Telegram Web Link
"Tujuan syariat itu adalah untuk mengeluarkan mukallaf daripada dorongan hawa nafsunya, hingga ia menjadi hamba Allah secara pilihan, seperti mana dia sudah pun menjadi hamba Allah secara terpaksa" - Al-Muwafaqat, Asy-Syatibi

Dorongan nafsu syahwat itu perlu dididik hingga takut untuk melanggar perintah Allah SWT, lalu mengikuti syariat-Nya, bukan dibelai dan dilayan dengan permintaan-permintaan yang tiada batasnya.

Hakikatnya Islam telah pun memberikan jalan dalam isu ini iaitu hukuman yang keras kepada yang terlibat dalam penzinaan iaitu rejam kepada yang berkahwin dan sebat kepada yang bujang.

Masyarakat perlu dididik dengan menghormati pendirian-pendirian syarak, bukan mengambilnya sebagai jalan belakang untuk menghalalkan sesuatu perkara.

Tujuan syarak dalam mendidik jiwa manusia perlu dizahirkan kepada masyarakat kerana peranan syariah adalah membawa kemaslahatan kepada manusia di dunia dan akhirat.

4. Institusi keluarga mendapat tempat yang cukup besar dalam syariat, di mana akad nikah disebut sebagai 'mithaqan ghaliizha' dalam Surah An-Nisa', ayat 21, iaitu perjanjian yang berat, seperti yang dilafazkan kepada para ulul azmi daripada kalangan Rasul bahawa Allah telah mengambil daripada mereka 'mithaqan ghaliizha' dalam Surah Al-Ahzab, ayat 7.

Ketinggian institusi keluarga membawa kepada syarat-syarat yang ketat dalam perkahwinan dan mempunyai perincian yang detail dalam harta pusaka dan perceraian.

"Syarak mengetatkan syarat sesuatu perkara berkadaran dengan ketinggian maslahat perkara itu" - Al-Furuq oleh Al-Qarafi

Sewajarnya apabila kita melihat saiz institusi kekeluargaan yang mempunyai makna yang tinggi ini, kita melihat betapa besarnya kerosakan yang dibawa oleh arus jahiliyah yang merosakkannya kerana ia akan merosakkan keseluruhan masyarakat dengan kerosakan institusi ini.

Justeru setiap persoalan yang melibatkan keutuhan institusi keluarga seharusnya diteliti dan dilihat dalam skop yang lebih besar dan lebih luas, bukan semata-mata aspek pelaku dan yang terlibat, tetapi melihat konteks kesannya kepada pembangunan masyarakat dan jatidiri generasi masa depan.

Wallahua'lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Jalan pintas yang memintas fitrah kemanusiaan

Saya sudah lama memendam idea yang ingin diutarakan bahawa hakikatnya dalam hidup ini tiada jalan pintas untuk sesuatu perkara. Setiap jalan ada bayarannya, dan setiap bayaran itu ada harganya yang tersendiri.

Ini kerana sunnah kehidupan adalah keadilan dan keseimbangan, tiada yang dapat lari daripada struktur keseimbangan ini.

Mungkin ada yang katakan ia ibarat karma, tetapi saya lebih cenderung untuk memilih istilah 'keadilan universal' yang berasaskan konsep 1=1, yakni apabila sesuatu perkara itu diperoleh, ia memerlukan satu bayaran setimpalnya untuk memperolehinya.

Dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang memperakui konsep alami ini, seperti :

1. Surah An-Najm ayat 39, "Dan tidaklah bagi manusia itu melainkan apa yang diusahakannya"

2. Surah Al-Waqiah ayat 27, "Inilah balasan terhadap apa yang mereka lakukan"

3. Surah An-Nur ayat 26, "Wanita yang buruk untuk lelaki yang buruk, dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk"

4. Surah An-Naba' ayat 26, "(Azab neraka itu) sebagai balasan yang setimpal (dengan kelakuannya)

Dan juga ayat-ayat lain yang membawa kepada maksud yang sama. Apabila kesemua ayat, hadis dan hukum hakam syarak dihimpunkan ia akan membawa kepada 'keadilan universal' yang kukuh, yang diraikan dalam setiap juzuk kehidupan.

Perlu diingat di sini ia tidak bermakna kesetaraan dan keseimbangan ini bersifat 'material' semata-mata yang boleh diukur dengan ukuran zahir, tetapi ia melibatkan perkiraan-perkiraan lain, termasuk padanya pertimbangan syarak yang menimbang maslahat dunia dan akhirat, serta pertimbangan dosa pahala dan keredhaan Allah SWT.

Kembali kepada topik jalan pintas ini, apabila manusia tertipu dengan jalan-jalan pintas yang dihadapkan kepada mereka, dengan niat 'leverage' dan menggunakan modal yang sikit untuk keuntungan yang banyak dan seumpamanya, mereka cenderung untuk mengabaikan aspek-aspek selain material dalam menilai sesuatu perkara.

Saya ambil contoh isu teknologi pada hari ini, walaupun ia memudahkan kita dengan bermacam-macam kemudahan, hakikatnya kita tak perasan apa yang diambil daripada kita, atau apakah bayarannya yang kita tidak sedari.

Saya pernah membuat perbandingan antara tulisan saya secara peribadi di aplikasi 'whatsapp' dan e-mel, dalam hal-hal yang khusus, saya dapati di e-mel lebih mendalam dan lebih tersusun, berbanding di whatsapp, ia hanya sekadar ayat terpotong-potong dan tidak pula disulami rasa 'prihatin yang tinggi' seperti yang terkandung dalam e-mel.

Ini kerana untuk menghantar e-mel, seseorang perlu membuka website e-mel tersebut, lalu menekan butang 'compose', kemudian memasukkan e-mel penerima, menulis tajuk, dan menulis surat, setelah itu menekan butang 'send'.

Berbanding 'whatsapp', segala langkah tadi akan dipintas dengan butang 'search' dan terus terpapar skrin 'chat' dengan orang yang dikehendaki.

Langkah satu persatu dalam e-mel yang dipintas oleh aplikasi whatsapp itu memberi kesan kepada pelbagai sudut. Yang paling besar adalah sudut sentimental dan penghargaan. Orang yang menghantar whatsapp berbeza rasanya dengan orang yang mengirim e-mel, apatah lagi orang yang menghantar 'surat'.

Saya buat pula perbandingan surat yang dihantar secara pos, dan surat yang dihantar dengan e-mel, ternyata surat yang dihantar secara pos dan tulisan tangan, lebih mendalam dan lebih bernilai tinggi, berbanding e-mel yang ditaip menggunakan papan kekunci dan internet.

Ini kerana menulis surat memerlukan seseorang itu membeli kertas, membeli pen, kudrat menulis dengan betul, memikirkan ayat terbaik kerana keterhadan ruang dan kertas, membeli setem, sampul surat, melekatkan setem pada sampul surat dan menghantarnya ke pejabat pos. Yang menerimanya pula memerlukan masa untuk sampai, kalau pos biasa memakan masa 3 hari ke seminggu. Dalam tempoh penungguan itu mereka menantikan surat yang dibalas dengan perasaan sentimental yang tersendiri.
Semua itu hilang atau dipintas dalam aplikasi teknologi pada hari ini. Kelajuan teknologi maklumat yang kita perolehi pada hari ini telah mengambil perkara-perkara 'kemanusiaan' itu tanpa kita sedari, atas nama kemajuan dan 'penjimatan masa'.

Ia boleh menghuraikan pelbagai masalah yang berlaku pada harini bermula daripada masalah keluarga dan perceraian yang tinggi, hinggalah kepada masalah 'sugarbook' yang menawarkan 'fast cash' (duit segera) kepada sugar babies dan 'fast sexual satisfaction' (kepuasan seksual segera) kepada sugar daddies.

Pandangan kita apabila telah dididik dengan teknologi yang serba laju dan serba maju ini sedikit sebanyak menjadikan kita lupa terhadap sudut-sudut yang 'batin' atau 'ghaib' yang juga wujud di sekeliling kita. Kita mula melihat sesuatu perkara secara material semata-mata, dan tidak pula melihat nilainya secara keseluruhan. Untung rugi kesemuanya dinilai dengan nilaian wang ringgit, atau kepuasan diri.

Atas sebab itu syarak hadir untuk memastikan kesemua aturan hidup seimbang dan diletakkan pada tempatnya. Syarak tidak sama sekali menghalang kemajuan manusia, dan penggunaannya terhadap alam sejagat, dengan syarat ia digunakan dalam naratif menjalankan kewajipan 'memakmurkan' bumi Allah SWT dan menjadi 'khalifah Allah' di atas muka bumi ini.

Ini kerana hanya dengan demikian baharulah segala kemajuan akan dikira maju, dan segala teknologi akan dikira mengembangkan potensi manusia dengan fungsinya yang sebenar.

Apabila segala kemajuan diambil dan ditanggapi semata-mata sebagai 'pemudah-cara' dan 'jalan pintas' untuk mencapai sesuatu matlamat, tanpa meletakkan matlamat asal kejadian sebagai halatuju, maka ia hanyalah akan membawa kepada malapetaka yang tidak berkesudahan.

Apa yang saya ketengahkan ini bukanlah untuk menafikan mana-mana kemajuan yang kita perolehi hari ini, tetapi hanya untuk kita bermuhasabah dan menilai, sejauhmana sudah kita pintas fitrah kemanusiaan kita tanpa kita sedari, semata-mata hanya inginkan jalan segera mencapai kemahuan material yang sementara ini ?

Barangkali ini juga menjawab, mengapa ulamak dahulu sanggup bermusafir berbulan-bulan, hanya kerana semata-mata mendapatkan satu hadis, sedangkan kita pada hari ini hadis-hadis ribuan terkumpul di dalam buku-buku dan laman sesawang, disiapkan pula dengan takhrij dan syarahannya yang pelbagai, namun kita tidak pula menyentuhnya walau ia di hadapan mata.

Baru kita sedar, betapa jauhnya kita daripada keberkatan, atau betapa jauhnya kita daripada makna kemanusiaan.

"Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan yang beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran" - Surah Al-Asr, ayat 1-3

Wallahua'lam bissawaab.
Perkongsian daripada kitab Al-Fawaid karangan Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah

InsyaAllah sebentar lagi, jam 9 malam akan disiarkan secara langsung perkongsian saya daripada kitab Al-Fawaid, yang merupakan cetusan dan catatan Imam Ibn Qayyim secara peribadi.

Mediumnya adalah facebook Majlis Ulama ISMA (MUIS) :
https://www.facebook.com/majlisulamaisma

InsyaAllah akan berlangsung pada setiap hari Khamis malam Jumaat. Jemput hadiri seisi keluarga menambah ilmu, kefahaman dan keimanan.

Wallahua'lam bissawaab.
Forwarded from Universiti Tarbiyah
[ Hebahan Pengajian Malam Ini ]

Insya Allah malam ini akan bersambung pengajian Tafsir Fi Zilal Surah Al-Muddatsir Siri 3.

Jemput hadir bersama di channel youtube kami.

Sebar-sebarkan.
[SLOT RUHANIYAT MALAM INI BERJALAN SEPERTI BIASA]

InsyaAllah malam ini slot Ruhaniyat berjalan seperti biasa, menyambung untaian daripada Kitab Al-Fawaid. Topik kali ini menyambung perbahasan dalam surah Qaaf berkisar kekuasaan Allah SWT, hari akhirat dan ciri-ciri ahli syurga dan ahli neraka.

Jam 9 malam di facebook Majlis Ulama ISMA secara langsung.

Jemput hadiri seisi keluarga.
Forwarded from Universiti Tarbiyah
Kemajuan harakah perlu diselarikan dengan kemajuan diri ahli-ahlinya

Kita tidak boleh berhenti meneroka dan terus menerus membina dan membesarkan makna dan tujuan serta definisi kehidupan, dalam meniti rantaian perjuangan yang panjang ini.

Jangan kita merasa selesa dengan kehebatan perancangan dan unjuran yang ada, tetapi hendaklah sentiasa bekerja dalam naratif melihat bahawa asas pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT adalah taklif terhadap individu secara peribadi dan satu persatu.

Harakah memandu arah dan menetapkan halatuju perjalanan, namun setiap individu perlu memacu ke hadapan dalam membentuk sebuah pakej kehidupan yang menterjemahkan makna 'kebahagiaan' hakiki.

Jika ada orang tanya apakah langkahnya?

Saya cuba simpulkan kepada satu persoalan, iaitu: Sudahkah kita merasa bahagia dengan apa yang kita perjuangkan selama ini?

Jika kita rasa kosong, atau masih rasa menderita, rasa dizalimi dan diabaikan, rasa ditinggalkan, rasa tidak diadili dan seumpamanya, maka ketahuilah bahawa dakwah tidak subur dengan jiwa yang penuh dendam, kesengsaraan dan kebencian.

Sampai suatu masa, perasaan itu akan membuang kita daripada jalan perjuangan yang panjang ini. Hanya kerana kita sudah hilang tujuan, atau dakwah tidak lagi berfungsi untuk menghidupkan kita.

Hayatilah sifat ahli syurga, yang mereka sekali pun tidak mahu keluar daripadanya. Bagaimana mereka mahu keluar, sedangkan kesemua kemahuannya hanya ada di syurga.

"Mereka kekal di dalamnya, tidak pun menghendaki untuk dipindahkan ke tempat yang lain" - Surah al-Kahfi

Demikianlah siapa yang bertemu dengan syurga di dunia, pasti tidak mahu terkeluar atau dikeluarkan daripadanya.

Jadi mungkin persoalan yang lebih mendalam perlu ditanya, di manakah syurga kita di dunia?

Wallahua'lam bissawaab.
LIVE Facebook bacaan kitab Al-Fawaid di page Majlis Ulama ISMA

InsyaAllah jam 9 malam ini saya akan bersiaran secara langsung di page Majlis Ulama ISMA berkongsi syarahan kitab Al Fawaid sekitar subtopik Keampunan kepada Ahli Badar.

Jemput hadiri seisi keluarga.
Keterlibatan politik dan perubahan akar umbi

Ada persoalan yang timbul mengenai keterlibatan gerakan Islam dalam politik kepartian dan dilihat bertentangan dengan manhaj Rasulullah SAW dalam memenangkan Islam.

Respons ringkas saya begini :

1. Keterlibatan politik kepartian demi mengisi kewajipan dan tuntutan semasa, dan proses perubahan akar umbi tetap berjalan seperti biasa. Kewajipan mengisi ahli parlimen yang ikhlas, faham, serta menjiwai denyut nadi rakyat itu dalil kewajipannya terlalu banyak hingga tidak boleh dibilang dengan jari.

'Kita tidak mentarjih maslahah sekiranya ia boleh dihimpunkan' - Kaedah syarak

Yang menjadi masalah apabila kerja asasi diabaikan lalu mengorbankan kesemuanya kerana ingin mendapatkan kuasa politik. Ini suatu kefahaman cetek yang sangat tersasar daripada kefahaman nubuwwah.

2. Manhaj Nabi SAW tidak mengkhususkan cara spesifik dalam sistem pemerintahan. Perubahan sistem pelantikan daripada satu persatu khulafak ar-rasyidin pun berbeza.

Walaupun demokrasi mempunyai akar umbi jahiliah, keterpaksaan ini menjadikan ia suatu keperluan semasa umat Islam untuk melangsungkan kestabilan hidup mereka secara bernegara.

Dalam siasah syariah pun syarak menyatakan bahawa pemerintahan golongan khawarij sekiranya mereka mendapat kuasa, itu sebagai 'nafiz' yakni dikira 'valid' tanpa perlu diulangi semula segala hukuman, undang-undang dan pemerintahan mereka ketika mereka memerintah. Ia tidak pula menjadikan seolah-olah syarak menyuruh bahawa mereka itu mesti dijunjung sampai bila-bila. Ia dikira valid hanya untuk menolak mudarat sahaja agar maslahat umat Islam terjaga.

Oleh itu bagi saya ia perlu dianggap seperti sistem 'islamic banking' yang digunakan sebagai jalan keluar 'sementara' hingga umat Islam mampu membina satu sistem tersendiri tanpa diambil akarnya daripada sistem kapitalis.

Demikianlah sistem demokrasi yang mempunyai benih jahiliah, umat Islam perlu kembali kepada roh khilafah dan kebertanggungjawaban di hadapan Allah SWT hingga mereka boleh mendatangkan satu sistem yang optimum dan berakar umbikan syariah Islam dan menjunjung syura sebagai satu aspek asasi dalam pemerintahan.

3. Keberadaan dan keterlibatan politik kepartian adalah pada kadar mengisi kewajipan, bukan demi memenangkan ideologi demokrasi.

Ini noktah yang penting bagi semua orang dan gerakan Islam yang terlibat dalam kerja ini.

Keterlibatan seseorang dalam mengisi kewajipan perlu berkadaran pada kewajipan tersebut, bukan hingga menjulang sistem demokrasi yang berakar umbi daripada akidah yang salah.

Apabila seseorang ahli terlibat dalam sistem begini, mereka perlu bergerak dengan kerangka undang-undang dan mereka perlu patuh pada undang-undang itu kerana mukmin itu di atas syarat-syaratnya.

'Orang muslimin adalah mereka yang mengikuti syarat-syarat yang dipersetujui' - Maksud hadis

Tetapi menjulang idea dan fikrah demokrasi tidak termasuk dalam syarat dan undang-undang itu. Kalau ia wujud juga ia tidak tertakluk kepada syarat yang mesti dipersetujui kerana syarat keabsahan undang-undang mesti tidak bercanggah dengan syarak. Jika bercanggah ia wajib diingkari.

Di sini peranan gerakan Islam dan ahli yang berkepakaran dalam mengkaji dan bersedia untuk melakukan suatu perubahan total hingga ke akar umbi dan sistem, dalam masa yang sama mereka yang terlibat dalam politik boleh memainkan peranan mengambil tanggungjawab dalam mengurus hal ehwal kenegaraan serta membuka jalan bagi arus dakwah dan tarbiah terus mekar di atas medan.

Demikianlah respons ringkas saya.

Wallahua'lam bissawaab.
Forwarded from Universiti Tarbiyah
[ Hebahan Pengajian Tafsir Fi Zilal Quran ]

Ayuh ikuti sesi pengajian Tafsir Fi Zilal Quran Surah Al-Insan - Meneliti Perjalanan Kewujudan Insan, yang akan disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Syamil Esa.

Tarikh : 28 Mac, Ahad
Waktu : 9.30 malam
Platform : Channel Youtube Universiti Tarbiyah

Sebar - sebarkan.
اللهم إنا نعوذ بعفوك من عقابك، ونعوذ برضاك من سخطك، ونعوذ بك منك.
جل وجهك، لا نحصي ثناء عليك، أنت كما أثنيت على نفسك.

Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dengan kemaafan-Mu daripada seksaan-Mu, dan berlindung dengan keredhaan-Mu daripada kemurkaan-Mu. Kami berlindung dengan-Mu (taufiq dan hidayah) dari-Mu (ancaman dan kemarahan-Mu).

Maha Mulia Wajah-Mu (kekuasaan dan ketinggian-Mu)

Tidak mampu kami menghitung pujian yang selayaknya bagi-Mu, sepertimana Engkau memuji diri-Mu sendiri.
Perjalanan ilmu adalah perjalanan mengenal Tuhan

"Dan Allahlah yang mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui" - Surah Al-Baqarah, ayat 216

Dalam mentadabbur ayat ini, ia memberikan beberapa noktah utama dalam perjalanan seseorang menuntut ilmu ;

1. Ilmu itu hakikatnya hanya pada Allah SWT, bukan pada manusia atau mana-mana makhluk-Nya.

Kita cuba lukiskan satu garisan yang menggambarkan bahawa semakin dekat seseorang dengan Allah SWT, semakin bertambah ilmunya, dan semakin jauh daripada Allah SWT maka semakin sedikitlah ilmunya.

2. Semakin berilmu seseorang, semakin hilanglah 'ego' dirinya. Ini kerana apabila seseorang itu memahami bahawa ilmu itu mutlak milik Allah, dirinya akan dilihat tidak mengetahui apa-apa secara zat, bahkan segalanya akan disandarkan kepada Allah SWT.

Adapun seseorang mengisbatkan ilmu kepada dirinya, ia bukti bahawa itu adalah kejahilan, kerana kejahilan akan meningkatkan ego, dan ia petanda bahawa seseorang itu jauh daripada Allah SWT.

Jadi dalam garisan itu, semakin dekat seseorang dengan Allah SWT, maka semakin mengecillah dirinya, dan hingga ia fana' dengan keagungan dan ketinggian sifat-sifat Allah SWT hingga tiadalah daya dan upaya yang disandarkan kepada dirinya walau sekelumit usaha dan pemikiran pun.

3. Kita boleh memahami ayat ini dalam menghuraikan hadis-hadis berkenaan penuntut ilmu. Ada hadis yang menyatakan bahawa barangsiapa yang menuntut ilmu, ia memudahkan jalannya menuju syurga. Serta para malaikat melabuhkan sayapnya pada para penuntut ilmu, dan juga para binatang akan meminta ampun pada Allah SWT untuk para penuntut ilmu.

Ini kerana jalan menuntut ilmu adalah jalan menuju Allah SWT. Oleh kerana para malaikat dan makhluk sentiasa bertasbih kepada Allah SWT, jadi mana-mana sahaja manusia yang menuju Allah SWT akan terkena tempias tasbih dan doa mereka, kerana dia berada pada satu jalan yang selari.

4. Atas dasar itu juga kita fahami ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa hanyasanya yang takut pada Allah adalah orang berilmu. Dan juga ayat yang menyatakan bahawa bertaqwalah kepada Allah dan Allah akan mengajarkanmu.

Ini kerana proses mujahadah dalam jiwa manusia yang merupakan jalan taqarrub kepada Allah SWT, juga adalah sebahagian daripada proses mendapat ilmu daripada Allah SWT, berupa ilham, 'futuhat rabbaniyah', dan lebih besar lagi membina kemampuan deria 'zauq' dalam melihat 'tajalli' sifat Allah SWT pada setiap keadaan dan ketika.

Bagi jiwa yang suci dan dipilih oleh Allah SWT, Dia akan membuka hakikat alam, hakikat penciptaan, hakikat dunia dan akhirat, serta hakikat dirinya sendiri, hingga dengan demikian dia mampu memahami hidup ini dan menyimpulkannya dengan satu kalimah sahaja, iaitu ; La Ilaha Illallah, Muhammadur Rasulullah.

Demikianlah sedikit tadabbur daripada satu ayat Al-Quran, berkenaan ilmu dan hakikatnya.

Moga Allah menggolongkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang berilmu dan berjuang.

Wallahua'lam bissawaab.
Persaksian hissi dan hakiki, bermula dengan persaksian maknawi dan majazi

كيف يشهد من لم يشاهد ؟

Bagaimana mahu menjadi saksi, jika dia sendiri tidak pernah menyaksikan ?

Perjalanan menuju Allah SWT adalah rangkaian 'syuhud' terhadap bukti-bukti ketuhanan sepanjang perjalanan hidupnya.

Syuhud terakhir adalah syuhud hakiki dan mutlak apabila hijab terbuka di syurga kelak.

Syuhud mutlak dan hakiki mempunyai mukadimah dan jalannya tersendiri, bagi mempersiapkan seorang hamba melihat Tuhannya di akhirat nanti.

Siapa yang mahu melihat Tuhannya di akhirat, dia perlu melihat Tuhannya di dunia.

Balasan berkadaran dengan amalan.

Biasakan diri kita untuk sentiasa melihat Tuhan dalam segenap perkara, dan hadirkan jiwa yang sentiasa bersedia untuk menanggapi bahawa Tuhan itu di sebalik segala perkara, hatta di sebalik perasaan dan pemikiran kita. Biasakan diri dengan sebarang kejutan dan ketidaksenangan yang berlaku di luar perancangan. Jangan meletakkan 'kotak dan syarat kita' dalam interaksi dengan Tuhan.

Di situlah 'syuhud' (persaksian) akan hadir, kerana di situlah Dia menunjukkan ketuhanan-Nya.

وهو القاهر فوق عباده .. وهو الحكيم الخبير
Judi dan akal syaitani

1. Tular baru-baru ini beberapa video berkenaan iklan judi di samping mengeksploitasi kesulitan kewangan rakyat marhaen lebih-lebih lagi waktu Covid-19 dan nak beraya, untuk menjustifikasi keperluan berjudi.

2. Oleh kerana sudah banyak ulasan dari sudut hukum serta impaknya secara sosial, ekonomi dan negara, saya hanya mahu ulas isu ini dari perspektif sudut pandangan Al-Quran dalam melihat kehidupan.

3. Rezeki merupakan antara yang dijamin Allah SWT untuk setiap makhluk. Bahkan setiap makhluk tidak akan mati hinggalah disempurnakan rezekinya.

4. Dalam perihal rezeki, Allah SWT berulang kali menyebut bahawa Dialah pemberi rezeki dan kewujudan rezeki itu adalah benar sepertimana benarnya kemampuan manusia untuk berkata-kata.

5. Namun syaitan datang untuk mengubah pemikiran manusia untuk menanggapi sebaliknya. Dia menjaja janji-janji kemiskinan dan kefakiran kepada manusia hingga manusia lupa bahawa Tuhan yang memberi rezeki. Langkah seterusnya adalah syaitan pula yang membuka pintu segera untuk mendapat rezeki dengan cara yang salah.

Ini disebut dengan jelas dalam surah Al-Baqarah :

"Syaitan itu menjanjikan kamu kefakiran dan menyuruh kamu melakukan perbuatan fahsya' (maksiat), sedangkan Allah menjanjikan keampunan daripada-Nya dan kurniaan-Nya"

6. Mentaliti segera kaya, segera selesai masalah, segera senang dan seumpamanya, hakikatnya adalah mentaliti syaitani yang mengakibatkan manusia terjerumus dalam rantaian syaitan dalam kehidupan.

7. Dalam menyelesaikan masalah kefakiran, syaitan suruh berjudi sebagai jalan pintas. Hakikatnya judi hanya menambahkan masalah seseorang. Dia akan jadi semakin malas, berserah pada nasib, dan yang lebih teruk dia menghilangkan sifat kemanusiaannya dengan melupuskan peranan akal yang berfikir bahawa di sebalik kesenangan ada kesulitan, dan tiada perkara yang percuma di atas muka bumi ini, serta setiap perkara berdiri di atas neraca kesaksamaan dan keadilan.

8. Sama seperti isu tekanan perasaan. Syaitan suruh minum arak untuk tenang. Hakikatnya arak hanya mengakibatkan pergaduhan, masalah sosial, hatta pembunuhan. Bahkan ia mendidik jiwa untuk lari daripada masalah sebenarnya.

9. Seperti isu keperluan seksual, syaitan suruh berzina kerana kononnya ia boleh selesaikan masalah. Hakikatnya perzinaan akan membawa kepada tabiat meletakkan suatu perkara bukan pada tempatnya. Manusia akan melihat hubungan kelamin semata-mata suatu kepuasan, tanpa melihat timbal balik yang perlu dibayar, hingga akhirnya menjadikan perkara itu murah semurah-murahnya.

Islam meletakkan syarat yang ketat dalam isu hubungan ini kerana Islam meletakkan ia pada tempat yang tinggi.

10. Namun syaitan hanya memperdaya manusia dengan kecetekan akal mereka, lalu menyediakan pintu keluar segera, yang hakikatnya adalah pintu ke neraka.

11. Semua ini berpunca apabila seseorang manusia tidak mengenali Tuhannya, dan melihat dunia sebagai matlamat utama hidupnya.

"Sekali-kali tidak, bahkan kamu mencintai perkara segera (dunia) dan kamu meninggalkan akhirat" - Surah Al-Qiyamah

"Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada kamu, agar kamu berfikir terhadap dunia dan akhirat" - Surah Al-Baqarah

Wallahua'lam bissawaab.
Tanam dirimu dalam tanah 'tersembunyi', kerana benih yang tidak ditanam tidak akan sempurna pertumbuhannya

Demikian adalah salah satu bait daripada kata-kata hikmah oleh salah seorang guru sufi agung, Ibnu Athaillah As-Sakandari. Ia merawat jiwa seorang salik yang berjalan menuju Allah SWT, termasuklah daripada golongan itu adalah para pendakwah dan pencinta agama.

Kebelakangan ini, populariti dan kemasyhuran telah menjadi sebahagian daripada fenomena yang zahir pada zaman teknologi yang serba canggih ini. Kita sedia maklum bahawa itulah makanan harian para selebriti dan artis yang memang periuk nasinya bergantung kepada populariti untuk sentiasa 'survive' dalam kehidupan mereka.

Namun fenomena ini dikhuatiri sedikit sebanyak sudah mula meresap di dalam jiwa para pencinta agama, dan pejuangnya dengan pelbagai bentuk, dan pelbagai jenis alasan.

Jangan salah sangka, saya tidak bermaksud para pejuang agama perlu duduk di belakang dan membiarkan medan diisi oleh perosak agama. Jauh sekali saya maksudkan untuk meninggalkan seruan amar makruf dan nahi mungkar yang penuh strategik dan memenuhi ruangan para mad'u yang pelbagai dalam segenap lapangan.

Saya hanya ulas mengenai fenomena cintakan kemasyhuran dan populariti, suka dikenali dan disanjung tinggi, dan mendapat tempat yang istimewa dalam hati masyarakat.

Ya, ia perkara yang batin dan hanya diketahui oleh pemilik tubuh badan sendiri, saya juga tidak terkecuali kerana saya juga sebahagian daripada anda semua.

Pesanan ini, yang menuntut untuk kita menyembunyikan diri dalam tanah yang tidak dikenali, perlu dinilai dalam kerangka yang benar, yakni beliau memaksudkan agar kita perlukan masa untuk membesar dan berkembang, sebelum memasuki medan pertembungan yang sebenar.

Proses pembinaan itu sukar dan panjang, dan ia memerlukan masa bahkan 'murabbi' dalam membina sosok tubuh jiwa yang bersedia.

Jika tumbuhan yang baru bertunas dibiarkan tanpa pagar, sudah pasti akan dikais anjing atau kucing. Demikianlah juga jiwa daie yang muda, jika dibiarkan tanpa kawalan dan jagaan, akan mudah dihanyut arus deras godaan dunia.

Kita perlu sentiasa muhasabah keberadaan kita di atas muka bumi ini. Kemasyhuran dan pujian manusia semuanya akan hilang, jika itu yang kita inginkan. Manusia yang berdiri atas kemasyhuran, akan tumbang dengan kemasyhuran dan populariti suatu hari nanti.

Atas sebab itu niat, himmah dan kemahuan dalam perjalanan yang panjang ini perlu sentiasa dibetulkan dan dipasak sedalam mungkin, bahawa kita tidak memerlukan secara hakikatnya kesemua yang akan hilang itu, bahkan perlu kita tanam setiap masa dan ketika bahawa kita hanya memerlukan Tuhan, taufiq dan inayah-Nya, dalam meniti denai-denai perjuangan ini.

"Setiap yang ada di atas muka bumi ini akan hilang, dan yang kekal hanyalah wajah Tuhanmu yang penuh ketinggian dan kemuliaan" - Surah Ar-Rahmaan

Atas asas kefahaman itu, pohon yang tumbuh akan bersifat rabbani kerana disirami dengan siraman Al-Quran dan cahaya Tuhan. Ketika itu, perasaan seseorang akan kekal pada ketergantungannya kepada Tuhannya semata-mata.

Proses keyakinan yang dilalui menjadikannya 'yakin' bahawa segala yang ada tidak akan ada tanpa kehendak dan kemahuan Tuhannya. Ia melangkaui proses pembelajaran rasmi, kerana ia adalah perjalanan rohani seseorang dalam meniti jalan mujahadah menuju Allah SWT.

Dimasyhurkan pun tidak mengapa, didiamkan pun tidak mengapa. Disokong tidak mengapa, dibiarkan pun tidak mengapa. Mehnah dan ujian dilalui dengan penuh pengharapan dan perasaan cinta dan kasih kepada Tuhan.

Apa yang perlu dirisaukan, bukankah kesemuanya itu hanyalah sebahagian warna dan cara tadbir Tuhan ?

Apa yang perlu dirisaukan, bukankah kita hanyalah sebahagian daripada tadbir dan takdir Tuhan ?

Tetap teguh di atas sangka yang terbaik, tetap teguh hingga menjadi hamba-Nya yang terbaik.

"Aku pada sangkaan hamba-Ku pada-Ku" - Hadis Qudsi

" ... bagi menguji kamu siapakah yang paling baik amalannya" - Surah Al-Mulk

Wallahua'lam bissawaab
Berbuka dengan sangkaan waktu telah masuk tetapi sebaliknya, membatalkan puasa namun tidak berdosa

Dalam memberi fatwa kepada masyarakat, janganlah diberi pilihan samada pilih pendapat A atau B, kerana masyarakat tidak mempunyai neraca kayu ukur untuk memilih. Atas sebab itu mereka merujuk mufti atau alim dalam sesuatu permasalahan.

Jadi dalam isu baru-baru ini mengenai satu ahli kariah berbuka puasa di awal waktu kerana azan Maghribnya terawal 3 minit, maka wajarlah disebut bahawa puasa mereka terbatal dan wajib diqadha' semula. Ini tidak bermakna mereka berdosa, kerana mereka tidak cuai dan tidak pula mahu membatalkan puasa tanpa sebab.

Kita perlu jelaskan bahawa dalam syariah ada hukum wadh'ie dan hukum taklifi. Hukum taklifi adalah wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Ia adalah perihal perbuatan yang diberikan dosa dan pahala atas perlakuannya terhadap Tuhannya.

Hukum wadh'ie pula berkait rapat dengan sistem perjalanan kehidupan manusia (secara zahir) di dunia agar berdiri atas sistem syariah. Pada hukum wadh'ie terdapat sebab, syarat, penghalang dan seumpamanya. Tiada padanya dosa atau pahala secara zat, kerana ia adalah hukum berbentuk 'peraturan kehidupan'.

Ya, kita wajib secara hukum taklifi mengikut peraturan kehidupan itu kerana ia adalah suruhan Tuhan.

Jadi, perbahasan qadha' adalah termasuk dalam hukum wadh'ie dalam ilmu syariah (Usul Fiqh).

Seperti contohnya ; apabila masuk waktu Subuh, maka mereka wajib menahan diri daripada makan dan minum. Masuknya waktu subuh adalah sebab kepada wajibnya puasa. Jadi masuknya waktu adalah merupakan hukum wadh'ie, dan wajibnya puasa itu pula adalah hukum taklifi.

Jika kita kembali kepada keadaan orang yang berbuka puasa sebelum waktunya, dia secara hukum wadh'ie terbatal puasanya kerana puasanya itu tidak lengkap rukunnya. Oleh kerana itu dia wajib pula mengqadha'nya.

Tetapi secara hukum taklifi, dia tidak pula dikira berdosa selagimana ia tidaklah sengaja mahu mengawalkan berbuka, dan tidaklah pula cuai dalam melaksanakan ibadah puasa.

Untuk beri satu contoh yang lagi mudah, adalah ibarat isu kemalangan. Orang yang mengakibatkan kemalangan wajib menanggung kerugian orang yang dilanggar, namun dia tidak pula berdosa sekiranya dia tidak berniat sedemikian.

Menanggung kerugian adalah hukum wadh'ie. Ia wajib dilakukan kerana ia bagi menjamin hak orang yang dilanggar. Namun dari sudut hukum taklifi, apakah dia telah berdosa kerana melanggar, jawapannya tidak sekiranya dia benar-benar tidak sengaja dan tidak pula berniat mengakibatkan kemalangan.

Kita perlu menganggap apa yang berlaku adalah susunan takdir daripada Allah SWT bagi menguji hamba-Nya, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Wallahua'lam bissawaab.
Bagaimana menggandakan amalan di bulan Ramadhan ?

'Besarkan' Tuhanmu dalam dirimu, maka besarlah amalanmu.

Ia ibarat meletakkan kanta pembesar, makin dekat kita 'zoom in', maka besarlah apa yang dilihat, walaupun ia kecil pada pandangan mata kasar kita.

Demikianlah cara kita memandang Tuhan, semakin dekat kita dengan-Nya, semakin besar setiap amalan kita walaupun ia mungkin satu huruf dalam Al-Quran.

Perjalanan hidup ini semuanya berkisarkan dimensi di sebalik alam realiti, iaitu dimensi keyakinan kepada Yang Abadi.

Bukankah Allah SWT menyebut :

"Sembahlah Tuhanmu hingga sampai kepadamu 'keyakinan'" - Surah Al-Hijr

Sebahagian ulama tafsir menyatakan ia adalah kematian. Namun bagi saya Al-Quran apabila menggunakan lafaz 'al-yaqiin' pasti punyai sebab dan makna yang tersirat, dan kematian adalah 'salah satu' daripada maknanya, bukan kesemua maknanya.

Saya melihat ia juga boleh membawa maksud, "Sembahlah Tuhanmu, hingga kamu ditarik, hingga ke dimensi keyakinan Abadi".

Ketika itu kamu sudah ditarik di pusat graviti keyakinan itu, kamu tidak lagi perlu disuruh, kerana semuanya berjalan dengan sendiri, atas dasar cinta abadi, bukan seperti kerahan dan paksaan hamba abdi.

Segala arahan bertukar menjadi surat cinta Kekasih kepada kekasih, bukan lagi naratif arahan Tuan kepada hamba.

Fahami dimensi ini, kita akan fahami bahawa bulan Ramadhan hanyalah salah satu wasilah yang dijelmakan, bagi membuka pintu-pintu keyakinan, daripada jutaan wasilah yang disembunyikan, dalam ilmu dah rahsia Tuhan.

Jadi, sebelum mengharapkan gandaan amalan dalam bulan Ramadhan, perlu tanya diri dahulu, di manakah kita dalam dimensi dan graviti keyakinan ini ?

Maka, sembahlah Tuhanmu ... agar datang kepadamu keyakinan itu.

واعبد ربك .. حتى يأتيك اليقين

Wallahua'lam bissawaab.
Arasy dan Hati Mukmin

Ikuti kupasan saya berkenaan Arasy Allah dan Hati Mukmin, daripada kitab Al-Fawaid oleh Ibnu Qayyim, diakhiri dengan pesanan sempena Ramadhan dalam meningkatkan keyakinan kepada Allah SWT, dalam link berikut.

https://www.facebook.com/444163295686309/videos/286551826247687

Wallahua'lam bissawaab.
2024/09/29 23:28:30
Back to Top
HTML Embed Code: