Telegram Web Link
‼️KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA,  2 JANUARI 2023.‼️

- SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA
MINGGU EPIDEMIOLOGI 52 TAHUN 2022 (25 DISEMBER – 31 DISEMBER 2022)
OFFICIAL KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 🇲🇾:
PENULARAN PELBAGAI VARIAN DI MALAYSIA HASIL SURVELAN GENOM SARS-COV2

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejak Februari 2022, lebih 98 peratus varian SARS-CoV-2 yang menular di dunia adalah jenis Omicron dan hasil mutasi terutama pada domain reseptor-pengikat (receptor binding domain-RBD) dalam kalangan VOC Omicron telah menghasilkan pelbagai jenis sub susur galur (sublineage). Terdapat beberapa susur galur dari Omicron yang mempunyai kepentingan kesihatan awam disebabkan kadar jangkitan yang lebih tinggi serta kadar immune escape yang lebih tinggi.

Oleh yang demikian, WHO di atas nasihat WHO Technical Advisory Group on SARS-CoV-2 Virus Evolution (TAG-VE)   telah mewujudkan terma ”Lineage Under Monoitoring” (LUM). Pada masa ini terdapat 5 sublineage Omicron yang telah dikelaskan sebagai LUM termasuk BA.5, BA.2.75, BA.4.6, XBB, dan BA.2.3.20. Semua jenis LUM tersebut sudah dikesan di Malaysia tetapi dalam peratusan yang berbeza.

Hasil survelan genomik SARS-CoV-2 di Malaysia terkini iaitu sepanjang Disember 2022, menunjukkan dominasi varian XBB di Malaysia, iaitu varian ini merangkumi sebanyak 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang berjaya menjalani penjujukan genom; diikuti dengan varian BA.2.75 (20.8 peratus) dan varian BQ.1 (10.8 peratus). Ini menunjukkan bahawa varian XBB masih merupakan varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak bulan Oktober 2022. Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian Lineage Under Monitoring (LUM) WHO.

Data daripada negara-negara lain yang telah mengalami penularan XBB seperti Singapura dan India menunjukkan peningkatan bilangan kes jangkitan semula terutama dalam kalangan penduduk yang dijangkiti semasa gelombang Delta atau dijangkiti oleh VOC Omicron sekurang-kurang 6 bulan lalu. Kejadian jangkitan semula adalah disebabkan kejadian immune escape yang lebih tinggi oleh XBB. Ini mungkin disebabkan oleh tahap antibodi yang sudah mula berkurangan dan menyebabkan jangkitan semula tidak dapat dielakkan. Oleh yang demikian, adalah disarankan supaya golongan yang mempunyai masalah kesihatan mengambil dos penggalak kedua supaya sistem imun dapat bersedia untuk sebarang jangkitan semula.

Berdasarkan maklumat terkini, WHO Technical Advisory Group on SARS-CoV-2 Virus Evolution (TAG-VE) berpendapat bahawa ciri-ciri phenotype XBB tidak banyak berubah berbanding dengan sublineage Omicron yang lain sebelum ini, dari segi keperluan tindakan kesihatan awam, walaupun terdapat penambahan mutasi yang dikaitkan dengan immune escape. Langkah-langkah kesihatan awam adalah masih sama seperti yang diambil untuk VOC-LUM sebelum ini.

Walaupun varian-varian SARS-CoV-2 ini boleh menyebabkan jangkitan semula, namun belum ada data yang menunjukkan ia mengakibatkan jangkitan serius sehingga menyebabkan kemudaratan atau kematian. Ini menunjukkan pemberian vaksin telah berhasil menyediakan sistem pertahanan imun untuk sebarang jangkitan varian-varian SARS-CoV-2 dan mengelakkan kemerosotan kesihatan.

Sementara itu, di negara China pula, varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di negara tersebut pada masa ini. Kedua-dua varian ini tergolong sebagai sublineage Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) WHO. Walau bagaimanapun, kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes yang tinggi di China.

Kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 telah juga dikesan di Malaysia. Setakat 31 Disember, 2022 terdapat sebanyak 4,148 kes yang dijangkiti dengan BA.5.2 dan tiga (3) kes yang dijangkiti dengan BF.7. Walau bagaimanapun, belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.1.
Situasi ini akan disemak dari semasa ke semasa apabila terdapat sebarang perubahan ketara yang seterusnya memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam. Perkara ini akan diumumkan dengan segera oleh WHO kepada semua negara anggota WHO serta penduduk secara am.

KETUA PENGARAH KESIHATAN

SURVELAN PERSEKITARAN COVID-19 MENGGUNAKAN AIR KUMBAHAN

Malaysia telah mula menjalankan survelan persekitaran COVID-19 menggunakan air kumbahan sejak Jun 2022. Ia bertujuan sebagai survelan sokongan (Supplementary Surveillance) bagi COVID-19 sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik negara. Objektif survelan ini bertujuan sebagai amaran awal melalui pengesanan kehadiran virus SARS-CoV-2 dalam sampel air kumbahan, memberi gambaran tren kepekatan virus SARS-CoV-2 dan mengenalpasti varian SARS-CoV-2 yang terdapat dalam komuniti serta memantau keberkesanan intervensi kawalan COVID-19 secara amnya. Ia melibatkan sampel dari dari Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) serta lima belas lokasi sentinel bagi mewakili setiap negeri di Malaysia.

Bagi lokasi sentinel di setiap negeri, sampel air kumbahan diambil dari loji rawatan kumbahan terpilih oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan. Sebanyak dua (2) atau tiga (3) sampel diambil dari setiap lokasi sentinel setiap bulan mengikut keperluan. Sampel-sampel ini kemudiannya dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi proses pengujian.

Bagi sampel dari PMA pula, penilaian risiko dijalankan secara berterusan bagi mengenalpasti negara-negara yang berisiko. Hasil penilaian ini, kesemua penerbangan dari negara yang dikenalpasti kemudiannya diteliti dengan lebih lanjut oleh Pejabat Kesihatan (PK) KLIA. Secara amnya semua air kumbahan kapal terbang akan dibawa keluar dari kapal terbang melalui lavatory truck ke aircraft waste disposal facilities (AWDF) dan proses ini diselaraskan oleh pihak Airport Ground Handler.

Setelah penerbangan yang disasarkan dikenalpasti, proses persampelan air kumbahan ini dijalankan oleh PK KLIA dengan kerjasama pihak lapangan terbang KLIA sebelum air kumbahan ini dilepaskan ke AWDF. Sampel-sampel ini kemudiannya dihantar ke MKAK bagi proses pengujian. Persampelan air kumbahan dari pesawat dijalankan sebanyak dua (2) kali seminggu.

Bagi survelan air kumbahan dari pesawat ini, sebanyak 1 liter sampel air kumbahan diambil dari pesawat terpilih dan dihantar ke MKAK. Sampel air kumbahan yang telah dikumpul dan diterima di makmal akan dijalankan proses konsentrasi virus diikuti proses pengekstrakan RNA virus SARS-CoV-2. Seterusnya, proses amplifikasi dan pengesanan virus akan dilakukan menggunakan kaedah Realtime RT-PCR menggunakan kit khas bagi sampel air kumbahan. Bagi sampel positif dengan nilai CT ≤ 30, ujian penjujukan genom penuh akan dilakukan bagi mengesan varian, sublineage, dan mutasi bagi virus berkenaan. Keputusan ujian seterusnya dikongsikan dengan Pegawai Epidemiologi bagi analisis dan pengumpulan data terperinci untuk melihat tren sebagai survelan berterusan dan proses intervensi.

Sehingga 31 Disember 2022, MKAK telah menerima sejumlah 330 sampel air kumbahan dengan 29 sampel (8.8%) dari PMA dan 301 (91.2%) sampel dari lokasi sentinel. Bagi 29 sampel dari PMA ini, hasil pengujian MKAK menunjukkan 28 sampel (96.5%) mempunyai kehadiran SARS-CoV-2 dengan varian Omicron dan satu (1) masih dalam proses pengujian. Daripada 28 sampel ini, lima belas (15) daripadanya iaitu 53.6% telah lengkap ujian WGS dan didapati sublineage dominan yang dikesan adalah BA.5, BA.2, BA.2.75, dan BA.2.12. Manakala bagi 301 sampel lokasi sentinel, 288 (95.7 peratus) dikesan kehadiran SARS-CoV-2, tiga (3) tidak dikesan manakala sepuluh (10) masih dalam proses pengujian. Daripada 288 sampel positif Omicron ini, 32 (11.1 peratus) telah lengkap ujian WGS dengan sublineage dominan yang dikesan adalah BA.5, BA.2, BA.2.75 dan BA.2.12.
Seiring dengan keadaan semasa, survelan air kumbahan PMA ini akan turut melibatkan sampel dari negara China. Ini akan membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari negara China sebagai salah satu langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa ini.

KETUA PENGARAH KESIHATAN
📌Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau situasi semasa perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 di peringkat antarabangsa, khususnya melalui sidang media terkini oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

💪 KKM komited untuk terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian COVID-19 seperti yang pernah dialami semasa varian Delta melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia.

#LindungDiriLindungSemua
Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejak Februari 2022, lebih 98% varian SARS-CoV-2 yang menular di dunia adalah jenis Omicron dan hasil mutasi terutama pada domain reseptor-pengikat (receptor binding domain-RBD) dalam kalangan VOC Omicron telah menghasilkan pelbagai jenis sub susur galur (sublineage).

Varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80% daripada varian yang menular di negara China turut telah dikesan di Malaysia.

Langkah-langkah kesihatan awam yang perlu diambil adalah masih sama seperti yang diambil untuk VOC-LUM sebelum ini.

Oleh itu, orang ramai adalah dinasihatkan agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

• Elakkan 3S;
• Amalkan 3W;
• Amalkan TRIIS;
• Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
• Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.
Malaysia telah mula menjalankan survelan persekitaran COVID-19 menggunakan air kumbahan sejak Jun 2022. Ia bertujuan sebagai survelan sokongan (Supplementary Surveillance) bagi COVID-19 sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik negara.

Sehingga 31 Disember 2022, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah menerima sejumlah 330 sampel air kumbahan dengan 29 sampel (8.8%) dari PMA dan 301 (91.2%) sampel dari lokasi sentinel.

Seiring dengan keadaan semasa, KKM memperkukuhkan survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA)
Sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China akan dihantar ke MKAK untuk ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19.

Hal ini membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari negara China sebagai salah satu langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa COVID-19.
2024/10/05 09:28:45
Back to Top
HTML Embed Code: