sedang menaiki satu martabat yang lebih tinggi dalam perjalanannya menuju Al-Quran.

Daripada situ, ia sedikit demi sedikit sedang membina peratusan daripada menjadi Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi ini. Bak kata Saidatina Aisyah RA bahawa akhlak Rasulullah SAW adalah Al-Quran, dan baginda SAW adalah Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi ini.

Dengan demikian kita boleh melihat bagaimana Al-Quran ini menyerap dalam hati manusia. Ia bermula daripadanya dengan bertatih membacanya, melalui perhentian-perhentian untuk jiwa berasimilasi dengannya, kemudian berakhir dengan menjadi sebahagian daripadanya.

Demikianlah juga bagaimana Allah menyusun hidayah-Nya. Dia mengeluarkan orang beriman dengan cahaya-Nya daripada kegelapan, lalu orang beriman sendiri setelah berasimilasi dengan cahaya-Nya, mempunyai misi mengeluarkan pula manusia daripada kegelapan, menuju cahaya-Nya.

Segalanya bermula daripada-Nya, dan akhirnya kembali kepada-Nya.

Demikianlah kita boleh memahami, serba sedikit makna, bagi sebuah perjalanan.

Moga Allah memberi taufiq kepada kita untuk menjadi sebahagian daripada golongan ini.

Wallahua'lam bissawaab.
---
Ikuti catatan di www.tg-me.com/ustazsyamilesa
Isu vaksin suami isteri

Ada isu timbul mengenai adakah sekiranya suami melarang isteri mengambil vaksin, lalu si isteri ambil juga vaksin, adakah dia dikira derhaka dan berdosa?

Jika suami melarang isterinya ambil vaksin, ada beberapa keadaan.

Keadaan pertama :

Vaksin hanya sebagai saranan dan galakan, pada waktu biasa dan bukan waktu wabak, tiada risiko terkena virus, serta tiada pula kewajipan dari pihak kerajaan.

Ketika ini vaksin bolehlah dianggap sebagai perkara harus atau sunat sahaja. Dalam keadaan ini, mentaati suami adalah wajib, dan mengambil vaksin dikira melanggar perintah suami.

Keadaan kedua :

Vaksin sebagai suatu keperluan yang besar untuk hidup. Keadaan wabak tengah melanda, tuntutan untuk pergi kerja, menguruskan kehidupan asasi, mengelakkan risiko jelas iaitu terkena wabak, dan berpotensi menjadi agen penyebaran wabak serta arahan daripada pemerintah sebagai satu-satunya cara dalam menangani wabak.

Ketika keadaan begini vaksin boleh dianggap suatu kewajipan secara individu. Perkara wajib dalam tahapan ini tidak memerlukan izin sesiapa untuk melakukannya. Ibarat jihad ketika musuh masuk menceroboh negara kita, wanita boleh keluar rumah pergi berjihad tanpa izin suami. Arahan suami kalaupun dikira wajib, ada kewajipan yang lebih besar yang lebih diutamakan.

Pada ketika itu, pengambilan vaksin tidak dikira derhaka, kerana isteri sedang melakukan kewajipannya, bukan sekadar melakukan perkara sunat atau harus.

Keadaan ketiga :

Iaitu keadaan di tengah-tengah antara pertama dan kedua, ia memerlukan suatu murajjih (penguat) samada untuk mengqiyaskan hukumnya kepada keadaan pertama, atau keadaan kedua.

Apabila ia qiyas, sudah pasti peratusan hukumnya juga berbeza, walaupun ia hukum yang sama.

Contohnya, kalau pun dikatakan derhaka, dalam keadaan pertama, derhakanya tidaklah seperti kederhakaan asal iaitu nusyuz. Ia paling tidak pun dikata melanggar arahan kecil kerana tujuan yang besar.

Begitu juga jika ingin dikategorikan kepada keadaan kedua, iaitu tidak berdosa, ia juga tidaklah bebas sepenuhnya dalam bertindak.

Paling kurang di sana ada hak suami dalam diberi penjelasan dan dalam perihal lain si isteri masih terikat dengan kewajipan-kewajipan lain terhadap si suami.

Secara kesimpulannya, si suami perlu berhati-hati dalam mengurus rumahtangga, dan membuat satu-satu keputusan selari dengan sarana awam, para mufti dan ahli yang berkelayakan menentukan sesuatu perkara, yang beliau bukanlah ahlinya.

Wallahua'lam bissawaab.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-64

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan kepada semua warga Malaysia. Kemerdekaan membawa maksud kesempurnaan pilihan dan tanggungjawab. Kemerdekaan tanah air bererti kemampuannya dalam menentukan halatuju, cara gerakerja dan tujuannya yang tersendiri tanpa terikat dengan mana-mana campur tangan pihak lain. Syukur kita terhadapnya adalah dengan memacu halatuju negara dengan neraca syariah dan panduan Al-Quran.

Moga sambutan kemerdekaan kali ini mengingatkan kita kepada sejarah tanah air, dan menanam semangat patriotik dalam mempertahan kedaulatan tanah air, serta menjadikannya negara yang terus menjulang syiar agama dan membangun kemajuan umat Islam.

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Forwarded from SyazWan PEACE
Forwarded from SyazWan PEACE
Ini kisah seorang kanak-kanak India, Sanger Nair A/L Menon yang berkerja sebagai budak pam di sebuah stesen minyak di Kepala Batas Pulau Pinang yang akhirnya menyandang Anugerah Saudara Mithali Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun 1439H/2017M.

Memang takdak sapa kenai, kalau ikut orang Penang kata la...

Tapi nak kongsi cerita dengan tuan-puan semua bagaimana budak pam minyak ini akhirnya juga pernah menjadi orang yang lincah dan gigih mendidik saudara-saudara baru yang kembali kepada fitrah di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam.

Bukan sesuatu yang mudah untuk kita fahami bagaimana saudara baru kita ini bergelut untuk menyesuaikan diri dengan suasana agama dan cara hidup baru dipersekitaran keluarga dan masyarakat sekeliling yang masih kekal dengan agama asal. Apatah lagi apabila sebahagian mereka sanggup untuk terus memikul amanah menyampaikan seruan Islam kepada rakan-rakan mereka yang lain.

Nak ajak rakan-rakan semua untuk turut serta bersama dengan adik Sanger Nair a/l Menon yang kini dikenali dengan nama Ustaz Muhammad Syazwan Bin Menon, pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dengan kepujian yang akan berkongsi serba sedikit pengalaman beliau dan berkongsi bagaimana saudara baru kita menjiwai semangat patriotisme yang di tuntut oleh syarak.

Set temujanji anda Selasa ini, 31 Ogos 2021 jam 9.15 malam di pautan berikut:
https://www.facebook.com/PEACEDawahCentre/
Jika tidak tahu nak cakap apa, tak reti nak tulis apa, maka berselawatlah ke atas Rasulullah SAW.

Bila kita tak tahu nak susun perkataan, paling kurang kita tahu bagaimana untuk bercakap dengan Rasulullah SAW.

"Dan berselawatlah ke atasku, ini kerana sesungguhnya selawat kamu sampai kepadaku di mana sahaja kamu berada" - Hadis Sahih Riwayat Abu Daud

Ketahuilah, banyak-banyak ayat yang kita tengah fikir nak susun dan gubah itu, sekalipun tidak dapat menyamai kelebihan dan fadhilat berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW.

Allahumma solli ala saidina Muhammad kullama zakaraka az-zakirun, wa ghafala an zikrikal ghafilun

"Ya Allah berselawatlah Engkau ke atas junjungan besar kami Muhammad setiap mana orang yang berzikir itu mengingati-Mu, dan setiap mana orang yang lalai itu alpa dengan-Mu"
Kelazatan yang menutupi kelazatan

Suatu hari Al-Imam Abu Abdullah Al-Maliki, seorang ulama' dari Maghribi, ditanya mengenai sebab kenapa banyak penulisan dan pembukuan ilmu pada umat Muhammad SAW ?

Lalu beliau menyebut : Inilah hikmah pengharaman arak.

- dipetik daripada kitab Manhajiyah Fi Tolab Al-Ilm oleh Prof Dr Abd Salam Asy-Syuwai'ar

Saya berkata :

Produktiviti kita terhadap sumbangan ilmu, ketaatan dan khidmat kepada agama berkadaran dengan sejauh mana kita meninggalkan kelazatan perkara-perkara yang ditegah Allah SWT.

Apabila kelazatan dalam menuntut ilmu, melakukan ketaatan dan keterujaan untuk berkhidmat kepada agama itu menjadi dominan, ia akan menutupi dan mengatasi kelazatan-kelazatan lain (yang haram) dan seseorang itu akan disibukkan dengan kelazatan dan kenikmatan yang lebih besar dan bermakna.

Ini yang berlaku kepada generasi terdahulu, hingga mereka khuatir sekiranya balasan amal soleh mereka itu dilunaskan di dunia lagi (hingga tidak diganjarkan di akhirat kelak) kerana mereka memperolehi kelazatan ilmu ini di dunia.

Wallahua'lam bissawaab.
Bagaimana mengenali Tuhan boleh memberi kebahagiaan ?

Kita mungkin melalui langit dan bumi yang sama, tetapi kehidupan kita tak sama.

Kita berbeza perspektif terhadap Tuhan, sebesar mana Tuhan itu dalam diri kita, sebesar itu jugalah jurang perbezaan antara kehidupan kita.

Kehidupan bertambah makna, nilai, pahala, hikmah, ilmu, cinta, khusyuk dan bahagia, berkadaran dengan makna Tuhan yang ada dalam diri.

Siapa yang lebih dekat, pahalanya lebih besar, siapa yang lebih jauh, pahalanya lebih kecil. Selafaz tasbih orang yang dekat, mungkin menyamai 1000 tasbih orang yang jauh, atau mungkin lebih.

Ibaratnya, orang yang jauh perlu menjerit untuk didengari, orang yang dekat hanya perlu berbisik. Orang yang jauh beribu batu perlu mengutus surat, menghantar ke pejabat pos, dan menunggu beberapa hari baharu suaranya sampai, sedangkan jiran sebelah hanya perlu mengetuk pintu untuk menyampaikan hajat.

Oleh itu untuk memperbaiki kualiti kehidupanmu, baiki dan suburkan jiwamu dalam mengenali Tuhan.

Dengan demikian baru kita boleh faham, saranan dalam ayat Allah SWT :

"Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, dan sesungguhnya perkara itu (meminta tolong dengan sabar dan solat itu) berat melainkan ke atas orang yang khusyuk. Iaitu orang yang meyakini bahawa mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka, dan mereka akan kembali kepada-Nya" - Surah Al-Baqarah, ayat 45-46

Kenapa yang khusyuk rasa ringan ?

Ini kerana bagi orang yang khusyuk, hampirnya kedudukannya dengan Allah SWT menjadikan mereka melihat bahawa segala kekuasaan, kudrat dan kekuatan hanya wujud pada-Nya.

Undang-undang dunia dan sebab musabab tidak menjadi penghalang tawakkal dan kebergantungannya kepada Allah SWT, Yang Mencipta asbab dan musabbab tersebut. Dengan demikian Allah SWT mencukupkan keperluannya, memudahkan urusannya, dan memuliakan kedudukannya.

Manakala bagi orang yang tidak khusyuk, dirinya jauh, kesabaran dan solat itu dilihat sebagai tidak logik, tidak dapat diukur, dan tidak realistik, lalu dirinya hanya terpaksa bersabar dengan penuh kesukaran, dan solat dengan penuh syak wa sangka bagaimana Tuhan boleh membahagiakan hidupnya dengan cara begini.

Pandangannya terhad kepada perkara zahir, perkara batin tidak diendahkan, kecualilah hanya sekelumit keyakinan bahawa di sana ada Tuhan yang mengatur seluruh kehidupan.

Orang yang begini kehidupannya akan sukar, kerana dia meletakkan nasib dan kebahagiaannya kepada dirinya sendiri, perancangannya sendiri, kebijaksanaannya sendiri dan semuanya itu dalam kapasiti 'sendiri'. Ketidaktahuannya dianggap sebagai musuh, kerana 'manusia adalah musuh kepada apa yang dia jahil'.

Dirinya perlu sempurna semua segi, barulah dia boleh tidur lena di malam hari. Suatu hari, dia akan ketahui, bahawa Tuhan akan mengujinya, sampai dia tersungkur di depan perancangannya sendiri dan memperakui, bahawa Dialah Tuhan di dalam dirinya sendiri.

وهو القاهر فوق عباده ... وهو الحكيم الخبير

Wallahua'lam bissawaab
--
Ikuti catatan di www.tg-me.com/ustazsyamilesa
Kemuliaan Jumaat yang diabaikan

Salah seorang salaf menyebut : "Barangsiapa yang lurus hari Jumaatnya, maka luruslah seluruh hari dalam minggunya"

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Abu Al-Qasim Rasulullah SAW bersabda : "Pada hari Jumaat ada suatu masa, yang tidak menemuinya seseorang yang sedang bangun solat, kemudian dia meminta kebaikan kepada Allah, kecuali Allah akan memberinya (apa yang diminta"

Ibnu Asakir menyebut dalam kitabnya 'Tarikh Dimasyq' : "Suatu hari As-Shalt bin Bustam ditimpa penyakit buta, lalu sahabat-sahabatnya berhimpun dan berdoa untuknya, pada waktu Asar hari Jumaat. Sebelum terbenamnya matahari, dia bersin, dan penglihatannya kembali pulih"

Ibnu Qayyim RHM berkata : Waktu yang mustajab ini adalah waktu-waktu akhir selepas Asar, ia dimuliakan oleh semua ahli agama - Zaadul Ma'ad (1/385)

Sa'id bin Jubair RA apabila selesai solat Asar, dia tidak berkata kepada sesiapa pun sehingga terbenamnya matahari - Zaadul Ma'ad (1/382)

Selamat menyambut keberkatan Jumaat.
Perjalanan mencari makna, tidak akan berhenti hingga bertemu-Nya

Pada suatu hari saya diberi kesempatan untuk bersembang dengan seorang sahabat. Kami berbincang mengenai beberapa perspektif dan makna dalam kehidupan.

Ia bagi saya adalah suatu perbincangan yang menarik, dan membuka banyak sisi pandang saya sendiri terhadap makna-makna kehidupan dan makna ketuhanan.

Antara soalan yang hangat dan timbul dalam perbincangan adalah : Apa yang saya nak dalam hidup ini ?

Secara umumnya tak ramai yang pernah tanya saya soalan ini. Tapi saya cubalah jawab juga. Mudah-mudahan Tuhan kasihan pada saya dan beri taufiq untuk saya berada atas jalan yang benar.

Saya sebut dengan terus terang, bahawa saya hidup untuk mengenal Tuhan. Tidak lebih tidak kurang.

Kemudian beliau minta jelaskan maksud jawapan itu.

Saya cuba huraikan dengan izin Allah SWT :

Setiap yang berlaku dalam kehidupan kita pada masa lalu, masa kini dan masa akan datang, ibarat suatu cebisan-cebisan pecahan pengenalan yang memperkenalkan kita kepada Tuhan, yang akan berakhir di syurga nanti apabila (dengan izin Allah dan rahmat-Nya) kita bertemu dengan-Nya.

Pertemuan dengan Tuhan adalah perhentian terakhir dalam episod himpunan cebisan 'taaruf' itu tadi. Ia adalah suatu pelengkap kepada segala pengalaman, ilmu, dan apa yang dilalui sejak di dunia ini lagi.

Apa yang kita fikir, rasa, belajar, lalui, alami dan tempuhi di alam dunia ini akan kekal dibawa ke akhirat nanti. Ilmu matematik, fizik, ekonomi, ilmu agama dan seumpamanya itu semua akan dibawa ke alam akhirat nanti, kisahnya tidak terhenti dengan sebuah kematian.

Oleh itu, saya hanya menggabungkan tujuan kejadian untuk kembali kepada Tuhan, dengan kehidupan yang saya lalui hari ke hari bagi membentuk suatu pengakhiran yang terbaik, dengan izin dan rahmat-Nya, suatu hari nanti.

Memori dan perkenalan dengan Tuhan itu dibina seawal hidup di dunia ini, dengan penuh kesedaran dan penghargaan bahawa itu adalah satu cebisan kecil yang perlu dihimpunkan, dikumpulkan, dicantumkan, hingga membentuk suatu pertemuan akhir yang paling sempurna, suatu hari nanti.

Perbualan itu diteruskan dengan persoalan yang saya timbulkan padanya.

Saya katakan padanya : Apa yang dirasai ketika bertemu manusia, pergi ke hutan, dan pergi ke tempat-tempat yang ada. Apakah perasaannya ?

Dia menjawab : Saya pergi ke suatu tempat, atau bertemu dengan seseorang, pasti mempunyai objektif tertentu yang ingin dicapai. Tiada apa-apa perasaan khusus yang timbul.

Saya mengatakan : Dengan demikian, anda hanya menyusun kehidupan, tetapi anda tidak pun hidup. Aktiviti seharian dan rencah kehidupan perlu disusun, itu benar, tetapi yang lebih perlu adalah 'kehidupan' itu sendiri.

Kehidupan itu dibina dengan tujuan, perasaan, rasa ingin tahu, mempelajari makna baru atau mendalaminya, dan sudut-sudut lain yang perlu diisi bagi melengkapkan perjalanan manusia yang benar.

Apabila kita hidup dengan sekadar menyusun rutin kehidupan, hakikatnya kita tidak berkembang secara hakikat seorang manusia. Manusia ini hakikatnya roh yang ditiupkan kepada jasad.

Bila jasad ini sudah tamat tarikh luputnya, maka roh akan pergi ke alam barzakh. Perjalanannya di alam barzakh akan bermula, dan ia akan sentiasa belajar perkara baru, merasai peristiwa baru, dan mengalami benda-benda baharu.

Saya nyatakan kehidupan yang hanya menyusun rutin harian dan tidak lebih daripada itu, adalah suatu kehidupan yang hilang maknanya. Dalam erti kata lain, hilang seri 'hidup'nya.

Apabila saya meletakkan bahawa kehidupan yang dilalui ini hanyalah satu bentuk 'taaruf' kita dengan Tuhan, maka dengan segala yang dilalui itu terzahir padanya segala makna nama-nama Tuhan 'Al-Asma' Al-Husna' dengan segala sudut penciptaan-Nya.

Tasbih dan zikir ketika itu tidak perlu dilafaz dengan lidah, ia berlaku dengan sekerdipan mata. Selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW pula berlaku tanpa suara, ia bertukar menjadi ibarat nafas yang keluar daripada rongga secara sendirinya.
Bagaimana ia tidak berlaku kalau semuanya adalah petunjuk kepada-Nya ? Bagaimana ia tidak terkeluar kalau semua makhluk sedang membuktikan kewujudan-Nya, dan kenabian Rasul-Nya SAW ?

Dengan demikian, setiap episod dalam hidup yang dilalui bertukar menjadi ibadah dan munajat. Ketika itu, setiap tidur dan bangun, makan dan minum, kerja dan cuti, dan semua rutin kehidupan bertukar menjadi mihrab perhambaan.

Hamba yang bersimpuh di hadapan Tuhan, mencari dan menagih rahmat dan kasih-Nya, pada setiap sudut-sudut kehidupan.

Kalaulah perjalanan mengenali Tuhan itu bukanlah makna bagi hakikat kehidupan, apakah di sana ada yang lebih bermakna daripada itu ?
الله لا إله إلا هو الحي القيوم
Wallahua'lam bissawaab
Di akhir zaman, apa kena buat?

Walaupun kita di akhir zaman, kerja kita tetap kerja yang dibuat oleh Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam. Tetap terikat dengan apa yang disarankan Baginda SAW dan tetap dengan perjuangan Baginda SAW.

Tidak lebih dan tidak kurang. Walau siapapun yang bermimpi, walau apapun yang dimimpikan.

Ketahuilah pengutusan Baginda SAW sendiri adalah petanda kiamat kecil. Namun Baginda SAW meninggalkan dunia ini dengan sebuah umat sebaik-baik umat, bagi mengembalikan seluruh dunia ini kepada Tuhannya.

Demikianlah juga kita, walau di hujung umur dunia, hatta jika esok nak kiamat pun, tetaplah dengan perjuangan yang diasaskannya, bukan memandai-mandai buat mazhab atau ajaran agama sendiri.

Lebih-lebih lagi jika bersumberkan mimpi seseorang yang tidak pula dikenali bahkan sangat diragui statusnya sebagai seorang perawi yang tsiqah.

Imam Mahdi akan muncul, Nabi Isa AS akan turun, semuanya itu fenomena ketetapan Ilahi pada masa dan waktu yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja.

Yang penting semua tentera Nabi Isa AS dan Imam Mahdi adalah umat Muhammad SAW yang berdiri atas jalan yang benar, ilmu yang benar dan perjuangan yang benar.

Sabda Nabi SAW :

"Jika hari kiamat nak tiba, sedang di tangan salah seorang daripada kamu ada biji benih, dan dia mampu untuk menanamnya sebelum kiamat itu berlaku, maka tanamlah ia. Maka baginya dengan tanaman itu, sebuah pahala" - Hadis Sahih diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad daripada Anas bin Malik RA

Wallahua'lam bissawaab.
--
Ikuti catatan di www.tg-me.com/ustazsyamilesa
Kesedaran sivik terhadap alam sekitar, dan memori di Mesir

Suatu malam di Mesir, ketika saya dalam perjalanan pulang ke Tanta daripada Kaherah (jaraknya kira-kira 92km), saya menaiki tren paling murah berharga kira-kira 3.5 pound mesir (harga pelajar), kira-kira RM1.80 ketika itu.

Seperti biasa, dalam tren ada orang menjual macam-macam perkara termasuklah gula-gula, halawiat (manisan), dan teh. Saya memesan secawan teh o (jenama Aruusah) dan minum menikmati keindahan malam di sebalik jendela tidak bertingkap itu.

Sekali-sekala bila keretapi lalu dari arah bertentangan, saya meletakkan cawan plastik itu di bawah kerana khuatir terbang pula kena orang lain. Nak diibaratkan seperti lori meluru laju di sebelah kita, itulah perasaannya.

Selesai minum, saya pegang sahaja cawan itu tadi dan berniat ingin membuangnya ketika sampai di stesen Tanta itu. Nak dijadikan cerita, saya terlelap dan cawan itu terjatuh, saya kutip sekali lagi dan memegangnya.

Orang-orang Mesir sekeliling pelik melihat saya mengutip cawan yang kosong itu. Ada sebahagiannya pula mengajar saya untuk buang sahaja cawan itu di luar tingkap, tapi saya enggan dan saya katakan saya akan buang di tong sampah.

Walaupun umum mengetahui keadaan tren itu yang sudah pun banyak cawan-cawan bersepah di bawah kerusi dan sampah-sampah lain seperti kulit kuaci kuning dan plastik-plastik kacang. Saya buat selamba ingin memegang cawan plastik itu sendiri.

Lalu saya mendengar mereka berbual, mereka kata : "Kau tengok, inilah dia orang Malaysia. 'Nas muhtaramin' (orang terhormat), ada adab dan kesedaran sivik. Padanlah negara mereka maju"

Saya tersenyum dalam hati dan menyambung tidur. Sampai di stesen saya membuang cawan plastik itu di tong sampah yang ada di sana. Lalu terus mencari 'tremco' (van penghubung, orang Arab panggil sebagai mikro-bas) ke arah Makradh dan menyambung perjalanan ke Siberbay, tempat tinggal saya pada 10 tahun yang lalu.

Wallahua'lam bissawaab.
Satu daripada semua, semua adalah satu

Setiap inci di dunia menggambarkan seinci zarah daripada tubuhmu.

Sepertimana ia perkenalkanmu kepada Tuhan, pada setiap inci itu.

Pada setiap inci, ia merupakan sebuah taaruf, pada setiap taaruf, ia merupakan satu jenis nikmat yang wajib disyukuri.

Hidup tanpa Tuhan, adalah hidup tanpa tujuan.

وآتاكم من كل ما سألتموه .. وإن تعدوا نعمت الله لا تحصوها .. إن الإنسان لظلوم كفار

"Dan Dia memberimu tiap kali kamu meminta-Nya, dan sekiranya engkau mahu mengira nikmat Allah sudah pasti engkau tidak akan mampu. Sesungguhnya manusia itu sangatlah zalim dan kufur nikmat" - Surah Ibrahim

Wallahua'lam bissawaab
---
Ikuti catatan di www.tg-me.com/ustazsyamilesa
Alam sekitar, hutan dan tumbuh-tumbuhan yang bertasbih

Menceroboh dan mentarah alam sekitar, ibarat mematikan beberapa makhluk yang sedang berzikir dan bertasbih kepada Allah SWT.

Jika ia tidak digantikan dengan binaan atau pembangunan yang paling kurang setara peranannya dengan alam sekitar dan tumbuh-tumbuhan dalam mensucikan dan memartabatkan 'kalimah Allah', maka ia adalah sebuah kezaliman sama ada kita sedar atau tidak.

Zalim kerana kita redha menggantikan zikir dan tasbih, dengan kelalaian, kekufuran dan kefasadan.

Manusia yang sejati, adalah manusia yang memahami bahawa alam ini bersama-sama dengannya dalam memikul tugas dan amanah 'khilafah', dan juga memahami bahawa alam akan melaknatnya sekiranya dia mengabaikan tanggungjawab tersebut.

Wallahua'lam bissawaab.
--
Ikuti catatan saya di www.tg-me.com/ustazsyamilesa
2024/09/29 17:35:39
Back to Top
HTML Embed Code: