Telegram Web Link
Jangan campur aduk isu asas dalam agama dengan kira-kira politik

1. Kekeliruan dalam meletakkan letak duduk sesuatu isu boleh mengundang kesalahfahaman yang besar di dalam masyarakat, apatah lagi jika ia melibatkan perkara asas dalam beragama.

2. Kemungkaran adalah mungkar walau sesiapa pun yang melakukannya. Menyatakan ia adalah mungkar adalah satu perkara asasi, sebelum kita menegah kemungkaran tersebut.

3. Menyatakan kemungkaran suatu perkara termasuk dalam bab ilmu, adapun menegah kemungkaran itu boleh dikatakan dalam bab amal. Apabila seseorang itu mengetahui, baru dia boleh bertindak.

Jika seseorang tidak mampu menegah kerana kekangan tertentu, jangan pula jadikan ketidakmampuannya itu adalah satu perkara yang betul. Dia perlu nyatakan ia tetap mungkar, namun untuk menegahnya memerlukan kemampuan pada skala tertentu atau pun 'fiqh' yang tertentu seperti menolak kemudaratan yang lebih besar, memikirkan maslahat yang lebih besar dan seumpamanya.

4. Demikianlah perihalnya dalam isu yang melibatkan segala kesalahan dari sudut syariah seperti judi dan arak. Umat Islam perlu bertegas menyatakan ia adalah satu bentuk kesalahan yang merosakkan masyarakat secara keseluruhannya.

5. Allah SWT tidak memperakui keabsahan sebarang bentuk jenayah itu sama ada ia arak ataupun judi, dengan dalil-dalil yang jelas dan tidak dipertikaikan lagi.

Seseorang itu tidak boleh dikatakan mempunyai hak untuk melakukan sebarang kesalahan, hatta hak untuk kafir pun tidak boleh disebut ia sebagai hak, ini kerana hak itu berdiri di atas kebenaran dan keadilan, dan mustahil sesuatu kesalahan boleh dikira sebagai kebenaran dan adil kerana sifat sesuatu kesalahan adalah kezaliman.

Allah SWT menyebut : "Jika sekiranya al-haq (kebenaran) itu mengikut hawa nafsu mereka, sudah pasti akan hancurlah segala apa yang ada di langit dan di bumi ini" - Surah Al-Mukminun

6. Jadi dalam isu ini, para pemimpin politik lebih-lebih lagi yang menjunjung nama Islam sebagai perjuangannya perlu sedar dan cakna agar tidak membawa satu bentuk kefahaman yang celaru dalam menterjemahkan Islam dalam peringkat kenegaraan.

7. Saya melihat isu ini bukan sepatutnya ditanggapi dengan perspektif sama ada 'arak' itu berhak diminum oleh bukan Islam atau tidak, seperti yang diutarakan oleh seorang pemimpin politik. Sepatutnya ia perlu berdiri atas noktah yang disepakati bahawa ia adalah satu jenayah yang merosakkan, lalu menyatakan langkah yang sewajarnya yang melibatkan kira-kira keuntungan dan kerugian terhadap negara tanpa menyentuh perkara asas dalam syariah.

Ia berdasarkan hadis Nabi SAW apabila ada sahabat yang ingin membunuh orang munafiq : "Janganlah hingga ada orang menyatakan bahawa Muhammad itu membunuh sahabatnya".

Difahami daripada hadis ini, Rasulullah SAW tidak menyatakan bahawa orang munafiq itu tidak layak dibunuh, tetapi baginda SAW melarang untuk munafiq itu dibunuh kerana sebab perkiraan-perkiraan bersifat politikal yang membawa kepada untung rugi pada skala umat Islam yang lebih besar.

Wallahua'lam bissawaab.
"Perjalanan Rohani dalam Al-Quran"

InsyaAllah esok saya bercadang nak kongsi secara LIVE Facebook dengan tajuk di atas. Siapa yang berkelapangan boleh hadir dan kongsikan pandangan.

Jam 12.30 tengahari
Sabtu 28 November 2020

Wallahua'lam bissawaab.
Daie selebriti : Antara keperluan ummah atau penyelesaian masalah ?

Heboh dua tiga hari ini dalam dunia maya khususnya twitter golongan yang bicara isu salahlaku dan tuduhan jenayah seksual ke atas salah seorang Daie selebriti. Tangkapan sudah dibuat dan proses pendakwaan sedang berjalan. Saya tidak mahu komen isu batang tubuh peribadinya secara spesifik.

Isu rancangan televisyen dalam menaikkan tokoh muda dalam bidang agama dan nasihat telah bermula dalam negara kita untuk sekian tempoh yang lama. Program Imam Muda, Pencetus Ummah, Daie Muda dan seumpamanya telah pun berjalan dengan trend yang dikehendaki oleh penerbit televisyen dengan trend tertentu.

Saya rasa wajar untuk pihak penerbit untuk menilai kembali sejauhmana program sedemikian menghasilkan impak yang diharapkan, dengan muhasabah secara jujur sejak tempoh ia bermula.

Tanpa menafikan banyak sisi positif yang boleh diambil dan kesan kepada masyarakat dalam memilih idola yang bersesuaian, saya lebih memilih untuk melihat kesannya kepada peserta program itu sendiri dan bagaimana ia menjadi rujukan kepada masyarakat selepas ia graduate daripada program itu sebagai seorang idola yang diangkat dan disanjung.

Imam Syafie RHM berkata : Apabila seseorang hadath (budak baru belajar) mendapat jawatan (pangkat dan kelayakan) maka dia akan tertinggal ilmu yang banyak.

Guru saya menyebut : Apabila seorang remaja dilantik (sebagai memegang tampuk jawatan yang penting) sebelum masanya, maka sesungguhnya dia telah mendedahkan dirinya kepada kehinaannya sendiri.

Apabila seseorang yang tidak cukup ilmunya, tidak matang lagi pemikirannya, mendapat tempat yang tinggi di kalangan masyarakat, maka dia akan sibuk dengan kerja-kerja kemasyarakatan termasuklah mengajar dan melayan kerenah dan tuntutan 'ummah' itu.

Ini menjadikan dia tidak mampu (kerana terlalu sibuk dengan jadual hariannya) untuk membina dirinya dengan pembinaan yang betul dengan asas yang kukuh hingga akhirnya dia kecundang samada 'habis modal' nak mengajar dan mengulang-ulang benda yang sama (dan lawak yang sama), atau terperangkap dengan jeratan nafsu dan syaitan yang lebih bahaya.

Benar, ummah memerlukan orang yang betul untuk memandu dan menyampaikan dakwah kepada mereka dan menjadi idola kepada generasi muda mereka.

Benar, suara lantang jahiliyah tidak cerewet pun dalam menilai 'daie' mereka dalam menyebarkan dakyah jahiliyah dalam masyarakat dan ia terus menerus membina idola mereka untuk menyesatkan ummah.

Tetapi janganlah pula kita, dengan kesedaran itu bertindak di luar kewarasan dan kematangan.

1. Pilihlah orang yang betul untuk diletakkan sebagai idola masyarakat. Ketatkan syaratnya lebih-lebih lagi zaman media sosial yang serba canggih. Bagi saya paling kurang dia perlu berstatus berkahwin dan mempunyai perakuan pembelajarannya daripada institusi yang sah, serta mendapat tazkiyah daripada guru-gurunya (kalau ijazah lebih baik).

2. Ummah tidak menjadi semakin baik dengan suburnya dan munculnya 'dajjal-dajjal' yang bertopengkan agama tetapi hanya mahu mengaut keuntungan dunia.

3. Jangan samakan tabiat pembinaan ummah dengan tabiat bagaimana jahiliyah menghancurkannya. Ia ibarat menyamakan kerja orang yang menanam biji benih dan menyemainya dengan orang yang kerjanya menebang pokok.

Islam itu suci, pendekatannya juga murni, penuh disiplin dan peraturan. Bukan taram sajalah. Tiada 'anomali' dalam Islam.

Adapun ajaran jahiliyah, pendekatannya penuh muslihat dan tipu daya, tiada peraturan dan tidak berdisiplin. Semuanya berasaskan 'asalkan jadi' tanpa lihat kesan, akibat dan jalannya.

4. Melahirkan seorang yang boleh dijadikan rujukan memakan masa yang panjang. Imam Malik RHM tidak berfatwa sebelum disaksikan kelayakannya oleh 70 orang gurunya dalam berfatwa. Imam Syafie RHM bila diberi izin oleh gurunya Imam Malik RHM baru beliau berfatwa.

Saya memahami kecepatan perubahan semasa yang menuntut kita untuk berkembang dan selari dengan peredaran zaman, tapi saya ingin nyatakan bahawa ilmu tabiatnya bukan begitu.

Tabiat ilmu itu perlahan, sikit-sikit, lalui proses yang pelbagai, uji
an tertentu, sampailah masanya barulah ia boleh dipetik hasilnya. Ketika itulah ia takkan putus-putus mengeluarkan buahnya.

تؤتي أكلها كل حين بإذن ربها
"Pohon itu memberikan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya" - Surah Ibrahim

Jika ia dipotong sebelum masanya, kita hanyalah akan rugi, sepohon pokok yang baru nak hidup. Hanya mampu menjadi kayu api pemanas badan, tidak mampu dihidang sebagai makanan.

Sebenarnya nasihat ini terpakai untuk semua termasuklah diri saya. Saya sendiri sentiasa berpegang dengan pesanan guru saya bahawa :

لا تنطق حتى ينطقك الله

"Janganlah engkau berkata-kata, sehingga Allah menjadikanmu berkata-kata"

Demikianlah pesanannya, yang saya pegang hingga ke hari ini.

Wallahua'lam bissawaab.
Menjemput rahmat Allah dengan merahmati

Pada suatu hari ada seorang wanita keluar bersama bayinya dan dibawa sekali bersamanya sekeping roti sebagai bekalan.

Tiba-tiba ada seekor serigala mengambil anaknya daripadanya, dan menghilangkan diri. Lalu dia bersegera mengejar (mencari) serigala itu.

Ketika dia mengejar serigala itu tiba-tiba muncul seorang peminta sedekah memintanya makanan, lalu wanita itu memberikannya sekeping roti yang dibawanya tadi.

Kemudian datanglah serigala itu dengan anaknya yang di'culik' itu tadi, lalu ia memulangkannya semula kepada ibunya.

Dalam satu riwayat lain menyatakan bahawa serigala itu berkata kepada wanita itu : "Luqmah bi luqmah" (Satu suapan makanan (dibalas) dengan satu suapan makan)

Kisah ini diriwayatkan dalam satu atsar daripada kitab Az-Zuhd oleh Imam Ahmad bin Hanbal.

Wallahua'lam bissawaab.
Berjaga atau tidur, hidup atau mati, manusia atau robot

Diceritakan suatu hari ada dua orang murid bertelagah dalam isu apakah yang paling afdhal bagi seseorang, adakah keadaannya tidur atau berjaga ?

Seorang berkata tidur itu lebih afdhal dengan hujjahnya orang yang tidur tidak akan melakukan maksiat terhadap Allah SWT.

Seorang lagi berkata berjaga itu lebih afdhal dengan hujjahnya bahawa orang yang berjaga itulah yang akan mengenali Allah SWT.

Lalu mereka berdua bertemu gurunya bagi menyelesaikan permasalahan itu. Gurunya lalu menjawab :

Adapun bagimu (orang yang menyatakan tidur lebih afdhal), maka kematian itu lebih baik bagimu.

Adapun bagimu pula (orang yang menyatakan berjaga itu lebih afdhal), maka hidup itu lebih baik bagimu.

Kisah ini dipetik daripada Ar-Risalah Al-Qusyairiyah oleh Imam Al-Qusyairi, meninggal tahun 465H.

Saya dapati kisah ini boleh dilihat daripada pelbagai perspektif dan cukup banyak pengajaran yang boleh diambil.

1. Dari sudut perbahasan, kedua-dua murid melihat keutamaan sesuatu amalan itu berpaksikan kepada status seseorang kepada Tuhannya. Walaupun kedua-duanya mempunyai pandangan berbeza, namun hakikatnya kedua-duanya sedang menyatakan suatu perkara yang sama, iaitu bagaimana seseorang itu mahu mengekalkan dan memelihara status hubungannya dengan Allah SWT (samada dengan tidak mengingkari-Nya atau dengan mengenali-Nya).

Atas dasar itulah jawapan gurunya itu berbeza dan bukan meletakkan satu 'skema jawapan' yang sama pada kedua-dua murid itu. Ini kerana setiap hukum itu bergantung kepada 'illah' (sebab) hukum tersebut, jika berbeza illahnya maka berbezalah hukumnya.

2. Gurunya mempunyai pandangan mata hati (dan ilmu) yang cukup mendalam. Pandangan mata hati (basiirah) akan melihat seseorang itu dengan tahapan yang tertentu dan memahami 'jiwa' manusia dalam kerangka yang tersendiri.

Setiap manusia mempunyai latar belakang, ilmu pengetahuan, tabiat, sikap dan kecenderungan tersendiri. Seorang guru yang mahir akan berinteraksi dengan 'jiwa' yang menjadi punca perbezaan antara murid-muridnya.

Dengan jawapan yang diberikan, ia bukan saja menyelesaikan masalah, bahkan ia membina bahkan menyentap (serampang dua mata) anak-anak muridnya.

Bagi murid yang menyatakan bahawa tidur itu lebih baik, beliau menyentapnya dengan kata-katanya (yang mempunyai dua maksud) jika dilihat secara kasar ia bermaksud : Jika demikian, lebih baik kamu mati. Namun jika dilihat secara halus, yang hanya difahami oleh orang tertentu, maknanya boleh berubah menjadi cukup tinggi : Jika demikian, itu bermakna dirimu sudah mengenal-Nya, yang tinggal lagi bagimu adalah kematian yang memisahkanmu dengan-Nya.

Adapun bagi murid yang kedua yang dikatakan kepadanya bahawa hidup itu lebih baik baginya. Hakikatnya ia juga boleh membawa kepada 'dua maksud tersirat'. Maksud pertama secara jelas bahawa dia lebih baik hidup lagi, agar meneruskan perjalanan menuju makrifah-Nya.

Walaupun ia secara zahir dilihat sebagai pujian, namun makna tersirat boleh difahami secara mendalam yang boleh berupa celaan dengan naratif begini : Kamu belum lagi mengenali-Nya, jadi kematianmu hanya merugikan dirimu untuk merebut peluang itu. Justeru lebih baik kamu terus hidup bagi melengkapkan perjalananmu itu.

Mesej ini kita mungkin sukar nak fahami sejelas itu, namun guru yang mendidik akan memahami bahawa anak murid yang bertanya itu, dengan kesungguhan itu, dengan kejelasan kefahaman itu, dengan niat itu, pasti akan mencari-cari dan mengambil setiap perkataan itu apakah yang paling membinanya, dan paling menolaknya untuk beramal.

Ini kerana mereka ini tergolong dalam golongan yang dikatakan oleh Allah SWT :

"Yaitu orang yang mendengar perkataan-perkataan dan mengikut apa yang terbaik, mereka inilah orang yang diberikan hidayah oleh Allah, dan mereka inilah orang yang berakal" - Surah Az-Zumar
3. Bagi saya, persoalan tidur dan berjaga ini hanyalah ibarat persoalan siang dan malam. Manakah yang lebih afdhal ? Boleh jadi ada yang kata siang lebih afdhal kerana padanya ada kehidupan, kerja, jihad dan seumpamanya. Boleh jadi ada pula yang mengatakan malam lebih afdhal kerana waktu itu waktu qiyamullail dan munajat, rahmat Allah SWT turun dan Allah SWT sendiri turun ke langit dunia dan seumpamanya. Padahal kedua-duanya adalah aturan alam dan tidak mungkin berubah.

Keafdholan sesuatu perkara bukan kerana zatnya (melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah) tetapi kerana apakah amalannya yang dilakukan pada perkara itu.

Soalan-soalan seperti itu jika diberikan naratif ini pasti akan lebih bermakna dan lebih menjurus kepada 'objektif' dan paksi sesebuah persoalan.

4. Perbahasan ini bukanlah mahu membicarakan mana yang lebih baik antara tidur atau berjaga jauh sekali untuk menjadi hujjah bagi sebahagian orang untuk terus tidur dan tidak berjaga.

Ulamak telah pun membahaskan bahawa orang yang soleh itu cukup sedikit tidurnya dan cukup risau waktunya berlalu tanpa sebarang amalan soleh.

Namun ada juga yang menyebut bahawa syaitan cukup sakit hati dengan orang bermaksiat yang tidur kerana dia tertanya-tanya bilakah dia akan bangun untuk bermaksiat kepada Allah SWT.

Isu yang perlu dilihat di sini bukanlah semata-mata isu teknikal tidur atau berjaga, tetapi isu yang lebih besar dan utama adalah perihal jiwa dan hati seseorang serta status hubungannya dengan Allah SWT.

5. Peranan guru atau murabbi adalah memandu dan mentaujih (menentukan halatuju) anak buah, atau muridnya agar sentiasa meletakkan halatuju yang betul, menggunakan kompas yang betul, dan meletakkan sauh pada kedudukan yang betul.

Apa yang berlaku selepas itu (secara teknikalnya) tidaklah berapa penting kerana siapa yang betul mukadimahnya, betullah penghujungnya.

Siapa yang berpegang pada Allah pada awalnya, Allah akan menjaganya hingga akhirnya.

Demikianlah kita boleh fahami hadis : "Sesungguhnya hanyasanya amalan itu diukur berdasarkan niat, dan sesungguhnya hanyasanya bagi seseorang itu apa yang diniatkan" - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Jadi tugasan guru adalah sentiasa membetulkan niat murid, atau jika kita boleh luaskan maksudnya, sentiasa membetulkan halatuju, pertimbangan, cara fikir, dan perspektif-perspektif dunia akhirat yang sedang difikirkan, atau dirasai oleh anak muridnya.

Ia adalah proses yang jauh lebih sukar, dan kesannya lebih besar dan mendalam, berbanding semata-mata menyuap anak buahnya dengan perkara teknikal A-Z yang hanya akan melahirkan replika-replika sosok tubuh gurunya dengan mengulang-ulang proses yang sama.

Ya, membina seorang manusia yang berperanan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini jauh lebih sukar daripada mencipta robot dan mesin dengan manual dan SOP tertentu,

Jika kita hanya berpada dengan tindakan zahir, dan menilai hanya dengan pandangan zahir, sukar untuk kita tentukan, adakah kita ini sedang membina manusia, atau mencipta robot ?

Jadi, sebelum kita tanyakan soalan apakah hidup kita ini lebih baik atau kematian kita, kita perlu bertanya, sudahkah kita hidup, hingga kita 'layak' untuk mati ?

"Maka sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi al-qulub (hati) itulah yang buta yang wujud di dalam dada" - Surah Al-Hajj

Wallahua'lam bissawaab.
Rumah dan isteri, harta dan warisan, dan harga sebuah perjalanan

Suatu hari dikatakan kepada Nabi Isa AS, tidakkah kamu mahu jika kami berikan kamu sebuah rumah ?

Lalu baginda AS menjawab : Apakah pandanganmu terhadap sesuatu yang dibina di atas ombak ?

Mereka menjawab : Sudah pasti tidak akan kekal.

Lalu mereka bertanya lagi, tidakkah kamu mahu beristeri ?

Kemudian baginda AS menjawab : Apakah pula yang aku boleh lakukan kepada seorang mayat ?

Dipetik daripada kitab Az-Zuhd oleh Imam Ahmad bin Hanbal.

Suatu jawapan yang memberi pelbagai perspektif dalam melihat dunia dan isinya. Perspektif yang melihat dunia dalam kerangkanya yang hakiki, dan melihat nikmat-nikmat dunia sebagai bekalan yang sementara.

Cara fikir ini jarang-jarang kita dengar, khususnya pada zaman di mana penilaian material menjadi pemberat utama dalam melihat hakikat dunia dan isinya.

Mengenai harta, suatu hari Umar Abd Aziz ketika hujung usianya, ditanya mengenai apakah beliau tidak ada meninggalkan harta untuk anak-anaknya ?

Lalu beliau menjawab : "Anak-anakku hanya ada dua golongan. Sama ada golongan orang yang saleh atau sebaliknya.

Jika mereka adalah golongan orang saleh, maka Allah akan menjaganya.

Jika mereka adalah sebaliknya, maka aku tidak mahu membantu seseorang yang jahat untuk melakukan kejahatan."

Mungkin sebahagian daripada kita akan melihat kata-kata ini sebagai berlebih-lebihan kerana ada juga saranan hadis Nabi SAW kepada sahabat RA apabila dia mahu mensedekahkan keseluruhan hartanya sebelum beliau meninggal dunia, lalu Rasulullah SAW mengatakan lebih baik kamu tinggalkan mereka dalam keadaan serba cukup daripada mereka meminta-minta, dan sepertiga daripada harta yang ditinggalkan untuk disedekahkan itu pun sudah dikira banyak untuk disedekahkan.

Namun bagi sesiapa yang mendalami 'hikmah' Rasulullah SAW akan mendapati bahawa setiap jawapan Rasulullah SAW itu terkandung 'fiqh' ke atas jiwa manusia yang khusus.

Perkara ini mudah difahami dengan kita melihat beberapa hadis yang ditanyakan kepada Rasulullah terhadap apakah dia sebaik-baik amalan dan apakah pula wasiat yang paling penting.

Ada yang dijawab : Solat pada awal waktu. Ada pula yang dijawab : Jangan marah. Ada pula yang dijawab : Katakanlah Aku beriman kepada Allah kemudian beristiqamahlah. Dan seumpamanya.

Mengapa jawapannya berbeza sedangkan soalannya sama ?

Ini kerana setiap manusia yang bertanya mempunyai kondisi jiwa yang berbeza, latar belakang yang berbeza dan permasalahan yang berbeza. Jadi jawapannya tentu berbeza.

Demikian juga saranan untuk tidak menghabiskan Al-Quran kurang daripada tiga hari kerana ia tidak akan memahaminya, hadis itu disebut kepada Abdullah bin Amr bin Al-Aas, seorang pemuda pada ketika mana saidina Uthman Al-Affan RA pada ketika itu mengkhatamkan Al-Quran pada satu malam. Adakah dia termasuk dalam 'celaan' hadis itu ? Sudah pasti tidak.

Demikian juga dalam bab infaq, Rasulullah SAW menerima sedekah Abu Bakar As-Siddiq RA dengan keseluruhan hartanya ketika perang Tabuk, dalam masa yang sama selepas perang Tabuk, dalam kes Kaab bin Malik RA, selepas diisytiharkan penerimaan taubatnya, beliau mahu menginfaq keseluruhan hartanya, namun Rasulullah SAW menolaknya dan mengatakan : Simpanlah separuh hartamu.

Ini kerana setiap perkataan yang dikatakan Rasulullah SAW kepada para sahabat bersesuaian dengan 'jiwa' seseorang sahabat pada ketika-ketika itu.

Walaupun ulama mengambil nas-nas hadis itu sebagai kaedah umum dalam syariat dan membina fiqh atas dasar itu, namun seseorang yang mahukan ketinggian akan cuba mencapai tahap jiwa sahabat yang lebih tinggi dan lebih mulia.

Oleh itu kita perlu sentiasa jelaskan kefahaman, mendalamkan dzon kita kepada Allah SWT, dan cuba meniti jalan-jalan keyakinan dengan meningkatkan status hubungan kita dengan Allah SWT.

Hanya kerana, hanyasanya Dialah 'tujuan' dan 'matlamat'.

وأن إلى ربك المنتهى

Wallahua'lam bissawaab.
Mulakan tahun baru dengan penuh keazaman dan husnuzzon pada Tuhan

Sempena kehadiran tahun baru ini, suka untuk saya ingatkan diri dan sahabat untuk meneliti beberapa perkara :

1. Tahun baru itu di sisi kita, namun pena takdir Tuhan itu telah terangkat sejak awal kejadian.

Apa yang berlaku pada masa lalu dan akan datang, adalah manifestasi Rahmat Tuhan yang Maha Mengetahui ke atas segala perkara. Keesokan hari adalah jelas di sisi Tuhan ibarat jelasnya hari semalam.

Jika dinisbahkan perkara yang dicerap itu dengan ilmu kita, kita tidak mampu menanggungnya. Namun jika dinisbahkannya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, kita akan mudah untuk redha mengharunginya.

Jangan sekali menyalahkan takdir, dan jangan pula menduga takdir. Ia adalah rahsia Tuhan, bagi menguji para hamba-Nya, tidak kira martabat apa sekalipun.

Segala yang berlaku hakikatnya sudah pun berlaku di dalam ilmu Tuhan. Kita hanyalah ibarat catur di papan catur, bagi menzahirkan sebuah keagungan, keadilan, rahmat dan kebijaksanaan Tuhan pada penghujung zaman.

2. Hari yang baru adalah satu bentuk peluang untuk berubah, dan juga hujjah ke atas manusia yang akan dihisab pada hari akhirat.

Siapapun kita di masa lalu, ambillah kesempatan hari baru untuk menghalatujukan semula diri di atas 'wijhah' yang betul. Selagi matahari tidak terbit dari barat, selagi itu pintu rahmat Allah tidak tertutup untuk menerima taubat para hamba-Nya.

Jangan sekali-kali menyahut seruan iblis dan kuncunya untuk bertangguh, atau berputus asa daripada rahmat Allah. Mulakan langkah dengan sebuah tekad dan keazaman, bersedialah untuk membayar sebuah perubahan, dan percayalah bahawa Tuhan tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang benar.

Ingat betul-betul saranan Nabi SAW : "Sekiranya engkau benar-benar 'benar', maka Allah akan membenarkanmu".

Ramai manusia mahukan perubahan, tetapi tidak ramai yang mampu membayar harganya. Ya kita memang tidak mampu, jadi mintalah pada Tuhan untuk bayarkan harganya.

Mintalah pada Dia, untuk langsaikan 'hutang-hutang' kita pada sesiapa yang kita zalimi, kotori, kasari, dan apa-apa sahaja yang belum terlunas, bagi sebuah penghijrahan diri.

3. Kita akan mengharungi sesuatu yang bersesuaian dengan keadaan kita, secara emosi, fizikal dan rohani.

Jika kita mahukan ketinggian, tinggikan jiwa. Mahukan kemuliaan, muliakan ia. Jika mahukan kehinaan, maka hinakanlah ia.

Tadabburlah alam ini, kita akan bawa kepada kesimpulan itu.

Kesimpulan bahawa setiap kejadian alam itu dicipta dengan tujuan agar manusia memilih ketinggian, keagungan, kemuliaan dan kesempurnaan.

Bercakaplah dengan matahari, bulan dan bintang, gunung ganang, laut dan sungai, burung-burung dan haiwan-haiwan, kita akan dapati semuanya menyeru kita bagi menyempurnakan satu tugasan.

Ajari diri untuk memilih perkara yang tinggi, ajari dia untuk menolak dan membenci perkara-perkara kecil.

Hanya jiwa yang tinggi, akan mampu menanggung beban yang berat.

Hanya jiwa yang tinggi, mampu mencerap keagungan dan kebijaksanaan Yang Maha Tinggi.

Hanya yang tinggi, yang boleh mengenal Tuhan.

Selamat menyambut tahun baru, khusus bagi jiwa-jiwa yang menanam keazaman.

Wallahua'lam bissawaab.
Nabi Khidhr (atau Khadhir) AS masih hidup atau tidak ?

Bagi pendapat saya yang kerdil ini, selagimana ia tidak termasuk dalam usul agama dan isu akidah, dan selagimana ia terdapat ruang untuk berbeza pandangan, maka mengekalkan ia dalam daerah khilaf adalah lebih utama daripada memuktamadkan bahawa ia sudah disepakati.

Ini kerana menyatakan yang khilaf itu ittifaq hanyalah akan menambahkan lagi rencah dan hujjah dalam berkhilaf.

Untuk mentarjih dengan dalil tertentu tiada masalah selagi ia dibuat dengan penuh beradab dan tanpa taassub hingga menafikan keharusan pandangan lain.

Namun di sisi saya sendiri, dalam isu ini, saya cenderung untuk mengguna semula perkataan yang dilontarkan oleh Nabi Khidhr AS kepada Nabi Musa AS ketika mereka bertemu di pertemuan dua laut.

"Dia (Khidhr AS) berkata : Sesungguhnya engkau tidak akan mampu bersabar denganku. Bagaimana engkau mampu bersabar dengan apa yang engkau tidak ketahui?" - Surah al-Kahfi

Sepertimana persoalan-persoalan yang tidak difahami oleh Nabi Musa AS menimbulkan seribu tanda tanya ketika itu, demikianlah juga persoalan mengenai kewujudan dan hidup ataau matinya beliau AS selepas itu.

Biarlah beliau sendiri menjawabnya.

"Bagaimana engkau boleh bersabar dengan apa yang engkau tidak fahami?"

Jadi, serahkanlah isu ini kepada Tuhan, kerana semua yang berlaku itu adalah di dalam ilmu Tuhan, dengan penuh rahmat dan hikmah-Nya.

Itulah juga yang dibawa oleh Nabi Khidhr AS pada pengakhiran kisah sebagai sebuah kesimpulan.

"Dan bukanlah aku lakukan semua ini atas arahanku (bahkan kerana arahan Tuhan). Demikianlah itu merupakan takwil (pentafsiran) di sebalik perkara yang engkau tidak mampu sabar terhadapnya" - Surah Al-Kahfi

Wallahua'lam bissawaab.
Forwarded from PEMIKIR (Channel)
WACANA FIKIR 04

Topik: HUBUNGAN WAHYU DALAM MENYEMPURNAKAN AKAL INSAN

Waktu: Sabtu, 10 Jamadilakhir (23 Januari) | 9 Malam
Pautan Google Meet: https://meet.google.com/paa-nbtc-rvt (akan dibuka jam 8.45 Malam)
Pembentang: Ahmad Syamil Mohd Esa (Felo Penyelidik Sidang Pemikiran, PEMIKIR)

Antara persoalan yang akan dibahaskan:
1. Apakah definisi wahyu?
2. Apakah kedudukan wahyu dalam epistemologi ilmu?
3. Bagaimanakah bentuk hubungan antara wahyu dan akal insani dalam membangun peradaban?

Terhad untuk 150 org

MENJUNJUNG ILMU, MEMBANGUN PERADABAN

———————————————
Daftar sebagai ahli Forum Peradaban PEMIKIR: https://bit.ly/forumperadabanpemikir
Facebook: fb.com/pusatpemikirummah
Telegram: www.tg-me.com/pemikirummah
Twitter: twitter.com/pemikirummah
Instagram: instagram.com/pemikir_official
Fatwa yang dilihat pelik, kerana nak baiki perangai manusia yang makin pelik.

Apabila kita melihat dan meneliti pandangan ulamak dalam isu-isu tertentu, jangan terlalu awal meletakkan spekulasi tertentu. Lihatlah dulu apa yang sedang berlaku, dan cuba fahami (kalau tak faham pun takda masalah) bahawa dia sedang menyelesaikan satu permasalahan tertentu.

Permasalahan yang ekstrem memerlukan pandangan yang keras bagi membetulkannya menjadi pada titik pertengahan yang terpuji.

Sepertimana hukuman makin keras berkadaran dengan kesalahan, demikian juga fatwa dan pandangan makin menusuk dan mendidik berkadaran dengan jauhnya jiwa manusia daripada keadaan asal (fitrah).

Tujuan syarak adalah mengekalkan manusia atas titik wasatiyah, tidak berlebihan dan tidak pula berkurangan. (Asy-Syatibi)

Jadi ulamak perlu bijak dalam mengurus masalah yang berlaku, bukan semata-mata berpegang kepada 'hukum asal' yang sesuai pada juga 'keadaan asal', tetapi perlu melihat apakah keadaan yang berlaku itu keadaan asal atau sudah berubah.

Jika keadaannya sudah berubah, hukumnya perlu juga berubah kerana setiap hukum itu ada tujuannya. Bagi mencapai tujuan tersebut, ulamak perlu mengeluarkan satu pandangan dalam keadaan terkecuali untuk keadaan yang bengkok itu.

Jika hukum asal masih digunapakai, sedangkan keadaan sudah pun ke laut, maka hakikatnya ulamak hanyalah menjauhkan manusia daripada iltizam syarak, lalu menjauhkan mereka daripada Allah SWT.

Sifir ini terpakai pada kebanyakan keadaan, khususnya pada norma masyarakat yang kita anggap ia norma yang diwarisi, sedangkan masyarakat kita hari ini sudah pun bertukar uruf dan adatnya.

Wallahua'lam bissawaab.

------
Ikuti catatan saya di www.tg-me.com/ustazsyamilesa
Forwarded from PEMIKIR (Channel)
Rakaman Wacana Fikir Siri 4 | Hubungan Wahyu Dalam Menyempurnakan Akal Insan oleh Ustaz Syamil Esa

https://www.youtube.com/watch?v=o_JNFCb6shU

Antara persoalan yang akan dibahaskan:
1. Apakah definisi wahyu?
2. Apakah kedudukan wahyu dalam epistemologi ilmu?
3. Bagaimanakah bentuk hubungan antara wahyu dan akal insani dalam membangun peradaban?

MENJUNJUNG ILMU, MEMBANGUN PERADABAN
———————————————
Daftar sebagai ahli Forum Peradaban PEMIKIR: https://bit.ly/forumperadabanpemikir
Facebook: fb.com/pusatpemikirummah
Telegram: www.tg-me.com/pemikirummah
Twitter: twitter.com/pemikirummah
Instagram: instagram.com/pemikir_official
Jangan disibukkan dengan dunia artis, umat perlu disibukkan dengan pembinaan ketinggian moral dan peribadi Islam yang unggul.

Kita biasa mendengar kata-kata Eleanor Roosevelt yang menyebut bahawa orang berpemikiran kecil berbicara mengenai manusia, orang biasa akan berbicara mengenai peristiwa, dan orang yang berpemikiran tinggi akan berbicara mengenai idea (pemikiran).

Kata-kata itu ada kebenarannya kerana ia mengukur apa yang ada dalam pemikiran seseorang berdasarkan apa yang dibicarakannya.

Kita boleh mengukur tahap intelektual masyarakat kita hatta diri kita sendiri berdasarkan apa yang kita selalu bincangkan dan bicarakan sehari-harian.

Perbincangan mengenai artis dan yang sewaktu dengannya seperti isu pertunangannya, kecurangannya, kerendahan moralnya dan seumpamanya, jika disibukkan dalam bicara umum khususnya di media sosial, hanyalah merendahkan tahap intelektual masyarakat pada hari ini.

Usaha merendahkan tahap intelektual masyarakat ini hakikatnya memberi kesan kepada perubahan struktur masyarakat secara keseluruhan, kerana apabila manusia sibuk dengan perkara teknikal, ada orang lain yang akan tolong fikirkan apakah masa depan yang akan terbina di kemudian hari.

Saranan terbesar dalam ayat pertama surah Al-Alaq merupakan saranan yang perlu ditatapi dan direnungi dari hari ke hari, yang menuntut untuk kita membaca dan berfikir, bukan semata-mata menjadi pakar dalam isu-isu semasa yang tidak membina, tetapi menjadi manusia yang berfikir untuk membina masa depan.

Ayat-ayat Makkiyah walaupun turun di Mekkah dalam keadaan umat Islam yang masih di peringkat permulaan, tetap menyuruh umat Islam pada ketika itu untuk berfikir, mentadabbur dan bertafakkur. Ini kerana pemikiran dan idea yang kuat perlu melalui masa dan tempoh mencapai kematangan, dan ia takkan berlaku secara tiba-tiba, kerana ia adalah proses yang berjalan sedikit demi sedikit bagi membina sebuah kemajuan pada masa hadapan.

Apabila kita mula disibukkan dengan hal-hal teknikal seharian, apatah lagi perihal selebriti yang tidak pun menambahkan ilmu dan iman, saya berani kata, kita sebenarnya sedang sediit demi sedikit menyerahkan masa depan kita untuk difikirkan oleh orang lain.

'Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan' - Surah Al-'Alaq, ayat 1

Wallahua'lam bissawaab.
Forwarded from Universiti Tarbiyah
[ Hebahan Pengajian ]

Insya Allah Ahad ini akan berjalan pengajian Tafsir Fi Zilal Quran Surah Al-Muddatsir Siri 2.

Jemput hadiri bersama di channel youtube Universiti Tarbiyah.

Sebar-sebarkan.
Aku, durian dan . . .

Dalam perjalanan pulang dari pejabat, saya terlihat beberapa lori yang parkir di tepi jalan dan menjual durian dengan gred-gred tersendiri. Bermula daripada Kampung Kahwin, hingga ke Musang King.

Untuk orang dewasa, pasti rasanya berbeza. Namun untuk budak-budak, asalkan durian saja sudah pun cukup untuk melepaskan keinginannya walaupun durian itu dibeli 3 hari yang lepas.

Demikianlah bagaimana manusia membina kematangan, semakin meningkat umur, semakin halus dia menilai sesuatu perkara. Walau bezanya hanya pada rasa, tekstur, dan kepekatannya, tetapi harganya berbeza boleh jadi berkali-kali ganda, walau namanya tetap tidak berubah daripada nama durian.

Sekilas pandangan di waktu senja menyingkap tadbir Tuhan di sebalik peningkatan umur, dan peningkatan 'gred kehidupan hakiki' yang sedang kita bina tanpa kita sedari saban hari.

Durian yang kita rasai pada hari ini, berbeza dengan durian yang kita makan pada 20 tahun yang lepas. Kita cukup teliti melihat namanya, teksturnya, asalnya, dan grednya. Itu semua mempunyai nilai tersendiri bagi sebuah kepuasan.

Tetapi saya bertanya dalam diri, adakah Tuhan yang saya sembah 20 tahun yang lepas, mempunyai nilai yang sama (di sisi diri) dengan Tuhan yang saya sujud pada-Nya hari ini ?

Adakah nilai ketuhanan dalam diri kita juga meningkat, selaras dengan nilai kepuasan yang kita cukup teliti dan inginkan, dengan peningkatan kematangan dan pengalaman ini ?

Jika kita boleh tanya diri, berapakah nilai solat kita pada hari ini ? Adakah sama nilainya 10 tahun lepas, dengan apa yang kita baru buat sebentar tadi ?

Jika sama, ketahuilah, walaupun lidah dan kepuasan kita sudah dewasa, hakikatnya jiwa dan roh kita masih kebudak-budakan.

Wahai durian, sesungguhnya padamu terdapat pesanan agung daripada Pencipta, yang sentiasa menanti taubat dan keinsafan hamba-Nya.

"Dan sekiranya ia bukan daripada Allah, sudah pasti mereka akan dapati padanya percanggahan yang banyak" - Surah An-Nisaa'

Wallahua'lam bissawaab.
Tiga golongan manusia dalam kesedaran rohani

1. Memerhatikan yang banyak, hingga melupakan Yang Satu.

Golongan ini ditegur oleh Allah SWT dalam surah At-Takathur.

"Kamu telah dilalaikan dengan perlumbaan untuk membanyak-banyakkan (dunia). Hinggalah kamu menziarahi kubur (mati)" - Surah At-Takathur, ayat 1-2

Ubat bagi golongan ini adalah perbanyakkan mengingati mati, kerana kematian akan menghilangkan segala nilai dunia yang dinikmati, dan menzahirkan bahawa yang kekal hanyalah yang bernilai di sisi Allah SWT.

2. Melihat yang banyak, lalu barulah menanggapi Yang Satu

Golongan ini adalah golongan manusia atau mukminin yang akhirnya mampu menanggapi ibrah dan petanda ketuhanan di sebalik setiap kejadian.

Allah SWT menyatakan dalam Surah Fussilat :

"Kami akan memperlihatkan ayat-ayat Kami di seluruh ufuk, hinggalah pada diri mereka sendiri, sehinggalah jelas bagi mereka bahawa Islam itu adalah kebenaran" - Surah Fussilat, ayat 53

Golongan ini memerlukan kajian dan penelitian yang banyak bagi menyampaikan mereka kepada kesedaran dan tazakkur untuk mencapai martabat ihsan.

3. Memerhatikan Yang Satu, lalu melihat yang banyak dalam sudut penzahiran kekuasaan dan kudrat-Nya.

Ini adalah martabat para anbiya', dan golongan yang menghampiri martabat mereka. Mereka melihat segala kejadian alam ini hanyalah sebagai bukti-bukti kewujudan Tuhan. Segala yang ada di dalam kewujudan ini hanyalah satu bentuk 'penzahiran' atau 'tajalliyat' terhadap kudrat, kemahuan, ilmu dan hikmah Allah SWT.

Di sisi mereka, segala yang banyak itu (makhluk) hanyalah satu kesan (atsar) kepada perbuatan Allah SWT Yang Maha Adil, Pengasih, Pemurah, Pengampun dan Bijaksana.

Mereka memahami ketinggian dan hakikat cahaya Tuhan, lalu melihat setiap kejadian alam ini sebagai salah satu pancaran sifat-sifat dan asma' Allah SWT.

(Disclaimer : Ini bukan bermaksud Tuhan adalah makhluk, nauzubillah min zalik, kerana Tuhan akan kekal sebagai Tuhan, dan makhluk akan kekal sebagai makhluk, walau tinggi mana pun darjatnya)

"Allah adalah (penyuluh) cahaya kepada langit dan bumi ini" - Surah An-Nur

Hubungannya dengan Tuhan tiada perantara. Di mana sahaja dia berada, Tuhan bersamanya (dengan kebersamaan yang khusus).

Untuk golongan ini Allah SWT sebut ;

"Dan sabarlah dengan ketentuan Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) di bawah (naungan) mata-Ku" - Surah An-Najm

"Apabila mereka hampir bertembung (dua kelompok iaitu kelompok Musa dan kelompok Firaun), maka pengikut Musa berkata, habislah kita ! Lalu beliau (Musa AS) berkata : Sekali-kali tidak, sesungguhnya bersama-Ku Tuhanku yang akan menunjukkan jalan" - Surah Asy-Syu'araa'

Golongan inilah yang Rasulullah SAW sebut : "Ihsan itu adalah engkau menyembah Allah, seakan-akan engkau melihat-Nya"

----

Jika ada yang ingin bertanya apakah cara-cara untuk meningkatkan martabat kerohanian, saya cuba mudahkan jawapannya iaitu berusahalah sebaik mungkin untuk menjadi Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi ini.

Dengan itu - dengan izin dan taufiq daripada Allah - kita akan meniti satu per satu anak tangga, menuju kerohanian yang tertinggi, hingga layak dipanggil oleh Tuhan di syurga nanti ;

"Wahai Jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai" - Surah Al-Fajr

Wallahua'lam bissawaab.

----
Ikuti catatan saya di www.tg-me.com/ustazsyamilesa
Sugarbook dan fatwa nikah dengan niat talak

Isu 'Sugarbook' atau perempuan simpanan, atau yang sewaktu dengannya bukanlah isu baharu, dan sebelum ini pun sudah didedahkan dalam akhbar pengakuan salah seorang daripada mereka yang bergelumang dalam kehidupan itu, seorang wanita Melayu yang beragama Islam.

Sebelum ini juga ia telah mendapat tentangan hebat kerana menaikkan iklannya di papan iklan di tengah-tengah bandar dan mengganggu ketenteraman awam kerana mempromosi perkara di luar norma agama dan masyarakat yang sejahtera.

Baru-baru ini kecoh isu statistik yang dinaikkan dalam akhbar mengenai universiti-universiti swasta di tanah air yang mempunyai peratusan tertinggi keterlibatan mereka dalam aplikasi sosial itu.

Dan kecoh juga satu pandangan yang diutarakan seseorang sebagai penyelesaian masalah ini iaitu mengambil pandangan mengizinkan pernikahan 'dengan niat talak' sebagai jalan keluar kepada masalah yang tular ini.

Saya hanya ingin ulas pandangan itu dari sudut perbahasan ilmu Usul Fiqh dan juga Maqasid.

1. Walaupun ada pandangan yang mengharuskan nikah dengan bentuk itu (niat di dalam hati dan tidak dilafazkan ketika akad), ia tidak akan menyelesaikan masalah ini kerana isu utamanya adalah isu keperluan kewangan wanita (Sugar baby) dan keperluan seksual lelaki pelanggan (Sugar daddy).

Bagi saya pandangan yang tepat untuk diutarakan adalah memudahkan proses poligami bagi yang benar-benar mampu, dalam masa yang sama mendidik masyarakat untuk tidak melihatnya sebagai satu 'taboo' yang pantang disebut-sebut, hinggakan seorang isteri lebih rela suaminya mengambil perempuan simpanan berbanding berkahwin memadukannya (nauzubillah min zalik).

Buat apa kita perlu mengambil pandangan yang mukhtalaf fiih (ulama berselisih pandangan terhadapnya) iaitu dalam kes ini adalah nikah dengan niat talak, sedangkan kita ada perkara yang muttafaq alaih (ulama bersepakat ke atasnya) iaitu nikah poligami.

Poligami memang boleh menyumbang kepada pengurangan masalah sosial, jika dilihat dalam kerangka yang positif dan dilakukan pula dengan menepati syarat-syarat yang sepatutnya.

Ok, cukup sekadar ini sahaja saya bicara pasal poligami.

2. Adapun pandangan yang membenarkan 'kahwin dengan niat talak' pula bukanlah menyatakan mereka boleh kahwin secara segera sesuka hati dan perjanjian dua pihak semata-mata, tetapi tetap meraikan segala rukun nikah iaitu dua saksi, wali, kedua pengantin dan akad ijab kabul.

Dengan erti kata lain ia sebiji seperti 'nikah sebenar', cuma berbeza pada 'niat pengantin' secara batin, tidak pula direkodkan sebagai tempoh tertentu, kerana sekiranya diletakkan tempoh tertentu sebagai akad, ia berubah menjadi nikah mutaah yang ijmak ulamak menyatakan pengharamannya.

Ia hanya tersembunyi dalam niat pengantin lelaki, dan bukan pula persefahaman antara lelaki dan wanita bahawa ia nikah kontrak/sementara.

Apabila aplikasi ini sendiri sudah pun menjelaskan niat mereka bahawa mereka ini bukan mahu berkahwin secara serius, tetapi kerana mahu mendapat duit, berseronok atau mencari pasangan seksual tanpa komitmen, ia sudah menunjukkan mereka memang mahu 'nikah mutaah', dan bukannya 'nikah yang sebenar'.

Kaedah fiqh menyebut :

المعروف عرفا كالمشروط شرطا

"Perkara yang sudah makruf secara urufnya, akan dianggap sebagai syarat dalam akad"

Apabila kedua-dua 'Sugarbaby' dan 'Sugardaddy' berpakat untuk berkahwin 'dengan niat cerai' tanpa dizahirkan, ia sudah pun berpakat untuk melakukan nikah mutaah, kerana secara urufnya kedua-duanya tidak berhasrat mendirikan rumahtangga atas asas nikah yang sahih.

Tabiat perhubungan mereka itu sendiri walaupun tanpa lafaz dalam akad, sudah pun menjelaskan niat mereka iaitu nikah secara bertempoh.

3. Mengetengahkan pandangan begini hanya akan meluaskan lagi kebuasan nafsu pihak yang terlibat kerana mempunyai jalan keluar yang 'halal' kononnya atas nama agama.
2024/11/18 17:52:18
Back to Top
HTML Embed Code: