Telegram Web Link
Penurunan Al-Quran adalah peninggian erti kemanusiaan

Al Quran ibarat guru kepada manusia. Ia mengajarnya bagaimana dia berfikir, membuat keputusan dan bertindak, mengajarnya erti dan hakikat-hakikat kewujudan serta memperkenalkan kepadanya hakikat-hakikat ketuhanan.

"Sesungguhnya Al-Quran ini memberi hidayah kepada jalan yang paling lurus" - Surah Al-Israa'

Tanpa kesemua erti itu, manusia hanya akan terkapai-kapai dalam galaksi kewujudan hanya berbekalkan akal dan pancaindera yang cetek yang berpusing-pusing pada kesalahan-kesalahan yang sama, serta melalui jalan kerugian yang berpanjangan walaupun ia mendakwa ia menjumpai beberapa cebisan teori dan hakikat kewujudan.

"Barangsiapa yang tidak Allah jadikan baginya cahaya, maka tiadalah cahaya baginya" - Surah an-Nur

Besarnya Al-Quran mengajar dan merubah hidup kita berkadaran dengan besarnya kita menanggapinya sebagai guru hakiki yang memandu kita pada semua sudut kehidupan.

Ia adalah kalam Tuhan, dan Tuhan telah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi bahawa : "Aku adalah pada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku"

Semoga Allah menjadikan kita Al-Quran yang berjalan di atas mula bumi ini.

Salam Nuzul Al-Quran
This media is not supported in your browser
VIEW IN TELEGRAM
Ustaz Hanafiah, survivor Kanser Darah tahap 4, mengingatkan kita jangan sia-siakan masa yang kita ada iaitu Ramadan ini. Kita tak tahu mungkin ini Ramadan terakhir kita.
Carilah 'Lailatul Qadar' dengan menjadi ahlinya

Itulah cara yang paling mujarab dalam menggarapnya. Allah SWT menyebut :

"Wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik" - Surah An-Nur

Magnet kesetaraan dan kesekufuan tidak akan terpisah, bukan sahaja dalam isu pasangan dan perkahwinan, ia juga terpakai dalam segala isu kewujudan yang lain.

Jadi, jika mahu merebut ganjaran lailatul qadr, jadilah ahlinya. Mudah-mudahan ia akan datang meminangmu.

Wallahua'lam bissawaab.
Seputar isu selawat tafrijiyah, syifa' dan seumpamanya

1. Selawat adalah tuntutan agama yang sabit secara mutlak yakni tidak tertentu masanya dan bentuknya. Padanya terdapat doa dan zikir. Doa dari sudut memohon Allah SWT berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, zikir pula dari sudut mengingati Allah SWT dengan meminta kepada-Nya.

2. Penetapan kaifiat dan bentuk tertentu terhadap zikir dan selawat, jika ia sabit secara nas Al-Quran dan sunnah, maka ia tidak dipertikai lagi amalannya, bahkan itulah asas sesebuah amalan zikir dan selawat.

3. Sekiranya ia berlaku dengan olahan dan gubahan yang menepati bahasa Arab dan prinsip akidah dan syariah, ia adalah suatu yang diharuskan kerana ia masih tergolong dalam zikir dan selawat yang mutlak. Bahkan ia juga boleh digolongkan dalam satu amalan terpuji kerana di sana wujud aspek 'kesungguhan' dan 'kesenian' dalam berdoa dan berzikir.

4. Sekiranya ada pihak yang mendakwa sesetengah bentuk selawat dan zikir itu bercanggah dengan akidah, maka zikir atau selawat tersebut tidak boleh diamalkan oleh pihak yang berpandangan sedemikian. Ini kerana setiap manusia dihukum berdasarkan kefahamannya.

Namun sekiranya ada pihak lain yang menganggap ia selamat dari sudut bahasa dan akidahnya, serta tidak pula menimbulkan polemik dan fitnah kepada agama, maka bagi pihak itu, ia adalah diharuskan selagimana ia didasari ilmu dan pendalilan yang sah.

5. Saya berpandangan isu selawat tafrijiyah dan selawat syifa' adalah termasuk dalam isu kaifiyat berdoa dan berselawat, dan ia juga boleh dikira termasuk dalam bab bertawassul dengan batang tubuh Nabi Muhammad SAW, yang merupakan perbahasan khilafiyah yang panjang.

6. Memuktamadkan perkara yang khilafiyah adalah sia-sia kerana kewujudan perbezaan pandangan adalah perkara yang tabie dan daruri.

7. Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin banyak keuzuran yang dia boleh jumpa untuk orang yang berbeza pandangan dengannya.

Semakin rendah ilmu seseorang, semakin mudah pula dia menghukum dan menetapkan kesalahan orang lain.

Ini kerana seseorang yang berilmu mempunyai banyak bekalan dan sumber untuk memberikan keuzuran kepada orang yang berbeza pandangan, manakala orang yang kurang ilmunya hanya melihat sesuatu perkara pada pandangannya yang kecil semata-mata.

8. Bagi saya sendiri, selawat kepada Nabi SAW adalah manifestasi kefahaman kita terhadap ketinggian nilai nubuwwah dan kemuliaan Nabi SAW serta bagaimana besarnya nilaiannya dalam kehidupan kita seharian hatta peranannya dalam kewujudan dan ketertiban alam itu sendiri.

Ia bukan semata-mata satu doa ritual yang rasmi yang memerlukan protokol khusus yang mesti diikuti, bahkan ia lebih kepada satu terjemahan rasa cinta dan tanggungjawab, serta penghargaan yang tiada penghujung terhadap junjungan besar Rasulullah SAW.

Jadi mungkin orang yang tidak memahami besarnya peranan nubuwwah sebesar itu, dia tidak mampu memahami maksud orang yang mencipta kaifiyat tertentu dan bentuk tertentu dalam berselawat kepada Rasulullah SAW.

Wallahua'lam bissawaab.
Doalah agar Allah menjadikan diri kita Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi ini.

Bila begitu, setiap malam kita adalah ibarat Lailatul Qadr.
[Perkongsian Slot Rohaniyat Petang Ini]

InsyaAllah jam 6 petang ini saya akan berkongsi dalam Slot Rohaniyat, mengenai kupasan daripada kitab Al-Fawaid. Tajuk kali ini sekitar keadaan hati dan jiwa yang tidak boleh berhimpun padanya dua perkara yang berlawanan.

Secara LIVE di Facebook Majlis Ulama ISMA. https://www.facebook.com/majlisulamaisma
Forwarded from Dunia Palestin 🇵🇸
This media is not supported in your browser
VIEW IN TELEGRAM
Masjid al-Aqsa terbakar, Yahudi Zionis berpesta kegembiraan.

Laknat Allah ke atas mereka.

BANTUAN KECEMASAN AQSA
www.billplz.com/aptemerloh
(Tulis tujuan sumbangan: AQSA)
Khutbah Aidil Fitri 1442 Hijrah MUIS

Berikutan pengisytiharan PKP 3.0 dan terhadnya bilangan orang di surau dan masjid untuk mengikuti solat sunat Aidil Fitri, berikut adalah pautan khutbah Aidil Fitri yang disediakan oleh pihak Majlis Ulama ISMA (MUIS) untuk dibaca oleh ketua-ketua keluarga di rumah masing-masing esok.

Tajuk khutbah : Menggarap Kesyukuran, Menongkah Cabaran

https://muis.org.my/wp-content/uploads/2021/05/Khutbah_Aidilfitri_MUIS_1442H_Menggarap_Kesyukuran_Menongkah_Cabaran.pdf

Wallahua'lam bissawaab.
Agenda penentangan di Palestin adalah sebuah pakej bersepadu, bukan semata respons terhadap isu

Kehebatan tentera Al-Qass.am di Gaza yang memberikan penentangan kepada rejim Zionis Israel dengan melancarkan ratusan roket setiap hari memberikan satu kebanggaan kepada semua umat Islam, bagaimana dengan keterhadan sumber material dan kewangan, mereka boleh menghasilkan satu kejayaan demi kejayaan dalam meningkatkan keupayaan mereka dalam penentangan ini.

Suka untuk saya gambarkan kepada semua bahawa apa yang berlaku di Gaza atau penentangan di Palestin adalah satu terjemahan terhadap satu usaha bersepadu yang mendidik generasi umat Islam agar tidak tunduk dan berserah kepada agenda Zionis Israel dan tekanan antarabangsa.

Mereka telah melalui jerih payah pembinaan generasi selama puluhan tahun hingga mampu melahirkan apa yang dicapai pada hari ini, peperangan demi peperangan mereka tidak pernah mengaku kalah, sejak peperangan tahun 2008.

Bermula pada 1881 apabila penghijrahan Yahudi secara beramai-ramai dari Eropah, dan pengiktirafan PBB terhadap negara haram Israel 1948, mereka mula menyedari bahawa tiada jalan lain untuk menentang penjajahan ini melainkan dengan jalan kekuatan, iaitu pada Intifadah pertama tahun 1987 yang dipelopori oleh As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin RHM. Setelah itu mereka mula membina sedikit demi sedikit kekuatan hingga H.M.S mendapat undi tertinggi pada tahun 2007 dalam pilihanraya di Gaza.

Hinggalah hari ini, mereka membina sedikit demi sedikit pencapaian dan kemajuan teknologi hingga mampu membina teknologi drone sendiri yang dinamakan 'Shehab' dan teknologi ketenteraan yang hebat.

Kita di Malaysia boleh belajar daripada mereka perkara yang sama. Mereka membina kekuatan daripada kesedaran yang jelas terhadap kefahaman agama dan bagaimana memartabatkan agama. Mereka tidak meletakkan kepercayaan kepada kuasa dunia untuk menyelamatkan mereka sebaliknya meletakkan kepercayaan kepada kalam Tuhan mereka dan berpegang kepada prinsip 'jihad adalah satu-satunya penyelesaian' berbanding percaya kepada perjanjian-perjanjian plastik yang hanya menguntungkan pihak Yahudi dan merugikan umat Islam.

Mereka membina generasi atas dasar yang jelas, membina kekuatan atas paksi yang kukuh, lalu lahirnya pencapaian-pencapaian hari ini yang kita boleh saksikan sendiri.

Pengajaran untuk kita, jangan sekali-kali percaya perkara-perkara yang diolah oleh orang luar untuk kita. Mereka boleh 'legalize'kan segala undang-undang antarabangsa untuk kepentingan mereka dan menindas hatta menjajah tanah kita.

Bina kekuatan dan kemampuan sendiri, atas kesedaran yang jelas, dan tunjukkan kepada dunia kekuatan dan pencapaian kita. Bila kita hanya percaya pada orang luar untuk selamatkan kita, sampai bila-bila kita akan dimakan oleh mereka.

Jadikanlah isu Palestin sebagai agenda hidup kita sehari-harian, dan didiklah generasi kita untuk fahami isu ini, agar kita tidak mengulangi sejarah penjajahan yang menimpa mereka, suatu hari nanti.

Ya, kita juga memerlukan pakej pembinaan generasi yang bersepadu, dari sudut pemikiran, keilmuan, kefahaman dan agenda perjuangan, serta tidak menganggap 'kemenangan' hanyalah dengan 'satu pertempuran', kerana ia hakikatnya adalah sebuah 'kehidupan'.

Wallahua'lam bissawaab.
Perihal solat Taubat bagi yang tidak menunaikan solat Jumaat ketika PKP

1. Tular baru-baru ini potongan video seorang pendakwah yang menyarankan untuk solat Taubat bagi orang yang tidak menunaikan solat Jumaat ketika PKP.

2. Saya lihat niat beliau cukup baik iaitu mengekalkan ciri-ciri asal keislaman seseorang lelaki muslim yang meninggikan syiar Islam iaitu solat fardu Jumaat dan tidak pula meringan-ringankannya.

3. Saya juga perhatikan sudah ada beberapa pihak yang mengulas isu ini daripada perspektif asas agama sekitar perihal solat taubat dan erti taubat itu sendiri. Saya juga tidak mahu mengulang ulasan yang sama kerana saya juga sependapat dengan ulasan-ulasan mereka.

4. Saya hanya mahu nyatakan bahawa isu solat Jumaat adalah satu pecahan daripada isu utama iaitu wabak Covid-19 yang melanda negara kita bahkan dunia secara keseluruhannya.

5. Allah SWT menyatakan dalam surah An-Nisaa' ayat 79 bahawa setiap musibah yang menimpa kita adalah kerana kesalahan yang kita lakukan.

6. Dengan kesalahan tersebut, Allah menimpakan kita musibah untuk memberi peringatan kepada kita, bagi mengambil keputusan untuk kembali ke jalan yang benar. Satu sudut yang lain pula, di antara musibah yang berlaku akibat sesuatu kesalahan, adalah hilangnya taufiq daripada Allah untuk kita lakukan kebaikan.

7. Justeru, wabak yang menimpa kesemua umat manusia, sepatutnya memerlukan taubat daripada semua pihak, dan tidak terhad kepada kaum lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat kerana terpaksa ini sahaja.

8. Ini kerana bukan solat Jumaat sahaja tidak dibenarkan (beroperasi secara biasa), bahkan kefarduan haji yang kewajipannya meliputi lelaki dan wanita pun tidak dibenarkan berjalan seperti biasa.

9. Ambillah contoh kisah tiga orang sahabat yang terperangkap dalam gua, masing-masing bertawassul dengan amal soleh masing-masing bagi menyumbang kepada terbukanya pintu gua yang ditutup dengan batu besar. Mereka tidak pula meminta satu pihak sahaja untuk berdoa dan bertaubat dengan sepenuh keikhlasan, tetapi mereka kesemuanya memainkan peranan untuk menghadap Allah SWT dengan pasrah dan tulus.

10. Jadi, hakikatnya semua pihak perlu bertaubat dan kembali kepada Allah SWT agar diangkat wabak ini, lalu kita bersama-sama kembali menunaikan syiar dan tuntutan agama, dari segenap aspek dan perkara, dari sekecil-kecil tuntutan mengalihkan penghalang di tengah jalan, hinggalah ke setinggi-tinggi perjuangan menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Moga Allah angkat wabak ini, dan pelihara kita daripada fitnah akhir zaman.

Wallahua'lam bissawaab.
Gerhana bulan sebagai isyarat untuk kembali kepada Tuhan

1. Petang ini di Malaysia sekitar selepas waktu Asar hingga sekitar jam 9.50 malam, sedang berlaku gerhana bulan. Yang menariknya gerhana bulan kali ini ia digelar sebagai 'Super Flower Blood Moon' yang memberi isyarat bulan berada pada posisi paling hampir dengan bumi yang memberi imej terbesar kepada penduduk di bumi, dan berdarah itu kerana warnanya pada ketika itu seumpama berdarah.

2. Dalam menghadapi fenomena alam yang jarang-jarang berlaku ini, kita dituntut untuk memahami beberapa perkara :

i. Segala kejadian alam berlaku dengan keizinan Allah SWT. Bukanlah gerhana bulan atau matahari itu disebabkan kematian seseorang, tetapi semuanya itu adalah susun atur sistem alam ini. Ia merupakan sebahagian daripada petanda kebesaran Allah SWT yang mengatur siang dan malam.

Rasulullah SAW bersabda :

"Matahari dan bulan adalah dua petanda daripada petanda (kebenaran ketuhanan) Allah, ia tidaklah gerhana dengan kematian seseorang atau kehidupan seseorang, tetapi Allah memberi amaran kepada hamba-Nya (dengan gerhana ini)" - HR Bukhari

Ia juga menjadi petunjuk bahawa alam ini bukan bergerak dengan sendirinya, bahkan di sana ada 'tadbir' daripada Yang Maha Pencipta untuk menunjukkan bahawa Dia yang mempunyai segala kuasa.

ii. Ketika berlakunya gerhana, Islam menganjurkan untuk kita merasa takut daripada azab Allah, melakukan solat, bersedekah dan membebaskan hamba. Ini kerana gerhana merupakan satu fenomena alam yang 'pelik' dan 'jarang' berlaku, jadi ia perlu dihadapi dengan 'perasaan takut' dan 'gelisah' kerana ia boleh menjadi pelbagai petanda.

Rasulullah SAW apabila berlakunya gerhana bulan, baginda SAW menyangka bahawa hari kiamat sedang tiba, lalu baginda SAW bersabda : "Apabila kamu mendapati perkara itu (gerhana) maka bersegeralah solat" dalam hadis riwayat yang lain, disebutkan : Maka bersegeralah untuk berzikir, berdoa dan meminta ampun kepada-Nya" - HR Bukhari dan Muslim

iii. Oleh kerana keganjilan yang berlaku pada waktu gerhana, kita disunatkan untuk melakukan solat gerhana dengan kaifiyat yang berbeza dengan solat biasa, iaitu melakukan solat dengan dua rakaat dan empat kali rukuk dan qiam (berdiri).

Ini bertepatan dengan fenomena ganjil iaitu gerhana yang sedang berlaku. Solat yang dilakukan Rasulullah SAW ketika gerhana adalah solat yang panjang, hingga satu rakaat pertama dibaca dengan surah Al-Baqarah, dan rakaat kedua dibaca dengan surah Ali Imran.

Panjangnya qiam memberi isyarat kepada panjangnya munajat dan besarnya kegelisahan yang dirasai Rasulullah SAW hingga baginda SAW berdoa dan menyebut : "Engkau (Ya Allah) tidak pernah menjanjikan kepadaku untuk menyeksakan hamba-Mu ketika aku masih bersama mereka, Engkau tidak pula menjanjikan kepadaku untuk mengazab mereka sedangkan kami masih meminta ampun kepada-Mu" - HR Nasaie

3. Peningkatan wabak Covid-19 daripada hari ke hari sememangnya menambah kerisauan dan kegelisahan kepada kita. Hari ini kita dihadirkan dengan fenomena gerhana bulan yang cukup istimewa, seolah-olah satu mesej yang cukup jelas bahawa Allah mahukan kita untuk benar-benar kembali mengetuk pintu-Nya dengan sepenuh kesungguhan.

Ambillah peluang ini untuk menghadap Allah SWT secara bersungguh-sungguh lalu berdoa dan bermunajat memohon keampunan dan kasih sayang-Nya kepada kita.

4. Hakikatnya kelalaian yang menutupi hijab kita dengan azab Allah SWT dan hari akhirat yang berlaku itulah yang menjadikan kita tidak perasan dan tidak pula merasakan sebarang bentuk kegelisahan terhadap kemarahan dan kemurkaan Allah SWT terhadap hamba-Nya.

Dalam khutbah gerhana. Rasulullah SAW menyebut : "Wahai umat Muhammad, sekiranya engkau mengetahui apa yang aku ketahui, sudah pasti kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa" - HR Bukhari dan Muslim

Ini kerana Rasulullah SAW sentiasa melihat dengan neraca yang benar, jiwanya hidup lalu menghubungkan pancainderanya dengan hari akhirat. Setiap yang berlaku mempunyai kira-kiranya tersendiri yang sentiasa membawanya menuju Tuhan.
Dengan perkiraan itu, baginda SAW memimpin dan membina umatnya. Dengan perkiraan itu, baginda SAW selayaknya menjadi sebaik-baik manusia, dan membina sebaik-baik golongan manusia dengan satu kurun lamanya.

Wallahua'lam bissawaab.

Ust Syamil Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
----------
Ikuti catatan di www.tg-me.com/ustazsyamilesa
Solat Jamak di surau & masjid bagi mengurangkan perhimpunan AJK surau dan masjid

Apabila kes makin meninggi dan SOP makin diperketatkan, sewajarnya pihak jabatan agama memikirkan SOP khusus untuk AJK masjid dan surau yang dibolehkan hadir untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah di surau dan masjid dengan bilangan tertentu.

Bagi SOP khusus untuk AJK yang boleh hadir ke masjid dan surau untuk dirikan solat jemaah, saya ingin mencadangkan agar solat zuhur dijamakkan dengan asar, dan solat maghrib dijamakkan dengan isyak. Jamak sahaja ya, bukan qasar.

Ini kerana beberapa sebab :

1. Hadis yang sahih dalam keharusan jamak di masjid kerana waktu hujan. Tujuan keharusan jamak adalah kerana kesukaran para makmum untuk hadir ke masjid dua kali pada dua waktu. Perlu diingatkan bahawa jamak ini hanya bagi ahli jemaah yang solat di masjid, bagi mendapatkan pahala solat jemaah, bukan bagi sesiapa sahaja yang tidak berkaitan.

Oleh kerana keharusan jamak ini wujud kerana kekangan ke masjid, dan tidak mahu menghilangkan pahala jemaah, maka saya kira sewajarnya bahkan lebih wajar keharusan jamak bagi AJK yang boleh hadir di surau dan masjid, bagi mengurangkan pertemuan mereka di masjid dan surau kerana risiko penularan wabak.

2. Dalam bab kulliyyat (perkara pokok) dalam agama, memelihara nyawa termasuk di dalamnya yang perlu diraikan.

Jadi bagi memenuhi perkara ini, sewajarnya dikurangkan segala risiko yang membawa kepada penularan wabak ini. Termasuk di dalamnya adalah mengharuskan jamak bagi ahli AJK surau dan masjid bagi mengurangkan perhimpunan mereka.

3. Syiar agama sudah pun dapat dicapai dengan melaungkan azan pada waktunya, adapun solat jemaah pada waktunya boleh dijadikan padanya kelonggaran.

Laungan azan tetap boleh dijalankan kerana ia hanya melibatkan muazzin. Adapun solat jemaah yang melibatkan ahli yang ramai, maka solusi solat jamak secara berjemaah adalah jalannya.

Moga cadangan ini mampu memberi ruang kepada AJK masjid dan surau, untuk dijadikan sebagai salah satu pilihan jalan keluar, di antara mendapat pahala berjemaah dan kekal di rumah.

Wallahua'lam bissawaab.
[SLOT ROHANIYAT MALAM INI SEPERTI BIASA]

InsyaAllah Slot Rohaniyat
(Al Fawaid siri ke-14) pada jam 9 malam ini yang akan disampaikan oleh Ustaz Syamil Esa.

Slot kali ini sambungan daripada subtopik minggu lepas : "Untaian Kata-kata Hikmah Yang Agung"

Ikuti kupasannya pada jam 9 malam ini bersama seisi keluarga, di https://www.facebook.com/majlisulamaisma
Buat pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, ceburilah bidang syariah

Inilah pesanan saya kepada mana-mana pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini.

Tukarlah minda bahawa yang mendalami agamalah yang lebih diperlukan masyarakat dan negara.

Tukarlah minda bahawa yang mendalami agamalah yang paling mulia dan tinggi nilainya di kalangan manusia lain.

Syariah akan menjadi tinggi pada pandangan manusia apabila manusia yang cemerlang itulah yang menceburi bidangnya.

Sebaik-baik ilmu adalah ilmu yang berinteraksi dengan wahyu, dan membawa manusia menuju Allah SWT dengan jalan syariah yang benar.

"Para ulama adalah pewaris para Anbiya', adapun para anbiya' itu tidaklah mewariskan dinar atau dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu, barangsiapa yang mengambil ilmu itu maka dia telah mengambil bahagian yang cukup lumayan" - Hadis Nabi SAW

Jangan terlalu terikut dengan trend atau kajian semasa terhadap prospek kerjaya dan bidang strategik untuk pasaran akan datang dan seumpamanya, tapi ikatlah diri dengan tugasan para Anbiya', yang dijamin rezeki mereka oleh Tuhan, bukan mana-mana majikan.

Manusia berubah-ubah, pandangan hari ini tidak semestinya tepat pada hari esok, namun janji Rasulullah SAW tidak pernah berubah.

Wallahua'lam bissawaab.
Kenapa isteri solehah lebih cantik daripada bidadari di syurga?

Saya ajukan soalan ini kepada isteri tapi dia pun tiada jawapan yang meyakinkan saya.

Saya cuba menjawab berdasarkan kefahaman terhadap ayat-ayat Al-Quran :

Si isteri mempunyai nilai tambah yang luar biasa jauhnya berbanding bidadari. Sekiranya bidadari cantik dari satu sudut luaran, si isteri pula cantik dari pelbagai sudut, luar dan dalam, atas dan bawah, kanan dan kiri, dan depan belakang (kerana detailnya mereka dalam satu-satu perkara).

Di dunia, isteri diuji hingga terzahir dan terbina kesabarannya, kesungguhannya, kesetiaannya, kesopanannya, kasih sayangnya dan pengorbanannya serta lain-lain sifat kewanitaan yang terbina hasil perkahwinannya dan kehidupannya bersama suaminya.

Namun bidadari tiada peluang untuk ujian itu. Mereka hanya dijadikan Allah SWT sebagai ganjaran untuk ahli syurga di akhirat.

Pada hari akhirat nanti, semua dimensi akan bersatu, tiada hijab antara satu sama lain. Malaikat boleh dilihat dan bercakap secara terus dengan manusia, anggota tubuh badan juga boleh bercakap dan menjadi saksi, Al-Quran dan amalan boleh beri syafaat dan seumpamanya, serta ganjaran buat para kekasih Allah itu hijab akan dibuka lalu melihat wajah-Nya.

Demikianlah juga yang berlaku pada isteri, sifat-sifat yang tersembunyi di dunia secara realiti akan muncul dengan bentuk kecantikan-kecantikan yang tersendiri di syurga nanti. Dengan itu ia mempunyai sudut kecantikan yang cukup jauh bezanya dengan para bidadari di syurga.

Demikianlah jawapan yang saya cuba berikan bagi beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran saya.

Ada pula soalan lanjutan dalam hati, berapa ramaikah pula orang yang lebih cantik dari bidadari yang kita impikan itu ? Mungkin soalan itu tidak perlu diajukan, dikhuatiri kita lebih cepat ditemukan dengan bidadari.

Wallahua'lam bissawaab.
Renungan mengenai redha dan takdir

Kemuncak redha adalah apabila engkau diberi peluang untuk putar balik masa, tidaklah engkau pilih melainkan apa yang telah Allah tetapkan padamu.

Dalam erti kata lain, apa yang telah berlaku padamu itulah yang terbaik, dan apa yang ada dalam pemikiranmu itu (seperti berfikir kalaulah demikian, demikian, pasti bukan jadi demikian) bukanlah yang terbaik.

Ia bukan menafikan muhasabah dan penyesalan terhadap kesalahan lalu bahkan itu adalah kewajipan seorang hamba, tetapi ia hanyalah seruan untuk memperelok adab dalam berinteraksi dengan ketentuan Tuhan.

Apabila adab dengan Tuhan diperbaiki, dosa akan bertukar menjadi pahala, serta kesalahan masa lalu berubah menjadi kelebihan.

Hinggalah kesemua yang telah berlaku dilihat sebagai sebuah susunan kebijaksanaan yang mutlak dan tiada tandingannya.

Moga Allah perbaiki dzan dan adab kita terhadap-Nya.

Wallahua'lam bissawaab.
[SLOT ROHANIYAT MALAM INI SEPERTI BIASA]

InsyaAllah Slot Rohaniyat (Al Fawaid siri ke-15) pada jam 9 malam ini yang akan disampaikan oleh Ustaz Syamil Esa.

Slot kali ini berkisar tajuk : "Menginsafi Pandangan Terhadap Allah SWT"

Ikuti kupasannya pada jam 9 malam ini bersama seisi keluarga, di https://www.facebook.com/majlisulamaisma
Projek Ibadah Korban & Akikah* 🐂🐐

Tahun 2021 ini, Yayasan Ikhlas akan menganjurkan Projek Ibadah Korban & Akikah di kawasan pedalaman di 6 buah negara iaitu Malaysia (khususnya Sabah), Indonesia (Acheh), Kemboja, Bangladesh, India dan Chad, Afrika.

Yayasan Ikhlas menyeru semua untuk bersama-sama menjayakan usaha ini bagi

1️⃣ Membantu umat Islam yang memerlukan
2️⃣ Meninggikan syiar Islam di kawasan yang tidak pernah /jarang laksana korban
3️⃣ Usaha dakwah kepada umat Islam yang dhaif
4️⃣ Usaha membersihkan jiwa kita dengan berkorban

Untuk makluman lanjut, boleh layari website kami di : www.korbanikhlas.com

Atau boleh hubungi kami di talian
📲Ust Mustafa (010 3030 530)
📲Pejabat (03 8751 2525)

Mohon disebarkan.
[SLOT ROHANIYAT MALAM INI SEPERTI BIASA]

InsyaAllah Slot Rohaniyat (Al Fawaid siri ke-16) pada jam 9 malam ini yang akan disampaikan oleh Ustaz Syamil Esa.

Tajuk malam ini sekitar 'Kecemburuan Terhadap Tuhan'.

Ikuti kupasannya pada jam 9 malam ini bersama seisi keluarga, di https://www.facebook.com/majlisulamaisma
2024/09/29 21:24:46
Back to Top
HTML Embed Code: